Selasa, 8 Januari 2013

Jejak Kesultanan di Borneo

Majlis Pelancaran di Rizqun Hotel

Flag off
 Jejak Kesultanan Brunei di Borneo yang dilancarkan pada 1 Jun 2006 tiba ke destinasi pertama iaitu wilayah Sanggau, yang terletak di Kalimantan Barat. Sebelum sampai ke destinasi yang dituju iaitu di wilayah Sanggau, eksplorasi Jejak Kesultanan Brunei melewati jalan darat melalui Miri – Sibu – Serian – Tebedu dan Entikong. Rombongan eksplorasi sebelumnya singgah di Miri – Niah - Sibu dan Betong di Saratok untuk mengalas perut dan meregangkan otot setelah seharian menghabiskan masa perjalanan yang panjang. Perjalanan mengambil masa yang panjang melewati lebih daripada 1000 KM sehingga sebahagian daripada 14 buah kenderaan pacuan empat roda yang menyertai konvoi eksplorasi mengalami kerosakan. Meskipun ada kenderaan tersebut diperbaiki oleh seorang mekanik yang turut serta, namun sebuah kenderaan lagi terpaksa ditarik ke Kalimantan Barat khususnya di perbatasan Tebedu dan Entikong agar tidak terlewat tiba di perbatasan yang ditutup pada pukul 6 petang. Ini bertujuan untuk memastikan rombongan eksplorasi sampai ke tempat yang dituju iaitu di Sanggau dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Mujurlah semua kenderaan pacuan empat roda mempunyai kemudahan perhubungan cepat melalui komunikasi radio. Dalam eksplorasi yang melibat kumpulan kenderaan yang bergerak secara konvoi apatah lagi membabitkan perjalanan jauh, kemudahan peralatan komunikasi radio sangat efektif bagi mengatur, merancang dan mengekalkan momentum perjalanan, mengelak anggota eksplorasi daripada tersesat, memaklumkan masalah kenderaan kepada rakan yang lain dan memaklumkan beberapa perkara lain yang di luar jangkaan sebagai persediaan kepada anggota konvoi yang mengikuti dari belakang. Meskipun anggota rombongan merasai kepenatan kerana terlalu lama berada dalam kenderaan yang padat dengan pakaian dan bekalan makanan sebagai persediaan di lapangan dan seumpamanya, namun sepanjang perjalanan tersebut para peserta disulami dengan gurau senda, segmen menguji minda, menyatakan pendapat dan sebagainya yang dihubungkan melalui komunikasi radio yang boleh didengar oleh para penumpang lain. Ini bertujuan untuk mengelakkan rasa mengantuk sehingga boleh mengundang bahaya dalam kalangan pemandu dan peserta eksplorasi. Semua masalah yang dihadapi sepanjang perjalanan seperti kerosakan kenderaan dapat diselesaikan dengan semangat kerjasama berpasukan yang tinggi khususnya di kalangan anggota Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam yang sudah terbiasa dengan perjalanan lasak yang menguji ketahanan mental, fizikal dan emosi bagi memastikan misi Jejak Kesultanan Brunei di Borneo mencapai matlamatnya. Eksplorasi Jejak Kesultanan tiba di perbatasan Tebedu dan Entikong dan disambut oleh dua orang kerabat Keraton Sanggau yang diwakili oleh Haji Zahri, (seorang sejarawan) dan Abang Adi Subrata yang dikhabarkan telah menunggu anggota rombongan  eksplorasi sejak pagi lagi. Setelah semua urusan pengesahan imigresen dan pengisytiharan kenderaan di Kastam Entikong, anggota eksplorasi menerusi perjalanan ke Sanggau. Rombongan eksplorasi turut diiringi oleh pihak keselamatan Indonesia sepanjang perjalanan menuju ke Sanggau. Cabaran pertama dilalui sepanjang perjalanan ke Sanggau ialah keadaan jalan yang berlopak dan berliku. Jalan menuju ke Sanggau kebanyakannya tidak beraspal. Namun, semua masalah yang dihadapi tidak melunturkan semangat semua anggota ekplorasi. Di pertengahan jalan sekitar 1 KM menuju simpang masuk ke Keraton Surya Negara, anggota rombongan  diiringi pula oleh kumpulan bermotosikal penduduk Sanggau. Setibanya di Keraton Surya Negara, suasana mula kelihatan meriah dengan kehadiran warga dan masyarakat Sanggau untuk turut sama menyertai kerabat keraton mengalu-alukan kehadiran anggota eksplorasi. Anggota eksplorasi disambut dengan penuh adat istiadat Melayu seperti paluan kompang, diiringi oleh para punggawa (hulubalang istana) yang memegang lembing sambil berjalan menuju ke pekarangan keraton. Tarian Zapin turut dipersembahkan. Anggota eksplorasi disambut dengan taburan bunga rampai. Ramai warga kerabat Keraton Sanggau dan para penduduk sekitar menunggu dengan setia dan tidak berganjak sejak siang lagi, kerana rombongan eksplorasi telah diuar-uarkan tiba sekitar jam 4 petang. Namun oleh kerana beberapa masalah teknikal yang dialami, rombongan eksplorasi terlewat tiba dari jadual asal.  Apapun kegembiraan bukan sahaja tergambar di kalangan warga Sanggau malah juga anggota rombongan eksplorasi atas sambutan  mesra, meriah dan penuh dengan istiadat Melayu. Setelah menikmati hidangan, sesi sambutan daripada kerabat Keraton Surya Negara dimulakan dengan kata alu-aluan daripada Drs. Gusti Arman.
Pekarangan Istana Sambas
Majlis tersebut diselajurkan dengan pengkisahan semula oleh sejarawan Sanggau mengenai hubungan lampau Kesultanan Sanggau dengan Kesultanan Brunei. Menurut kerabat Keraton Sanggau, satu ketika dahulu Sanggau adalah sebuah kerajaan Melayu yang mempunyai hubungan dengan Kesultanan Brunei. Kerabat keraton Sanggau juga memperlihatkan obor-obor dan surat perakuan daripada Kesultanan Brunei yang mengiktiraf Kesultanan Sanggau. Surat perakuan tersebut telah ditransliterasi oleh sejarawan Sanggau. Beberapa barang peninggalan sejarah lain seperti pakaian kerajaan, bendera, gong dan keris yang mempunyai nilai sejarah tersendiri dipulihara dengan baik. Keraton Surya Negara juga mempunyai beberapa sejarawan dan penyelidik yang bertanggungjawab menggumpul dan merakam sejarah lampau Kerajaan Sanggau dan hubungannya dengan Kerajaan Melayu di Nusantara sebagai ristaan dan kajian para penyelidik luar. Keraton Surya Negara terletak di pinggir Sungai Kapuas iaitu sungai terpanjang dan terpenting pada zaman kerajaan Melayu silam khususnya Kerajaan Sanggau sendiri. Sungai Kapuas menghubungkan Kapuas hulu dan Pontianak. Kunjungan yang  sungguh bermakna itu berakhir sekitar jam 12:15 malam dengan ucapan terima kasih daripada ketua rombongan eksplorasi dan seterusnya pertukaran cenderamata. Anggota eksplorasi kemudian bertolak ke Singkawang yang mengambil masa sekitar tujuh jam. 
Di Anjung Istana Qadriyah

Temu bual bahasa bersama Raden Farid Mohsen
 Rombongan eksplorasi Jejak Kesultanan tiba di Singkawang pada pukul 9 pagi setelah melalui perjalanan malam yang panjang. Anggota eksplorasi berehat seketika di Hotel Mahkota Singkawang. Sekitar pukul 2 petang, rombongan eksplorasi melawat  Istana Sambas yang mengambil masa perjalanan satu jam setengah daripada Singkawang. Menurut HM Fahadi BZ (Ketua Majlis Adat Budaya Melayu, Kota Singkawang) yang turut serta dalam eksplorasi ini; di Sambas, istana juga disebut keraton, tetapi pada kebiasaannya keraton digunakan oleh masyarakat Jawa ketika Sambas berkedudukan di kota lama yang terletak di wilayah Kacamatan Teluk Keramat, lebih kurang 60 KM dari Kota Sambas sekarang)  Istana Sambas sebagai kelanjutan daripada Kerajaan Majapahit di bawah pemerintahan Ratu Sepudak. Ratu Sepudak merupakan turunan daripada Kerajaan Majapahit. Terdapat pelbagai peninggalan sejarah yang mempunyai pengertian tersendiri di Istana Sambas, termasuklah makam-makam bersejarah seperti makam Raden Sulaiman, salah seorang putera Sultan Tengah. Tambah HM Fahadi BZ, Sambas ketika itu sudah terdapat sebuah kerajaan yang berasal dari Majapahit yang diperintah oleh Ratu Sepudak. Raden Sulaiman dikahwinkan dengan Puteri Ratu Sepudak. Setelah Ratu Sepudak meninggal terjadilah perselisihan antara Raden Sulaiman dengan menantu Ratu Sepudak yang lain (perselisihan disebabkan perbedaan agama).  Raden Sulaiman berpindah dari Kota Lama ke Kota Bandir kemudian ke Lubuk Mandung lalu bertapak di Kampung Asam, Muara Ulakan (di persimpangan tiga, Sungai Sambas kecil Teberau iaitu tempat kedudukan Istana Sambas sekarang). Pada saat itulah terjadi hubungan Kerajaan Sambas dengan Kesultanan Brunei. Anak Raden Sulaiman bernama Raden Bima ketika dewasa telah berkunjung ke Negeri Brunei untuk menemui leluhurnya. Dikatakan Raden Bima diperintahkan untuk pergi belajar ke Brunei sebagai lanjutan dari utusan Sukadana dulu untuk mengunjungi leluhur keluarga baginda (Sultan Tengah). Dikatakan Raden Bima disambut dan dibesarkan menurut adat kebesaran raja-raja lalu dinobatkan sebagai Sultan Sambas dengan gelaran Sultan Mohamad Tadjoedin. Sewaktu baginda berangkat pulang ke Sambas, baginda telah dianugerahkan alat kebesaran kerajaan berupa payung keemasan, payung obor-obor, tombak, keris dan beberapa peralatan bunyian diraja seperti nafiri.

Barisan Pacuan 4R
Suatu yang menarik perhatian penulis ialah kedudukan istana dan keraton di sini sejauh yang dijejaki setakat ini terletak di laluan air. Berdasarkan sejarah, kebanyakan kerajaan Melayu silam terletak di jajaran laluan air. Laluan air seperti sungai dan laut sangat penting bagi kerajaan Melayu silam khususnya dari aspek maritim, perhubungan, pertahanan dan perdagangan. Pada sebelah malam, anggota rombongan telah diraikan oleh Walikota Singkawang Drs. Haji Awang Ishak M.Si dan isteri. Dalam kata sambutan beliau, selain mengucapkan selamat datang ke Kota Singkawang, beliau juga berharap agar perhubungan antara Brunei dan Kota Singkawang berlanjutan pada masa-masa yang akan datang baik dalam hubungan silaraturrahim mahupun hubngan lain.u Majlis tersebut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada Walikota sendiri dan isteri termasuk pimpinan pemerintahan yang berpusat di Kota Singkawang. Rombongan eksplorasi juga turut diundang menyanyi untuk menyerikan lagi majlis berkenaan. Diakhir majlis, kedua-dua pihak saling bertukar cenderamata kenangan. 
Rehat meregang otot di ketika hari menjengah pagi
 Kemudian rombongan eksplorasi melanjutkan perjalanan ke Kota Mempawah yang mengambil masa sekitar dua jam perjalanan. Mempawah merupakan ibu kota Kabupaten Pontianak. Rombongan tiba di Istana Amantubillah, Kota Mempawah sekitar jam 1.30 petang dan disambut oleh Pengiran Ratu Dr. Mardan Adijaya turunan terakhir daripada Raja Mempawah iaitu generasi anak Raden Sulaiman (Raja Sambas – keturunan Sultan Tengah) yang telah berkahwin dengan anak Raja Mempawah. Melalui perkahwinan ini, terjadilah hubungan antara Brunei dengan Mempawah. Di Istana Mempawah, terdapat pelbagai peninggalan sejarah seperti meriam, gong, bendera, keris dan lain-lain. Pada hari yang sama, rombongan eksplorasi meneruskan perjalanan ke Kota Pontianak sekitar 70 KM dari Mempawah. Sepanjang perjalanan ke Pontianak, anggota rombongan ekplorasi melalui perjalanan yang mencabar  kerana lalu lintas yang padat dengan pengguna jalan raya lain terutamanya motosikal. Situasi ini sungguh berbeza dengan keadaan lalu lintas di Sanggau dan Singkawang. Di Kota Pontianak, jumlah penduduknya padat. Motosikal merupakan alat pengangkutan utama warga Pontianak selain kereta. Namun perjalanan ini sangat menyenangkan dengan adanya bantuan polis dan unit kawalan lalu lintas sehingga anggota eksplorasi tidak merasai kepenatan, tambahan pula pelbagai pemandangan menarik di sepanjang perjalanan. Antara pemandangan tersebut ialah hamparan padi menghijau, kelapa, limau manis (disebut jeruk) sepanjang jalan menuju ke Kota Pontianak. Warga Pontianak juga melambai tangan kepada anggota rombongan. Sejak dari awal lagi, anggota rombongan telah menerima lambaian penduduk Kalimantan Barat sepanjang jalan yang dilalui. Ini menunjukkan betapa gembira masyarakat Kalimantan Barat mengalu-alukan para tetamu.
Antara beberapa jambatan bailey yg mencabar

Bersama anak-anak nelayan Sukadana, Ketapang

Laluan ke Makam Ratu Air Mala, Sukadana


Anggota tim pacuan bersama anak Sukadana yang banyak membantu

Sepanjang laluan balik dari Ketapang

Dah mahir lalu jalan begini

Nasib baik ada tayar spare

Pelataran rumah persingahan di Pantai Sukadana

Jumaat, 4 Januari 2013

Asia Eropah Language Diversity Forum, 04-05 September 2012, Jakarta






Penulis Mohd Azurin Othman

Dr. Mataim Bakar (24 Julai 1956 - 13 Mei 2012)

Dr. Mataim semasa Sidang Eksekutif Ke-50 Mabbim, Jakarta

Kuingin abadikan belasungkawa yang mendalam kepada mentorku yang telah banyak berjasa. Beliau adalah peribadi yang selalu memotivasikan dan penuh percaya kepada proses. Apresiasi ini sengaja kuwacanakan tidak lain tidak bukan untuk mengingat kita semua bahawa dalam setiap perjalanan hidup yang kita lalui pasti ada guru yang membuatkan kita percaya diri kerana ilmu, pengetahuan,  pengalaman dan petunjuk-petunjuk yang ia berikan. 

Dalam konteks yang lebih luas, Dr Mataim adalah peribadi yang tidak asing lagi dalam isu pemerkasaan bahasa Melayu khususnya dalam konteks Brunei Darussalam. Pendek kata, inisiatif pemerkasaan bahasa tidak berjalan tanpa melihat sumbangan peribadi sosok tertentu dalam rentang waktu pengabadiannya. Sungguh tidak siapa menduga, sosok yang secara relatif masih muda sepertinya telah berpulang ke rahmatullah pada 13 Mei 2012 bersamaan 21 Jamadilakhir 1433.

Dr. Mataim yang kita kenal kerana latar belakang pendidikan dan asa pengabadian beliau dalam memartabatkan bahasa Melayu. Penyakit tulang yang dihidapinya menggerogoti ketahanan fizik beliau. Badannya mulai berubah sederhana dan sering sakit-sakitan. Menjelang persidangan Mabbim April 2012, kondisi fiziknya kelihatan membaik, dan nampak berisi seperti sebelumnya. Namun tidak siapa tahu kesulitan dibenaknya pascarawatan. Kesannya menusuk dan tak tertanggung. Ini belum termasuk komplikasi lain yang menghambat langkah beliau. Jalannya perlahan tidak seperti selalu. Namun  kesulitan yang beliau rasakan, tidak sedikit mempengaruhi keceriaan dan ekspresi wajahnya semasa pengelaran anugerah apresiasi Tokoh Mabbim pada bulan April 2012 dalam rangka sambutan 40 Tahun Mabbim yang lalu. Beliau berusaha ramah berbual melayani penggiat dan pejuang bahasa, memenuhi temu bual dengan media massa dan bertemu rakan taulan Mabbim yang cukup beliau kenal kerana itulah kultur dunia yang beliau menjadi pemain di dalamnya. Tertinta bahawa pertemuan itu merupakan kesempatan terakhir sebelum dijemput Tuhan Yang Maha Esa. Inilah hidup, kadang-kadang sudah berencana, tapi tergantung Yang Maha Kuasa. Agama mengajarkan bahawa kita harus siap.

Kariernya di Universiti Brunei Darussalam (UBD) bermula sebagai pensyarah. Mendaki setapak demi setapak dan seterusnya diberi kepercayaan memegang teraju sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD. Fonetik dan fonologi, morfologi dan aspek perancangan bahasa adalah bidang yang menjadi kecenderungan beliau. Tidak hairan, buku dan rencana ilmiah yang digarap banyak menjurus dalam bidang berkenaan. Aktif dalam seminar dan forum, sering diundang menjadi panel dan moderator. Beliau sering memberi motivasi dan memberi kepercayaan penuh kepada tenaga muda yang berkebolehan untuk menyampaikan idea dan dapatan mengenai kebahasaan dan kesusasteraan dalam ranah seminar. Karyawan DBP yang tamat menjalani latihan dalam perkhidmatan ijazah pertama diarahkan untuk membentang. Sesiapapun mereka termasuk saya harus siap. Pembentangan pertama saya selepas tamat ijazah ialah semasa Seminar SETALING di UBD dengan makalah bertajuk "Multibahasa: Dinamisme Baru Generasi Ketiga Dalam Persekitaran Dunia Yang Berubah". Meskipun sedikit grogi, saya bangga kerana diberi kepercayaan dan peluang. Terima kasih Dr.

Dr. Mataim, peribadi yang sesekali suka bergurau dan membuat lawak. Dalam gurauan dan serius ketika memberikan teguran, ada ilmu dan mesej yang beliau sampaikan. Visinya jelas dan karakter pemberaninya benar. Sebagai sosok yang relatif masih muda yang berenergi dan berlatarbelakangkan ilmu linguistik dan kebahasaan sekali gus pendidik, beliau telah mengambil porsi paling banyak dalam mengangkat isu mengenai pemerkasaan bahasa Melayu dalam rentang masa 90-an hingga tahun 2009. Asanya mengenai bahasa Melayu selalu dibenahi. Sumbangsih terpenting beliau antaranya ialah pembentukan pedoman umum ejaan dan istilah, serta sebagai pendamping bahasa dalam pembentukan istilah bidang ilmu. Karya hidup beliau mengenai bahasa dalam bentuk artikel secara relatif banyak ditulis, seruan mengenai cintailah bahasa Melayu turut dilontarkan. Sesuatu yang terkesan daripada perjuangan beliau, ialah idea dan asanya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN. Siapa peduli isu tentang bahasa, tetapi bagi Dr. Mataim, bahasa adalah bahagian integral dari hidup dan cara kita menyampaikan idea-idea untuk membangunkan kesedaran masyarakat tentang peranan bahasa sebagai pengembang ilmu dan mengungkapkan peradaban. Untuk yang satu ini, tiada istilah lelah bagi beliau dalam mengingat khalayak agar merangkul dan mencintai bahasa kita selayaknya. Khalayak mengingati beliau bukan setakat pendidik dan pentadbir, malah beliau memiliki keahlian dalam bidangnya.

Dr. Mataim mengetuai DBP dalam rentang waktu yang singkat, kerana tenaga dan ilmunya diperlukan untuk memimpin satu portfolio di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Meskipun singkat, namun kehadirannya meninggalkan kesan mendalam baik dari segi inspirasi mahupun hala tuju institusi ini. Dr. Mataim telah menunjukkan apa yang beliau boleh lakukan, dan harapan saya, anak didik, masyarakat dan rakan taulan tidak akan berhenti untuk menulis dan setidaknya mengingati keberhasilan beliau tersebut.

Dari sisi lain, individu-individu yang mencintai prestasi selalu dahagakan sesuatu dalam hidup mereka. Ada yang ingin memahat namanya sebagai pendaki gunung tertinggi, dan menjadi maestro dan unggul dalam bidang tertentu. Meskipun impian dan perjuangan mereka berbeza, namun inisiatif dan darma bakti yang mereka lakukan dan capai, menjadi potongan-potongan kejayaan masa lalu yang kekal menjadi ristaan. Berhubung soal menulis, penulis menjadi ingat serentetan kata penulis besar Pramoedya Ananta Toer, “Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.”

Kini Dr. Mataim telah tiada. Karya hidup mengenai bahasa dan inisiatif lainnya adalah warisan yang beliau tinggalkan. Setidaknya sosok beliau dikenang dalam kultur pembahasan mengenai kebahasaan dan linguistik. Dalam konteks Brunei Darussalam, idealisme beliau disorot dan diingat dalam potret pejuang bahasa yang sentiasa memerlukan karakter, peribadi dan keahlian yang tangguh dalam bidangnya. Kita jadi terfikir, kelak ketika kita dijemput Tuhan Yang Maha Kuasa, apa saja yang kita tinggalkan. Sesuatu yang tidak hanya dinikmati oleh keluarga sendiri saja. Waktulah yang akan menjawabnya.

Selamat jalan Dr., rakan taulan, staf dan mereka yang pernah menerima ilmu darimu mengantarmu dengan penuh rasa kasih dan cinta. Semoga dirimu mendapat tempat terbaik di sisi-Nya, amin. Al-Fatihah.

SIMG, 20-21 Disember 2012, Pontianak, Kalimantan

Mohd Azurin Othman bergambar bersama delegasi  NBD 

Bersama Prof. Emeritus Dato Dr. Ghouse Nasrudin

Bersama Pengiran Dr. Haji Mohamed, Dr. Yusriadi dan seorang teman
 Seminar Internasional Melayu Gemilang yang mengangkat tema "Warisan Kearifan Lokal dan Pendidikan Karakter Nusantara" diadakan di Rumah Adat Budaya Melayu dan Hotel Orchardz, Jalan Perdana Pontianak, Indonesia. Akademisi nusantara baik di Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam mempresentasikan wacana mereka dalam SIMG yang mengambil masa selama dua hari. Berbicara tentang Pontianak, sebenarnya saya sudah dua kali ke sini. Sebelumnya pada bulan Jun 2006 ketika selesai pengajian sarjana muda, dan terus direkomendasikan oleh pimpinan jabatan di bawah Allahyarham Dr. Mataim bin Bakar untuk mengikuti kembara Jejak Kesultananan di Borneo yang dipimpin oleh Pusat Sejarah Brunei. Singgah di Pontianak ketika itu cuma dua hari semalam kerana komitmen penyelidikan yang diperbantukan tim sokongan darat yang terdiri daripada 14 buah kenderaan pacuan 4 roda di bawah Persatuan Pacuan 4 Roda Brunei Darussalam. Ia sebuah momen perjalanan yang luar biasa dan indah kerana melewati pelbagai laluan yang mencabar, memasuki denai, belantara hijau yang mempesona, kampung, becak dan lumpur yang menjanjikan pengembaraan yang luar biasa, dipenuhi kebimbangan  dan kekhuatiran ketika meredah air sungai melimpah yang merupakan satu-satunya laluan untuk ke seberang. Satu pengalamaan yang luar biasa dituai daripada penjelajahan ini ialah mengamati ragam kehidupan masyarakat yang padat.
 Henita mempresentasi wacana berkaitan  mantra

Mereka orang baik dan sentiasa ramah dengan tetamu luar yang menjengah ke kawasan mereka. Ringan untuk membantu. 

Berbalik kepada peluang menghadiri SIMG, ia terasa seperti sireh pulang ke ganggang kerana sejak menjejaki ke Pontianak apatah lagi di seluruh Kalimantan pada tahun 2006 dahulu, hati terasa ingin untuk datang lagi. Kerana apa? Jawapan tidak lain ialah pengalaman yang diperoleh melalui kembara panjang dengan menyulitkan apa lagi pergi ke lapangan seperti ke kampung,   tempat sejarah dan segala hal kehidupan yang bernuansa, lebih mudah membuat kita menghargai hidup ini berbanding jika kita pergi ke bandar dan duduk makan di mall-mall super.

 Kuih Melayu

Resep kuliner kepiting di Abang Kepeting
 Kepada mereka-mereka yang berhajat ke Pontianak, tidak sulit untuk mencari kuih-kuih Melayu. Pergilah ke kafe yang letaknya di basemen Rumah Adat Budaya Melayu. Di sana, pelbagai kuih Melayu disajikan.
Bawal goreng terbang, rasanya gurih dan renyah
Mohd Azurin Othman bergambar bersama
Yang Berhormat dari Negeri Kedah Darulaman


Bersama sahabat lama Nurul Hadi dan abangnya (warga Pontianak)

Isnin, 12 April 2010

Energi dari Sebuah Kata

Belakangan ini aku meminati karya-karya yang berbentuk biografi. Tak kiralah biografi itu sosok seorang pemimpin, tokoh perniagaan, ahli sukan, selebriti dan mereka yang datang daripada masyarakat marhaen. Berikut kata-kata yang mempunyai falsafah hidup yang kupetik daripada buku KD untuk dikongsikan bersama.
Hidup tak hanya sekadar wang
Dipersatukan melalui karya, mimpi dan harapan
Perasaan ditolak sering dijadikan picu untuk maju
Kita perlu menumbuhkan paradigma yang solid untuk kesuksesan
Tuhan sangat baik dan adil. Ia memberikan sesuatu sesuai pada waktunya
Embrio daripada bongkah spirit yang kelak berdenyut kencang
Nasihat dari sekecil apapun sangat menguatkan
Keberanian bukan tumbuh secara kebetulan tetapi kerana sudah terbiasa
Jika anda memuaskan keinginan, percayalah keinginan tiada hentinya
Sebuah karya yang baik tidak mungkin muncul tanpa kegelisahan rasa
Orang yang paling bahagia adalah orang yang bisa menjadi dirinya sendiri

Kontradiksi Adalah Satu Energi Baru

Plot hidup tidak selalunya berjalan mulus. Meski kita mau semua berjalan baik, yang baik bagi kita belum tentu molek bagi orang yang berkepentingan dengan kita. Penting sekali jika berlaku hal-hal yang tidak kita sukai yang dicipta oleh faktor semasa, kita tanggapi perkara tersebut sebagai momentum untuk bergerak maju ke depan. Keseharian yang kulalui penuh dengan warna. Meskipun kontrakdik, aku tidak menganggapnya sebagai hambatan. Malah kerana hal yang terjadi itulah menambahkan energi besar dan menstimulat diri untuk tambah kuat dengan tantangan. Tanpa tantangan, belum tentu kita tahu tahap kekuatan kita. Dengan tantangan, kita mampu berfikir dan berusaha. Ayuh! sikapi hidup ini dengan positif. Kita perlu "BERJIWA BESAR".

Yang Penting Happyyy

Dah lama tak mencoretkan apa-apa berita kat sini. Melihat perkembangan bloggers lain yang slalu mengemaskinikan blog mereka, timbul pulak keterujaan nak tulis sesuatu. Tapi nak cerita apa ya. Hmm..mulakan cerita tentang keseharian di ruang kerja pun satu perkongsian juga. Paling tidak syok sendiri..hehe. Syok sendiri! Kata orang banyak yang penting happy. Well, sejak diberi kepercayaan oleh pimpinan jabatan, aku berusaha sebaik mungkin menanai amanah yang diberikan. Bila sukses menghasil sesuatu kerja terutama bab menyiapkan kertas konsep, kertas kerja ataupun kertas cadangan, dan hasil tersebut diterima baik dengan minimnya perbaikan, tentunya timbul rasa puas bukan kepalang. Maunya tidak. Setelah otak diperah untuk membina dan menjalinkan idea (bukan senang oooo), sehingga menjadi sebuah wacana yang teratur, bermakna tantangan untuk diri sendiri untuk satu jangka masa telah dilunasi dengan baik. Sebenarnya semua ini tidak akan terjadi tanpa keinginan untuk menjadi lain dari yang lain. Adalah sesuatu yang menyeronokkan jika kita menyikapi hidup ini dengan memunculkan dan membangun karakter dan kebolehan yang tidak dapat disaingi orang lain. Bukan untuk merasakan gah diri dan sombong tetapi inilah hakikat hidup yakni satu kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah swt kepada manusia. Hidup bukan untuk bersenang-senang dan menunggu sesuatu datang secara tiba-tiba. Lihatlah sosok yang berjaya sehingga menjadi profil antarabangsa adalah mereka memiliki "JIWA BESAR". Mereka menjadi orang besar bukan kerana mimpi. Semua orang berhak mempunyai mimpi, tetapi mimpi tanpa tekad adalah sejarah panjang bagi manusia yang gagal dalam mencapai sesuatu dalam hidupnya. Ingatlah bahawa hidup kita bukan satu anugerah yang sia-sia. Setiap nafas dan gerak yang kita lakukan sebenarnya boleh menceriakan diri jika kita bijak dan berani menyahut tantangan. Kita patut menghargai hidup ini dengan membuat sesuatu yang boleh dibanggakan. Mencari "kebanggaan" adalah sebuah pencapaian yang sangat membahagiakan kerana untuk mencapai dan memilikinya kita perlu mempunyai usaha gigih dan ikhlas dalam setiap penjelajahan hidup yang kita lalui.

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...