Isnin, 22 Jun 2015

Meritokrasi menjanjikan hal yang positif

Beberapa hari yang lalu anak buah tempatku bekerja datang untuk memintaku menandatangani urusan kerja. Beliau datang dengan matlamat ganda iaitu selain meminta menyelesai tugas administrasi, tentunya untuk bincang-bincang isu nasional yang beliau ikut prihatin dan membuatnya merasa terpanggil. Yang diprihatinkan ialah meredumnya atlit sukan negara dalam kancah Sukan SEA, Sukan Asia dan dalam sukan antarabangsa lain. Sedang kita masih dijejak lama, jiran kita mengorak langkah mencipta kejayaan demi kejayaan dan torehan prestasi antarabangsa mereka dalam sukan ternama dunia. Di mana kita? Dan bagaimana kita memandang ketidakberhasilan ini sebagai sebuah pelajaran penting kepada citra, kualiti dan pembentukan kita sebagai satu unit besar secara keseluruhan. 

Sukan dan kehidupan lain sekali pun, ia menyangkut bagaimana cara kita bersikap, bagaimana etos kerja kita dan seberapa disiplin kita mahu maju dan jaya. Pokoknya "tak ada keuntungan tanpa rasa sakit" dan tentunya anda perlu menderita untuk sukses.

Aku berpendapat sebuah kejayaan terhasil daripada sebuah siklus kehidupan yang tegar dengan disiplin begitu jua sebuah kegagalan terhasil daripada siklus kehidupan yang sebaliknya. Ini sebuah argumentasi nyata hasil daripada pengalaman hidup dan pemerhatian sekeliling. Pendek kata menjadikan manusia sebagai sebuah aset kepada keluarga, bangsa dan negara itu harus bermula sejak dini. Diberi disiplin, "latih tubi", bagaimana berfikir kritis, memiliki sifat curiosity (rasa ingin tahu yang tinggi) dan dibekal pendidikan yang cemerlang yang berterusan sejak dini, atau sejak dari sekolah dasar. Dan ia tidak bergantung kepada sekolah semata-mata bahkan institusi keluarga dan masyarakat juga berperanan, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Bukan untuk menyukarkan hidup anak kita tetapi untuk melatih mereka memiliki asa yang tinggi dan memandang hari depan dengan yakin, berani serta dapat mengolah masalah dan cabaran sebagai satu cara merintis peluang atau menjadi perintis untuk berada selangkah ke hadapan daripada mereka yang lain untuk menakat dan kekal relevan dengan persekitaran dunia yang berubah. Anak-anak yang terdidik dengan sistem pendidikan yang "keras" dalam erti kata untuk mendidik dan menyerlahkan potensi mereka apabila dewasa kelak mereka akan masuk dalam kumpulan masyarakat nukleus yang bernilai dan sentiasa dahaga dan selalu ingin berprestasi serta menghindarkan membuat hal yang biasa-biasa atau hal rutin yang selalu dibuat orang. Mereka sebaliknya akan memberi nilai tambah dengan kecerdasan dan kejelian yang mereka miliki dalam melihat sesuatu. Percayalah mereka tidak akan melukut, berharap, menagih sesuatu yang ia rasa seolah-olah ia berhak miliki tanpa perlu bersaing dan meminta-minta kerana percaya sikap seperti ini akan merosak citra diri sendiri, komponen dan bangsanya.

Ertinya, mereka yang terdidik dengan sistem yang keras dan yang menekan meritokrasi iaitu pencapaian dan keberhasilan berdasarkan merit yang ketat, akan menjadi benih yang baik dan dihanyut kemana-mana akan menjadi pulau, begitu pepatah berkata. Sebaliknya mereka yang lemah dan tertinggal perlu berjuang untuk meningkat daya saing mereka demi penyetaraan hidup dan mendapat tempat yang baik kelak. Maknanya, semua sisi masyarakat perlu berjuang untuk hidup dan dididik keras untuk meningkat kepekaan mereka. Sistem meritokrasi memberi pelajaran penting kepada kita bagaimana membunuh sifat malas dan sifat sambil lewa yang merugikan. Impak besar yang terhasil daripada pendidikan yang menekankan meritokrasi ini ialah negara dapat menghasilkan sumber manusia yang berkualiti, berdisiplin, cerdas dan mumpuni serta memiliki kebolehpasaran yang baik dalam dunia pekerjaan. Mereka ini tentunya memiliki kreativiti tinggi, daya inovasi, pragmatis dan dinamis dalam mencipta ekonomi baru yang sifatnya berdaya tahan.

Dalam hubungan ini, sekolah harus menjadi instrumen penting dalam menumbuhkan budaya positif dan kondusif bagi membentuk pemikiran dan sikap pelajar. Mereka dididik untuk jadi pandai dengan cara sihat dan betul. Jika ada anak yang lamban, mereka perlu dipandu bukan disuap. Di rumah, institusi keluarga perlu mendidik anak-anak mereka untuk berdikari dan memberi kontribusi dalam hal yang dimampui secara bertahap agar kelak mereka tahu apa ertinya menghargai diri sendiri dan menghargai orang-orang di sekitarnya. Institusi keluarga yang terlalu "protektif" bahkan menyediakan segala sesuatunya tanpa mendidik anak mereka berusaha, mendidik anak mereka menghafal tanpa merumuskan formula atau pendekatan pembelajaran yang baik, sebenarnya akan merosakkan sikap dan perilaku pemikiran mereka dalam jangka panjang. Mereka berharap anak mereka berjaya tapi dengan cara yang tidak sihat. Institusi keluarga melakukan kesalahan besar kerana anak-anak ini nanti tidak mampu berfikir, berusaha dan merancang apabila mereka bekerja. Majikan yang mengambil mereka pula telah diperdaya dengan keputusan cemerlang yang mereka miliki itu yang sebenarnya adalah hasil daripada menghafal bukan berfikir atau membuat terobosan terhadap sesuatu.

Nah, sistem pendidikan negara harus menekankan meritokrasi untuk menghasilkan sumber manusia yang berkualiti. Sedari awal, anak-anak perlu dilatih untuk berfikir, dipupuk sifat ingin tahu yang tinggi, dan suka bertanya. Mereka perlu dilatih untuk MEMBACA, MEMBACA dan MEMBACA buku dan mengongsikan dapatan mereka kepada rakan sebaya. Dengan membaca mereka mengetahui sesuatu paling tidak kata dan tatabahasa dalam akaun minda mereka. Masyarakat pula perlu bersatu padu memberi contoh yang baik sebagai pelajaran penting kepada anak-anak ini untuk mereka melihat bahawa masih ada nilai dan kesegaran yang membuat mereka sentiasa bertenaga untuk hidup dan menakat.

Persekitaran pendidikan kondusif dan dinamik serta didukung oleh institusi keluarga dan masyarakat akan memberi pengaruh besar dalam pembentukan perilaku anak-anak. Anak-anak yang dilahir daripada produk pendidikan yang baik akan berkembang dalam bidang yang mereka ceburi dan seterusnya dapat memberi perubahan besar kepada sistem bekerja dalam bidang seperti perkhidmatan awam, swasta, pogram-program kerajaan, NGO dan sukan. Mereka terdidik menghormati waktu, mengoptimalkan masa, menghormati kerja secara berpasukan, bahu membahu dan saling menghargai. Percayalah, kekuatan daripada sebuah tim yang memiliki energi dan spirit yang positif, akan menghasilkan gelombang kejayaan dalam bidang apapun, dan ini tidak terkecuali dalam bidang sukan seperti yang ditanyakan oleh anak buahku tadi. Kekalahan atau mendapat tempat kedua buat mereka merasa sebal dan duka, serta kembali merenung mengapa demikian kenapa tidak begini. Tanda aras mereka adalah yang pertama, dan mereka bekerja keras untuk mencapainya.

Singkat kata kita perlu melihat jauh ke hadapan dalam perancangan kependudukan dan memastikan hanya ledakan penduduk yang berkualiti sahaja dihasilkan. Galakan ibu bapa terpelajar membina keluarga dalam usia yang produktif dan memiliki anak lebih dari dua orang. Negara melakukan langkah yang betul dan memilih jalan yang tepat untuk melahirkan sumber manusia yang cemerlang melalui sistem pendidikannya yang "keras" dan ini tentu baik bagi menyediakan insan cemerlang dalam semua aspek serta pada masa yang sama negara memperoleh impak positif bagi menghindarkan beban berpanjangan dalam menyediakan bantuan dan kebajikan.

Salam damai dan semoga makin jaya

Sabtu, 20 Jun 2015

Dayang Bungsu dan Ntarigi buah tangan Ay Ling

Tiga minggu yang lalu aku didatangi seorang pelajar yang telah menamatkan tempoh penempatannya. Ay Ling Dr. Pudarno, begitu namanya disebut. Seorang anak muda perempuan yang tidak banyak bicara, tertib, bercita-cita dan fokus untuk meraih ilmu apabila diberi kesempatan. Kelebihannya ialah minat mendalamnya dalam industri kreatif terutama dalam melukis. Kontribusi pertamanya semasa Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca 2015 apabila diberi peluang untuk mengembangkan bakat dalam face art.

Ay Ling Dr. Pudarno datang ke mejaku untuk menyerahkan surat apresiasi kepada jabatan yang telah memberinya peluang selama empat bulan untuknya meraih pengalaman dan pengetahuan dalam bidang yang ia cintai, tentunya melukis. Kesempatan belajar turut beliau gunakan untuk mendalami atur huruf dan reka letak buku. Ternyata bukan surat apresiasi sahaja yang diserahkan tetapi sebuah manuskrip! Ya, manuskrip cerita rakyat yang diadaptasi daripada sebuah buku tuturan yang telah dikompilasikan oleh Haji Muhammad Hatta dan Anita Awanis Setia, cerita yang dicerap daripada kontinum puak masyarakat tempat beliau dibesarkan. Cerita rakyat itu tentunya sebuah pengalaman dunia yang beliau peroleh daripada ekosistem sosial yang memberinya pelajaran penting tentang erti penakatan tradisi lisan, budaya dan kepercayaan sesuatu masyarakat yang perlu dipelihara dan dilestarikan. Bukankah cerita rakyat adalah sebuah prasasti sosial? Oleh kerana itu, kearifan tempatan ini wajar dibukukan sebagai wasilah kepada masyarakat luar agar tahu seperti apa kearifan tempatan yang mereka miliki. Dan ingatlah bahawa kearifan tempatan juga membantu memperkaya bahasa ibunda kerana terdapat konsep-konsep tertentu dalam masyarakat itu yang diketengahkan.

*****

Di tengah belantara kuat sistem pemikiran, falsafah dan kepercayaan yang semakin utuh dengan pegangan kuat kepada religi yang mengambil tempat dalam seluruh sendi-sendi kehidupan baik dalam sistem sosial, ekonomi mahupun politik, ada sisi budaya yang melempem dan perlahan hilang ditelan masa. Nilai tradisi atau kearifan tempatan sesuatu masyarakat itu beransur tenggelam kerana ia dilihat bertentangan dan sulit beradaptasi. Ini tidak terkecuali dengan tradisi lisan yang tercerna hasil daripada reproduksi sosial sesebuah masyarakat dengan lingkungan persekitarannya disertai dengan kepercayaan masyarakat tersebut terhadap sesuatu kejadian. Sesetengah tradisi lisan yang mengakar akan memerikan bagaimana sebuah kesatuan masyarakat yang berbeza dalam sebuah permukiman tempat mitos peristiwa itu berlaku berkongsi getaran dan denyut nadi yang sama yang kemudiannya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Ahli antropologi Benedict Anderson menyebutnya sebagai rasa bersama yang menautkan berbagai kelompok menjadi sebuah kesatuan.

Hakikatnya, terdapat ruang bagi tradisi lisan sebuah masyarakat itu mendapat tempatnya. Mari kita lihat nilai positifnya. Bahawa tradisi lisan menjadi pintu masuk dalam kita memahami budaya, cara fikir, pengalaman dunia dan karakter sesuatu masyarakat adalah sesuatu yang mungkin. Bahawa semua budaya memiliki dahan berpijak dan hikmah sendiri-sendiri. Dengannya kita belajar bagaimana menghargai dan kita belajar bagaimana menghormati ruang sosial mereka. Tidak tepat melihat sesuatu budaya dengan berkaca kepada budaya lain. Jika ini menjadi dasar atau pegangan kita, akan runtuhlah sebuah peradaban! Sesuatu yang membuat gusar para ahli sosiologi dan etnografi sejak lama. Terlepas dari semua hal yang diperkatakan, tradisi lisan ialah cara bagaimana masyarakat itu memahami kejadian, roman "sejarah", historikal penamaan dan warisan bahkan kutipan peristiwa yang dinarasikan merupakan cara sesuatu masyarakat itu "melahap dan mengorbit" kisah daripada sebuah peristiwa untuk memberi pesan moral tentang pentingnya memperkuatkan solidariti, persatuan, memiliki hati yang membumi, sebuah pengakuan dan rasa eksis daripada sebuah komuniti dan bahasa, bagaimana menghargai sesuatu serta ia merupakan satu sisi hangat dari sesebuah masyarakat. Dan Ntarigi manuskrip sulung karya Ay Ling adalah bahagian daripada reproduksi sosial yang harus mendapat tempatnya.

Sabtu, 6 Jun 2015

Pentingnya kita mempelajari dan mengambil sikap menghadapi gempa bumi

Selama ini berita mengenai kegoncangan dan kejadian gempa bumi terjadi pada negara dalam pusaran cincin api (ring of fire) seperti Indonesia dan Jepun. Taufan pula sering melanda Filipina saban tahun. Belum pernah kita mendengar wilayah geopolitik dalam Kepulauan Borneo dilanda gempa seperti yang berlaku di Sabah, tiga hari yang lalu iaitu pada hari Jumaat, 05 Jun 2015. Kejadian gempa berskala 5.9 Ritcher di Ranau, Sabah itu memakan korban jiwa. Berita awal, korban jiwa dikhabarkan dua orang dan ramai yang cedera khususnya di Gunung Kinabalu, kawasan dikatakan terjejas teruk dek gempa yang mengakibatkan gegaran kuat. Hari kedua, ketiga dan keempat, korban yang tewas mencapai 16 orang setakat berita ini ditulis, dua disahkan sebagai "hilang" (pasukan penyelamat gagal mengenal pasti identiti mangsa dan dipercayai berada dalam cebisan mayat-mayat yang telah dibawa untuk dibedah). Menyedihkan. Yang terjejas adalah pendaki yang melakukan pendakian bersama dengan Malim Gunung (istilah yang diberikan kepada jasa atau khidmat jurupandu pendaki (mountain guide) seperti sherpa, pakar pendaki di Gunung Everest) pada hari berkenaan. Selain itu, pendaki juga terdiri daripada anak-anak dari Tanjong Katong Primary School, Singapura yang dalam sesi latihan kendiri dan kepimpinan sejak dini di bawah program "Omega Challenge" tercedera dan ada yang terkorban baik guru mahupun pelajarnya. Ada yang belum diketahui keberadaannya termasuk pendaki lain yang terjejas khususnya pendaki yang berada dilaluan Via Ferrata yang mencabar semasa gempa melanda. "Rute 6.5KM menjelma menjadi sungai bebatuan ketika gempa bumi terjadi Jumaat dini hari, yang membuat jalur itu sulit dilalui dan membuat para pendaki terjebak" kata Masidi Manjun di Twitter. Marilah kita semua mendoakan mereka dalam keadaan selamat dan tim mencari dan menyelamat dapat segera menyelamat mereka yang terjejas.

Dikhabarkan kesan gempa tersebut membuatkan batu-batu dari atas gunung berjatuhan. Batu bersaiz besar dan khabarnya sebahagian batu yang jatuh itu menyamai saiz sebuah kereta. Dan tentu kita marfum bahawa batu besar yang bergolek dan jatuh ditempat tinggi boleh mencapai kepantasan daya jatuhan yang luar biasa dek volume, saiz dan kecuraman laluan. Kita tentu dapat menjangkakan kesan yang diakibatkan daripada batu berkenaan. Korban yang berjatuhan, khabarnya ada yang tertimpa reruntuhan batuan dan longsor di pergunungan.

Peristiwa duka yang menimpa Sabah pada satu sisi lain memberi pesan dan kesan penting bahawa Sabah, dan bahkan juga Brunei, Sarawak dan Kalimantan sebenarnya tidak siap menghadapi gempa seperti juga yang dialami oleh Nepal pada hari Sabtu, 25 April 2015. Tiada sistem amaran awal yang memberi ingatan kepada penduduk untuk bersiap dan siaga menghadapi bencana berkenaan. Apa yang berlaku di Sabah seharusnya menyedarkan kita, para penduduk yang mendiami kepulauan ini, baik Brunei Darussalam, Sarawak dan Kalimantan. Kalimantan, Indonesia tentunya memiliki pengalaman bagi menangani tragedi dan menguruskan evakuasi gempa kerana dimatangkan oleh pengalaman panjang menangani perkara berkenaan yang sering berlaku Pulau Jawa. Bagaimana dengan Brunei Darussalam? Apakah kita siap dari segi psikologi dan kelengkapan? Apakah anak-anak kita khususnya generasi muda kini memiliki ketahanan sosial yang baik? Apakah mereka telah dilatih dan didedahkan sejak awal untuk "menderita" sebelum menjadi orang yang sukses dengan memiliki sikap menghargai. Dalam hal ini, kita tidak boleh melepaskan sekolah untuk membentuk perilaku sosial yang baik dan berkarakter sebaliknya institusi keluarga wajar memainkan peranan dalam mendidik dan mengajar anak-anak sejak dini tentang kelakonan sosial yang betul, mendorong pergaulan, dan bagaimana menjadi orang yang sentiasa peka, sentiasa mengambil berat dan hidup dalam suasana inklusif untuk memastikan kita berada dalam kumpulan atau lingkungan yang memainkan peranan dalam kehidupan masyarakat luas yang kian kompleks dan hedonis. 

Negara jiran mengalami duka yang bertimpa bermula dari pesawat hilang, jatuh dan terbaru gempa. Ini sebuah pelajaran besar untuk kita sentiasa rendah hati, belajar untuk meraih pengalaman dari mereka yang mengalaminya dan selalu mengingati serta memohon doa kepada Allah Subhanahuwataala agar kita dan seluruh penduduk di rantau sentiasa dalam lindungan rahmat dan berkah.

Dan ingatlah bahawa Islam mengajar kita untuk selalu mencintai ilmu dan menghargai sesuatu. Dengan ilmu kita boleh mengamati, mempelajari dan memahami sesuatu kejadian di lingkungan mahupun di luar lingkungan kita, apatah lagi kejadian gempa yang berlaku di Sabah yang dekat dengan kita dan menyedari bahawa kita sebagai manusia, tentunya kerdil dan harus menunduk serta rendah hati di muka bumi ini. Janganlah kita menjangkakan gempa tidak rentan berlaku di sini kerana kita tidak berada dalam kawasan cincin api. Singkatnya, kita sentiasa terdedah pada sesuatu kerana ketika Allah Subhanahuwataala menghendaki sesuatu itu terjadi, maka ia boleh terjadi. Marilah kita berdoa memohon dijauhi gempa berkenaan, dan pada masa yang sama kita perlu melatih diri kita, anak-anak kita, saudara-saudara kita, jiran-jiran kita dan kawan-kawan kita tentang perlunya memiliki sikap waspada sentiasa, sikap tidak berlengah, sikap mengambil tahu dan kritis terhadap sesuatu, menjaga kesihatan sebagai persediaan dan memiliki tabungan sebagai bekal menghadapi darurat dalam erti kata kita melakukan semua itu untuk menghargai diri kita, lingkungan kita dan tentunya negara yang kita cintai ini. Bukankah manusia itu dilahirkan untuk membuat "karya nyata"? Jadi, berkaryalah untuk memiliki hidup yang berkualiti, dapat  memberi inspirasi, menghargai dan dihargai.

Disarankan juga pihak kerajaan perlu menyediakan sistem amaran awal menyeluruh sebagai isyarat awal untuk rakyat dan penduduk negara ini bersiap. Tidak perlu ceramah wacana tetapi laksanakan kerja nyata seperti latihan kendiri dan simulasi menghadapi gempa agar penduduk di negara ini peka, diajarkan untuk bersiap siaga serta menyedari pentingnya mengambil sikap dalam merespons dan bagaimana menyiapkan diri menghadapi sesuatu yang tidak terduga. 

Kepada yang terjejas dengan gempa di Sabah, didoakan semoga diberi kekuatan lahir dan batin, ketabahan dan kesabaran. Kepada yang terkorban, mendoakan yang terbaik buat mereka.

Catatan: Hiba membaca kisah dan sikap kepahlawanan Malim Gunung yang mendedikasi dirinya untuk sebuah tugas mulia atas nama warisannya, keluarga dan watannya Sabah. Semoga mereka diberi perhatian dan penghormatan yang layak oleh Kerajaan Negeri.


Sabtu, 23 Mei 2015

Kejayaan Lion XII Menjuarai Piala FA dan Meritokrasi

Semalam Sabtu, 23 Mei 2015 saya meluang masa menonton final Piala FA antara Kelantan vs Lions XII live di TV1. Kelantan diramalkan bakal juara oleh penganalisis bola sepak Malaysia dengan rata-rata meramalkan kemenangan tipis 2 1 atau paling 3 0. Final ini merupakan penampilan pertama Lions XII dan dianggap sebagai pasukan underdog kerana dibarisi pemain muda bawah 25 tahun, tidak bermain di laman sendiri dan bermain di hadapan penyokong tegar Kelantan yang mendominasi Stadium Bukit Jalil. Pandangan yang dizahirkan berikutnya ini tidak pula bererti saya memperkecil semangat anak Kelantan yang terkenal dengan persatuan yang kuat meskipun terpencar kemana-mana bahagian dalam wilayah Malaysia. Dan kerana persatuan yang teguh itu, mereka beramai-ramai memerah dan menggegarkan perlawanan akhir berkenaan.

Baik, tinggalkan dulu tentang pertandingan tersebut yang keputusannya sudah diketahui. Saya ingin merayau sedikit tentang sikap dan cara masyarakat Singapura berhadapan dengan sesuatu perkara baik kecil mahupun besar. Saya tertarik mengikuti perkembangan negara berkenaan sejak awal tahun 90-an ketika begitu banyak isu seksis yang awalnya dilihat sangat tidak popular antaranya penerapan meritokrasi dan pengambilan tanah untuk pembangunan semula. Penerapan meritokrasi pada awalnya dijangkakan akan menenggelamkan masyarakat Melayu Singapura kerana tipikal bangsa ini yang dibayangi oleh ketidakmampuan untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain.  Namun harus diingat bahawa tiada satu inisiatif besar dapat dianggap sebagai ideal dalam semalaman. Ia tidak semudah membalikkan telapak tangan kerana ia memerlukan masa bertahun untuk menilai sesuatu langkah itu berhasil. Sebuah langkah besar tentunya memerlukan proses panjang. Maka seluruh sistem Singapura digerakkan untuk menjayakan meritokrasi, Meritokrasi menanamkan nilai bahawa hanya mereka yang rajin berusaha dan bekerja keras akan mampu menakat. Masyarakat yang terbentuk melalui proses meritokrasi akan membuatkan mereka bernilai, dibuang ke laut pun akan menjadi pulau begitulah pujangga berkata. Apakah berusaha dan bekerja keras cukup? Dalam meritokrasi, berusaha dan bekerja keras sudah tentu tidak memadai tanpa disertai dengan disiplin, cerdas, kreatif dan pragmatis. Inilah nilai yang menurut saya perlu ada bagi membolehkan anda terus relevan dan pragmatis untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. 

Singapura telah membuktikan kepada dunia bahawa setitik pulau di benua ini dapat memberi pengaruh besar kepada kerantauan dan hubungan antarabangsa. Dasar meritokrasi mereka telah membolehkan rupa darat Singapura menjadi tempat untuk semua sendi-sendi kehidupan. Dari pendidikan, pembangunan kota, taman dalam bandar, pelancongan, rawatan kesihatan, penyelidikan dan pembangunan, transportasi dan hub pengangkutan udara, pengurusan pintar, limbungan perkapalan dan malah sumber manusia kolar putih yang bernilai kerana keupayaan mereka memaksimumkan kepintaran otak kiri dan otak kanan untuk menakat.

Nah, apakah kaitannya dengan kejayaan Lion XII dalam Piala FA semalam dengan meritokrasi. Anda tidak bisa mengatakan bahawa meritokrasi tiada kaitannya dengan kejayaan tersebut. Saya katakan ia kerana hanya mereka yang memiliki disiplin yang tinggilah yang berjaya menuai kejayaan selain daripada kecerdasan, kreatif dan pragmatis dalam menyesuaikan diri untuk merespons keadaan. Pokoknya perlu ada mental waja dik. Mereka tidak memiliki pemain import tapi mereka memiliki pemain muda yang mencintai prestasi dan bergerak sebagai satu tim penuh taktis, kreatif dan pragmatis. Mereka saling membantu menutup lompong agar tidak ada ruang dapat ditembusi oleh lawannya. Yang nampak semalam, kemenangan Singapura adalah speed..speed..speed. Taktis ditopang dengan tenaga serta speed yang mumpuni mampu menggegarkan jaring lawan. Hanya mereka yang berdisiplin tinggi hasil daripada keterbiasaan dengan sistem yang "kasar" dan genius itulah yang mampu menakat dan meraih sukses. Lebih manis kejayaan tersebut adalah sebuah reflektif Made in Singapura atau Singapore Brand kerana seluruh rangkaian Lion XII adalah adalah warga Singapura.

Singapura memang memiliki dasar, sistem dan prasarana untuk mencipta kesuksesan dalam semua hal sejak lama dan ia menuaikan kejayaannya kini. Malam gemilang Lion XII adalah juga malam gemilang bagi sistem dan cara hidup yang keras dan dasar yang sangat mendidik itu dalam seluruh sendi-sendi kehidupan yang dirintis oleh The Singapore Founding Father, Lee Kuan Yew, bapa perintis yang memiliki wawasan jauh dan genius dalam mencorakkan mental dan fizikal nation state Singapura. State of art Singapura bukan sekadar kisah bandar yang hidup, segar dan bertenaga, ia juga memerikan sebuah masyarakat yang memiliki keazaman dan mentaliti kelas pertama untuk Singapura Maju.

Meritokrasi yang melahirkan masyarakat mentaliti kelas pertama ini tentunya akan membuat Singapura dicemburui oleh sekitarnya dan membuka mata banyak dunia bahawa yang terpenting untuk menakat dan berdaya tahan itu adalah melahirkan manusia sebagai aset yang bernilai melalui dasar, sistem pendidikan dan cara hidup yang bernilai. Kini nampaknya torehan kejayaan itu menjadi sebuah siklus besar yang akan merebak kemana-mana sektor jika negara lain tidak memiliki sikap daya saing yang tinggi untuk berhadapan dengan Singapura jaya.

Akhirnya, tahniah Lion XII kerana telah menoreh sejarah hasil daripada disiplin, kerja keras dan minda yang telah terdidik untuk maju dan jaya melalui meritokrasi.

Instrumen Muzik Tradisional Vietnam

Hal terbaik meredam waktu ialah menulis. Bisa!!! Menulis adalah sebuah seni indah. Kita mengatur huruf menjadi sebuah kata. Dari kata menjadi barisan ayat yang mempunyai makna dan kita boleh menyampai mesej kepada pembaca...kiki. Macam dalam kelas bahasa la pulak. Ni tentu kes boring tahan gaban. 

Baik, entri kali ni aku nak kongsi tentang seni muzik di Hanoi, Vietnam. Vietnam antara negara yang menghargai dan mengetengahkan kearifan lokal masyarakat terutama instrumen muzik konvensional yang berasaskan bamboo. Sayangnya aku tidak mengambil peluang mendekati pemuzik ini untuk bertanya apakah istilah penamaan instrumen muzik berkenaan semasa sesi jamuan malam delegasi ASED UNGEGN baru-baru ini. Antara instrumen muzik yang berasaskan bamboo tersebut ialah bamboo yang disusun dari kecil dan besar yang diikat seperti rakit layaknya. Cara mainnya ialah dengan menepuk dua tangan anda. Cara tepuk tersebut ialah dengan merapatkan jari setiap tangan seolah-olah seperti mengepung angin sehingga apabila tepukan tersebut dihalakan kepada bamboo yang disusun tadi akan dapat menerbitkan bunyi.

Di samping itu, terdapat instrumen muzik bamboo yang bentuk layak seperti meriam buluh yang dimaikan oleh anak-anak kampung dulu-dulu bila tiba malam tujuh likur tapi tidak bagi orang Viet. Nampaknya mereka memiliki pengalaman dunia yang cerdas bagaimana memaksimumkan bahan alam untuk hiburan. Tak percaya, tontonlah video berikut:



Seruling juga menjanjikan persembahan yang memikat dan asyik buat meredam resah dan bingung di hati. Manakan tidak, seruling bernuansa merdu dan ada ketikanya dikaitkan dengan pujangga yang sedang membuai lara untuk menjemput ilham dan mereka yang sedang lara nestapanya.


Terdapat juga instrumen seperti erhu seperti layaknya sebuah gitar tradisi yang sesuai dimainkan oleh gadis cantik Vietnam sehingga menambah serinya pada bunyi dan lagunya.  Erhu adalah muzik gesek tradisional China yang dikatakan muncul pada abad ke-7 - ke-10 semasa Dinasti Tang. Erhu yang dimainkan dalam video yang dipaparkan berikut telah diubah suai dan berbentuk empat segi.


Instrumen muzik tradisi Vietnam sebenarnya tidak jauh berbeza dengan instrumen muzik negara serumpun dan negara Asia yang kaya dan alami ini. Tidak kira dari mana ia datang dan bagaimana instrumen itu dibuat, pada ketika instrumen itu sudah bisa membunyi tujuh notasi asas muzik do-re-mi-pa-so-la-ti-do, maka secara automatis instrumen berkenaan sudah bisa memainkan semua jenis lagu.








Selasa, 19 Mei 2015

Kepentingan Nama Geografi Bagi Pembangunan Bangsa dan Peradaban

Menghadiri The 3rd Divisional Meeting of The United Nations Group of Experts on Geographical Names Asia South - East (ASE) Division di Hotel Melia, Hanoi pada 13 - 15 Mei 2015 membuat aku memperoleh pengetahuan baru tentang betapa pentingnya setiap negara memiliki autoriti atau organisasi tertentu menyediakan sebuah pangkalan data nama geografi dan manfaat nama geografi dalam pemasaran produk sekaligus menjadi jenama dagang bagi negara berkenaan. Dalam hubungan ini, pemakalah Vietnam telah mempresentasi dan mengongsikan pengalaman mereka mengenai kepentingan penamaan produk yang dikaitkan dengan unsur-unsur tempatan.

Perlu diingat nama-nama geografi bukan sekadar tanda dan lambang tetapi juga sebagai kata kunci bagi anda mengenal legenda dan historikal sesuatu negara kerana nama geografi sebenarnya mengekspresi dan memperlihatkan ciri yang identik dengan unsur kepemilikan. Contohnya nama geografikal yang bermula dengan elemen "Nam" yang bermaksud air seperti Nam Rom, Nam Tha, Nam Nhum yang membolehkan masyarakat di Vietnam mengenal penamaan itu sebagai rujukan bagi wilayah di Northwest Vietnam, manakala nama geografikal yang bermula dengan "Dak" (yang juga merujuk air) seperti Dak Lak, Dak Nong, Dak Tuar yang merujuk nama yang berasal dari Central Highlands (Le Minh Tam, Ma - Pakar Kartografi daripada Vietnam Association on Geodesy - Cartography - Remote Sensing).

Nama-nama geografi memiliki nilai artistik dan merupakan satu pendekatan bagi mempromosi kepada orang luar untuk mempelajari dan memahami bahasa. Di Brunei, kita patut berbangga apabila terdapat pihak yang prihatin yang masih kental memelihara bahasa dan tradisi mereka seperti penamaan Bintudoh Greenspring Resort (inap desa). Begitu juga nama tempat sama ada yang baru atau yang sudah wujud sejak zaman bahari lagi yang juga memperlihat nilai-nilai tempatan Brunei yang identik. Kita kenal dan tahu nama seperti Tatangan Tutong, Belalong, Batu Apoi, Puni, Bangar, Nagalang, Burong Pingai, Lupak Luas, Lumapas, Junjongan dan Lela Menchanai. Penamaan jalan dan sungai juga tidak kurang pentingnya dalam mempromosi nilai nasional seperti Jalan Tutong, Jalan Mumong, Jalan Singa Menteri, Jalan Pehin Penyurat, Sungai Siamas dan Sungai Tungkadeh. Demikian pula penamaan agensi semikerajaan seperti Semaun Holding, dan penamaan resto makanan seperti Restoran Tindulang.

Menjengah ke aspek lain tentang penamaan, kita memiliki kearifan lokal yang diketengahkan melalui kain tenunan. Motif bunga pada kain tenunan dikenali dengan bermacam nama antaranya sukmaindera, bunga batabur, arap gagati, silubang bangsi, dan air muleh.

Vietnam dan Indonesia antara dua negara UNGEGN yang superb dalam mempromosi identiti mereka bahkan tidak ragu-ragu menggunakan nilai tempatan sebagai nama dagang dalam setiap karya mereka sehingga menjadi mahakarya besar yang bermanfaat dalam mengharumkan nama negara berkenaan. Bak kata mantan Perdana Italia Silvio Berlusconi, "Italia identik dengan mafia, piza dan Milan. Dan brand Milan sangat kuat di negara Timur seperti Asia sehingga kelab AC Milan mempunyai 350 juta pendukung di seluruh dunia". Dan salah satu penyokong kuat kelab AC Milan ialah Presiden China, Xi Jinping. Ini bermakna nama geografi seperti Milan yang gah dan popular itu menjadi brand antarabangsa yang terkenal dan tentunya menguntungkan Italia.

Nah, ketika anda mengenal Djarum, Sempoerna, pasar properti seperti Ciputra dan Agung Podomoro, rangkaian perhotelan Santika, Inna Garuda dan Sahid Jaya, produk makanan dan kuliner seperti Indomee, Bakso, Ayam Penyet, Gado-gado, dan Pecelele, dalam kepala kita tentu sudah terakam bahawa itu produsennya Indonesia. Dan itu Made in Indonesia. Jadi jangan pernah memandang enteng dan mengatakan "apa ada pada nama" tetapi "nama akan jadi ada apanya" setelah kita menjadi bangsa yang bangga dengan apa yang kita miliki dan berjuang mengetengahkannya seperti yang dilakukan oleh Indonesia dan Vietnam. Memilih dan menamakan produk kita dengan ciri-ciri tempatan bermakna kita menjadi bahagian yang membantu mengembang dan mengangkat peradaban bangsa dan watan tempat kita dilahirkan. Namun dalam produk makanan atau komoditi lain yang didagangkan, nama-nama yang dihubungkan dengan nilai setempat perlu dipatenkan bagi menghindarkan ia dieksploitasi oleh negara lain untuk keuntungan.

Apakah menamakan produk dengan salah satu nama geografi sudah cukup? Hakikatnya, perlu ada kekuatan menyeluruh merangkumi semua sendi-sendi kehidupan yang berkepentingan untuk menyokong usaha ini. Misalnya produk yang dihasil perlu berkualiti dan tidak kalah bersaing dengan produk yang sama keluaran negara lain, memiliki pemasaran dan pengiklanan yang kuat, memiliki pelanggan dalam negeri yang setia yang membantu mendukung dan mempromosi produk secara tidak langsung dan nama negara itu sendiri memiliki jenama dan nilai yang kuat seperti Singapura sehingga apabila disebut orang, sudah terakam bahawa negara berkenaan memiliki semua kualiti yang diperlukan untuk diajak berbisnes. Ini bermakna penamaan geografi terhadap sesuatu itu harus disertai dengan upaya dan kerja keras seluruh institusi untuk memperoleh hasilnya kemudian termasuk kecintaan masyarakat negara ini terhadap produknya sendiri. Kita tidak boleh berharap banyak orang dari negara lain mencintai produk kita tanpa kita berusaha untuk mencintai dan menggunakan produk yang negara ini hasilkan. Sikap kita dan cara kita menghargai apa yang kita hasil akan mengundangkan orang luar menyukainya. Dan ini tentunya memberi kelebihan nilai dan prestasi pada apa yang telah kita bangunkan bersama meskipun sekadar pengguna, dan ia tentunya memberi petunjuk jelas bahawa jenama dagang yang dihubungkan dengan salah satu nama geografi negara menjadi mangkin kepada pemerkasaan peradaban, setidaknya Made in Brunei memperoleh matlamat ganda iaitu pasaran dan peradaban yang dibangunkan oleh local genius kita.

Lalu, tidakkah kita mahu menamakan produk kita dengan nama-nama yang memiliki esensi dan estetika tempatan? Atau mensinonim produk kita dengan salah satu nama geografi yang ada di negara kita dan bekerja keras untuk mengangkatnya? Jika tidak kita, siapa lagi.


Isnin, 18 Mei 2015

Kenali Masyarakat Vietnam di Hanoi

Usah gentar berjalan malam di pinggiran kedai dan di lorong yang sibuk di Hanoi. Bukan bererti anda tidak perlu waspada. Waspada boleh saja tapi jangan dibuat takut atau ketakutan lebih dominan daripada perasaan berani dalam diri anda ketika berada di Hanoi. Orang Vietnam di Hanoi adalah mereka yang sibuk dengan hal sendiri terutama dalam menggeluti usaha bisnes, makan, jalan kaki atau berspeda. Mereka tidak pernah menganggu, mengusik apalagi memandang orang baru lama-lama seperti ingin melahap sahaja. Mereka hanya tersenyum jika kita menyapa hai dan senang diajak berfoto ketika mereka menikmati makanan bawaan penjaja atau menikmati makanan di resto pinggir jalan sambil nongkrong bersama teman-teman. Anda bisa lewat dan tersenyum manis dengan mereka kerana gaya makan di pinggiran jalan dengan kerusi dan meja yang rendah itu tentu sebuah atmosfera baru yang berbeza dengan gaya makan ditempat kita.

Generasi muda Viet yang kemas dan moderat seperti karyawan barisan hadapan iaitu mereka yang bekerja dalam industri perhotelan, bandara, perbankan, peruncitan, pelancongan, penjual sim card dan di kios tukaran wang asing serta crew penghidang makanan boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Sesekali terdapat juga karyawan berkenaan yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik tetapi tidak pernah berhenti untuk berusaha tanpa sedikit anda terdengar mereka menyelitkan bahasa Vietnam. Mereka sangat bangga dengan diri mereka kerana kelemahan yang ada perlu ditingkatkan dengan keberanian, kesungguhan dan kerja keras. Bukankah bijak pandai mengatakan "harus ada keyakinan, kemahuan, kerja keras dan pengorbanan yang akhirnya akan membuat semua mimpi kita menjadi nyata". Itulah sekilas karakter masyarakat Viet yang kelihatan. Tidak ada gaduh-gaduh kerana masing-masing perlu bekerja keras dengan baik dan jujur untuk mendapat porsi rezeki masing-masing.

Mereka sangat memelihara tradisi dalam berpenampilan terutama perempuan Vietnam. Perempuan Vietnam seboleh mungkin memakai pakaian Ao Dai iaitu baju dari fabrik sutera berlengan panjang ke bawah lepas hingga paras lutut dan dibelah sisi kiri dan kanan hingga ke paras pinggang dan berseluar putih. Pakaian ini tentunya ringan yang membolehkan pemakainya bergerak lancar dan cepat. Perempuan Vietnam memiliki rupa dan berkulit putih kuning.

Rata-rata masyarakat Viet baik lelaki dan perempuan tidak obes dan berpinggang ramping atau slim, baik orang tua mahupun anak-anak mereka. Generasi muda Viet yang tampil ramping ini membuktikan bahawa Vietnam yang terbuka kini memerlukan generasi yang proaktif dan bertenaga untuk bekerja dengan kecepatan tinggi dan efektif bagi menerima kemasukan pelaburan dan pelancong luar.

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...