Isnin, 3 Jun 2013

FINATE DAN INFINATE



Menghadiri jamuan malam delegasi Asia Eropah Language Diversity Forum 2012 (ASEM LDF2012) di Jakarta, Indonesia awal September 2012 yang lalu merupakan satu pengalaman menarik. Perwakilan ASEM LDF2012 dipandu dan digiring bagaimana membunyi dan memainkan angklung dengan betul. Apakah dia angklung? Tentu kita marfum angklung ialah sejenis peralatan muzik yang diperbuat daripada buluh atau sesekali disebut sebagai bamboo. Menariknya, angklung dapat memainkan lapan notasi muzik yang biasa kita dengar iaitu do-re-mi-pa-so-la-ti-do. 


Selama ini, saya tidak memikirkan demikian istimewa peralatan muzik berkenaan yang materialnya dekat dengan kehidupan masyarakat kita. Semua kita tahu bahawa buluh bukan sahaja dibuat angklung, bahkan juga buluh dijadikan titian, digunakan untuk membuat lemang, menjadi pengandar air ketika zaman ketiadaan air paip, sebagai pelita ketika musim raya dan sekian banyak kelebihannya yang tidak dapat disenaraikan satu persatu di sini. Kembali merujuk kepada angklung, kelebihan angklung yang dapat memainkan lapan notasi muzik ini telah membuatkan peralatan berkenaan melanglang buana. Angklung meraih tempat istimewa bagi pencinta dan pengembang seni muzik etnik, kontemporari bahkan muzik moden sekali pun mendapat khidmat angklung bagi menghasilkan kelainan dalam sebuah karya. Angklung telah mengantar jiwa, karya dan keunikan bunyinya yang memikat ke seantero dunia. Sudah tentu pula angklung memberi nilai dan menjadi sumber ekonomi kepada pembuatnya.

Berbalik kepada kelebihan angklung yang dapat meramu lapan notasi muzik, secara sejatinya jika ada peralatan muzik baru hasil daripada teknologi budaya masyarakat yang dapat memainkan lapan notasi asas muzik, bermakna peralatan tersebut dapat memainkan apapun notasi lagu yang ada di dunia! Hebat. Pendek kata, alat muzik tersebut dapat memainkan lagu tanpa batas seperti mana peralatan muzik mapan lain seperti guitar, keyboard, piano, drum, violin dan lain-lain.

Cerita tentang bermain angklung di majlis resepsi ASEM LDF2012 adalah sebuah pengalaman lain, namun ia ada kaitan dengan isu finait dan infinait yang ingin penulis katakan. Finait dan infinait ialah istilah bahasa Melayu yang diserap daripada bahasa Inggeris finate dan infinite. Finait bermaksud jumlah struktur suku kata adalah terhad, namun jumlah struktur suku kata finait ini boleh menerbitkan unit-unit leksikon yang infinait (tidak terhad). Kededuanya membicarakan keluwesan, kelenturan dan kedinamikan leksikon bahasa Melayu, iaitu bermula dari sebuah kata, kita dapat menghasilkan ayat yang tiada batasnya.

 Seperti angklung yang dapat memainkan unit dasar notasi muzik, begitu juga dengan finait yang berkembang menjadi infinait dan seterusnya kepada pola-pola ayat. Finait dan infinait bermula dari sebuah kata, kemudian dibina dan dikembangkan menjadi sebuah frasa, klausa, ayat dan wacana. Sebagai contoh kita dapat menggalurkan sejarah Brunei Darussalam dalam satu buku dengan permulaan ayat “Zaman Kesultanan Brunei…”. Lewat infinait, satu buku cerita dongeng kanak-kanak yang bermula dengan frasa “Pada satu hari” dapat digarap. Tanpa mengenepikan faktor kebolehan, pengetahuan dan daya seseorang penulis itu berkarya, finait dan infinait menjelaskan sebuah moral bagaimana bahasa Melayu yang mempunyai sistem aksara, ejaan, kata, istilah dan tatabahasanya mempunyai kelebihan yang sama dengan bahasa lain dalam mengungkap sesuatu perkara itu secara objektif. Tinggal lagi, apa yang ingin kita serukan ialah gunakanlah bahasa Melayu yang betul dan benar sehingga apa yang kita sampaikan itu bukan sahaja dapat ditanggapi dengan jelas dan objektif, tetapi juga ia berperanan ganda kepada masyarakat bahawa inilah bentuk atau visual ejaan betul dan benar bagi kata yang diwakili itu. Kita juga hendaklah menggunakannya pada ketika situasi yang tidak memerlukan kita berkomitmen untuk menggunakan bahasa kedua. Kenapa, kerana sejarah telah mensahihkan dan membuktikan bahawa bangsa besar adalah bangsa yang mendedikasikan bahasanya, dan bangsa yang memperkasakan bahasanya. Pada ketika kita meyakini bahawa angklung berkemampuan memainkan semua jenis lagi, kita juga perlu berazam untuk memperkasa bahasa Melayu dan bersama-sama memastikan bahasa Melayu dapat menyapa semua laras dalam lapangan kehidupan. Kitalah menjadikan bahasa Melayu ini maju dan berkembang, jika tidak kita, siapa lagi.


Borneo Bibliography 2007

Cited in SMJ 2006: 233.

Museo delle Culture & Galleria Gottardo 2007 Patong. Le grandi figure scolpite dei popoli del Borneo. Lugano: Museo delle Culture & Galleria Gottardo; illustration exhibition booklet, 32pp.

Mohamed, M. 1987 The Impact of Copper Mining in Sabah. Pp. 55-63 In: S. Sani (ed.), Environmental Conservation in Sabah: Issues and Strategies. Proceedings of the Institute of Development Studies Seminar, January 1987.

Cited in Doolittle 2005:204.

Mohd Azlan, J., I. Maryanto, and A.P. Kartono 2003 Diversity, relative abundance, and conservation of chiropterans in Kayan Mentarang National Park, East Kalimantan, Indonesia. Pp. 153-62 In: A. Mardiastuti and T. Soehartono (eds.), Joint Biodiversity Expedition to Kayan Mentarang National Park, East Kalimantan. Jakarta: Ministry of Forestry, WWF Indonesia, and ITTO. 

Cited in Struebig et al. (2006): 455. 

Mohd Azlan, J. and Muhammad Faisal Fauzi 2006 Ethnozoological survey in selected areas in Sarawak. Sarawak Museum Journal, LXII(83), December 2006: 185-200. 

Mohd Azurin Othman 2006 Mengenai Leksikal dan Kata Berkognat antara Bahasa Bidayuhik (Balai Pinang) dan Dayak Melayik (Palangkaraya). Pelita Brunei, Aneka section, 30 Ogos 2006:3, 9 and PBA 6 September 2006:3; map, tables, bibliography. 

Mohd Eussoff Agaki bin Haji Ismail, Dato Seri Paduka 2007 Media bertanggungjawab bantu kerajaan kekalkan ketenteraman. Pelita Brunei, 2 Mei 2007: 10.* 

'Media outlets have a responsibility to help the government to perpetuate stability'; text of a speech delivered on 4 April 2006 (16 Rabiulawal 1428) at Jerudong. 

Mohd Yaakub bin Haji Johari and Bilson Kurus (eds.) 2000 Sabah Beyond 2000: Development Challenges and the Way Forward. Kota Kinabalu: Percetakan Tedasjaya Sdn Bhd. 

http://www.thefreelibrary.com/Borneo+bibliography+2007.-a0179660452

Kapayasku Comel Gede


Inilah karyaku pada tanah
Kutanam di tanah datar
Kupupuk selalu dengan hati
Kupujuk dan belainya dengan kata
Kubajai perdunya
Kusirami air yang tumpah berbunga
Agar pohonnya selalu subur
Tumbuh hijau merimbun
Selebaran dedaunnya melambai ditiup angin
Sesekali jadi rumah teduh dan tempat berpijak siburung pipit

Ketika pagi mencerah
Sinar cahaya mencelah di pelupuk dahannya
Seiring usianya berlalu
Ia tumbuh subur
Ia seolah bangun dari peraduan
Menjanjikan harapan yang baik
Tentu sekali buah yang didambakan
Meski jarang
Sepohon dua buah cuma
Namun paut buah di pelupuk batangnya
Mengundang mengamit dan melambai
Siapa yang lalu
Silakan melihatnya kawan
Lihatlah dengan mata hati

Hati berkata
Ketika ranumnya tak kunjung datang
Resah debar menanti
Ketika datang tak selalu
Bertamu bermukim cuma di hujung minggu
Kini ranumnya menjemput
Aku tersenyum
Tuaian kali ini yang pertama
Yang pertama besar maknanya
Moga ini bukan akhirnya
Moga ia tetap menjanjikan
Harapan untuk menikmati
Bulan ini bulan depan dan berikutnya
Agar dapat aku berbagi
Demikianlah hidup
Hidup ini bukan dinikmati sendiri
Kapayasku di Tanjong Bunut

Empowering Malay Language Among Youth


THE closing ceremony for the three-day “Bengkel Bahasa” (Malay Language Workshop) was held yesterday at the Sengkurong Language and literature Bureau Library (DBP).
The workshop was conducted by Mohd Azurin bin Othman, Language Officer from the Language and Literature Bureau (DBP).
PAGE12_C
Hajah Aminah binti Haji Momin, Director of Language and Literature Bureau speaks at the event. PHOTOS: ABDUL HAKIIM AY
Hajah Aminah hands a keepsake to Mohd Azurin bin Othman at the workshop
Hajah Aminah hands a keepsake to Mohd Azurin bin Othman at the workshop
Director of Language and Literature Bureau presenting Hajah Khairah binti Haji Zakaria her certificate
Director of Language and Literature Bureau presenting Hajah Khairah binti Haji Zakaria her certificate
Hajah Aminah binti Haji Momin quoted the titah of His Majesty the Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam during the celebration of the Golden Jubilee of the Language and literature Bureau Library (DBP) at the Brunei International Convention Centre (BICC) on September 17, 2011.
When Hajah Aminah binti Haji Momin was asked on how to empower the Malay language among the youth, she said, “The first and foremost way is through reading Malay literature, by practicing good reading the youth will be able to use the language in a proper manner. Another way is by conversing in Malay through everyday life. By doing this the youth will be able to familiarise with Malay words and they won’t have to result in using English words as alternatives when conversing.”
Certificates were presented to the participants of the workshop at the end of the ceremony. A keepsake and certificate were given to Hajah Khairah binti Haji Zakaria, from Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri for being the Best Participant in the workshop.

Sabtu, 26 Januari 2013

DEKLARASI BORNEO: JANJI DAN HARAPAN


Brunei Darussalam bersama Indonesia dan Malaysia mencatat sejarah penting untuk menjaga dan memulihara khazanah hutan yang ‘dikongsikan’ dalam satu kedudukan geografi yang sama. Ketiga-tiga negara pertama kali mengumumkan niat bersama memulihara “Heart of Borneo” ketika konvensyen biodiversiti di Brazil pada Mac 2006. Tekad dan keazaman yang tinggi kerajaan ketiga-tiga negara untuk memulihara hutan Pulau Borneo merupakan satu manifestasi yang disanjung tinggi bukan sahaja di peringkat serantau, malah Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah serta kumpulan pencinta alam sekitar (WWF). Pemuliharaan hutan didorong oleh kesan pencemaran alam berpanjangan, sumber air dan kualiti hidup. Beberapa dekad kebelakangan ini, isu perubahan iklim dan peningkatan suhu dunia merupakan agenda utama pemimpin dunia sejak Protokol Kyoto dimeterai untuk mengawal pelepasan gas karbon. Dalam kenyataan akhbar di Paris, kumpulan kerja Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) telah melaporkan kejadian taufan kategori 4 dan 5 meningkat sekali ganda dalam tempoh 30 tahun lalu. Banjir besar yang biasa diramal berlaku 100 tahun akan lebih kerap antara 10 hingga 20 tahun termasuk di kawasan yang tidak berisiko banjir. Sekumpulan pakar metereologi Britain meramalkan dunia bakal menghadapi cuaca paling panas pada tahun ini disebabkan kesan fenomena El-Nino di Lautan Pasifik selain faktor pengeluaran rumah hijau. 

Di  Malaysia,  tiga buah wilayah antaranya Klang dan Miri diramalkan akan tenggelam 50 tahun lagi. Lapisan ozon di stratosfera yang semakin nipis membolehkan sinaran ultraungu sampai ke permukaan bumi lalu menyebabkan suhu meningkat. Penggunaan pendingin udara tanpa kawalan, penyembur aerosol, penggunaan baja organik berterusan dalam pertanian (menghasilkan nitrogen oksida), pembakaran bahan api fosil (nitrogen dioksida), ujian senjata nuklear, peperangan yang menggunakan bahan letupan dan penggunaan jet supersonik yang kesemuanya menghasilkan gas chlorofluorocarbon (CFC) menjadi penyumbang utama kepada penipisan ozon. Pemanasan global merupakan isu antarabangsa apabila kebanyakan bandar di Australia mengalami kekurangan bekalan air kerana kemarau buruk yang melembabkan pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan pengeluaran hasil ladang.

Kita bernasib baik kerana berada dalam topografi yang diselimuti satu pertiga khazanah hutan yang dikongsikan bersama dua negara lain. Berdasarkan fakta, Pulau Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia. Di kelilingi Laut China Selatan di utara, Laut Sulu (timur laut), Laut Sulawesi dan Selat Makasar di timur dan Laut Jawa serta Selat Karimata di selatan. Luas 743,330 kilometer persegi manakala keluasan hutan hujan tropika ialah 220,000 kilometer persegi. Kepulauan Borneo menjadi langit bagi kepelbagaian hidupan biologi dunia antaranya 13 spesis primat termasuk orang hutan, 150 spesis binatang reptilia dan amfibia, lebih 350 spesis burung dan sekitar 15,000 spesis tumbuhan. Malah banyak lagi spesis yang belum dikenal pasti. Pada tahun lepas lebih daripada 50 spesis tumbuhan baru telah dikenal pasti dan dikod oleh pengendali perhutanan. 

Deklarasi Borneo yang ditandatangani di Pulau Peranginan, Bali baru-baru ini memberi perlindungan dan bakal menjadikan Heart of Borneo sebagai sebuah blok raksasa hutan hujan tropika yang dikategorikan sebagai antara yang tertua di dunia. Peristiwa bersejarah ini merupakan langkah betul yang patut disedari lama dulu. Namun seperti biasa, tindakan memperbaiki datang lewat pengalaman lalu. Sejak 1996, kegiatan penebangan hutan di seluruh Indonesia meningkat kepada purata dua juta hektar setahun dan kini hanya separuh daripada hutan asli Borneo yang masih kekal. Setelah sekian banyak bencana alam yang agak luar biasa menimpa hasil daripada pemugaran hutan, penggondolan bukit dan gunung, pembalakan, aktiviti pembakaran ladang selepas tuai dan kesan pelepasan gas rumah hijau barulah timbul kesedaran di kalangan kita semua. 

Cerita pemugaran hutan lebih kurang seusia dengan aktiviti menggeruk dasar laut sehingga memberi kesan besar kepada planet bumi pada 26 Disember 2004. Perubahan iklim yang berlaku sejak 10 tahun dulu apabila negara ini dan jiran serantau dilanda kemarau pada tahun 1998 menjadi pengajaran cepat yang patut diteladani. Rupanya perubahan iklim bukan sahaja menjejaskan kualiti udara sehingga menyesak nafas malah mengundang kegawatan ekonomi. Bagaimana kegiatan harian dan aktiviti luar berjalan seperti biasa jika indeks kualiti udara menurun. Banjir besar dan luar biasa yang berlaku di negara jiran kita beberapa bulan yang lalu mengajar kita bahawa bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan alam. Di Indonesia, sejak musim hujan pada bulan Januari lalu, lebih 130 ribu hektar tanah dilanda banjir. Di Selatan Malaysia, Johor ditimpa banjir dua kali akibat daripada fenomena yang dipanggil sebagai ‘air termenung’ sehingga menjadi takungan air yang besar yang mengakibatkan banjir berulang apabila hujan lebat berlarutan. Peliknya di negara kita, sebahagian kawasan pedalaman Tutong dan Labi yang membentuk keluasan hutan sekitar 70% muka bumi, tiba-tiba digenangi air.  Banjir yang menimpa dikatakan berpunca daripada kenaikan paras air yang mendadak serta rangsangan hujan sejak beberapa hari kebelakangan. Ini sesuatu yang di luar daripada pertimbangan waras mengapa banjir boleh berlaku di kawasan berkenaan.

Umum mengetahui peningkatan guna tanah dipengaruhi oleh pertambahan penduduk dunia dari setahun ke setahun. Bagi menjamin kestabilan ekonomi, kerajaan dikebanyakkan negara mula terdesak untuk meneroka kawasan baru untuk membangunkan industri, mewujudkan kawasan perbandaran dan kediaman bagi penduduk yang bertambah. Dalam hal ini, tanah lapang sedia ada sudah dipenuhi dengan sekian macam bangunan dan pusat kediaman ‘merpati bandar’. Ini bermakna sebahagian hutan akan menjadi korban. Kawasan hutan yang dulunya menjadi kawasan tadahan air dan tempat flora dan fauna berevolusi, terancam dengan proses pembangunan yang tidak dikawal. Akhirnya ketirisan hutan menjadi stigma kepada habitat alam sehingga menjejas kitaran biologi flora dan fauna serta ekosistem akibat daripada penggondolan hutan berterusan. 

Hilir dan muara sungai tidak lagi sejernih dulu. Bahkan tidak kurang juga dilalui oleh manusia apabila bencana alam bersenandung silih berganti. Jika dahulu, bencana alam dengan isipadu yang besar datang puluhan tahun akan datang setelah kejadian pertama, tetapi pada hari ini yakni sejak dekad terakhir abad ke-20, bencana alam tidak mengenal pusingan waktu lagi. Faktor ini didorong oleh kerakusan manusia atas nama pemodenan dan pembangunan. Sebenarnya semua negara sedar dan tahu impak kepada alam sekitar akibat proses pembangunan dan perindustrian yang tidak terkawal. Negara maju menyalahkan negara membangun yang bangkit sebagai naga baru. Bagi negara membangun pula, demi survival, mereka tidak boleh menerima apa saja yang datang daripada Barat, sebaliknya mereka perlu menjadi pemain ekonomi untuk sama-sama menikmati peluang dan keuntungan. Pada akhirnya, mereka juga sama-sama memugar alam melalui pelepasan asap daripada kilang-kilang industri. Untuk menjamin kestabilan industri terutama janaan tenaga elektrik, minyak mentah diperlukan. Oleh kerana harga minyak mentah di pasaran dunia tidak menentu dan membebankan pengusaha, bahan bakar alternatif diperlukan sebagai galang ganti. Terdapat dua jenis bahan bakar ganti iaitu melalui aktiviti pengayaan uranium yang menghasilkan tenaga nuklear dan biodiesel. Namun tidak semua negara boleh memajukan tenaga nuklear kerana bimbang disalah guna. Maka bahan bakar alternatif yang berpotensi ialah biodiesel hasil daripada kejayaan penyelidikan makmal. Sumber biodiesel datang daripada kelapa sawit. 

Permintaan kelapa sawit yang tinggi di dunia telah menyebabkan banyak kawasan ladang baru khususnya di Indonesia dibuka dengan sokongan pelaburan luar. Dikhabarkan, skim yang disokong melalui pelaburan China dianggarkan meliputi kawasan seluas 1.8 juta untuk membuka ladang kelapa sawit terbesar dunia sepanjang sempadan Indonesia dan Malaysia di Kalimantan. Seperti yang kita sedia maklum, Kalimantan adalah pengeskport asap ladang terbesar setiap tahun sehingga mengakibatkan negara serantau seperti Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura mengalami kualiti udara yang buruk. Kebanyakan asap dicetuskan melalui pengurusan bahan buangan pertanian secara jimat kos iaitu pokok yang ditebang akan dibakar sebagai satu cara mudah untuk melupuskan sisa tanaman dan menyuburkan tanah. Pembakaran yang biasa dilakukan semasa musim panas akan menyebabkan api tidak dapat dikawal dan merebak sehingga mengambil masa untuk diatasi. Tambah menyulitkan, tanah gambut yang biasanya menjadi tanah subur untuk tanaman bertukar menjadi bara yang menerbitkan kepulan asap yang berpanjangan sehingga menyebabkan pencemaran udara seperti jerebu. Pembakaran terbuka musim panas bukan sahaja dilakukan oleh syarikat perladangan malah golongan petani dan pesawah. 

Pada hari ini, dengan kawasan hutan yang ditakrifkan hanya sisa sekangkang kera berbanding 30 tahun lampau, khazanah hutan yang ada tidak mampu lagi membendung dan mengkitarkan semula asap melalui proses fotosintesis secara semula jadi. Akibatnya, kepulan asap terus menerawang ke ruang udara dan seterusnya dibawa arus angin ke negara-negara yang tidak sepatutnya menerima musibah yang dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Masalah pencemaran udara pada hari tidak boleh dipandang ringan bahkan menjadi masalah nasional dan isu antarabangsa. Tidak sedikit negara yang prihatin dengan masalah ini sehingga banyak biaya diperuntukkan untuk mengatasinya termasuklah usaha mencipta hujan, water-bombing dan sebagainya. Jika keadaan ini tidak segera diatasi, bukan saja kualiti udara semakin memburuk malah menjejaskan kualiti hidup, keselamatan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya menjadi taruhan. Rentetan demi rentetan bencana yang berlaku menjadi pengajaran kepada kita dan sesuai dengan ingatan yang tertera dalam bait lagu Ebiet G. Ade “mungkin Tuhan telah marah dengan dosa-dosa kita”. Memang dalam al-Quran pun sudah jelas dinyatakan bahawa sudah berlaku kerosakan di darat dan di laut dek tangan-tangan manusia. 

Berhubung dengan Deklarasi Borneo, meski terlambat, tetapi sekurang-kurangnya hutan Pulau Borneo masih bersisa untuk bukan saja diwarisi oleh anak generasi masa hadapan malah yang lebih penting penghuni primat rimba daripada pelbagai spesis termasuklah tumbuhan-tumbuhan yang belum diidentifikasi lagi. Jika tidak ada undang-undang mencegah pemugaran hutan, kita bukan sahaja berhadapan dengan isu pencemaran alam bah masalah yang lebih besar lagi iaitu sumber air. Hutan menjadi sumber kawasan tadahan air untuk menampung keperluan biologi manusia, flora dan fauna, kegiatan ekonomi dan sebagainya. Sedangkan air yang dicatu atau diberhentikan sementara untuk tujuan pembersihan tangki, kita sudah menjadi gawat, inikan pula jika berlaku kemarau panjang. Adalah penting hutan dipulihara sebagai kawasan tadahan air. Di Kalimantan misalnya, kehidupan masyarakat di sana amat kompleks. Tidak semua penduduk khususnya di Kalimantan mendapat bekalan air bersih yang sudah dirawat. Kos air yang dirawat juga agak mahal. Oleh yang demikian, mereka menggunakan sumber alternatif seperti air sungai, menakung air hujan bahkan sebahagian daripada penduduk mencari punca air daripada gunung. Dalam eksplorasi Jejak Kesultanan di Borneo tahun lepas, penulis mendapat informasi daripada penduduk Sukadana yang merupakan sebahagian daripada pemekaran wilayah Kabupaten Kayong Utara bahawa mereka telah mengambil inisiatif dengan mengapung air yang mengalir daripada bukit dan gunung dengan sistem perparitan yang teratur kemudian disambung melalui besi paip ke rumah-rumah untuk mendapatkan air.

Di samping mencegah pemugaran hutan, adalah penting pihak-pihak berkenaan khususnya pengusaha ladang kelapa sawit di Kalimantan mengetahui kaedah pengurusan sisa pepejal dan sisa pertanian secara sistematik dan teratur dengan memperkenal teknik pembakaran sifar berasaskan sistem guna sama iaitu sisa buangan menjadi baja kepada pokok baru. Golden Hope Plantations sebuah entiti perladangan terbesar di Malaysia yang menanam pelaburan besar dalam sektor perladangan kelapa sawit di Kalimantan misalnya telah memperkenal langkah membersihkan ladang tanpa pembakaran. Teknik pembakaran sifar yang diamalkan ialah pokok-pokok yang ditebang akan diracik-racikkan sebelum diletakkan di dalam parit selebar lapan kaki (2.5 meter) dengan kedalaman empat kaki (1.22 meter), manakala dasarnya selebar (1.83 meter) dengan kedua-dua hujung parit ditutup. 

Kaedah zero burning dapat mengurangkan kos racun serangga dan pembajaan secara kimia kerana bahan yang dilupuskan menjadi baja pokok di samping mendapat hasil tuaian yang tinggi. Di samping sisa pertanian, pengurusan sisa pepejal perlu diberi perhatian saksama.  Sisa pepejal meliputi sisa pepejal rumah tangga, komersial, komuniti, pembinaan, industri dan institusi sebagai contoh kawasan pembuangan Sungai Akar perlu mendapat suntikan baru melalui teknologi kitar semula agar tidak mencemarkan alam. Falsafah memulihara dan menyimpan hutan dalam erti kata membekukan kegiatan pemugaran, penggondolan  dan pembakaran hutan, serta aktiviti pembalakan untuk tujuan pembukaan kawasan baru sewaktu hutan masih ada demi menghadapi waktu sukar perlu menjadi pengajaran kepada kita. Kepulauan Borneo perlu sentiasa memiliki hutan simpan yang jauh mencukupi sebagai kawasan tadahan air, mengawal udara dan memastikan habitat flora dan fauna kekal terpelihara untuk ditatap oleh anak dan generasi masa depan. Setiap pembangunan mestilah memberi respon terhadap cabaran bagi perubahan cuaca dengan cara yang praktikal dan tidak menjejaskan ekonomi negara. Sesungguhnya langkah yang patut dan perlu diambil ialah menggubal undang-undang pembakaran dan pemugaran yang lebih tegas, pendidikan alam sekitar yang lebih komprehensif khusus kepada sektor yang berkait langsung dengan perubahan iklim, langkah pemantauan, sistem penyampaian yang berkesan dan pertukaran informasi ketiga-tiga negara untuk memastikan Heart of Borneo yang dipateri melalui Deklarasi Borneo baru-baru ini, berjejak di bumi dan bukan sekadar satu dambaan sejarah yang tinggal harapan dan janji.

Jumaat, 25 Januari 2013

SENJA MEMERAH DI PANTAI JIMBARAN, BALI


Pantai Jimbaran di laman Kafe Blue Marlin
Panorama Bali sukar ditafsir dengan sebaris ayat jika tidak melihat sendiri. Bali memang indah dan unik sebagai kota kebudayaan yang menerpa sesiapa saja sehingga membuat pengunjung ke Bali tak pernah mati. Selama lima tahun berturut-turut Pulau Bali mendapat penghargaan sebagai The Best Destination in the World daripada majalah pelancongan popular Amerika Syarikat. Aura Bali yang kaya dengan seni budaya dan spiritual yang tinggi menjadi produk magis yang membuatkan pengunjung merasa kagum. Meskipun berlaku dua tragedi serangan bom berani mati di dua buah pusat hiburan popular pelancong Barat, namun peristiwa hitam tersebut itu kini makin dilupakan. Pengunjung dari seantero dunia datang berpusu-pusu ke Bali sementelah pula beberapa usaha merancakkan industri pelancongan Bali giat dilaksanakan oleh pimpinan kerajaan provinsi Bali. Yang berkunjung ke Bali terdiri daripada pelbagai latar belakang dan ragam manusia. Mereka mungkin pelabur, kaki shopping, peminat sukan air, pencinta seni atau mereka yang dahagakan hiburan malam. Sebenarnya Bali menjanjikan banyak tempat menarik. Sebut saja Pantai Kuta, Sanur, Ubud, Uluwatu, Tanah Lot dan Bedugul, pengunjung tentu terpana dengan kanvas alam yang indah lagi menarik. Tempat tersebut menyajikan panorama alam yang berbeza.  Jika pengunjung punya masa terluang, mereka boleh menyaksikan serpihan pengkisahan Ramayana (The Story of Ramayana) seperti Tari Barong dan Kecak yang membentuk corak hidup dan kepercayaan penduduk Bali hari ini.

Satu lagi destinasi pelancongan pantai di Pulau Bali yang popular ialah Pantai Jimbaran. Pantai Jimbaran memang tak kalah banding. Pantai ini menyajikan sajian makanan laut berjajaran sejauh 700M. Pengunjung boleh memilih premis mana yang menyediakan makanan laut dengan harga yang berpatutan seperti Kafe Blue Marlin. Hamparan kerusi meja di pasir pantai bak tikar yang membentang bagi mengalu-alukan kedatangan pengunjung. Sebenarnya bukan saja makanan laut yang enak yang menarik pengunjung datang ke Pantai Jimbaran. Yang dinanti ialah panorama matahari terbenam (sunset). Senja kian memerah daripada refleks matahari mulai beransur perlahan dan terbenam umpama sebuah kanvas lukisan alam yang membentang saujana mata memandang. Panorama tersebut bertambah indah dan meriah dalam samar petang apabila nelayan tempatan mulai keluar melaut dengan perahu besar yang dinamakan sebagai Jukung. Muda-mudi bersama pelancong asing bertebaran mandi sambil suara bersahut-sahutan. Pengunjung pula mulai mengambil tempat bagi merakamkan suasana pantai yang memerah senja. Setelah penat merakam gambar, pengunjung boleh memanjakan lidah dengan menikmati makanan laut sambil melihat persembahan tarian di sebuah pentas khas dan persembahan pemuzik  yang datang dari satu meja ke satu meja yang lain bagi menghiburkan pengunjung. 

Khamis, 24 Januari 2013

MENCONTOHI INDONESIA DALAM MEMPERKASA BAHASA


Kebertanggungjawaban moral beberapa hotel berbintang di Indonesia dalam mensosiolisasikan bahasa Indonesia (BI) sungguh luar biasa. Bilik persidangan baik yang berskala kecil mahupun besar dinamai dengan nama yang berkaitan dengan sejarah dan kekayaan tradisi gemilang mereka. Malah ada yang mensinergikannya dengan ikon dan monumen penting peradaban pengaruh kerajaan Hindu-Buddha seperti candi. Ini belum termasuk nama yang berbaur romantisme lokal. Dalam hubungan ini, pembaca tentunya pernah mendengar nama organisasi seperti Gedung Dewan Perwakilan Rakyat (Gedung DPR), Markas Besar Polis Republik Indonesia (Mabes Polri) dan Balai Sarbini yang berada di jantung Plaza Semanggi, kota Jakarta. Demikian pula bangunan atau organisasi didahulukan dengan nama Gapura dan Graha. Yang menarik, tentunya nama Gedung dan Balai. Satu ketika Gedung ditanggapi sebagai tempat penyimpanan barang seperti sebuah gudang berskala besar layaknya, manakala Balai merujuk kepada ruang lapang berdinding sederhana besar tempat mengadakan mesyuarat dan sidang bagi majlis perundingan mukim dan kampung. Kelaziman lain penamaan Balai yang digunakan di negara ini ialah pos-pos cawangan polis di daerah-daerah. Moralnya, peluasan makna berlaku bukan sahaja berdasarkan kepragmatisan dan kepraktisan konsep kata itu, tetapi juga bergantung kepada konsep dan pengalaman dunia sesuatu bangsa seperti halnya pencitraan nama Gedung dan Balai dalam konteks Indonesia tadi.
Di Indonesia, soal penamaan tidak berhenti setakat Gedung dan Balai, tetapi juga menampilkan satu contoh klasik yang baik dalam memberikan nilai kepada medan makna bahasa. Contohnya bagaimana sebuah pusat membeli-belah yang menempatkan butik dan pelbagai produk Indonesia lain yang menampilkan pengenalan bangunannya dengan citra kedesaan dan nusantara seperti Mal Pondok Indah. Sebuah toko buku popular selain Gramedia, diberi nama berdasarkan nama gunung, iaitu Toko Gunung Agung (apakah nama ini diambil dari nama Gunung Agung, terletak beberapa kilometer dari Ubud, Bali, salah satu permukiman terkenal para seniman Ubud). Menanggapi penamaan Gunung Agung, ternyata penamaan ini bermaksud serampang, selain mengangkat kearifan lokal (local wisdom) bahkan penamaan itu tidak lepas daripada mensinergikan “Gunung Agung” dengan “buku” yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pembenahan prestasi.
Peranan hotel berbintang dalam konteks memperkasakan BI,  bukan sekadar memberikan penamaan, malah terdapat sektor lain yang turut mengemban bahasa. Ini dapat ditelusuri melalui tampilan seni seperti ukiran, lukisan dan binaan. Lihat sahaja di sesetengah dinding, arah laluan strategis, lobi  malah pada bahagian luar bangunan akan ada ukiran-ukiran, lukisan dan patung, satu kekayaan khas yang berkaitan dengan Javanese historical. Bahkan hiasan makan siang dan malam sering disertai dengan mini gerbang ukiran yang juga berkaitan dengan sejarah, paling tidak gerbang pura masyarakat Bali. Ternyata mereka mempunyai tradisi yang kuat untuk merakyatkan bahasa, sejarah, dan budaya, dan bagaimana semua perbezaan yang wujud daripada ras itu dapat menyatu dalam keanekaragaman yang tinggi. Apakah erti semua ini kepada bahasa. Tentu sekali kita mengenal itu bukan sekadar ukiran, lukisan dan sebuah patung yang kaku, tetapi juga kita mengenal dan menyebut mereka dengan nama sekali gus juga menggunakan bahasa. Kesannya, ia bukan sekadar nama tetapi juga ia satu percikan gema tentang keyakinan tinggi terhadap keupayaan bahasa. Citra lokal yang ditampilkan menyerlahkan kesan dan pesan tentang betapa pentingnya pembinaan dan pengembangan prestasi walau sekecil apapun akan tetap berperanan dalam memberi makna kepada kehidupan.
Sama ada pembaca atau masyarakat di negara ini melihat catatan ini sebagai sesuatu yang sesuai dibaca atau tidak, tetapi pemaparan ini bertujuan untuk kita menilai bagaimana sebuah pengetahuan dan upaya secara sedar dalam memartabatkan citra tempatan melalui penggunaan bahasa. Penamaan bukan sesuatu yang dipandang mudah kerana sebenarnya ia berkait rapat dengan pembinaan etos sosial politik sekali gus nilai ekonomi. Ia menerjemahkan bagaimana bahasa itu dapat bereksplorasi dan berestetika dalam menyesuaikan peribadinya dengan fragmen-fragmen kehidupan yang menonjol dan monumental dalam menyerlahkan citranya. Ada kesan seksis yang luar biasa, jika bahasa disenamakan dengan “tugu”. Rupa bentuk yang wujud secara kekal dan penampilan gah seperti bangunan, mercu tanda, termasuk hiasan dalaman ini akan memberikan dampak yang baik dan positif kepada pendaulatan bahasa dan bangsa. Kesan impresif yang dikembangkan daripada penamaan tersebut amat besar dan signifikan kepada pembinaan negara bangsa khususnya dari segi pencitraan kepada bangsa ini dan tanggapan orang asing kemudiannya. Pada akhirnya, penamaan berkenaan merupakan satu simbol kemenangan manusia dan bangsa dalam menyikapi kesan perubahan dan kekacauan yang melanda bahasa kini.
Sebenarnya, bahasa bukan sekadar komunikasi lisan dan tulisan tetapi juga sebuah perjalanan estetik yang serius, pertaruhan reputasi, kesempurnaan seni dan budaya, cita-cita, keazaman, penghormatan dan juga satu pembelaan kepada perlembagaan yang dibakukan.  Masing-masing kita perlu berjiwa besar dan memiliki naluri kepedulian yang tinggi lagi solid terhadap kekhasan yang kita miliki sejak dulu. Lalu mengapa tidak pemain industri perhotelan di negara ini mengangkat dan mengembangkan prestasi bahasa Melayu secara leluasa dalam setiap segi perkhidmatannya. Ayuh! kita lestarikannya.

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...