Selasa, 7 Julai 2015

Ekspresi Puteriku

Masa berlalu begitu pantas. Sepantas masa meninggal kita sepantas itu puteriku kini tumbuh kembang sebagai anak remaja yang memiliki karakter dan minat yang berbeza. Di sela-sela kesibukan mereka belajar, mereka menyempati waktu mengisi kecenderungan masing-masing. Yang tua selalu membuai kami dengan petikan keyboard dengan lagu moden sesuai dengan selera anak muda. Terkadang, kami sebagai orang tua yang sudah menginjak lima dekad ini memaksanya memainkan lagu evergreen dendangan megabintang Jeng Whitney Houston, Mariah Carey, Kang Lionel Ritchie dan artis yang seangkatannya dengannya. Orang tua yang hidup dibesarkan dengan lagu-lagu ini tentu merasa ramah dan akrab dengan muzik yang lembut, mendayu dan tidak membingitkan telinga. Puteri tuaku tidak pernah menolak memainkannya meskipun harus menatap notasi muzik lagu berkenaan yang bukunya kami belikan khusus ketika berkunjung ke toko-toko buku muzik di luar negara. Tapi tetaplah petikan keyboard untuk lagu berkenaan bukan senandung pilihannya kerana tentunya ia ramah dengan dendangan penyanyi terkini yang seusia dengannya.

Puteri keduaku betul-betul mewarisi kecintaanku dalam mengulit buku. Baginya hampir tiada waktu tanpa membaca. Waktunya diisi dengan melapah bait demi bait kata dan bahasa demi bahasa dalam novel yang dipilihnya dan dibeli secara online atau di toko buku berdekatan. Beliau terbuka untuk pelbagai genre novel namun minatnya khusus pada siri penyiasatan, fiksi, thriller hinggalah kisah remaja dilahapnya dan ia rasa buas untuk memiliki buku baru yang semalam baru dilancarkan. Baginya, dunia akan terasa kelam tanpa buku. Membaca novel membuatnya damai dan lebih mendamaikan hatinya apabila dapat memiliki buku berkenaan dengan segera. Beliau sedari kecil sudah mengoleksi siri Naruto, Manga dan Harry Poter. Bahkan setiap kali aku outstation hal utama yang ia minta buku..buku..buku bukan baju baru. Pernah sekali aku membelinya baju baru yang fashionable sesuai usia anak muda bersekali dengan buku cerita terkini kirimannya. Ternyata dia mendahului buku daripada mencuba baju baru seperti puteriku yang lain. Aku dan ibunya mengomel, tapi tetaplah ia dengan prinsip loyalnya mencintai buku sebagai barang mahal melebihi segalanya. Bahkan, beliau sangat ulet dan teliti dalam menjaga miliknya terutama buku. Jangan ada yang meminjam tetapi tidak menepati janji mengembalikannya. Anda akan merasa malang untuk berdepan dengan reaksinya..hahaha.

Puteri ketigaku memiliki karakter yang sedikit lain. Sebelumnya, perbezaan puteri ketigaku ini sedikit jauh, sekitar 7 tahun dari kakaknya yang tua yang sekarang sudah menapaki usia 21 tahun. Puteri ketigaku penyuka dalam mengoleksi caps yang ada hiasan, bling-bling dan permainan lego. Sebelumnya, ia penyuka dan pengoleksi boneka. Beliau juga peminat tegar artis K-pop. Awal Ramadhan yang lalu puteriku bersama teman sekolahnya menanti setia ketibaan artis K-pop antaranya Jeong Jin-woon anggota kumpulan 2AM bersama dengan beberapa artis K-pop lain seperti Kim Byung Man, Do Sang Woo dan Nam Gyu Ri yang menjalani penggambaran program realiti Law of the Jungle di negara ini.  Disela-sela kesibukannya sebagai anak sekolah yang perlu berusaha keras, beliau meredam waktunya bermain sulap mata! Apakah itu merupakan satu trik atau aplikasi gajet yang memungkinkan segalanya menjadi real. Yang buat aku penasaran tentunya pertanyaan mengemuka yang datang dibenakku. Entah dari mana minat berkenaan melekat padanya pada ketika aku tertawa dan rasa tergelak melihat aksi sulap matanya yang relaks, bersahaja dan polos yang dirakam dan dipos melalui aplikasi pesan Whatsapp. Apapun, aku melihat aktiviti yang dilakukan oleh ketiga mereka sebagai satu ekspresi dan emansipasi ruang setelah berhari-hari memenuhi rutin ke sekolah dan studi, mengulang kaji, menghadiri kelas tambahan dan tentunya membuat kerja rumah.





Bagiku, anak-anak yang tidak bergelumang dengan sawah, kebun, sungai, getah, sawit, selut dan segala unsur perdesaan yang membesarkan asa dan rasa bahagia orang tua mereka dahulunya, juga berhak memiliki pengalaman dunia yang berbeza sesuai dengan peredaran masa asalkan masa senggang yang diisinya itu sesuatu yang bererti dan memiliki nilai esensial yang mendidik dan manusiawi. Aku melihatnya sebagai satu pusingan u yang jauh berbeza dengan kehidupan kami dahulunya tetapi aku memahaminya bahawa apapun karya hidup yang baik dari mereka adalah satu tindakan secara sedar sebagai anak-anak yang ingin berekspresi dan berprestasi dengan mengacu pada subjek yang dapat menghiburkan mereka. Sebagai orang tua, aku mengalu-alukan mereka berfikir kreatif bermula dengan hal-hal kecil kerana kelak mereka tentu memerlukan mental dan ilmu yang kuat ditengah-tengah keadaan ekonomi yang membadai dunia yang menyebabkan timbulnya keraguan yang tidak dijelas yang dikhuatiri berdampak sistemik sehingga boleh memberi efek pada dunia sebelah sini. Sebelum perkara itu terjadi, orang tua manapun tentu berharap anak mereka telah dibesarkan dan terasuh melalui kekuatan berfikir kreatif dan mampu membuat terobosan yang baik untuk kelangsungan. Semoga.

Sabtu, 4 Julai 2015

Reuni Yang Haru

Peluang reuni dengan teman sekolah puluhan tahun silam sesuatu yang ditunggu sekiranya kita mempunyai waktu dan kesempatan. Namun anda tentu tidak pernah menduga reuni akan terjadi di mana, bagaimana perancangan anda, nasib anda ketika itu dan perlu diingat semua perancangan ini terjadi dengan izin Allah Subhanallah Taala. Hendaknya, pertemuan dengan teman sekolah itu terjadi baik-baik sahaja sehingga rasa terpisah sejak lama itu bakal menerbitkan euforia dan energi yang positif.

Namun, nasib Arthur Booth berkata lain. Beliau reuni dengan teman sekolahnya dalam prosiding penghakiman kasus pencurian beliau lakukan di Florida, Miami. Yang membicarakan kasus beliau adalah teman sekolahnya Mindy Glazer, hakim daerah Miami. Kes ini disebut pada 30 Jun 2015 yang lalu. Arthur Booth dan Mindy Glazer adalah teman satu sekolah di Nautilus Middle School. Mindy Glazer, sang hakim yang punya nurani ini, perasan betul bahawa Arthur Booth adalah teman dekatnya semasa sekolah. Beliau tidak ragu dan merasa martabatnya jatuh untuk bertanya kepada pesalah yang didakwa kerana kasus rompakan. 


Sumber: YouTube

"Tuan Arthur saya punya pertanyaan khusus untuk anda" tanya Hakim Mindy Glazer. "Ya, Yang Arif, apa itu" balas Arthur Booth.

"Apakah anda pernah bersekolah di Nautilus Middle School" sapa Hakim Mindy Glazer. Arthur Booth pada awalnya terkesan kaget, tersenyum simpul, memegang kepalanya, memaling dan tiba-tiba menunduk serta tidak dapat menahan perasaannya ketika bertemu dengan teman sekolah dalam situasi jauh berbeza. Berkali-kali Arthur Booth mengungkapkan "Oh Tuhanku..Oh Tuhanku..sambil menangis teresak-esak". Mengharukan dan menyedihkan bertemu teman sekolah ketika kededuanya memakai pakaian yang memperlihatkan kasta sosial yang berbeza hasil daripada pilihan hidup masing-masing. Pada ketika temannya mengejar cita-cita, menatap masa depan dengan pasti dan berada di posisi terhormat kini, Arthur Booth pula menjadi pesalah yang sedang diadili. Kisah pertemuan ini menjadi sebuah dongeng nyata yang jarang berlaku tetapi memperlihatkan sisi manusiawi hakim wanita pada ketika nilai hedonis, egosentrik dan kiasu menggumuli mereka yang sukses.

Mindy Glazer berinisiatif menyebut rakam jejak Arthur Booth di sekolah dalam dewan persidangan. "Arthur adalah orang baik, saya sering bermain bola dengannya. Saya tertanya-tanya apa terjadi dengan anda, saya merasa sedih melihat anda di sini".

Saudara Booth, Melissa Miller mengatakan pamannya merasa sedih dengan pertemuan tak terduga dan sungguh menyesali jalan hidup yang dipilihnya. Hidup pamannya berubah kerana kecanduan dadah walhal beliau seorang penerima biasiswa dan atlet yang berpotensi.

Meskipun reuni Arthur Booth menyedihkan bagi dirinya, tetapi kehadiran Mindy Glazer sebagai hakim kasus berkenaan adalah satu isyarat yang diberikan oleh Tuhan Yang Maha Esa untuk beliau melakukan metamorfosis diri bagi meraih kehidupan yang lebih baik. Kita tentu berharap beliau sedar dan berjaya. Mindy Glazer mungkin satu dalam sejuta hakim kulit putih yang memiliki empati kepada Arthur Booth sebagai teman sekolah, pada ketika masalah rasisme dan perjuangan kesetaraan hidup tanpa perbezaan warna kulit masih membelenggu masyarakat kulit hitam di Barat. Pada masa yang sama, Mindy Glazer setidaknya mengantar mesej kepada dunia bahawa kerusi kehakiman terhormat bukan sekadar menghukum benar salah, tetapi jauh dari itu pesan sosial yang dilimpahkan harus bererti, sehingga memberi pelajaran berguna kepada terdakwa. Hendak pula terdakwa itu temannya, yang tentunya isyarat yang dihantar lebih menggelintar kalbu dan menyedarkannya untuk mengejar hidup yang lebih mulia.

Dari sisi lain, kisah Arthur Booth dan sang Hakim Mindy Glazer yang memiliki hati ini, juga sebagai isyarat kepada sesiapa jua agar sesi reuni yang terjadi antara kita dengan teman sekolah nanti dalam situasi yang layak dan wajar. 

Pelajaran hidup ada di mana-mana. Kitalah yang berusaha mempelajari moralnya, melihat sesuatu itu dengan positif lalu dipetik sari pesan dan kesannya. Hakikatnya, manusia boleh mengubah sejarah dirinya selagi ia bercita-cita dan berusaha untuk mengubah nasibnya.

Pesona Wajik Jawa Menandu Rasa

Cuti panjang hujung minggu aku meluangkan waktu jalan-jalan. Jalan-jalan baik untuk nutrisi minda. Cukup hanya memerhati apa yang ada dengan menoleh kiri dan kanan sambil minda terus bekerja dan sesekali membuat asosiasi dan asumsi. Hari ini perjalanan ke sempadan menjengah hingga ke daerah hijau dan damai kami, Temburong. Daerah ini dilitupi hutan hujan tropika yang menggawang tinggi, seperti sebuah gerbang alami yang menyapa dan menyambut tamu dengan keghairahan semangat serta warisannya.

Aku menyempati waktu berkunjung ke Tamu Ramadhan di Pekan Bangar, pusat yang menjadi jantung atau geliat ekonomi di daerah ini sejak lama.  Daerah ini masih asing dengan industri berat. Jauh dari kesan rantaian makanan fast food, kopitiam atau kafe modis apatah lagi untuk mencicipi aroma kopi Starbuck! Yang nyata, daerah ini terkesan jauh daripada mode kapitalis yang selalu heboh dengan "kegaduhan sosialnya". Muda mudi biasanya akrab dengan sesi memanjakan lidah dan perut mereka di kafe modis sekaligus buat relaks-relaks sambil bersembang dan menonton bola di layar tv, satu ciri khas yang selalu ada sebagai besi sembrani untuk memikat anak muda belia duduk lama-lama.

Masyarakat di daerah ini lebih akrab dengan dunia agraria baik secara kecil mahupun secara berkelompok. Oleh kerana itu, geliat ekonomi mandiri di daerah ini lebih menjuruskan kepada bahan baku agraria yang mudah didapati, diproses, diperaga dan tentunya dijual untuk kelangsungan. Satu makanan khas di daerah ini hasil produk agraria berasaskan beras ialah Wajik Jawa.

Setakir Wajik Jawa yang siap untuk dijual sama ada dibungkus
atau dimuatkan dalam bekas
Rasanya enak, lembut, manis dan sedikit gurih. Terdapat tiga pengusaha wajik Jawa yang gigih di daerah ini yang telah berkarya dan mendedikasi dirinya dalam membuat Wajik Jawa. Yang sering menjadi pilihanku ialah Wajik Jawa hasil tangan Dayang Hajah Fatimah Haji Ahmad yang selalu menghipnotis dan rasanya pas di lidah. Beliau terlibat dalam pembuatan wajik ini sejak 30 tahun silam. Bukan kecil anak pengalaman dan masa yang diraih untuk mengabdi dalam industri ini.

Siap dibungkus dan dijual $2.00 seplastik
Membuat Wajik Jawa memerlukan kegigihan dan sikap loyal yang bukan kepalang. Manakan tidak, untuk memasak dan menggaul sahaja menguras tenaga sehingga enam jam bagi menghasilkan wajik yang dapat disantap dengan enak dan nyaman di lidah. Di atas semuanya, membuat wajik dan sajian apapun termasuk pekerjaan yang kita lakukan, mestilah disertai dengan hati dan cinta. Tentu. Oleh kerana itu apabila kita menikmati makanan yang sedap dan nyaman, tentulah sajian itu dibuat dengan penuh kasih seperti mak dan orang tua kita yang selalu gigih dan teliti dengan kerja mereka. Bukankah, apa yang kita hasilkan akan memberi gambaran tentang siapa kita dan bagaimana kualiti kita dan cara kita bercakap.

Wajik Jawa yang dibuat oleh pengusaha ini sebenarnya telah menyapa dunia sejak daerah ini menjanjikan getaran ekopelancongan yang berjaya menarik masyarakat di belahan dunia datang ke daerah ini meskipun tidak serancak industri ekopelancongan seperti Bali.

Alhasil Dayang Hajah Fatimah dan sesiapa jua yang menceburi diri mereka dalam dunia usaha, bahkan daripada petani, pekebun dan nelayan, mereka juga adalah antara peribadi yang berperanan penting dalam "menghidupkan kebudayaan". Tanpa makanan, tak akan ada kehidupan, tenaga, masyarakat dan kegiatannya, dan tak akan ada kebudayaan!


Dayang Hajah Fatimah Haji Ahmad, pengusaha Wajik Jawa yang titih

Rasai Sensasi Sashimi

Pertengahan April lalu, aku ditugaskan sebagai Liason Officer bagi mengiringi Tuan Yang Terutama Encik Masagos Zulkipli, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, serta Menteri Kedua di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Singapura. Bapak Menteri berkenaan melaksanakan kunjungi rasmi dengan jadual yang padat untuk selama dua hari penuh. Bertugas sebagai LO bagi seorang Menteri apatah lagi datang dari negara semaju Singapura tentu pengalaman luar biasa. Semua kita tahu bahawa negara berkenaan begitu cekal dengan disiplin, menekankan meritokrasi bagi membentuk modal insan yang benar-benar berkualiti untuk mengekalkan daya saing negara berkenaan dalam liga ekonomi maju dunia. Untuk menjadi negara berkenaan siap siaga dalam semua aspek, bererti tak ada tempat bagi mereka yang ingin hidup sambil lewa. Bahkan semuanya diatur dengan cermat baik undang-undang, sikap dan cara mereka menghargai waktu bagi mendidik dan mendisiplinkan rakyat agar terus memandang watannya sebagai tempat hidup yang menjanjikan, selamat untuk bekerja, selamat untuk berjalan, selamat untuk berniaga dan berkarya disertai dengan jaminan sumber manusia yang selalu dahagakan prestasi dalam semua sendi-sendi kehidupan mereka.

Baik aku tidak akan mengulas panjang tentang hal berkenaan kerana semuanya telah terbukti. Anda hanya perlu menyempatkan diri melihat rupa bumi Singapura hari ini sebagai satu bukti betapa kecerdasan dan kegigihan mereka untuk menakat hasil dari pendekatan dan sistem yang telah teruji. Kesempatan menjadi LO kepada Bapak Menteri berkenaan bukan bererti aku memiliki waktu untuk bersenang-senang dan bersembang tetapi aku disibukkan dengan mencermati jadual kunjungan kerjanya ke jabatan dan kementerian yang padat termasuk kunjungan ke istana.

Hal yang menjadi perhatianku ialah apakah menu makanan tengah hari orang besar ini ketika aku berpeluang memasuki kompleks kedutaan negara berkenaan di perbukitan Subok. Sebelum itu, memasuki kompleks kedutaan ini yang di kiri dan kanannya masih mengekalkan kehijauan, landskap dan rimbunan pohon yang tertata rapi membuat aku menilai bahawa mereka adalah insan yang berselera tinggi, kemas, cermat, cerdas dan penuh bahawa percaya alam yang segar mata memandang adalah tempat bagi kehidupan dan aliran udara yang lancar bagi pernafasan serta membuatkan otak kita tenang dan mengalir apabila diperlukan untuk menuntaskan sesuatu.

Duduk bersama makan tengah hari dengan Bapak Menteri dan Bapak Pesuruhjaya Tinggi Singapura serta bersama anggota pengiring daripada Singapore Internal Security tentu membuatku sedikit canggung. Apapun mereka sangat tertib dan bersahabat. Nak tahu apa menu makan tengah hari kami? Sashimi!!!  Sesuatu yang asing bagiku yang belum pernah menjamah tetapi tidak bagi bapak-bapak berkenaan. Anak-anakku biasa dengan menu ini dan pernah ingin membawa aku mencicipinya tetapi aku menolak kerana lidahku terasuh dengan selera kampung.

Sashimi


Setelah mencicipi sashimi, aku mengatakan makanan ini sangat berkelas dan high profile meskipun aku tiada pengalaman mencicipinya sebelumnya.  Aku berjaya menghabiskannya. Luar biasa...hahaha. Aku tidak menghabiskannya kerana terpaksa atau semata-mata untuk mengambil hati, tetapi memakannya saat pertama kali mencicip membuatku ingin mencermati mengunyah salmon berkenaan  agar sensasi rasanya sentiasa menggelora. Dan itulah yang aku rasakan. Benar saja dan aku ternyata naif tentang sashimi sebelum ini. Sungguh kasihan dan haru..hahaha.

Setelah selesai dan sementara menunggu masa untuk bergerak, aku meredam waktu dengan berlegar di ruang kompleks hunian duta untuk menikmati sekitaran pemandangan yang hijau dan indah itu. Ternyata sashimi diet yang berprotein tadi membuat rasa kenyangku yang luar biasa relaks dan aman di perut dan jiwa berbanding jika menjamu menu bersantan dan gorengan yang membuatku rasa malas, lesu, terkadang panas dan mengantuk. Sashimi jauh membuatku daripada mengantuk, sebaliknya aku rasa amat bertenaga, bersemangat dan tenang. Dikatakan kandungan lemak Omega 3 dalam daging ikan salmon telah menjadikan makanan tersebut sebagai diet pilihan bagi olahragawan. Omega 3 dalam salmon dapat melindungi selaput otak dari peradangan dan mencerdaskan otak terutama pada usia produktif anak-anak. 

Tidak menghairankan bahawa diet penuh gizi ini membuat warga di negara berkenaan berkualiti, bernilai dan cerdas dalam banyak perkara. Pelajaran yang kudapat ialah untuk menjadikan diri kita berkualiti, kita perlu cerewet dalam hal sekecil apapun apatah lagi tentang diet yang menyumbang sesuatu bererti buat anda memperoleh bertenaga, amunisi, cerdas berfikir, berprestasi, berdaya saing dan hidup jaya seperti masyarakat di liga ekonomi dunia maju.

Nah, makanan sihat dan bergizi adalah cara selamat untuk anda menghargai NIKMAT HIDUP yang diberikan oleh Allah Subhanallah Taala untuk anda terus bekerja, bekerja dan berkarya.

Rabu, 24 Jun 2015

Ex-STAD 86/87 menjemput kenangan, mempererat silaturahim dan membangun asa

Dua puluh sembilan tahun yang lalu kami disatukan di sebuah graha yang dinamakan sekolah. Ya, graha itu Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah (STAD), Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan. STAD terletak di pinggiran bandar Seremban. Sikamat sejarahnya merupakan jantung yang amat sinonim dengan batalion tentera dan kawasan ini sering disebut sebagai Sikamat Kem. Apapun, lokasi STAD sebenarnya berada di posisi strategis pusat ilmu, kerana dipermukimannya tidak sahaja di huni oleh ketumbukan tentera tetapi juga menjamur sekolah-sekolah dengan kebesaran namanya. Siapa tak kenal Sekolah Menengah Dato Abdul Razak (SDAR), Kolej Tunku Kursiah (KTK), dan Sekolah Agama Sheikh Ahmad yang acap kali menoreh keputusan terbaik dalam peperiksaan penting nasional dan diberi perhatian pemimpin serta media arus perdana. STAD juga berada kurang lebih tiga pelaung dengan Institut Perguruan Raja Melewar yang memahat sejarah panjang dalam melahirkan graduan guru pelatih saban tahun.

Sumber: Google Images
Dua puluh sembilan tahun lalu STAD antara beberapa buah sekolah yang pada zamannya dihuni oleh anak-anak yang berjaya dalam pendidikan dan sukan. Antara sukan yang terkenal pada zaman kami tentulah bola sepak, ragbi, hoki, bola jaring dan olah raga. Ada antara disiplin sukan ini yang telah menghantar pelajar STAD sebagai pelatih sukan bagi mewakili negeri dalam kejohanan penting seperti Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). Kebanyakan yang menonjol dalam kegiatan sukan ini adalah pelajar lelaki. Yang membuat asa pelajar lelaki STAD tak lain kerana kami berjiran dengan SDAR sekolah berasrama penuh yang dihuni oleh pelajar lelaki yang cemerlang dan datang daripada pelbagai pelosok negeri di Malaysia dan bersekolah di situ. 

Dua puluh sembilan tahun dulu, jangan tak tahu STAD menjadi tempat bagi artis popular menuntut ilmu, antaranya Erma Fatima dan Sharifah Shahirah. Mereka bersekolah selang beberapa tahun kami dari sekolah yang berbeza di daerah di Negeri Sembilan, Selangor dan pelajar sejauh Sabah dan Sarawak bergabung di STAD untuk menyambung pendidikan di Tingkatan 6 bawah dan atas pada tahun 1986/87.

***

Dua puluh sembilan tahun kini, kami ditemukan kembali melalui aplikasi pesan hasil racikan Jan Koum dan Brian Acton, tak lain tak bukan Whatsapp (WA). Semua itu bermula dengan penjejakan teman lama melalui media sosial seperti e-mel, blog dan Facebook. WA menjadi ruang sosial yang superaktif kini apabila masing-masing pada ketika kedewasaan memungkinkan segalanya untuk kami bersirah, berkisah, berkongsi, bersenda gurau, berbagi gambar kenangan dan terkini dan sesekali disertai misi serius untuk berusaha membangun ekonomi mandiri melalui usaha. Pertemanan yang disatukan kembali ini sebenarnya merunut dan menggamit memori, memangkas kerinduan dan mendekatkan jarak. Bualnya mengalir. Ketawanya lepas meski hanya diwakili ikon-ikon aplikasi pesan. Aplikasi pesan ini menyambung tali silaturahim yang terpisah dengan ikatan persahabatan terus diperkuat, pengharapan ditanam bersama, lalu kami saling mendoa untuk hidup yang lebih baik.

Sebahagian pelajar kelas 6 Atas Sas 4
Bersama rakan sekelas Adnan Nordin
Kunjungan perpisahan kami buat Cikgu Megat Redzuan,
Penolong Pengetua STAD

Kemesraan ini janganlah cepat berlalu
Tuan Nazir dengan pacuan 4WD bagi
menjayakan misi bantuan ke Kelantan
Dua puluh sembilan tahun kini, waktu telah berkembang dengan dinamismenya, kami berkembang dengan kematangan dan kedewasaan. Kedewasaan itu menjemput usia yang kini di penghujung empat dekad yang berjalan begitu pantas seiring dengan pergantian tahun. Kami berbagi cerita dan bertanya khabar. Kami berkongsi nostalgia. Hakikatnya, dahulu kami datang daripada latar sosial yang berbeza, lalu berhimpun di kawah pengetahuan STAD pada dua puluh sembilan tahun silam. Di situ kami saling mengenal, membaur dan bersama
Berdiri dari kanan ke kiri:  Norliza Darun Nafis, Aliza Ali, Norien,
 Rapi dan Marliza
menjalani hidup sebagai anak sekolah yang dalamnya ada tawa, resah, gemuruh, marah, gembira, disapa hati yang berbunga kerana ada kuntum yang menyambut salam, dan menjemput romansa terdalam di hati kami menggebu sehingga gelora sukacitanya memenuhi raga. Untungnya pesan-pesan romansa itu diterima melalui surat bukan aplikasi pesan seperti hari ini. Rupanya anak-anak sekolah zaman kami dan sebelum kedatangan era media sosial dan aplikasi pesan, ternyata lebih kritis dalam menyusun kata  dan bahasa kerana mereka benar-benar mengabdi dan menguasai dunia baca tulis dan kepengarangan dalam rentang atmosfera yang menggebu ketika itu bagi meramu kata dan bahasa untuk menggambar seperti apa suasana hati dan sukacitanya kami..dia. Semua ini adalah gejolak rasa yang sesekali menyapa raga kami sebagai anak-anak sekolah yang sedang melalui proses peremajaan. Kami tetaplah anak muda yang ceria dan penuh semangat yang memiliki karakter yang berbeza namun tak pernah lupa keutamaan kami sebagai pelajar di perbatasan genting untuk menyambung cita-cita ke jenjang pendidikan tinggi. Kami ingin melakukan hal-hal baik yang tidak menjengkelkan orang tua kami, institusi tempat kami menuntut ilmu dan para guru kami yang tak kenal lelah dalam menurunkan ilmunya. Sering kali pula kami resah seperti ada rasa tak siap menghadapi peperiksaan tapi kami diinspirasi oleh teman yang prihatin dan selalu hangat dengan motivasi dan nasihat untuk bersama maju. Tapi tetaplah rasa berdebar bertebaran di mana-mana. Hal positif ketika kami berbentur pendapat dengan argumentasi dan rasional masing-masing. Mengapa? Ini kerana sebagai manusia yang bernafas dan bergerak, kita tidak akan pernah berhenti belajar kerana di dalam setiap tarikan nafas selalu ada hal baru yang boleh kita serap dan berbagi dengan cara pandang yang berbeza. Saat indah apabila kami turun makan bersama dan duduk meramu bersama di meja sambil menyantap makanan yang terbilang enak dan terbaik buat kami anak-anak sekolah pada zamannya. Ketika jenuh menyergap di hati dan rasa, kami memilih makanan terbaik kami yang tersimpan kemas di gubuk masing-masing...maggi. Ya, maggi sajian sensasi yang paling bergengsi, dan ummphhh yang kami miliki. Makanan sensasi ini tetaplah mengorbitkan kami sebagai manusia seteguh batu karang untuk berjuang dan menggapai mimpi. Kami berjuang dan bersama meminum sari ilmu buat bekal, dan kembali ke tanah tempat kami dibesarkan dengan penuh cinta, cita dan tekad untuk menjadi kumpulan masyarakat yang bercita-cita untuk hidup jaya. Tahu-tahu ada teman yang berkelana sejauh Inggeris Raya sejak 10 tahun silam, negara Queen yang metropolis, eksis dengan sungai pengetahuan, dihembus angin dan kabut salji, sementara aku pula kembali di watan tempat aku dilahirkan pada 27 tahun silam setelah panggilan pulang itu tiba menggamit. Pada akhirnya hidup adalah perkara memilih daripada berbagai pilihan yang terpapar di depan mata dan pilihan itu haruslah menjanjikan yang terbaik untuk menakat. Kini, teman-temanku ada diwatan ia dilahirkan untuk berbakti dalam dunia pendidikan, ada yang menggeluti dunia usaha dan penjawat awam sambil mengusahakan ekonomi mandiri. Mendengarkan mereka berbisnes, amat mengujakan. Bagiku dan bagi mereka, dunia hanya boleh dicapai oleh orang-orang yang memiliki kepercayaan diri dan yakin dengan kemampuan dirinya. Semua itu berkat daripada kedisiplinan, kepekaan hati dan ketajaman perasaan yang merupakan embrio yang terpantul daripada kehidupan yang keras dan penuh disiplin daripada orang tua kami yang banyak berjasa. 

Dua puluh sembilan tahun kini, kami berkaca bahawa pertemanan kembali ini mengingatkan kita tanpa perpisahan kita tak akan pernah memaknai pertemuan.

Isnin, 22 Jun 2015

Meritokrasi menjanjikan hal yang positif

Beberapa hari yang lalu anak buah tempatku bekerja datang untuk memintaku menandatangani urusan kerja. Beliau datang dengan matlamat ganda iaitu selain meminta menyelesai tugas administrasi, tentunya untuk bincang-bincang isu nasional yang beliau ikut prihatin dan membuatnya merasa terpanggil. Yang diprihatinkan ialah meredumnya atlit sukan negara dalam kancah Sukan SEA, Sukan Asia dan dalam sukan antarabangsa lain. Sedang kita masih dijejak lama, jiran kita mengorak langkah mencipta kejayaan demi kejayaan dan torehan prestasi antarabangsa mereka dalam sukan ternama dunia. Di mana kita? Dan bagaimana kita memandang ketidakberhasilan ini sebagai sebuah pelajaran penting kepada citra, kualiti dan pembentukan kita sebagai satu unit besar secara keseluruhan. 

Sukan dan kehidupan lain sekali pun, ia menyangkut bagaimana cara kita bersikap, bagaimana etos kerja kita dan seberapa disiplin kita mahu maju dan jaya. Pokoknya "tak ada keuntungan tanpa rasa sakit" dan tentunya anda perlu menderita untuk sukses.

Aku berpendapat sebuah kejayaan terhasil daripada sebuah siklus kehidupan yang tegar dengan disiplin begitu jua sebuah kegagalan terhasil daripada siklus kehidupan yang sebaliknya. Ini sebuah argumentasi nyata hasil daripada pengalaman hidup dan pemerhatian sekeliling. Pendek kata menjadikan manusia sebagai sebuah aset kepada keluarga, bangsa dan negara itu harus bermula sejak dini. Diberi disiplin, "latih tubi", bagaimana berfikir kritis, memiliki sifat curiosity (rasa ingin tahu yang tinggi) dan dibekal pendidikan yang cemerlang yang berterusan sejak dini, atau sejak dari sekolah dasar. Dan ia tidak bergantung kepada sekolah semata-mata bahkan institusi keluarga dan masyarakat juga berperanan, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Bukan untuk menyukarkan hidup anak kita tetapi untuk melatih mereka memiliki asa yang tinggi dan memandang hari depan dengan yakin, berani serta dapat mengolah masalah dan cabaran sebagai satu cara merintis peluang atau menjadi perintis untuk berada selangkah ke hadapan daripada mereka yang lain untuk menakat dan kekal relevan dengan persekitaran dunia yang berubah. Anak-anak yang terdidik dengan sistem pendidikan yang "keras" dalam erti kata untuk mendidik dan menyerlahkan potensi mereka apabila dewasa kelak mereka akan masuk dalam kumpulan masyarakat nukleus yang bernilai dan sentiasa dahaga dan selalu ingin berprestasi serta menghindarkan membuat hal yang biasa-biasa atau hal rutin yang selalu dibuat orang. Mereka sebaliknya akan memberi nilai tambah dengan kecerdasan dan kejelian yang mereka miliki dalam melihat sesuatu. Percayalah mereka tidak akan melukut, berharap, menagih sesuatu yang ia rasa seolah-olah ia berhak miliki tanpa perlu bersaing dan meminta-minta kerana percaya sikap seperti ini akan merosak citra diri sendiri, komponen dan bangsanya.

Ertinya, mereka yang terdidik dengan sistem yang keras dan yang menekan meritokrasi iaitu pencapaian dan keberhasilan berdasarkan merit yang ketat, akan menjadi benih yang baik dan dihanyut kemana-mana akan menjadi pulau, begitu pepatah berkata. Sebaliknya mereka yang lemah dan tertinggal perlu berjuang untuk meningkat daya saing mereka demi penyetaraan hidup dan mendapat tempat yang baik kelak. Maknanya, semua sisi masyarakat perlu berjuang untuk hidup dan dididik keras untuk meningkat kepekaan mereka. Sistem meritokrasi memberi pelajaran penting kepada kita bagaimana membunuh sifat malas dan sifat sambil lewa yang merugikan. Impak besar yang terhasil daripada pendidikan yang menekankan meritokrasi ini ialah negara dapat menghasilkan sumber manusia yang berkualiti, berdisiplin, cerdas dan mumpuni serta memiliki kebolehpasaran yang baik dalam dunia pekerjaan. Mereka ini tentunya memiliki kreativiti tinggi, daya inovasi, pragmatis dan dinamis dalam mencipta ekonomi baru yang sifatnya berdaya tahan.

Dalam hubungan ini, sekolah harus menjadi instrumen penting dalam menumbuhkan budaya positif dan kondusif bagi membentuk pemikiran dan sikap pelajar. Mereka dididik untuk jadi pandai dengan cara sihat dan betul. Jika ada anak yang lamban, mereka perlu dipandu bukan disuap. Di rumah, institusi keluarga perlu mendidik anak-anak mereka untuk berdikari dan memberi kontribusi dalam hal yang dimampui secara bertahap agar kelak mereka tahu apa ertinya menghargai diri sendiri dan menghargai orang-orang di sekitarnya. Institusi keluarga yang terlalu "protektif" bahkan menyediakan segala sesuatunya tanpa mendidik anak mereka berusaha, mendidik anak mereka menghafal tanpa merumuskan formula atau pendekatan pembelajaran yang baik, sebenarnya akan merosakkan sikap dan perilaku pemikiran mereka dalam jangka panjang. Mereka berharap anak mereka berjaya tapi dengan cara yang tidak sihat. Institusi keluarga melakukan kesalahan besar kerana anak-anak ini nanti tidak mampu berfikir, berusaha dan merancang apabila mereka bekerja. Majikan yang mengambil mereka pula telah diperdaya dengan keputusan cemerlang yang mereka miliki itu yang sebenarnya adalah hasil daripada menghafal bukan berfikir atau membuat terobosan terhadap sesuatu.

Nah, sistem pendidikan negara harus menekankan meritokrasi untuk menghasilkan sumber manusia yang berkualiti. Sedari awal, anak-anak perlu dilatih untuk berfikir, dipupuk sifat ingin tahu yang tinggi, dan suka bertanya. Mereka perlu dilatih untuk MEMBACA, MEMBACA dan MEMBACA buku dan mengongsikan dapatan mereka kepada rakan sebaya. Dengan membaca mereka mengetahui sesuatu paling tidak kata dan tatabahasa dalam akaun minda mereka. Masyarakat pula perlu bersatu padu memberi contoh yang baik sebagai pelajaran penting kepada anak-anak ini untuk mereka melihat bahawa masih ada nilai dan kesegaran yang membuat mereka sentiasa bertenaga untuk hidup dan menakat.

Persekitaran pendidikan kondusif dan dinamik serta didukung oleh institusi keluarga dan masyarakat akan memberi pengaruh besar dalam pembentukan perilaku anak-anak. Anak-anak yang dilahir daripada produk pendidikan yang baik akan berkembang dalam bidang yang mereka ceburi dan seterusnya dapat memberi perubahan besar kepada sistem bekerja dalam bidang seperti perkhidmatan awam, swasta, pogram-program kerajaan, NGO dan sukan. Mereka terdidik menghormati waktu, mengoptimalkan masa, menghormati kerja secara berpasukan, bahu membahu dan saling menghargai. Percayalah, kekuatan daripada sebuah tim yang memiliki energi dan spirit yang positif, akan menghasilkan gelombang kejayaan dalam bidang apapun, dan ini tidak terkecuali dalam bidang sukan seperti yang ditanyakan oleh anak buahku tadi. Kekalahan atau mendapat tempat kedua buat mereka merasa sebal dan duka, serta kembali merenung mengapa demikian kenapa tidak begini. Tanda aras mereka adalah yang pertama, dan mereka bekerja keras untuk mencapainya.

Singkat kata kita perlu melihat jauh ke hadapan dalam perancangan kependudukan dan memastikan hanya ledakan penduduk yang berkualiti sahaja dihasilkan. Galakan ibu bapa terpelajar membina keluarga dalam usia yang produktif dan memiliki anak lebih dari dua orang. Negara melakukan langkah yang betul dan memilih jalan yang tepat untuk melahirkan sumber manusia yang cemerlang melalui sistem pendidikannya yang "keras" dan ini tentu baik bagi menyediakan insan cemerlang dalam semua aspek serta pada masa yang sama negara memperoleh impak positif bagi menghindarkan beban berpanjangan dalam menyediakan bantuan dan kebajikan.

Salam damai dan semoga makin jaya

Sabtu, 20 Jun 2015

Dayang Bungsu dan Ntarigi buah tangan Ay Ling

Tiga minggu yang lalu aku didatangi seorang pelajar yang telah menamatkan tempoh penempatannya. Ay Ling Dr. Pudarno, begitu namanya disebut. Seorang anak muda perempuan yang tidak banyak bicara, tertib, bercita-cita dan fokus untuk meraih ilmu apabila diberi kesempatan. Kelebihannya ialah minat mendalamnya dalam industri kreatif terutama dalam melukis. Kontribusi pertamanya semasa Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca 2015 apabila diberi peluang untuk mengembangkan bakat dalam face art.

Ay Ling Dr. Pudarno datang ke mejaku untuk menyerahkan surat apresiasi kepada jabatan yang telah memberinya peluang selama empat bulan untuknya meraih pengalaman dan pengetahuan dalam bidang yang ia cintai, tentunya melukis. Kesempatan belajar turut beliau gunakan untuk mendalami atur huruf dan reka letak buku. Ternyata bukan surat apresiasi sahaja yang diserahkan tetapi sebuah manuskrip! Ya, manuskrip cerita rakyat yang diadaptasi daripada sebuah buku tuturan yang telah dikompilasikan oleh Haji Muhammad Hatta dan Anita Awanis Setia, cerita yang dicerap daripada kontinum puak masyarakat tempat beliau dibesarkan. Cerita rakyat itu tentunya sebuah pengalaman dunia yang beliau peroleh daripada ekosistem sosial yang memberinya pelajaran penting tentang erti penakatan tradisi lisan, budaya dan kepercayaan sesuatu masyarakat yang perlu dipelihara dan dilestarikan. Bukankah cerita rakyat adalah sebuah prasasti sosial? Oleh kerana itu, kearifan tempatan ini wajar dibukukan sebagai wasilah kepada masyarakat luar agar tahu seperti apa kearifan tempatan yang mereka miliki. Dan ingatlah bahawa kearifan tempatan juga membantu memperkaya bahasa ibunda kerana terdapat konsep-konsep tertentu dalam masyarakat itu yang diketengahkan.

*****

Di tengah belantara kuat sistem pemikiran, falsafah dan kepercayaan yang semakin utuh dengan pegangan kuat kepada religi yang mengambil tempat dalam seluruh sendi-sendi kehidupan baik dalam sistem sosial, ekonomi mahupun politik, ada sisi budaya yang melempem dan perlahan hilang ditelan masa. Nilai tradisi atau kearifan tempatan sesuatu masyarakat itu beransur tenggelam kerana ia dilihat bertentangan dan sulit beradaptasi. Ini tidak terkecuali dengan tradisi lisan yang tercerna hasil daripada reproduksi sosial sesebuah masyarakat dengan lingkungan persekitarannya disertai dengan kepercayaan masyarakat tersebut terhadap sesuatu kejadian. Sesetengah tradisi lisan yang mengakar akan memerikan bagaimana sebuah kesatuan masyarakat yang berbeza dalam sebuah permukiman tempat mitos peristiwa itu berlaku berkongsi getaran dan denyut nadi yang sama yang kemudiannya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Ahli antropologi Benedict Anderson menyebutnya sebagai rasa bersama yang menautkan berbagai kelompok menjadi sebuah kesatuan.

Hakikatnya, terdapat ruang bagi tradisi lisan sebuah masyarakat itu mendapat tempatnya. Mari kita lihat nilai positifnya. Bahawa tradisi lisan menjadi pintu masuk dalam kita memahami budaya, cara fikir, pengalaman dunia dan karakter sesuatu masyarakat adalah sesuatu yang mungkin. Bahawa semua budaya memiliki dahan berpijak dan hikmah sendiri-sendiri. Dengannya kita belajar bagaimana menghargai dan kita belajar bagaimana menghormati ruang sosial mereka. Tidak tepat melihat sesuatu budaya dengan berkaca kepada budaya lain. Jika ini menjadi dasar atau pegangan kita, akan runtuhlah sebuah peradaban! Sesuatu yang membuat gusar para ahli sosiologi dan etnografi sejak lama. Terlepas dari semua hal yang diperkatakan, tradisi lisan ialah cara bagaimana masyarakat itu memahami kejadian, roman "sejarah", historikal penamaan dan warisan bahkan kutipan peristiwa yang dinarasikan merupakan cara sesuatu masyarakat itu "melahap dan mengorbit" kisah daripada sebuah peristiwa untuk memberi pesan moral tentang pentingnya memperkuatkan solidariti, persatuan, memiliki hati yang membumi, sebuah pengakuan dan rasa eksis daripada sebuah komuniti dan bahasa, bagaimana menghargai sesuatu serta ia merupakan satu sisi hangat dari sesebuah masyarakat. Dan Ntarigi manuskrip sulung karya Ay Ling adalah bahagian daripada reproduksi sosial yang harus mendapat tempatnya.

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...