Rabu, 6 Januari 2016

Kesan lawatan singkat ke De La Salle University

Selasa, 05 Januari 2016 ketika duduk mencatat diari di North Gate DLSU, pintu masuk utama sebelah utara bagi siswa baru, aku disapa oleh seorang pensyarah yang usianya sekitar 50-an yang ketika itu sedang duduk membaca akhbar di bench dalam North Gate. Beliau memperkenalkan dirinya. "Hi Sir..morning. I'm Prof. Martin C. Ronda, Prof in Physical Education, DLSU". Beliau seterusnya berbual dalam bahasa Inggeris yang kental dengan langgam atau telo orang Filipina yang biasa kita dengar. Sapaan seterusnya kurang lebih bermaksud "Saya memerhatikan anda dari tadi. Anda dari mana, apakah anda buat di sini". Saya menjelaskan tujuan saya yang menghantar anak menjalani program Discovery Year di DLSU selama satu semester.

Agaknya kerana kami berdua tidak jauh beda usia yang pada masa itu dikelilingi oleh generasi muda yang duduk-duduk di bench menunggu rakan mereka datang, maka tergerak hatinya untuk menyapa dan bersahabat. Biasanya orang senior mudah ramah jika menjadi minoriti dalam satu kelompok. Beliau seterusnya menawarkan short tour di areal kampus DLSU. Sesuatu yang tentunya saya tidak akan menolak apa lagi melepaskan. Pucuk dicita ulam mendatang. DLSU ini dikelilingi pagar dan sulit bagi mereka tidak mempunyai urusan dan tujuan untuk masuk.

Sebelumnya, sedikit gambaran luar tentang kampus DLSU ini. Hampir kebanyakan properti di Malate ini dikelilingi pagar batu. Kampus DLSU salah satu properti pendidikan yang berpagar dan pada setiap pintu masuk diletakkan mesin pengimbas kad pengenalan pelajar dan pensyarah. Pengunjung perlu menulis nama, meninggalkan kad pengenalan mereka dan seterusnya diberi pas pelawat.

Setiap pintu masuk dikawal oleh sekurang-kurangnya seorang sekuriti kecuali di pintu masuk utama bagi pelajar baru yang memerlukan minimum tiga orang sekuriti. Pelajar baru yang datang serentak perlu bersabar dan berbaris untuk hari pertama kehadiran mereka. Setelah memperoleh kad pelajar, mereka boleh masuk di pintu masuk yang terpencar di mana-mana khususnya di areal fakulti pembelajaran mereka. Difahamkan imbasan atau pemeriksaan sekuriti, tidak sekadar berlaku di pintu-pintu masuk menuju ke kampuskan bahkan juga di bangunan kampus tempat mereka belajar.

Antara kampus DLSU yang kental nuansa roman

Pendaftaran pelajar di pintu masuk North Gate

Kampus DLSU

Prof. Martin C. Ronda seorang yang simple dan mudah berbual. Beliau membawa saya untuk melihat lebih dekat seperti apa karakter atau nuansa emosi bangunan DLSU yang tersergam itu yang sebelumnya saya hanya memandang dari luar pagar.

Cabang kampus DLSU

Cabang kampus DLSU

Sambil membawa saya meronda, beliau bercerita sedikit sebanyak tentang DLSU. 

Kampus DSLU terpencar dibeberapa titik daripada bangunan utama di Taft Ave ini sama ada dalam posisi bersambung, jeda dan bertentangan yakni di seberang jalan berhampiran dengan pusat makanan segera. Anggaran keluasannya DLSU tidak keterlaluan saya katakan sekitar 8 pada bola sepak. Memang luas dan keluasan itu menyenangkan bagi melapangkan fikiran untuk belajar. Dah namanya universiti.
Berdasarkan pemerhatian, saya dapati kampus DLSU mesra pelajar kerana begitu banyak kawasan lapang disediakan untuk belajar berbincang, sekadar berbual-bual sebelum masuk waktu kuliah. Bahkan di samping bangunan kuliah disediakan deretan kerusi panjang buat menunggu, berehat atau menyudahi tugasan kuliah. 

Penulis bergambar di salah satu fakulti

Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi di belakang kondo
The One Archer's

Anak penulis di North Gate DLSU
Siswa di sini kebanyakan berpakaian kasual yang simpel dan mudah bergerak cepat. Bahkan ada antara mereka berseluar pendek! Nampaknya DLSU memberi kebebasan kepada siswa tempatan dan antarabangsa untuk berpakaian asal mereka tahu bagaimana menyesuaikan pakaian yang mereka pakai. 

Siswa di sini datang sejauh Eropah, Korea, Jepang, Indonesia dan Saudi Arabia. Siswa Saudi Arabia mengambil pengajian dalam kejururawatan, dan dikatakan bahawa bidang kejururawatan dan perbidanan inilah yang banyak mengeksport tenaga kerja terlatih Filipina ke negara luar sehingga disiplin ilmu ini mendapat pengiktirafan serta menaikkan merit pendidikan kejururawatan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan di Filipina.

Majoriti siswa DLSU ini merasa bangga untuk memakai tali tag nama mereka dan mereka jalan keluar daripada kampus pada waktu jeda kuliah untuk menikmati makan tengah hari di sekitar Malate.

Secara keseluruhan atmosfera persekitaran kampus ini kesannya sangat bersahabat dan memang sesuai dengan konsep hidup dan pengajian universiti yang mendorong siswa mereka memiliki karakter yang cergas, cerdas, bertenaga, dinamik dan terbuka serta memiliki sifat sosial yang proaktif.

Dari sisi lain, saringan dan imbasan sekuriti di mana-mana titik penting d areal DLSU ini membuatkan anda berasa aman dan selamat. Semoga.

Barisan siswa yang menunggu di North Gate DLSU



Antara monumen di DLSU



Filipina dan negara serantau lain memberi perhatian pada produk lokal mereka

Produk lokal bukan sahaja cerita tentang ekonomi, perniagaan,  pekerjaan dan penciptaan mesin dan teknologi yang ramah, tetapi juga cara kita memaparkan sikap masyarakat dan sesuatu negara itu. Apakah sesuatu negara itu adalah negara pencipta, pengeluar atau pengimport sekaligus negara konsumptif? Di Filipina, produk lokal berupa pakaian, sandal dan kasut, peralatan dapur, herba, makana instan, minyak wangi, kosmetik, cenderamata, seni dan material budaya serta produk hiliran berasaskan buah-buahan kering dijual di pasaraya besar dengan kemasan yang menarik dan memperlihatkan kualiti dan nilainya. Industri hiliran produk kering buah-buahan yang berasaskan mangga telah menjadi ikon ekonomi Manila dan sering kali dicari oleh turis luar yang berkunjung di sini. Yang pasti, industri hiliran buah kering tentunya memberi peluang ekonomi dari segi kestabilan sumber kewangan kepada pengusaha dan pekerja kerana pada musim tengkujuh, panas dan taufan, tanaman pasti dilanda musibah.



 Antara produk hiliran tani yang popular ialah minuman herba tea Guyabano. Tea Guyabano atau lebih dikenali durian salat/durian belanda dibuat berasaskan daun pokok tersebut yang dikeringkan dan dijadikan tea. Guyabano diketahui oleh masyarakat Brunei sebagai tanaman yang boleh mencegah penyakit kanser yang pelbagai antaranya kolon, diabetis, gout dan mastektomi atau kanser buah dada.
Filipina seperti juga jiran serantau nampaknya memberi perhatian kepada pelestarian dan kesinambungan produk keluaran dalam negara. Dalam konteks produk makanan yang pelbagai baik yang kering, basah dan yang ditinkan, masyarakat di negara berkenaan kelihatan tidak canggung dan pelik untuk menyokong warisan yang mereka miliki yang dihasilkan oleh local genius mereka. 



Kerajaan di negara itu pula menyediakan sistem yang kondusif bagi menyokong produk keluaran tempatan berkenaan untuk merebut hati masyarakat setempat agar mencintai produk keluaran mereka. Perkara ini ditambah pula jumlah populasi yang padat yang terdiri daripada penduduk kelas elit, menengah dan marhaen yang sentiasa memerlukan produk yang sesuai dengan nilai wang yang mereka miliki. 

Kerajaan juga menyediakan sistem yang kondusif bagi daya saing produk keluaran mereka dengan cara menghindarkan produk saingan keluaran negara lain menghiasi rak-rak di supermarket atau hypermarket di negara. Satu best practises yang biasa dilakukan di negara pengeluar bagi mengangkat dan memperkasa ekonomi rakyat. Yang diimport pastilah barangan yang tidak dikeluarkan dalam pasaran tempatan. Dasar yang ketat dan mendidik inilah yang membekali rakyatnya sebuah kecintaan dan loyaliti kepada produk keluaran negara mereka. Alhasil, produk keluaran tempatan mendapat tempat yang istimewa di rak-rak mall dan produk ini laku keras dalam kalangan masyarakat negara berkenaan. Dengan lidah mereka yang sudah terbiasa dengan produk keluaran sendiri, anak-anak tempatan yang merantau tentulah menginginkan produk mereka dijual di perantauan. Akhirnya, tumbuhlah minimarket produk sesuatu negara itu di perantauan.  Yang berlaku tentunya keuntungan berlipat ganda daripada tindakan secara sedar ini. Bererti anak-anak di perantauan membantu kelangsungan ekonomi di negara asal mereka. Rakyat diperantauan telah tumbuh kembang sedari kecil dengan identiti mereka sehingga di mana jua mereka terpencar, mereka memiliki identiti dan mempertahan identiti tersebut termasuk bab perut dan pakai. Luar biasa.

Penulis sempat berbual dengan Al-Shawi, peniaga Turki yang telah berada 11 tahun di Malate. Beliau menyampaikan bahawa pihak berkuasa tempatan di Filipina telah melaksanakan penyaringan ketat sebelum orang asing menjalankan perniagaan di Manila. Tujuannya tidak lain bagi melindungi produk keluaran tempatan. Yang pasti, perniagaan anda harus berbeza, sesuatu yang tidak ditawarkan di Manila, dan mestilah dilaksanakan secara usaha sama. Apakah ini cukup? Sesuatu yang kita perlu ingat apabila berniaga ditempatkan orang ialah anda mestilah menjadi orang yang lebih pintar bagi menghindarkan diri daripada perbuatan manipulasi rakan usaha sama di Manila. Itu pesan Al-Shawi sebelum perbualan kami tamat di meja makan Mc Donald, SM Horison Plaza, Adriatico St, Malate, Manila.

Malate, Kota Yang Memiliki Jiwa Sosial

Berada 10 hari di distrik Malate, kesempatan yang tidak wajar disia-siakan. Aku duduk berlama-lama memerhati anak muda yang lalu lalang dengan tujuan yang pelbagai. Yang pasti tujuan utama mereka adalah studi kerana distrik ini adalah kota pendidikan. Di sela-sela waktu, mereka keluar dari kampus untuk rehat makan di rantaian fast food yang menjamur atau sekadar jalan bareng berbual-bual untuk meredam dan membunuh waktu sebelum melanjutkan komitmen studi seterusnya. Selain duduk memerhati, aku berjalan dengan mata meliar untuk mengamati corak dan budaya hidup generasi muda yang kebanyakan mereka adalah siswa De La Salle University (DLSU), sebuah universiti yang dipandang tinggi di sini, terbilang mahal yuran pembelajarannya dan rata-rata mereka adalah anak pengusaha dan anak pejabat pemerintah. Begitu masyarakat Filipina memandang status DLSU ini.

Berdasar pengamatan, aku mendapati kota ini memiliki roh segar sosialisasi dalam kalangan muda. Mereka memanfaatkan waktu berbual dengan cara yang hidup yakni bercakap sesama rakan sebaya. Minimum mereka berkumpul dan nongkrong di fast food dalam jumlah seramai 6 - 8 orang. Mereka makan sekadar alas perut iaitu semangkuk nasi, dua ketul fillet ayam goreng dan segelas coke. Sambil makan sambil ngomong. Kebiasaan yang trendy yang selalu dilakukan oleh anak muda dengan rakan sebaya mereka. Tidak nampak ditangan mereka telefon bimbit apatah lagi ditaruh di meja. Tidak nampak mereka menekan keypad telefon yang rata-rata anak muda lebih ramah menekan keypad untuk merespons Whatsapp, mendengar lagu atau melayari internet, dan bermain game via smartphone seperti yang selalu dilakukan oleh anak-anak muda bahkan ibu bapa mereka di belahan negara lain. Sesuatu yang kontradiks! Aku mencari-cari sebab mengapa generasi muda di sini nampak terbiasa dan tidak canggung. Ternyata internet dan elektrik di sini terbilang sangat mahal! Aku melalui keadaan itu apabila menggunakan sim card daripada penyedia telekomunikasi jenama Globe. Dek selalu merespons Whatsapp, kredit atau pulsa saya rentan cair atau susut nilai sehingga perlu direload. Rupanya ada kesan positif atau ada nilai pendidikan daripada sesuatu perkara yang tidak menyebelahi kita. Kesan positifnya ialah masyarakat terdidik untuk selalu menghargai diri dan persekitaran sosial. Bukankah hidup harus bersahabat, harus berdamping dan harus melengkap bersama-sama. Nah, itu yang berlaku di sini. Mereka memaksimumkan waktu dengan cara benar. Nongkrong secara verbal lebih mendominasi sehingga distrik ini benar hidup dengan pergerakan manusia dan sikap sosialnya.

Aku mengamati dan menilai bahawa berbual secara verbal adalah satu proses sosiolisasi yang memiliki kesan serta-merta baik dari segi bagaimana kita menghargai, cara kita bersahabat dan cara kita menyerap kerana sikap sosial tumbuh secara semula jadi kerana proses berbual yang sesungguhnya, sudah pasti secara substantif berlaku perkongsian bestari walau sekecil apa pun materi perbincangan yang dibualkan.

Jangan tak tahu bahawa penelitian pakar menunjukkan bersosialisasi sekaligus berbual secara verbal di mana-mana pun jua dapat meningkatkan daya ingat. Bahkan bersosialisasi dikatakan memiliki dampak yang sama dengan bermain sahibba dan teka-teki bagi meningkatkan kesihatan otak. Dan berbual tentunya bikin panjang umur!

Nah, masyarakat kita khususnya generasi muda telah kehilangan banyak hal yang terjadi daripada proses verbal, baik itu ilmu, tumbuhnya sikap ingin tahu, menghargai masa dan peluang bertanya serta mendalami sesuatu secara langsung daripada kawan yang arif dalam sesuatu hal, peluang untuk belajar merakam secara serta merta dalam minda, peluang untuk selalu mengaktifkan minda atau fikiran dengan perkara-perkara baharu dan tentulah banyak lagi yang dapat diperoleh daripada proses sosialisasi verbal yang berlangsung. Perlu diingat bahawa verbal bukan sekadar nongkrong bareng tetapi juga melatih diri untuk berusaha dan kreatif untuk membuat terobosan kerana minda telah terlatih aktif untuk berfikir kerana dalam berbual, kod minda anda bukan sahaja menerima pesan bahkan perlu berfikir sebelum merespons pesan yang disampaikan oleh lawan berbual anda. Dengan berfikir dan merespons, anda mempraktiskan sesuatu yang benar dan sesungguhnya, dan menghindar budaya copy dan paste seperti yang lazim dalam penggunaan WA.

Masyarakat di sini memanfaatkan masa dengan benar ketika bersosial. Sembang bareng membolehkan mereka mengamati dan memahami budaya, kebiasaan, dan sesuatu yang trendy daripada perilaku sosial. Itulah mengapa mereka menjadi tuan di tanah airnya. Mereka menguasai bisnes dalam pelbagai lapangan meskipun tidak dinafikan ada antara mereka yang berjuang untuk mendapat sesuap nasi dan tinggal di setinggan yang kumuh. Yang pasti, perilaku sosial yang benar tanpa membuang masa dengan smartphone telah memberikan kesedaran kepada mereka tentang pentingnya menghargai masa, menghargai diri dan melihat masalah sebagai peluang untuk berkembang menjadi ahli dalam sesuatu sektor yang mereka ceburi dan usahakan.

Dari sisi lain, harus diakui bahawa telefon bimbit dan aplikasinya adalah senjata bermata dua. Terserah bagaimana anda menilai dan menggunakannya. Yang harus dihindarkan ialah penyesuaian penggunaan alat berkenaan bagi menghindarkan kita menjadi manusia yang konsumptif dan akhirnya fikiran menjadi fakir, lemah dan malas yang berimpak pada kalangan generasi muda menginginkan sesuatu yang sifatnya instan dan mudah. Sikap inilah kemudiannya melunturkan semangat dan nilai berusaha dan belajar daripada kesalahan dan pengalaman.

Sekadar pandangan.







Malate, Manila kota pendidikan yang ramah dan bersahabat

Awal Januari 2016, aku mendampingi anak sulung yang mengikuti program Discovery Year (DY) di De La Salle University (DLSU). Duk selama 10 hari tanpa berbuat apa, tentulah tidak bererti apa-apa. Kesempatan ini kugunakan untuk memerhati dan menjelajah budaya hidup kota yang terkenal dengan sukan basket ball, tinju dan pentas bagi anak gadis mencipta sejarah peribadi dalam pergelaran Miss Filipina sekaligus Miss Universe. 

Berbalik pada tujuan asal, DLSU terletak di areal Malate yang padat dan sibuk. Padat dan sibuk dengan kenderaan pelbagai warna baik Jeepny, beca yang menggunakan basikal dan motor, dan kenderaan lain. Ini ditambah pula dengan deretan kedai makanan segera di pinggir jalan yang sentiasa padat dengan pelanggan yang lapar, dan mereka yang duduk bersembang sambil makan french fries dan minum coke. Yang lalu lalang pada waktu puncak menambah warna areal Malate dan menjadikan areal di sini sentiasa hidup dan berdenyut dengan warna-warnanya. Yang pasti, kehidupan dan ekonomi di sini saling mendukung dan melengkap antara satu sama lain. Ada manusia bererti ada kegiatan. Dari pendidikan, pengangkutan, peruncitan, perkhidmatan hinggalah masyarakat yang sekadar menghabiskan masa berbual-bual. 

Malate adalah kota yang ramah dan bersahabat kerana semua keperluan dan kelengkapan yang anda perlukan ada di sini. Mahu menjamu sambil nongkrong, sebut saja Burger King, Starbuck Coffee House, Mc Donald, KFC, Kenny Rogers Rooster, Jollibee dan rantaian makanan segera Filipina di bawah jenama Chowking dan Tapa King ada di sini. 

Di kota Malate ini, anda boleh melihat pelbagai ragam manusia tetapi ketika waktu puncak rehat, golongan remaja dan dewasa paling mendominasi. Mereka keluar berama-ramai sama ada untuk bergerak dari kampus ke kampus DLSU yang luas dan terpencar daripada bangunan utama malahan ada kampus cabang DLSU yang berada bersebelahan dengan kedai makanan segera. Mereka bergerak berkumpulan dengan pakaian yang santai bak hendak pergi ke pantai, ke pusat kebugaran bahkan seperti hendak window shopping gayanya. Tetaplah gaya itu simpel itu sudah menjadi trendy bagi anak kampus DSLU dan juga masyarakat di sekitarnya.

Baik, kesempatan menemani anak sulung yang mengikuti program DY di DLSU ini aku gunakan untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai kawasan sekitar dengan DLSU khususnya maklumat tentang penginapan, kelengkapan, pengangkutan dan tentu sekali makanan untuk menyambung hidup!!! Sebelumnya, tidak banyak maklumat yang dapat membantu sebagai pencerahan walaupun diakui sedikit maklumat daripada google setidaknya dapat memberikan gambaran tentang DLSU dan Malate. Info ini tentu dapat mengurangkan keraguan kita tentang keselamatan di areal ini. Selain daripada bantuan google, pelajar Brunei yang pernah menjalani program DY di DLSU juga mengongsikan pengalaman dan rekomendasi mereka, baik tentang DLSU mahupun areal sekitarnya.  Kepada pelajar Brunei DS dan serantau yang mengikuti pengajian di DLSU, semoga info berikutnya bermanfaat.

Penginapan

Banyak kondominium atau kondotel (kondo dan hotel) terletak berhampiran dengan DLSU sama ada sebaris atau berhadapan dan kondo yang berdiri di sekitar tidak jauh daripada kampus DLSU. Antaranya ialah WH Taft, EGI Taft Tower, dan The One Archer's Place (terletak bersebelahan dengan DLSU), 2 Torre Lerrenzo, The Manila Residence Tower I dan The Manila Residence II, Burgundy Transpacific Place, Hills Residence (berhadapan atau bertentangan dengan DLSU). Yang berada di sekitar DSLU dan tidak tidak jauh untuk berjalan kaki, antaranya ialah Cara Celine (khusus untuk pelajar lelaki), @Home (khususnya untuk pelajar perempuan dan terletak bersebelahan dengan bangunan Cara Celine) dan berada di persimpangan Estrada St. Selain itu, ada juga WWW. Residency dan Provident Tower juga terletak di Estrada St.

@Home khusus untuk pelajar perempuan


The Providence Tower

EGI Taft Tower

WH Taft Residences
Cara Celine khusus untuk kediaman pelajar lelaki
Leaflet karyawan yang boleh dihubungi'
untuk menyewa kondo 2 Torre Lorenzo

Leaflet University Pad Residence

Pintu masuk utama EGI Taft Tower tempat penulis menginap

Pentadbiran kondo ini menggalakkan bentuk sewa jangka panjang atau minimum setahun. Bilik yang ditawarkan untuk seorang (bilik tipe studio bersaiz sederhana yang dilengkapi katil bujang, meja kecil, peti ais dan almari baju), bilik untuk dua atau tiga orang, dan yang berbentuk dormtel, minimum 6 - 8 orang. Sewa tidak termasuk bil utiliti seperti air dan elektrik. Anda harus bijak menggunakan utiliti kerana di Manila, elektrik terbilang mahal.

EGI Taft juga menyediakan bilik untuk disewa
oleh pelajar DLSU 
Berhubung dengan penyediaan makanan seperti memasak, terdapat kondo yang menyediakan dapur yang dikongsi bersama bagi mereka yang berkongsi 4 atau 6 orang sebilik khususnya katil jenis bertingkat. Terdapat bilik yang hanya sesuai untuk memanas air sahaja atau mungkin menanak nasi yang berlaukkan barangan dalam tin.

Dari segi keselamatan ditempat penginapan, anda tidak perlu meragui dan berasa bimbang dengannya. Setiap kondo ini menggajikan sekuriti yang cukup untuk mengawasi dan memantau penginap, tetamu atau pelawat yang masuk. Bahkan penginapan di @Home untuk pelajar perempuan dibuat pembatas atau pagar pemisah sebelum mereka masuk ke kamar masing-masing. Tahap keselamatan setiap properti ini memang super meskipun anda juga disarankan untuk berhati-hati setiap masa. Sedikit informasi tentang penginapan @Home yang terletak di Estrada St, sekuriti perempuan berbangsa Filipina yang berusia dalam 40-an di sini sangat ramah, membantu dan bersahabat. Boleh diharap. Percayalah. Mereka tipe yang mendedikasikan diri pada kerja dan SOP pada pekerjaan yang dipegang.

Bagi ibu bapa yang datang melawat anak mereka yang belajar di DLSU, boleh menginap di St. Benilde Hotel (berada di Estrada St) atau EGI Taft Tower di Tingkat 29 (Taft Eve). Sebaiknya, menginaplah di EGI Taft Tower.

Kadar sewa hotel di EGI Taft Tower bagi
ibu bapa yang hendak melawat anak mereka


Kemudahan

Semua kemudahan yang anda perlukan ada disekitar kawasan DLSU mahupun tempat kediaman yang bakal anda pilih di atas. Bertaburan kedai serbaneka atau minismart shop yang berkonsep 24 jam seperti 7Eleven dan MiniStop melayani keperluan anda untuk mendapatkan kelengkapan seperti air mineral, minuman lain dan bahan cuci dll. Disediakan juga peti pengecas mobile. Perkhidmatan mencuci baju disediakan atas nama Metro Wash. Caj dikenakan mengikut perkilogram, minimum harus 3kg.

7Eleven bersebelahan WWW.Residency
Sebagai pelajar, anda tentu memerlukan banyak kemudahan bagi melancarkan perjalanan kuliah anda. Di Malate atau berdekatan dengan kondo dan sekitar DLSU, khidmat percetakan dan aneka perkhidmatan yang berkaitan dengannya seperti membuat gambar pasport, mencetak gambar, memfotokopi dsb, tumbuh bah cendawan. Perkhidmatannya cepat kerana dikelilingi oleh karyawan yang cekap dalam melayani keperluan anda. Di samping terdapat kedai alat tulis atau stationary yang lengkap untuk anda mendapatkan kelengkapan alat tulis yang diperlukan sepanjang pengajian.
Aneka minuman dijual

Tempat mencuci baju

Caj mencuci yang dikenakan oleh Metro Wash
Western Union bersebelahan University Pad Residence 

Aneka buah-buahan yang dijual di pinggir jalan berdekatan
dengan University Pad Residency

Khidmat percetakan, gambar dll
Sim Card

Terdapat beberapa provider telekomunikasi menyediakan perkhidmatan sim card bagi perkhidmatan telefon mudah alih antaranya Globe, Smart dan TM. Bagi mereka yang baru datang belajar dan tinggal berbulan-bulan atau mereka yang ada urusan berhari-hari di Manila, disarankan membeli sim card Globe. Di Bandara Manila, dua kiosk sim card iaitu Globe dan Smart ada disediakan bagi memenuhi keperluan pengunjung. Pilihlah Globe kerana liputan internet yang luas. Cuma anda harus pastikan anda memiliki kredit atau pulsa yang cukup untuk merespons text via WA. 

Ketika anda mahu membuat top up kredit atau pulsa, karyawan di 7Eleven, MiniStop dan kiosk mini sim card, hanya faham kata reload sahaja. Elakkan menyebut kata top up kredit atau recaj kredit apalagi kekata tambah pulsa yang membuatkan mereka tercenggang dan bertanya kembali. 

Mesin ATM, Western Union dan Tukaran Wang Asing

Bagi pelajar antarabangsa, tiga perkara di atas sangat penting. Bagi pelajar yang menginap di areal Malate, mesin ATM dari pelbagai perbankan yang menyediakan perkhidmatan pengeluaran dua hala (Cirrus) disediakan. Caj bagi pengeluaran wang bagi kad ATM bank negara asing dikenakan sebanyak P200.00. Paling menjamur, ATM Bank of Philipine. Namun terdapat saran daripada pihak DSLU khusus kepada pelajar luar untuk mengeluarkan wang di mesin ATM CitiBank salah sebuah bank antarabangsa. Ketika mengeluarkan wang, anda dinasihatkan untuk meletakkan kewaspadaan tahap tinggi kerana Malate adalah kawasan yang padat dan aktif dengan kegiatan manusia.

Mak bapak tentu mengirimkan wang kepada anak-anak mereka di sini. Cara termudah dan paling cepat ialah menggunakan Western Union (WU). Di areal Malate, khusus bagi mereka yang tidak mengginap di University Pad Residences, anda perlu menapak sedikit untuk mencari WU yang berada di Ocampo St. WU betul-betul berada tidak jauh daripada University Pad Residences untuk kemudahan anda menunaikan wang kiriman. Jika anda ingin bergerak lebih jauh sedikit, anda perlu ke SM Horison Plaza yang berada di Adriatico St. Terdapat dua kaunter WU, masing-masing berada di dalam Shop Wise (peruncit yang menjual barangan dapur dan keperluan rumah) dan satu lagi di dalam Hypermarket berdekatan Mc Donald. Sebaiknya, pergilah ke kaunter WU dalam Hypermarket yang kelihatan lebih aman. WU sebetulnya banyak menjamur di areal perkotaan yang aktif seperti di Pedro Gill St yang identik dengan Robinson Mall, hotel, hiburan dan spa.

Keselamatan bagi pelajar perempuan Islam khususnya yang bertudung atau berhijab

Sepanjang aku duduk memerhatikan kawasan di sekitar Malate dan DLSU, tidak ada gangguan bagi pelajar yang memakai tudung dan hijab yang simpel buat menutup kepala. Ramai pelajar dari Saudi Arabia membuat pengajian dalam bidang kejururawatan di DLSU. Pelajar-pelajar ini berjalan bebas untuk melaksanakan urusan harian mereka masing-masing.

Untuk pelajar perempuan, tiada kebimbangan mengenai gangguan seksual dsbnya kerana rata-rata anak gadis Filipina yang moderat dengan pakaian yang slim fit kerana majoriti mereka bertubuh ramping semampai (memang negara ini identik dengan kota Miss Universe dan rupa paras yang menawan kerana maraknya perkahwinan campur) lalu lalang dengan bebas di kawasan sibuk mahupun di gang atau jalanan yang sempit. Kemudahan lampu jalan cukup untuk menerangi jalan-jalan dan laluan kecil.

Makanan Halal

Pusat makanan segera tidak terbilang dengan jari di areal Malate ini. Sebut saja Mc Donald, Starbuck, Jollybee dan rantaian makanan Filipina seperti Chowking menjamur di mana-mana. Sentiasa penuh dengan manusia. Namun bab halal tentulah diragui. Dan memang sulit untuk mendapatkan makanan halal di sekitar Malate. Boleh dikatakan hampir tiada! Anda perlu pergi ke Robinson Mall di Pedro Gill St untuk menikmati makanan halal Iranian di bawah jenama Arya.

Senarai tempat makanan halal


Arya Persian Restoran
Menu yang disajikan di Arya beragam, dari beriyani, roti prata dan skewer lamb. Harga sedikit mahal.

Pengangkutan

Tidak timbul masalah pengangkutan awam d Malate. Terdapat banyak pilihan. Dari yang murah hingga yang mahal. Seperti biasa pengangkutan yang mudah tentulah Jeepny, motorize tricycle (sejenis beca roda tiga yang digerakkan oleh motosikal atau basikal), teksi berwarna putih dan MRT. Teksi berwarna putih yang berpenyaman udara mengenakan caj bayara berdasarkan bacaan meter perjalanan. Caj permulaan P40,000. Manakala harga motorize tricycle tergantung jarak perjalanan dari point ke point. Sebaiknya anda bincang dahulu tentang caj yang dikenakan sebelum anda bersetuju menaikinya. Tentang caj bagi angkutan Jeepny, tidak jelas kerana aku tidak merasai pengalaman menaiki Jeepny yang kelihatan terlalu padat dengan penumpang diikuti bunyi enjin yang bising.

Jeepny yang popular dan dominan di Manila

Beca roda tiga

Teksi putih berpenyaman udara
Meskipun kota ini sibuk dengan kenderaan dan pengangkutan awam yang lalu lalang, jangan bimbang untuk menyeberang. Pada setiap titik zebra crossing, terdapat sekuriti yang akan membantu anda menyeberang dengan cara meminta kenderaan yang lalu berhenti sebentar.

Secara keseluruhan, kota ini sesuai untuk tempat studi namun bagi pelajar muslim, ia sulit bagi memenuhi nutrisi anda untuk jangka panjang, kecuali anda memang jenis yang survive dan tahan diet.

Ahad, 22 November 2015

masa lalu yang mendidik

Sahabat sekolah hamba, Hadi Bakar mengirim footage yang menggamit memori zaman kanak-kanak bagi sesiapa jua yang dibesarkan pada tahun 70-an. Footage yang dikirim merakam dan mendokumentasi peralatan dan apa sahaja barang yang digunakan pada dekad berkenaan. Yang ingin hamba sentuh di sini ialah permainan yang kami mainkan di kampung-kampung dan desa. Sungguh menyentuh sekali kerana perkara yang dipaparkan dekat dengan diri dan hati kami dulunya dan masih terngiang hingga kini apabila memori itu dirunut kembali. Hakikatnya, kami dibesarkan pada dekad tiada istilah yang yang kita kenal pada hari ini sebagai gajet atau peranti mudah alih seperti telefon bimbit, ipad, tab apatah lagi smartphone. Pendek kata, zaman itu tiada gajet semoden hari ini. Hmm... nak menyebutnya pun naik berkelut lidah. Gajet kami adalah benda alam. Benarlah kata pepatah "alam terbentang menjadi guru". Otaklah yang memutarkan bagaimana benda alam itu diolah dan dikreatifkan sebagai media permainan. Kami mengenal upih pinang pakai menarik rakan yang duduk di atasnya, buluh buat letup atau menembak, buluh keras dijadikan meriam buluh, buluh dibelah panjang dibuat garis kod lapangan badminton, buluh sebagai tiang gol dan kayu hoki, kertas digumpal jadi bola, bermain galah hadang di tanah, permainan konda-kondi, lastik getah, papan dibuat pistol dan dibubuh getah lastik pakai menembak, buah keduduk dijadikan peluru, dan buah hutan yang berwarna (dah lupa nama) dibuat peluru untuk buluh peletup, dan permainan melaga atau menekan biji getah. Banyak permainan dicipta dan ia merupakan satu proses yang menyeronokkan bagi anak-anak kampung sebaya seperti kami.



Anak-anak seperti kami tidak pernah memaksa orang tua untuk membeli permainan. Kami tidak mahu menyulitkan ibu bapa kami. Lagi pula permainan yang dibeli tidak membuat kami bersahabat dengan rakan sebaya kerana alat permainan berkenaan tentu untuk dimainkan seorang yang membuat pemiliknya bercakap sendiri dengan permainan itu, dan memiliki karakter yang tidak bersahabat. Kami lebih ramah untuk menekuni apa sahaja benda alam yang boleh diolah beramai-ramai. Kerananya, kami menjadi orang yang selalu berusaha dan memerah otak untuk berfikir. Kami menjadi manusia yang kreatif dengan melihat benda alam dan bahan buangan seperti kayu dan papan menjadi subjek yang boleh diolah dan dijadikan media permainan. Ini belum termasuk permainan yang dimainkan mengikut musim yang dipengaruhi oleh pencapaian nasional skuad negara ketika itu dalam permainan seperti badminton, ragbi, bola sepak, takraw dan hoki dalam arena sukan antarabangsa. Paling seronok, musim tengkujuh. Sungai dan bonda (sungai kecil seperti terusan atau parit) menjadi tempat mandi yang asyik. Sejuk dan dingin perkara kedua. Bila dah terjun mandi bersama jiran sekampung, lupa lapar dan dahaga. Sesekali, kami membuat rakit daripada buluh pakai mendayung dan belayar.

Di atas semuanya, kini kami menyedari bahawa media permainan berkenaan membawa dampak yang cukup besar bagi pembentukan karakter kami. Kami terdedah dengan budaya (1) kemahiran insaniah, (2) sikap sosial dan saling bersaing, (3) bekerjasama dan saling menghargai, (4) semangat juang dan berdikari yang tinggi, dan (5) jeli (kreatif) melihat sesuatu untuk diolah dan dijadikan alat yang berguna telah wujud dalam diri anak-anak yang tinggal di kampung pada dekad berkenaan, ketika kami belum menginjak kaki ke sekolah dasar! Kami dan mereka menjadi anak yang aktif dan super dalam konteks zamannya. 

Terkadang kita harus mengakui bahawa ketika kita tidak punya apa-apa, fikiran kita menjadi kreatif untuk membuat terobosan. Dan alam menjadi sahabat bisu yang mendorong imaginasi dan memiliki getar yang menghiburkan.


Sabtu, 21 November 2015

Mentarbiah di mimbar Jumaat

Dalam dunia Islam, program mentarbiah dalam konteks untuk memberikan pencerahan dan pendidikan itu ada di mana-mana sekalipun meskipun ketika bersembang sambil ngopi atau ngeteh. Bukan apa, pendekatan pendidikan sekarang khususnya pendidikan lanjutan secara informal terkadang harus menyesuaikan diri dengan keadaan dan keperluan semasa ketika masyarakat kini lebih akrab dengan telefon genggam. Pendek kata, meraih ilmu dan pencerahan berguna itu bukan setakat ada di sekolah, di kuliah atau syarahan yang dianjurkan secara formal tetapinya juga dalam ranah informal yang bersahabat.

Menyentuh tentang konsep mentarbiah di mimbar masjid sebelum mengerjakan solat Jumaat, hamba melihat sejak berlakunya rombakan barisan Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet pada 22 Oktober 2015 yang lalu, terdapat perubahan dalam wacana khutbah. Khutbah disesuaikan dengan isu-isu semasa dunia yang sedang hangat dibahaskan. Ini tentunya amat dialu-alukan dan jika boleh dilaksanakan sampai bil-bilaa pun. Mengapa? Ia tidak lain kerana Islam menuntut kepekaan umatnya dalam menanggapi perkembangan dunia yang terjadi kini kerana di dalam Al-Quran sudah tersurat wahyu Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk mendukung dan memberi jawapan dan pencerahan kepada permasalahan yang terjadi. Sangat penting khutbah Jumaat menjadi wadah untuk menanggapi permasalahan semasa tempatan, serantau dan antarabangsa. Menghindar atau tidak menanggapi permasalahan semasa berlaku bukanlah satu jalan penyelesaian pada ketika dunia kini menuntut semua kita berperanan, saling bahu membahu, membantu-bantu dan melengkap satu sama lain kerana sejatinya antar negara itu sebenarnya saling perlu memerlukan dari segi politik, sosial dan ekonomi. Dalam politik, antara negara memerlukan perhubungan, saling menghargai dan bersatu dalam menjayakan agenda yang disepakati, dalam sosial, antar negara memerlukan jalinan sosial, kerjasama dan memungkinkan berlakunya perkongsian bestari dan begitu juga dalam ekonomi yang secara substantifnya memainkan peranan bukan kepalang dalam menjayakan pemulusan import eksport, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan perpindahan ilmu. Senang cakap, jiran yang makmur dan aman akan melimpahkan kemakmuran dan keamanan kepada jirannya yang lain.

Nah berbalik kepada konsep mentarbiah melalui khutbah Jumaat, hendaknya Menteri Hal Ehwal Ugama yang baharu ini terus mendesain khutbah yang berisi, informatif dan menarik dengan menyerap hal ehwal semasa, serantau dan antarabangsa untuk memberikan pencerahan dan pendidikan kepada warga. Wacana khutbah mungkin sahaja hal yang dikitar semula tetapi dalam mengitar, berilah warna dan keberagaman semasa yang boleh dijadikan teladan dan pedoman.


Sabtu, 14 November 2015

Bangunkan Pelbagai Muzium!

Dalam ruang pendapat Borneo Bulletin (Weekend) Sabtu, 14 November 2015, seorang pembaca telah memberikan saran agar membangunkan lebih banyak muzium. Bukan sekadar sebuah saran kosong tetapi beliau telah mencadangkan nama untuk 8 buah muzium bagi lapan perkara yang berbeza. Lapan muzium tersebut ialah (1) Muzium Islamik, (2) Muzium Peringatan Sultan Omar Ali Saifuddien, (3) Muzium Sejarah Brunei, (4) Muzium Warisan Beraja Brunei, (5) Muzium Warisan Kebudayaan Brunei, (6) Muzium Bandar Seri Begawan, (7) Muzium Borneo dan Muzium ASEAN. Sejauh ini, Brunei Darussalam telah memiliki tiga muzium iaitu Muzium Brunei, Muzium Teknologi Melayu dan Muzium Maritim, sementara Pusat Sejarah Brunei memaparkan perbahanan dalam bentuk galeri. Selain muzium, ada Royal Regalia dan Balai Kenangan yang juga berkonsepkan muzium. Dan antara beberapa cadangan yang diberikan, sebahagiannya sudah ada dan boleh diserapkan.

Baik, cadangan membangun banyak muzium seperti yang disebutkan amat baik dan impresif kerana peranan muzium itu sendiri dalam konteks pembinaan negara bangsa bahkan juga sebagai "besi sembrani" yang memiliki nilai jual pelancongan untuk menarik turis luar berkunjung. Dalam konteks muzium sebagai objek pelancongan budaya, kita harus mengakui bahawa negara yang memiliki pelbagai muzium memiliki daya tarik pelancongan yang bukan kepalang. Lihat sahaja di Paris yang terkenal dengan 4 buah muziumnya, iaitu (1) The Louvre (tempat tersimpannya karya masterpiece Mona Lisa dan koleksi kuno dari Mesir), (2) The Musee d'Orsay (menyimpan karya seniman Perancis seperti Monet, Manet, Sisley, Van Gogh dan Renoir), (3) The Musee d'Art Moderne (menyimpan karya seni moden Perancis) dan (4) Musee Rodin (menyimpan karya pemahat lama asal Perancis yang terkenal iaitu Aguste Rodin). Dari sisi lain, perlu diakui bahawa muzium bagi Perancis dan negara mana pun juga mempunyai peranan ganda. Selain sebagai objek pelancongan, muzium adalah media bagi mempromosi dan menggema peradaban, nilai, motivasi, inspirasi dan keazaman, pencapaian dan rakaman daripada sebuah peristiwa sejarah penting. Dan jangan tak tahu bahawa muzium berkomitmen dalam mengetengahkan peran pendidikan tidak langsung dalam pembentukan karakter bangsa. Oleh kerana itu muzium dan bahan pengisiannya harus tampil super dan mendidik.

Seni bina muzium harus menampilkan ciri-ciri khas yang menggambar state of art sesuatu negara dari segi falsafah, intelektual dan nilai sosialnya. Dengan kata lain, rupa bentuk  muzium tersebut mestilah tampil wah dan wow yang tersendiri agar mercu tanda ini sentiasa diingat sampai bila-bila dan menjadi besi sembrani untuk menarik hati kalangan turis mancanegara untuk datang berkunjung dan tentunya tempat singgah dan lawat bagi tamu negara.

Cadangan pembangunan lapan muzium yang berbeza tentunya dialu-alukan dan memerlukan pertimbangan yang teliti. Secara personal, saya menyokongnya kerana sebagai sebuah kerajaan berdaulat di tengah-tengah peta Pulau Borneo, Brunei Darussalam harus memperlihat legitimasinya selain daripada mempelbagai dan memperkukuh produk pelancongan budaya. Jika perlu, binalah pada satu tapak khas semacam satu pavillion khusus yang saling terhubung dengan dengan bangunan lain dan di jajaran jalan masuk menuju ke bangunan itu harus dihela dengan nafas segar dan sensasinya melalui landskap alam yang mengundang pesona dan indah bagi mata memandang. Ayuh, mari menuju, mempromosi dan mencambah ekonomi budaya. Muzium adalah pesona yang menampilkan kesan dan pesannya bukan kepalang.


COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...