Selasa, 18 November 2014

Kaunseling dan Kepingan Sejarah Yang Berlalu

Ada pertemuan ada perpisahan. Tak ada yang abadi dalam hidup. Begitulah hidup berkata. Yang tinggal hanya puing-puing memorabilia bercerita melalui foto dan video tentang bagaimana sebuah kebersamaan terbentuk pada ketika semuanya tidak saling mengenal kecuali yang datang dari agensi yang sama. 


Terima kasih para Cikgu di Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Kementerian Pendidikan kerana telah memberi warna dalam hidup kami. Kaunseling benar-benar mengesankan kerana ilmu tentang kaunseling juga memanusiakan manusia agar menjadi manusia sejati yang tabah dan mengerti bila berhadapan dengan masalah hidup. Mengapa kaunseling? Tidak lain kerana kehidupan memiliki bahasanya sendiri. Manusia tidak pernah menduga jalan nasib. Manusia akan berhadapan dengan banyak hal yang tidak sesuai dengan cita-cita. Disitulah kaunseling ada untuk memberikan penyuluhan dan pencerahan pada ketika kita kehilangan kendali untuk mengelola. 

Sisi lain bengkel ini yang juga penting ialah wujudnya semangat kesetiakawanan yang tinggi kerana daripada tidak saling mengenal menjadi kenal dan berdamping bagi membina ikatan silaturrahmi sesama.

dah tamat dik

Bersama Pembengkel Utama

ialah tu...peace

antara peserta yang menyerlah

kumpulan sape ah...

saatnya menunggu simulasi majlis penutupan
Kini semua telah kembali ke habitat pekerjaan masing-masing. Akankah ada hari esok bagi sebuah persahabatan yang telah terbentuk? Hanya masa yang akan menjawabnya.

Ahad, 2 November 2014

Seminar Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asean Kali Ke-2, Pattani, Thailaind, 25 - 27 Oktober 2014

Diberi kesempatan oleh pimpinan jabatan dan kementerian untuk menghadiri Seminar Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN Kali Kedua, di Pattani, Thailand pada 25-27 Oktober 2014 membuat saya berdecak kagum dengan semangat Melayu Thai khususnya warga Universiti Fatoni dalam mengupaya dan merealisasikan penganjuran seminar berkenaan. Pimpinan Universiti Fatoni dengan kerjasama DBP Melayu Thai dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berpadu tenaga membawa pakar, peneliti bahasa, linguistik khususnya cabang sosiolinguistik. Satu hal yang menarik ialah masyarakat Melayu Thai mempunyai kesedaran tinggi untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan bekerja keras membangunkan universiti bagi menjamin daya saing bangsa ini untuk duduk setara dengan masyarakat majoriti di Thailand.

Seminar ini ditutup dengan pembacaan resolusi tentang pemartabatan bahasa Melayu termasuk rancangan menubuhkan Majlis Pendidikan Bahasa Melayu di negara ASEAN. Selepas pembacaan resolusi, seminar ditutup rasmi oleh Prof. Dr. Lufti Ismail Japakiya, Rektor Universiti Fatoni dengan penuh makna dan sarat dengan gagasan yang menggugah pemikiran peserta.

sesi forum

bersama pimpinan Universiti Fatoni

bersama para pensyarah UPSI bergambar berlatarkan salah
satu fakulti di Universiti Fatoni
bergambar ramai di majlis penutup seminar
salam perpisahan

bersama Presiden Alumni UPSI



Selain forum dan wacana, seminar ini juga dipenuhi dengan acara pengisian acara lintas budaya iaitu kunjungan ke Universiti Fatoni, lawatan ke masjid Takbai, dan tempat bersejarah lain. 

Sabtu, 1 November 2014

mari berkaunseling, 18 Oktober - 03 November 2014

Kesempatan mengikuti Bengkel Kaunseling anjuran Bahagian Kaunseling dan Kerjaya daripada Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan  baik dari segi perkongsian ilmu, peristiwa dan pengalaman mengkaunseling yang dilalui oleh para kaunselor (namun kerahsiaan tetap dijaga kerana itulah etika yang perlu dipatuhi oleh para kaunselor kepada kliennya), latihan dalam kelompok dan sukan ria yang sarat dengan dengan kesan dan pesan kemanusiaan iaitu perlunya bersatu hati untuk menghasilkan kerja yang baik dan sempurna benar-benar merupakan satu pengalaman yang luar biasa. Paling mengujakan ialah pertemuan dan persahabatan dengan teman-teman baru dari pelbagai agensi yang saling membahu-bahu dan bekerjasama antara satu dengan yang lain dalam apa jua aktiviti yang dilaksanakan.

Seperti biasa dalam kebanyakan bengkel yang dianjurkan, pembentukan kumpulan atau tim merupakan satu kewajipan untuk menumbuhkan kesepaduan, semangat dan kebersamaan selain daripada mewujudkan kerjasama yang efektif antara ahli dalam kumpulan. Penulis berada dalam tim Masrah yang dibentuk hasil daripada kombinasi huruf pada awal nama ahli (Mahli, Azurin, Sai, Ruby, Aishah dan Hikmah sementara nama Norsinah diambil daripada salah satu huruf yang sudah diwakili oleh nama ahli lain dalam tim ini). Membaur bersama tim Masrah yang memang terkesan santun, malu-malu,  saling menghormati namun tetap proaktif untuk berkontribusi apabila diberikan latihan dalam kelompok. Paling menggembirakan apabila tim ini menang dalam permainan sukar menolak bola bersegi dan tali yang disimpul seperti bola menggunakan kayu yang diikat menggunakan tali dan tali itu dipegang oleh semua ahli tim. Bola yang ditolak atau digerakkan dalam satu rel bulatan tali tidak boleh tersasar dari laluannya kerana jika tersasar, ia perlu dimainkan semula. Sukar, sulit dan perlu konsentrasi dan perpaduan antara fikiran dan rasa. Akhirya menang..ya menang Tuan/Tuan dan Puan/Puan. Sebelumnya tim Masrah meraih posisi kedua dalam forum hasil kerjasama padu dan kebolehan ketua kumpulan, Mahli Dollah.

Sebagai catatan kaki, penulis mengambil kesempatan di ruangan ini untuk memohon maaf kepada tim Masrah kerana sekurang-kurangnya 3 hari setengah tidak dapat bersama dengan tim ini apabila berlaku pertembungan dengan komitmen jabatan yang tidak dapat dihindari.

Tim Masrah dari kiri ke kanan: Ruby, Norsinah, Sai, Dk. Aishah,
Hikmah, Mahli Dollah dan Mohd Azurin Othman

dan pemenangnya...Masrah

Naib Johan. Beberapa tahun ke depan, foto ini dan beberapa foto
 lainnya menjadi satu penggal dalam sejarah, yang tersisa adalah
waktu dan buah dari pengalaman yang pernah diraih satu ketika.
Saya merasakan apa yang dilakukan oleh BKK, Kementerian Pendidikan dengan membuka peluang kepada karyawan daripada pelbagai agensi untuk mengikuti bengkel ini merupakan satu langkah yang tepat, patut dan wajar kerana dewasa ini pelbagai tekanan sosial dan ekonomi berlaku dalam kalangan masyarakat yang memerlukan seseorang menjadi lampu aladin untuk membantu memberikan pencerahan dan nasihat selain berusaha berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala bagi meringan atau memberi jalan pada masalah yang dilalui. Dalam hubungan ini, adalah penting bagi semua agensi kerajaan di negara ini menubuhkan unit kaunseling bagi membantu dalam menyediakan huraian kepada masalah atau tekanan yang dihadapi oleh sesetengah karyawan yang memungkinkan perkhidmatan mereka terganggu sehingga menyebabkan perancangan kerja terhalang dek kurangnya kerjasama dan kontribusi daripada seseorang pegawai yang sedang dilanda masalah. Pada hakikatnya, semua kita menginginkan jalan hidup yang mulus, namun dalam mengharungi tiap perjalanan itu tentu ada "selekoh, jalan terjal yang licin, bebatuan, perbukitan dsbnya" yang perlu dilalui sebelum menikmati hidup yang baik dan elok. 

Secara peribadi, menghadiri bengkel ini membuatkan saya berasa seronok kerana pendekatan pengajaran yang menghiburkan terutama beberapa latihan dalam kelompok yang diberikan kepada kami untuk dilaksanakan. Sehingga satu ketika hampir sebahagian daripada kami memperlihatkan sifat insaniah dan manusiawi apabila pengalaman hidup teman-teman yang dicurahkan dalam program sand therapy benar-benar membuatkan kami terharu dan berkongsi kesedihan tentang peristiwa yang dialami.  Ia sebuah proses alami kerana manusia tentunya memiliki jiwa untuk menyerap dan mudah sensitif dengan pengalaman hidup orang lain apatah lagi jika ia pernah melalui pengalaman serupa.

Tim Bisai Ne

Tim Mission Imposibble

Sesi forum daripada Tim Masrah
Tim Masrah bergambar bersama Kaunselor BKK
Momen akhir bengkel - sesi lawatan

antara aktiviti latihan dalam kelompok yang diikuti




Setelah mengikuti bengkel ini, saya menganggap kaunseling mendidik manusia menjadi manusiawi iaitu menerima apa jua rintangan atau masalah hidup sebagai satu signal yang diberikan Allah Subhanahu Wa Ta'ala untuk kita merespons dan seterusnya menjadi manusia yang kuat dan tabah. Benarlah seperti kata Anne Beasant "Kesukaran ada supaya dalam mengatasi kita menjadi gagah, hanya dengan menderita sahaja manusia dapat menyelamatkan (diri dengan orang lain)". Untuk  tim Masrah, senang mengenali biskita semua dan berharap pertemanan kita akan berjalan sampai bila-bila. Harapan yang sama juga kepada semua teman dalam Grup WA Counsellor Chat.

Rabu, 27 Ogos 2014

introvert dan suka kesunyian

Sejak di sekolah dasar, saya suka membaca. Membaca telah menjadi minat sejak lama malah kebiasaan itu menjadi nutrisi yang tidak dapat dihindari. Kebiasaan membaca bahan bacaan berat seperti falsafah, politik, sejarah, bahasa, budaya, dan biografi kisah kejayaan peribadi tertentu membuat fikiran tergugah kerana bahan bacaan berat sedemikian pada kebiasaannya menyajikan sebuah pengalaman dan tentunya dunia yang berbeza. Kini saya memburu dan membaca profil tokoh atau biografi figur serantau dan antarabangsa yang ditulis oleh penulis biografi terkenal. Menulis biografi adalah menulis kehidupan kerana ia memerlukan kemahiran menulis yang baik, pandai mengolah dan menyusun narasi hasil daripada pendekatan intens dengan figur yang ditulis. Jadi, penulis biografi terkenal biasanya sudah biasa dengan dunia tulis dengan gaya bahasa yang memikat, menyentuh, inspiratif dan berwarna. Kenapa biografi? Bagi saya, biografi adalah sebuah konseptual cerita figur tersukses yang harus siap memindahkan ruang privat yang biasanya sempit dan tertutup ke bentangan ruang publik yang luas tak bertepi ketika menjadi buku. Salah satu kekuatan biografi adalah kejujuran daripada subjek untuk membuka diri selebar-lebarnya. Dengannya, kita dapat menghadam dan mengaut sesuatu yang sangat menginspirasikan dan membuat saya selalu berasa bertenaga kerana adanya gerakan fikiran yang positif yang mendorong saya hasil daripada pembacaan berkenaan. Itulah yang saya rasakan pada ketika selesai mengunyah dan menghadam cerita dalam sesebuah biografi. Nah, kebiasaan membaca bahan bacaan berat ini membuatkan saya menjadi tidak berminat kegiatan ekstrakurikulum di sekolah dahulu. Malah kini dalam kegiatan sosiolisasi yang saban hari selalu ada.

Merunut balik hobi membaca yang saya rasa buku dengan saya tak ubah seperti secawan kopi dan sejemput biskut; yang saya baca kebanyakan justeru dikonsumsi orang dewasa yang termasuk kategori bacaan berat. Kecenderungan ini ternyata berbahaya kerana membuat saya menjadi orang serius dan cepat dewasa sebelum waktunya. Saya menjadi penyendiri, introvert, suka kesunyian dan sebolehnya menghindar daripada kebisingan dan tawa ria yang tidak terkawal yang seolah-olah menganggu gerak fikir saya untuk berkarya dan bekerja. Di sebaliknya pula, buku yang menggugah inilah menginspirasikan saya untuk berkarya bagi keperluan pekerjaan dan bahkan nutrisi yang saya dapatkan daripada pembacaan itu membuat saya mencintai dan ingin meneroka dunia melalui petualangan atau perjalanan darat ke negara lain. Tujuan tidak lain adalah melalui pemerhatian dan pengalaman sosial tatap muka ditempat baharu diharap akan dapat mengubah cara pandang dan cara fikir kita terhadap sesuatu setidaknya memberi satu dimensi baharu terhadap apa yang kita lakukan.


Selasa, 19 Ogos 2014

panggilan nurani

Perjalanan dari utara selatan yang telah kulewati beberapa minggu yang lalu kini kusudahi dengan perjalanan pulang ke laman tempat aku dibesarkan. Ya, kampung halaman tempat aku mengenal nilai-nilai kemanusiaan yang telah membatin sejak lama. Sulit bagiku menghindari nilai kemanusiaan itu ketika usiaku kini menginjak hampir setengah abad. Nilai kemanusiaan itulah yang aku anggap sebagai satu panggilan nurani yang selalu terngiang-ngiang dan memanggilku pulang melihat sebuah kebesaran yang selalu hidup dalam jiwa raga dan menjadikan diriku sebagai orang yang selalu mengingati sesuatu sebelum memulakan segala hal. Mengapa aku katakan kembali ke kampung halaman sebuah panggilan nurani. Ia tidak lain kerana di kampung halaman inilah aku mengenal erti hidup dan perjuangan. Di sinilah aku mengenal dan merasai getaran jati diri sejak usia dini. Aku mengenal lumpur, bendang, sawah, perigi, sungai, kolam, ikan sepat, ikan laga, ikan puyu dan segala macam yang tidak terkata yang telah banyak berjasa mengajarkan aku erti perjuangan hidup dan mendidikku erti kemahiran insaniah dan seterusnya berkembang sebagai manusia yang selalu percaya diri untuk melakukan sesuatu yang aku rasa mampu melakukannya dengan izin Allah SWT.

Menjejak kaki ke kampung dan melihat wajah tua mak yang setia di halaman ini membuat hatiku rawan dan sebak. Aku selalu berasa aku menjadi aku yang dulunya setiap kali pulang ke sini. Perasaan itu terasa sebuah kehangatan spiritual yang selama 30 tahun telah aku lewatkan.

Pagi ini aku melihat dan menjenguk keluar ketika subuh menjelang dalam cahaya temaram yang remang di balik sinaran lampu tiang yang suram. Suara kokokkan ayam bersahutan, burung serindit dan mena mulai menebarkan pesona suaranya, demikian pula suara burung bersiul yang namanya terlupakan, suara cengkerik tanah berlaga sejak awal malam mula menyapa mulai surut dan diam perlahan, tupai saling berkejaran di batang pohon petai yang tinggi menjulang, buah manggis berserakan di rerumputan kerana tak ada siapa yang makan pada ketika anak-anak teman sepermainanku dahulu bermukim di kota besar untuk mengadu nasib mereka.

Aku menginjak kaki di laman ini yang banyak menyimpan sejarah kecil ketika kanak-kanak kami berusaha menjadi manusia berani dan selalu ingin menantang diri untuk mencuba. Aku dan mereka memanjat pokok dan mencari apa yang boleh dijadikan nilai. Rebung, pakis, buah, kayu dan botol terbuang dikumpul dan dijual untuk mencari wang. Pada satu ketika pohon getah ditebang secara leluasa untuk dijadikan estet kelapa sawit, pohon getah berkenaan yang perlahan reput itu menghasilkan cendawan ketika hujan datang dalam musimnya. Cendawan itu kami kutip beramai sehingga kawasan yang luas itu semacam menjadi tapak pesta bagi penduduk kampung kami. Kami menjual dan sebahagiannya kami jadikan sayur buat makan tengah hari dan malam. Pada waktu senggang, aku dan mereka berkumpul bermain galah adang, getah lastik, konda kondi, biji getah, letup-letup dan tembak-tembak pada ketika siri Combat menjadi cerita popular pada zamannya.

Aku selalu mengingati itu pada ketika kami bertemu lagi dalam usia yang cukup matang dengan segala perancangan masing-masing. Aku bangga melihat anak kampung ini akan pulang hujung minggu kerana membuat perkara yang sama, ya panggilan nurani. Panggilan nurani mereka tentunya berbeza denganku kerana mereka telah memiliki komitmen fizikal yang lebih besar antaranya yang menghasilkan pulangan yang baik untuk jaminan hari tua. Sementara panggilan nuraniku ini tidak lain dari melihat perubahan mental dan fizikal yang jauh berbeza pada zaman aku dibesarkan dulu. Pada masa yang sama, panggilan nurani yang kulakukan ini tentunya sebuah perjalanan membersihkan diri dan fikiran dengan cara melihat damai, tenang, hijau rerumputan yang terbentang di laman dihiasi tumbuhan yang tak pernah berhenti menzahirkan jiwanya yang hidup dan selalu menjadi tempat teduh kepada sesiapa jua yang lalu.

Panggilan nurani ini juga untuk menjemput hati dan jiwa dengan mencium mak dan memeluknya dengan rasa kasih yang dalam atas sifat keibuan, jasa dan air tangannya yang telah membesarkan aku untuk selalu tabah dan sabar dalam sebuah proses panjang kehidupan. Di rumah ini, aku bersujud dan bertafakur kepada-Mu Ya Allah kerana memberikan aku nafas kehidupan, kesihatan dan rezeki untuk aku kembali menjenguk dan merasai laman ini yang banyak menyimpan masa silam yang penuh asa dan harapan yang dahulunya tidak pernah kutahu bilakah akan tiba masanya itu pada ketika hidupku tenggelam dalam selimut duka dan derita yang mengaung. Aku bahagia kini kerana telah memiliki keluarga, anak dan tentunya rezeki dari laluan perjalanan yang tak pernah kuduga dahulunya. Namun, hati dan jiwaku diselimuti kampung halaman yang selalu memanggilku pulang kerana di sinilah lahirnya sebuah cinta.

Seminggu tinggal di halaman ini, aku kembali mengerjakan rutin sewaktu kecil dahulu iaitu menolong ibu di dapur sesuatu aku telah terbiasa dan terdidik melakukannya sejak lama. Kami minum bersama sambil ibuku bercerita perkembangan yang berlaku di kampung terutama anak-anak yang sebaya denganku yang kini telah memiliki keluarga dan kehidupan mereka. Dari riak wajahnya, aku dapat merasakan betapa ibuku, nek wan dan tok wan, emak bapak dan kita sebagai makhluk sosial juga sebenarnya memerlukan teman bercerita sebagai satu bentuk kepedulian kasih yang mampu buat kita sebagai manusia ria dan bertenaga selalu. 
 
Aku berkata dan berjanji pada diri bahawa kampung halaman ini akan selalu hadir dalam diri dan jiwa serta aku ingin selalu berada di sini untuk satu tempoh yang lama pada ketika tugasku nanti sampai ketikanya berlabuh di pelabuhan waktu.

Selasa, 12 Ogos 2014

serba serbi Batam

Untungnya Batam kerana lokasi strategis wilayah ini terletak berhampiran dengan Singapura dan Johor Bahru. Lokasi strategis berkenaan ternyata menopang ekonomi Batam khususnya industri pelancongan seperti penginapan dan industri hiliran seperti pengangkutan, kuliner dan toko perniagaan yang berdiri di Batam Centre dan di Nagoya Hill yang popular sebagai syurga barangan elektronik dalam kalangan pelancong Singapura dan Malaysia. Kededua turis dari negara berkenaan khabarnya berpusu-pusu datang ke Batam bila tiba hujung minggu, cuti umum panjang dan apatah lagi waktu cuti sekolah. Manakan tidak. Jadual perjalanan ulang-alik feri dari Singapura terutamanya seperti jadual naik bas. Anda tidak pernah tidak dapat tiket jika membeli pada hari yang bersamaan dengan tarikh anda bertolak. Tapi jangan cuba-cuba membeli tiket jika tiba musim cuti raya dan musim cuti panjang persekolahan.

WTB


Tangga menuju bangunan Masjid Jabal Arafah
Menara Masjid Jabal Arafah
Papan tanda Masjid Jabal Arafah

Terminal Feri Batam Centre
Gerbang di Dataran Engku Putri
Masjid Raya




Di Batam terdapat beberapa buah hotel sama ada kelas Melati (istilah hotel bajet yang digunakan di Indonesia) dan berbintang yang berdekatan dengan pusat belanja di Nagoya Hill. Untuk keselesaan bagi mereka yang membawa famili (termasuk anak-anak), hotel penginapan yang sesuai menurut saya ialah Hotel Amaris. Meski tidak bertaraf bintang, Hotel Amaris terkesan masih baharu, bersih, kamar yang agak luas dan lokasi yang dekat dengan Nagoya Shopping Mall. Anda tinggal menapak beberapa meter sahaja untuk ke NSM yang terkenal dengan Electronic City, baju dan beg, hypermarket dan tentunya tempat menjamu selera anda.

Hotel Amaris
Anda boleh menelusuri dan mendapat maklumat hotel ini dalam Agoda.com. Harga bilik semalam di Hotel Amaris ialah Rp435,000 (sudah termasuk pajak). Manakala hotel kelas melati seperti Hotel Sakura, Five Star Hotel 1 dan Five Star Hotel 2 dengan kadar harga bilik semalam masing-masing Rp380,000 dan Rp320,000 (sudah termasuk pajak). Hotel ini terletak betul-betul dilingkungan areal Nagoya Hill Hypermart yang di dalamnya ada Gedung Matahari, tempat makan, kios elektronik, handphone, beg dan baju-bajuan. Sebuah lagi hotel yang bakal siap ialah Hotel Nagoya Hill. 

suasana di medan selera lantai 1 di Nagoya Hill
Akhbar The Strait Times Singapura pun dijual di Batam
sebagai bukti dekat jarak Batam dan Singapura
yang mengambil masa sekitar 45 bagi perjalanan
sehala menggunakan feri
Pusat belanja popular Nagoya Hill Hypermart
Tinggal di hotel berkenaan membolehkan anda hemat biaya teksi dan ojek kerana anda hanya perlu menapak ke gedung pusat belanja berkenaan dalam beberapa meter sahaja. Jika anda memilih menginap di Nagoya One Hotel yang terletak




sedikit jauh ke dalam dan di hadapan bangunan hotel terdapat pemandangan yang tidak enak iaitu banyaknya bengkel membaiki speda dan kereta serta kawasannya terkesan mudah digenangi air apabila banjir. Lagi pula, anda harus menaiki teksi atau ojek (untuk seorang sahaja) dengan caj masing-masing dikenakan bagi perjalanan sehala berjumlah Rp60,000 dan Rp20,000. Meskipun teksi dan ojek senang diperoleh dan terbilang murah dari segi caj yang dikenakan, namun jika anda bolak balik dalam sehari dari hotel ke pusat belanja, ia menyebabkan anda perlu berbelanja sekiranya anda menginap di Nagoya One Hotel. Maaf, jangan pernah percaya dengan rekomendasi yang tercatat dalam Agoda.com yang kadangkala terkesan diada-adakan sesetengahnya. Dan kerana rekomendasi yang mengatakan hotel ini dekat dengan pusat belanjalah (boleh berjalan kaki) yang menyebabkan saya memilih menginap di hotel ini. Ternyata indah khabar dari rupa. Namun tanpa mengurangi rasa hormat pada Nagoya One Hotel kerana sudah terlanjur menempah dan membayar bilik di Agoda.com, kelebihan hotel ini yang memang tidak dinafikan ialah bilik atau kamarnya terbilang besar dari segi saiz begitu juga ruang siar kaki iaitu lorong menuju ke bilik-bilik yang luas. Jika kecil dan jauh pula, tentu sulit untuk dijual kepada turis.Pihak hotel juga menyedia perkhidmatan shuttle van secara percuma kepada penginap untuk ke pusat belanja NSM. Perjalanan bermula pada pukul 11.30 dan perkhidmatan pergi balik disediakan setiap satu jam berikutnya. Manakala perjalanan ke Windsor foodcourt hanya dibuat sebelah malam sahaja.

ruang dalam Nagoya Hill Hypermart
ruang makan
Nilai tukaran semasa dollar Brunei ke Rupiah Indonesia, ialah $1,00 - Rp9,200. Terdapat banyak doket tukaran wang asing dalam NSM. Anda tidak perlu bimbang dan tidak perlu buru untuk menukar Rupiah sebelum bertolak kerana selain doket tukaran wang asing yang terdapat di NSM, ada beberapa doket tukaran wang asing yang berada di pinggiran jalan berhampiran dengan NSM. Barang elektronik seperti kamera Canon, Nikon, jam tangan, beg bagasi dan beg lain terbilang murah. Mereka boleh memberi potongan harga yang menarik jika memang anda berminat untuk membeli. Bahkan anda dipanggil untuk diberi potongan harga (diskaun) barang yang berkenaan bagi sesetengah penjual di kios-kios tertentu.

Pandangan sisi belakang areal Nagoya Hill 

antara produk elektronik yang membanjiri kios di Nagoya Hill

Pusat Makanan Laut Segar di Windsor, Batam
Dari segi syiar pengembangan syiar Islam, terdapat beberapa buah masjid yang boleh dilihat di pinggiran jalan dan yang berhampiran pintu masuk laut di Batam Centre. Di Batam Centre, terdapat Masjid Raya yang biasanya menjadi objek kunjungan wisata khususnya di laman masjid ini anda boleh mengambil gambar berlatarkan tulisan Welcome to Batam yang terletak jauh nun di sebuah bukit. Masjid yang betul-betul terletak di Nagoya Hill dan di belakang Hotel Amaris ialah Masjid Jabal Arafah. Masjid ini terletak di atas bukit dan memiliki menara yang boleh dinaiki dan dikenakan caj sebanyak Rp5,000. Reka bentuk bentuk Masjid Jabal Arafah ini moden dikitari mini laman landskap, kiosk-kiosk, perpustakaan moden dan dewan solat yang berkapasiti muatan dianggarkan 300 orang dalam satu-satu masa. Laungan azan sentiasa kedengaran dan bersahutan antara masjid apabila masuk waktunya.


Mohd Azurin Othman
Penulis bergambar berlatarkan Mega Mall
berdekatan Terminal Feri Batam Centre
Kepada anda yang baru pernah menjejak kaki ke Batam, baik melalui laut atau udara, hendak kemana-mana, sila pastikan anda memilih teksi yang benar iaitu menempah atau meminta teksi dari kaunter yang tersedia, baik di Batam Centre, Bandara Hang Nadim, di hotel mahupun di mall. Dari Batam Centre ke Nagoya Hill dikenakan caj sebanyak Rp60,000 (per taksi).
Satu lagi Mega Mall berdekatan Terminal Batam Centre


Antara hotel kelas Melati (bajet) di Nagoya Hill
Bubur dan ABC yang popular antara menu yang dinikmati


perjalanan dari KL - Singapura - Batam - Johor Bahru - KL

"Jika anda berpeluang untuk mengemas bagasi dan mengembara, lakukanlah. Seorang pun tak mengapa" - Scott Percelay (red)  http://thoughtcatalog.com/scott-percelay/2013/10/10-reasons-why-traveling-makes-you-a-better-person/

Entri kali ini bercerita sambungan kembara saya setelah kembali dari HatYai untuk menyambung ke destinasi seterusnya. iaitu ke Batam melalui jalan darat dari Kuala Lumpur - Singapura. Ibarat kata pepatah "sekali mendayung perahu, dua tiga pulau terlampaui".  Perjalanan ini tidak lebih dari merasai getaran sebuah keterujaan dan gengsi perbezaan ditempat yang dilalui dan disinggahi, tentu.

Khusus bagi anda dari Brunei, belilah tiket perjalanan bas Kuala Lumpur - Singapura jauhari sebelum bertolak kerana pada kebiasaannya, tiket perjalanan destinasi berkenaan penuh, terutama jika anda bertolak pada hujung minggu kecuali anda memang bernasib baik. Waktu jam bertolak disarankan ialah bawah 11 pagi untuk membolehkan anda mempunyai masa yang cukup ke Harbourfront City di Singapura dan seterusnya menyambung perjalanan ke Batam menggunakan feri.

Baik saya membeli tiket bas Super Nice melalui www.busonlineticket.com berharga RM70.00. Anda perlu mencetak (print) e-tiket yang dikirim ke emel anda setelah membuat pembelian online. Dalam e-tiket berkenaan, anda akan diberitahu di mana anda harus menunggu tergantung konsortium bas yang anda pilih. Ada beberapa buah konsortium yang menyediakan perkhidmatan perjalanan Kuala Lumpur ke Singapura dari Stesen Bas Puduraya. Jika anda memilih Super Nice (kadangkala disebut Nice), tempat mendaftar masuk dan menunggu bas ialah di Imbi Plaza. Terdapat sebuah pondok atau doket konsortium berkenaan, betul-betul dibalik tangga atau eskalator LRT Imbi Plaza berhadapan dengan Berjaya Times Hotel.

Sebelum menaiki bas, anda perlu mendaftar masuk iaitu mendapatkan tiket bas sebenar di kaunter Grassland Express Service Sdn. Bhd. yang terletak di belakang 7 Eleven tidak jauh daripada lokasi doket tadi. Ingat, anda harus mendaftar setengah jam sebelum bertolak.

Bas bergerak tepat waktu jika tiada masalah. Perjalanan mengambil masa kurang lebih dalam 7 jam. Tidak banyak berhenti untuk ke toilet kerana tempoh perjalanan tersebut terbilang tidak lama. Seingat saya ada tiga hentian sahaja. Hentian paling lama ialah di Yong Peng, Johor. Semua penumpang diberi masa selama 30 minit sahaja untuk rehat makan, minum dan ke toilet.

Seterusnya, bas bergerak menuju ke Pos Kawalan Imigrasi Gerbang Selatan Johor Bahru. Besar pos kawalan berkenaan. Jika anda masih baharu menggunakan bas untuk pergi ke Johor - Singapura, sila perhatikan penumpang yang naik bas yang sama bergerak ke kaunter imigrasi berkenaan. Tempat mengecap pasport di tingkat 1. Selepas siap di kaunter imigrasi, anda harus turun kembali untuk menaiki bas berkenaan. Kemudian bas menghala ke Pos Kawalan Imigrasi di Woodlands, Singapura. Masuk sahaja di Woodlands, pintu masuk Singapura ini terkesan ketat, tegas, smart, efektif dan penuh disiplin. Ramai penumpang bergerak cepat tanpa berlengah dengan bagasi (bagasi perlu dibawa turun bersama anda) mereka untuk naik ke tingkat 1. Anda perlu bergerak cepat kerana pada saat yang bersamaan, ramai penumpang bas lain juga buru-buru untuk berbaris untuk mengecap pasport mereka. Pos Imigrasi Woodland terbilang superb dan berskala besar bagi pintu masuk darat. Ia seolah seperti "lapangan terbang pintar" dalam bandar kerana kesibukan penumpang keluar masuk sama sibuknya seperti di lapangan terbang Changi. Baik di Pos Kawalan Imigrasi Gerbang Selatan di Johor Bahru dan di Woodlands, Singapura, kededua pos ini menyediakan suasana yang mesra dan manja penumpang kerana tempat berbaris untuk mengecap pasport yang luas dan dalam bangunan yang aman dan nyaman serta terhindar daripada pencemaran udara. Bagi penggunjung yang telah terbiasa dengan hal berkenaan tentunya tidak berasa asing dan tidak hairan dengan apa yang disediakan, namun bagi pengunjung lain, ini sesuatu yang menarik dan menampilkan suasana wah dan wow. Dek frekuensi kemasukan pengunjung yang luar biasa kerana tarikan pelancongan yang disediakan, pihak berkuasa kededua negara memberi perhatian serius dalam memodenkan gerbang pintu masuk mereka untuk memberikan suasana selamat datang yang hangat kepada pengunjung di seluruh dunia yang memilih menggunakan transit darat ke destinasi berikutnya.

Masalah besar di Pos Kawalan Imigrasi Woodlands khusus bagi anda yang baharu pertama kali masuk (kecuali mereka dari Malaysia dan Indonesia) ialah pegawai imigrasi Singapura akan banyak bertanya pada anda. Anda perlu bersedia dengan salinan tempahan hotel jika memang anda transit di Singapura dan tiket balik ke negara asal. Jika anda tidak bermalam di Singapura, sebaliknya anda terus ke Batam menaiki feri dari Harbourfront City, maka anda diminta menunjukkan tempahan hotel di Batam. Mereka juga akan tanya bagaimana anda ke Harbourfront City. Cukup cakap anda menaiki teksi dari Golden Miles Singapura tempat penurunan penumpang bas yang anda naik tadi apabila tiba di Singapura. Terkadang anda diminta mengangkat dan menunjukkan bagasi anda. Lucu bagi saya kerana terlalu detail nampaknya imigrasi Singapura di Woodlands ini. Jangan sesekali mengambil gambar kerana kamera dipasang dimerata tempat di pos kawalan berkenaan. Mereka akan cepat datang ke tempat anda, sekiranya anda didapati mengambil gambar bangunan imigrasi yang terkesan besar dan super itu.

Setelah selesai, anda perlu membawa dan mengimbas bagasi anda ditempat pengimbasan yang terletak satu lantai dengan tempat mengecap pasport tadi. Pegawai kastam Singapura akan melihat dan mengawas tempat berkenaan dengan cekap dan cepat. Kemudian anda harus turun kembali untuk menaiki bas menuju ke Golden Mile. Setelah turun dari bas, anda harus menunggu teksi ditempat hentian teksi yang dikhaskan di Golden Mile berkenaan. Caj tambang teksi bermeter dari Golden Miles menuju ke Harbourfront (terminal feri penumpang Singapura - Batam) ialah $10.00. Pastikan anda memiliki duit Singapura yang cukup terlebih dahulu kerana di pusat tukaran wang asing di Golden Mile, dollar Brunei DS tidak diterima selain daripada ringgit Malaysia, Rupiah Indonesia, Baht dan Peso (wang dari negara ASEAN yang diterima).

Dari Golden Mile ke Harbourtfront City kurang lebih memakan waktu sekitar 15 ke 20 minit. Di Harbourfront City, anda ikut petunjuk yang menunjukkan tempat pembelian tiket feri di kaunter syarikat perkhidmatan feri yang tersedia menyambut dan memenuhi keperluan perjalanan anda. Ada beberapa buah syarikat atau feri yang membuat perjalanan ke Batam Centre, iaitu (1) Sindo Ferry yang identik berwarna kuning, (2) Batam Fast, (3) WaveMaster dan (4) Pacific Ferry. Harga tiket sehala ke Batam ialah $25.00 (termasuk tax). Tiket yang dibeli beberapa minggu sebelum perjalanan akan dijual secara open date (anda boleh menaiki feri pada bila-bila hari dan masa)

Tiket sehala Singapura - Batam


Feri Singapura-Batam-Singapura
Anda tidak perlu tergesa-gesa membeli tiket balik kerana Sindo Feri dan feri yang lain memang berskala besar. Tempat duduk banyak yang kosong feri berkenaan memang berkapasiti besar. Tiket balik boleh dibeli apabila tiba di Batam Centre nanti. Pilih hentian ke Batam Centre kerana selain Batam Centre, ada empat hentian lain selain Batam Centre iaitu di Sekupang dan Tanjung Pinang dan Tanjung Balai yang juga terletak di Batam. Borang imigrasi Indonesia akan diisi oleh karyawan syarikat Sindo Ferry semasa pembelian tiket dibuat. Anda hanya perlu menunjukkan pasport sahaja.


Jadual perjalanan Sindo Feri
Di kaunter imigrasi Singapura di Harbourfront City ini juga bermasalah kerana banyak pertanyaan perlu dijawab. Seperti sebelumnya, Singapura terkesan detail dalam banyak hal. Perjalanan feri dari Harbourtfront menuju ke Batam Centre mengambil masa 45 minit - 1 jam. 

Jadual feri Batam Fast

Jadual feri WaveMaster



Tanpa mengurangi rasa hormat dengan prosedur pemeriksaan imigrasi di Pos Kawalan Imigrasi di Woodlands dan di Harbourfront City, saya dan mungkin juga anda akan memikirkan apakah ada jalur alternatif keluar lain selain daripada melalui kededua pos berkenaan semula untuk perjalanan ke Kuala Lumpur. Untuk itu, anda boleh menggunakan jalur alternatif iaitu tidak perlu lagi masuk ke Singapura untuk mengambil bas ke Kuala Lumpur. Belilah tiket feri dari Batam ke Stulang Laut, Johor di Batam Centre. Tiket feri berkenaan juga tidak perlu dibeli buru-buru kerana pihak mereka hanya menerima pembelian sehari sebelum perjalanan.

Jadual feri Pacific

Perjalanan pulang pergi dari Batam Centre ke Stulang Laut dibuat selang sejam. Tiket sehala berharga Rp250,000 dari Batam Centre. Di Stulang Laut, terminal hentian ialah di Berjaya Waterfront. Terminal ini kecil dan terkesan kurang sibuk jika dibandingkan dengan Harbourtfront di Singapura mahupun di Batam Centre. Setelah selesai pemeriksaan imigrasi di Berjaya Waterfront, beberapa orang calo atau ulat @ teksi sapu berkeliaran menanyakan destinasi anda dan seterusnya menawarkan harga. Anda tidak perlu melayani kehendak mereka yang adakalanya suka menenung orang. Anda cukup naik lif dan pergi ke lantai bawah (G) untuk ke luar. Semua penumpang feri juga harus menggunakan lif yang sama. Tidak jauh dari pintu bangunan teksi rasmi berwarna merah dan biru bersedia mengambil penumpang. Pastikan anda memilih teksi berwarna merah kerana teksi ini menggunakan meter berbanding teksi berwana biru yang biasanya mematuk harga yang sedikit mahal. Jika anda menggunakan bas ke Kuala Lumpur, anda meminta teksi menghantarkan anda ke Terminal Bas Larkin @ Larkin Sentral. Di Larkin Sentral, banyak operator mengendalikan perkhidmatan perjalanan bukan sahaja ke Kuala Lumpur malahan juga ke HatYai, Kedah, Penang, Melaka, Seremban dan Pantai Timur. Di terminal bas ini, banyak agen tiket yang berkeliaran melobi anda. Anda juga tidak perlu melayani mereka. Sebaiknya tuju ke kaunter tiket. Misalnya, jika anda hendak ke Kuala Lumpur, pergi ke kaunter perkhidmatan bas Mayang Sari. Jika anda hendak ke Seremban, pergi ke kaunter bas Plusliner atau KKKL. Bas yang ditawarkan oleh agen yang berkeliaran di Terminal Bas Larkin kebanyakannya membuat perjalanan pakej iaitu akan berhenti menurunkan penumpang di terminal antara bandar. Bas ini pula tidak masuk ke terminal antara bandar berkenaan, sebaliknya menurunkan penumpang di tepi jalan.

Batam-Stulang Laut
Sebagai tambahan, jika anda ingin merasai sensasi bagaimana menjadi seorang pengembara yang tangguh, kesulitan dalam pengembaraan itulah diri kita dilatih untuk menjadi mandiri, lebih kuat, tabah dengan tempaan hidup dan paling penting dapat melatih kita faham dengan berbagai masalah yang ditempuhi dan kaedah yang sesuai bagaimana kita menanganinya sama ada lewat komunikasi yang baik kerana anda mungkin telah mempelajari selok-belok perkara lebih awal lewat perkongsian para bloggers yang anda baca atau melalui penunjukan bukti yang boleh meyakinkan pihak berkenaan. Bukankah pengembaraan adalah satu proses untuk menerbitkan rasa indah dengan pengalaman dan tempaan masalah yang kita hadapi.


COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...