Ahad, 5 Jun 2016

perginya legenda tinju

Muhammad Ali lebih mendunia dan lebih global daripada nama aslinya Cassius Clay. Dia memilih Islam dan Islam melekat pada dirinya sehingga ke akhir hayatnya. Dunia mengenalnya melalui sukan tinju. Dan sukan inilah yang telah membesarkan namanya. Pada zaman sukan tinju naik daun, semasa TV berwarna HD dan LED belum menjengah, masyarakat pelbagai golongan usia menanti penuh debar pertarungan terhebat yang melibatkan Muhammad Ali. Ali mengabdi masa mudanya dalam dunia tinju sekitar tahun 1960 - 1970-an. Saya dan rakan seusia semasa Tahun 2 - 3 sekitar tahun 1976 - 1979 di Sekolah Rendah Linsum, Rantau, Negeri Sembilan mengingatinya ketika kami bersama guru serta seluruh isi sekolah  menonton secara live pertarungan tinju di sekolah. TV hitam putih yang sederhana diletakkan di atas kabinet buku di luar bilik darjah menghala ke lorong laluan untuk memboleh seluruh isi sekolah menontonnya acara berkenaan. Keluasan lorong laluan sempit memang, tetapi itu sebuah kesederhanaan mewah yang banyak berjasa kepada warga sekolah ketika itu. Beberapa minit sebelum live, kami telah dibarisdudukkan oleh guru dan menunggu siarannya dengan penuh antusiasme sambil berharap tidak berlaku gangguan blackout.

Dahulu pertandingan tinju sering kali bertembung masa jam belajar. Menonton pertarungan secara live yang melibatkan petinju hebat ini merupakan acara nombor wahid kerana zaman itu event besar boleh dibilang dengan jari dan biasanya selalu sepi, baik di dalam negeri mahupun di luar negara. Sudah tentu tinju merupakan acara super apatah lagi jika melibatkan Muhammad Ali. Pertarungan yang ditunggu tentunya antara Muhammad Ali vs Joe Frazier yang dikenali sebagai Smokin Joe. Ali dan Joe Frazier adalah rivalitas abadi di sukan tinju, sama seperti dunia melihat pertarungan El-Classico antara Real Madrid vs Barcelona sebagai rivalitas abadi di sukan bola sepak. Sebetulnya lawan tanding Ali tidaklah mudah. Selain Joe Frazier, ada Sonny Liston, George Foremen, Ken Norton, Joe Burgner, Larry Holmes, Leon Spink dan Trevor Berbick.

Sumber: Google images
Anak-anak sekolah menontonnya dengan penuh minat, dan terkadang melonjak ria apabila pertarungan sengit sampai ke kemuncaknya iaitu di ronda kesembilan - kedua belas. Namun tidak jarang pula pertarungan yang melibatkan Muhammad Ali semasa jayanya tidak berlanjut ke ronda dua belas. Ali dapat menyudahkannya dengan keputusan TKO.

Dalam usia yang masih dini, tentulah kami masih naif untuk melihat kesan dan pesan sekolah mengenai menonton pertarungan tinju di sekolah. Sesuatu yang tidak dapat ditolak, pertarungan tinju yang melibatkan Muhammad Ali ditunggu oleh anak-anak dari sekolah dini hinggalah emak bapak, nek wan dan tok wan di belahan dunia manapun. Ali fenomenal. Teriakan Ali...Ali...Ali bergema ketika masa jayanya di ring tinju pada tahun 1970-an. Ali membuatkan masyarakat pada zamannya bersengkang mata, meninggalkan pekerjaaan sebentar, merehatkan sesi pengajaran dan pembelajaran sekurang-kurangnya untuk dua period, ada yang bolos sekolah atau ponteng dengan sengaja, dan tidak jarang pula acara menonton live Fight of the Century Muhammad Ali dan pesaingnya dapat melupakan kesulitan dan kesedihan untuk kesekian kalinya.

Bagi anak kecil seperti kami ketika itu, meskipun naif, kami melihat Ali adalah sosok yang menginpirasikan, figur yang bertenaga dengan lejangan tinju yang padu serta gaya spring atau seperti gerakan balet yang lincah sepasang kakinya memotivasikan anak kecil seperti kami dulunya untuk meniru gaya seni tinjunya, baik di bilik mandi, bermain-main bersama kawan mahupun beraksi di depan cermin. Figur Ali yang tinggi dan berisi itu memperlihatkan ia memiliki cita-cita, asa dan tujuan hidup yang jelas, dan sudah tentu Ali fokus dan dengan tujuannya itu.  

Ali bukanlah watak adiwira yang kita lihat dalam realiti maya atau sosok seperti wira atau pahlawan yang kita tahu dan belajar dalam subjek Sejarah. Ali hidup, Ali adalah sebuah kenyataan dan anda seperti dapat memegang wajahnya walau sekadar menyentuh wajahnya di kaca TV.

Sebagai ikon global, Ali menyatukan masyarakat daripada latar bangsa, ras dan agama di belahan manapun. Semua kita berkongsi rasa yang sama dan euforia yang sama, pada ketika Ali menggegarkan dunia dengan seni tinju dan deretan kejuaraan yang disandangnya. Di ring tinju, nama Ali abadi. Ali adalah peninju, dulu, kini dan selamanya.

Ali juga sering mengeluarkan kata-kata inspiratif atau petuah yang memiliki kesan dan pesan mendalam. Di sisa usianya, Ali menghidap Parkinson. Parkinson membuatnya tidak stabil dan tak berdaya. Terlepas dari gelarnya sebagai The Greatest Ali, Ali mengingati penyakit yang dihidapi itu sebagai satu pesan daripada Allah SWT bahawa beliau adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada sisi manusiawi yang dialami oleh semua orang dengan cara yang berbeza. Petinju legendaris ini memiliki sisi kemanusiaan, insan yang membumi dan rendah hati kerana Ali andil sebagai representasi masyarakat marhaen untuk menentang masyarakat borjouis yang kiasu dan hedonis. Ali menentang masyarakat borjouis yang rasis dan menuntut persamaan hak. Mesejnya jelas iaitu setiap manusia perlu memiliki pemahaman dan rasa hormat satu sama lain.

Kini, Ali pergi untuk selama-lamanya. Ali meninta sejarah tetapi hakikatnya sama seperti maestro atau legendaris lain baik dalam bidang sukan, muzik, seni mahupun budaya, namanya lama kelamaan akan hilang ditelan waktu. Generasi akan datang mungkin tidak lagi mengenalnya kerana subjek sejarah untuk pengajaran dan pembelajaran hanya untuk ahli falsafah, pengasas atau pemimpin, pahlawan atau pejuang,  penderhaka dan figur-figur yang bertanggungjawab dalam pembinaan negara bangsa serta tokoh penting yang berjasa di negara yang berkenaan. Inilah hakikat hidup dan hidup ini keras bagi sesiapapun. Ali memilih hidup keras kerana ia tahu pencapaian terhebat tentunya mereka yang diorbitkan daripada hidup yang bukan biasa-biasa. Setidaknya, Ali meninggalkan warisannya untuk diingati.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. AL-FATIHAH.



Isnin, 2 Mei 2016

Leicester City Bisa Kita Juga Bisa

Sumber: Google Images
Leicester City meninta sejarah hebat dalam sejarah Liga Perdana England (EPL) bagi tahun kejuaraan 2015/2016. Dari kelab bola sepak yang biasa-biasa dan pesaing juara yang diragui, kini mereka menoreh sejarah gemilang dan membuktikan tidak ada yang salah bermimpi besar. Kelab ini telah membuka mata dunia baik daripada pengurus, jurulatih, pemain mahupun masyarakat di belahan dunia manapun yang selama ini menilai untuk menjuarai EPL, mereka perlu menjadi seperti Manchester United, Manchester City, Chelsea, Liverpool dan Arsenal.

Sumber: Google Images


Metos kelab mewah yang harus memiliki pemain termahal itu dihapuskan dengan budaya kerja yang koperatif, strategi yang kemas dan jitu dan bermain dengan hati yang dingin. Ini termasuk juga memiliki pemain berbakat dalam sektor penting seperti gelandangan tengah dan penyerang tanpa memerlukan profil pemain yang terbilang mahal. Leicester City mengajar cara perbelanjaan berhemah dalam pembelian pemain. Pemain berbakat bukan sahaja menghuni di kelab-kelab papan atas sahaja bahkan pemain berbakat ini juga boleh diperoleh daripada liga kasta ketiga bahkan keempat sekalipun asalnya mereka memiliki fizikal yang fit, tinggi, kemahiran mengawal yang mumpuni dan mendribel bola yang baik, sikap bekerjasama yang tinggi dan mahu bersama menjadi bahagian daripada tim untuk meraih mimpi.

Leicester City memperlihatkan cara membeli pemain bukanlah dengan melobi, memujuk dan  memancing pemain berprofil tinggi dengan biaya yang mahal untuk bermain di Leicester City. Bagi Leicester City, untuk menjadi pesaing juara, anda tidak perlu merayu nama besar seperti Messi, Ronaldo, Suarez dan Neymar untuk bermain di kelab anda. Umum sedia maklum bahawa pemain Leicester City, bukanlah dalam kategori big player yang memiliki nama besar untuk duduk setara dengan Rooney, Sergio Aguero, Marouane Fellaini, Juan Mata dan beberapa nama besar lain dalam EPL. Kita mengenal Jamie Vardy, Riyad Mahrez, N'Golo Kante, Kasper Shmeichel dan Shinji Okazaki setelah pencapaian konsisten Leicester City di pertengahan musim untuk memasuki kelompok pesaing juara yang benar-benar dapat diandalkan.

Benar untuk menjuarai EPL, kelab harus berbelanja besar untuk mendatangkan sejumlah pemain tersohor. Tapi itu metos lama yang dahuluinya sulit dikesampingkan. Yang diperlukan untuk menjadi juara ialah disiplin, strategi, taktikal, spirit, etos kerja, tahan banting dan kerjasama kolektif disertai semangat juang yang tidak pernah luntur sehingga ke garisan akhir. Leicester City telah membuktikan bahawa  perjuangan mereka bukan hanya sebuah mimpi yang sia-sia, tetapi ia adalah mimpi yang berbuah manis hasil mentaliti dan etos kerja di lapangan. Sejarah memperlihatkan mereka hampir sahaja tercicir di zona liga kasta kedua tetapi perjuangan yang tidak mengenal lelah telah meletakkan Leicester City finish di 14 besar dalam EPL tahun lalu. Daya juang untuk memastikan mereka tidak gugur di kasta kedua EPL dan menduduki posisi ke 14 tahun lalu dilanjutkan dengan pencapaian yang luar biasa mengkagumkan banyak orang.

Mereka kini bersukacita menikmatinya setelah bersusah payah baik secara moral mahupun fizikal. Leicester City membuat bandar mereka euforia dan histeris kegembiraan yang sulit untuk digambarkan, tentu. Leicester City membuat bandar mereka tersenyum, menangis haru dan tidak sabar mendakap piala dan merasai kejayaan sebagaimana yang pernah dialami oleh kelab-kelab EPL papan atas. Leicester City juga membuat bandar seperti Algeria, Jepun, Thailand, benua Eropah dan Asia merasai bahagian yang tak terpisahkan dengan pencapaian Leicester City yang luar biasa itu. Sudah tentu Leicester City menginpirasikan kelab kasta terbawah EPL dan liga kejuaraan lain bahawa untuk meraih mimpi dan cita-cita di kejuaraan akan datang, ia perlu dibarengi dengan kerja keras secara konsisten.

Nah pertanyaannya, apakah kejayaan Leicester City tidak memberi pelajaran buat kita? Apakah yang diraih oleh Leicester City tidak membawa erti penting kepada kita baik secara langsung mahupun tidak langsung tentang pentingnya spirit, asa, ketabahan dan kesabaran sebelum meraih sukses dan jaya? Bak kata jurulatihnya Claudio Ranieri, "cubalah..cubalah dengan segala cara, dan fahamilah bahawa kita bisa meyakini sesuatu".

Di EPL, kejayaan Leicester City telah menginspirasikan dunia, di La Liga, dini semalam 03 Mei 2016, Atletico Madrid menghentikan kemaraan Bayern Munich ke final Champions League yang akan berlangsung di San Siro, Milan. Leicester City dan Atletico Madrid, dua kelab di liga ternama berbeza telah membuat perbezaan besar dengan pencapaian mereka tahun ini. Hal yang sederhana daripada kejayaan kelab ini ialah kededuanya telah membuktikan bahawa HARAPAN adalah sebuah "kekayaan" sekaligus motivasi untuk kita bangunkan kehidupan seperti apa yang kita inginkan. Dan kenyataannya, selagi kita hidup harapan tidak pernah hilang. Harapan selalu ada bagi setiap orang. Orang yang meraih sukses adalah mereka yang memiliki harapan, memiliki sikap dan hala tuju yang jelas untuk itu. Leicester City bisa kita juga bisa kalau kita mahu.


Isnin, 21 Mac 2016

Pemberian kerakyatan tidak diberikan selarah-larahnya

Isu pemberian kerakyatan adalah antara isu sensitif dan seksis dalam perbahasan Sidang Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Pada Musim Permesyuaratan Pertama Kali Ke-12/2016. Isu ini dibangkitkan oleh YB yang sama. Dan kalau tidak silap amba, ini kali yang ketiga. Bermakna sudah tiga tahun dibangkitkan. Respons yang diberikan oleh YB Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri tetap konsisten berdasarkan peraturan yang terpakai (baca: http://www.bt.com.bn/news-national/2016/03/23/minister-reiterates-conditions-granting-citizenship). Lulus peperiksaan bahasa Melayu bukanlah satu syarat mutlak pemohon itu diberikan kerakyatan. Pendek kata, pemberian kerakyatan tidak dibuat sewenang-wenang atau selarah-larahnya. Ia memerlukan tapisan dan saringan yang teliti dalam semua aspek termasuklah aspek keselamatan negara. Isu ini menjadi momokan media ketika respons mengenainya di MMN dibahaskan.

Hamba bersetuju dengan jawapan dan pendirian kerajaan dalam perkara tersebut. Ini bagi menjamin keselamatan negara dan ketahanan sosial puak yang diiktiraf dalam Dokumen Kerakyatan Tahun 1961 serta dari segi kestabilan politik dan pelestarian falsafah dan kebudayaan mengikut calak Brunei terus dipertahan dan diperkukuhkan. 

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengkanunkan bahawa negara ini akan selama-lamanya menjadi Negara Melayu Islam Beraja (MIB). Filosofi ini didukung melalui tiga pilar nasional lain, iaitu (1) Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ditafsirkan sebagai satu perintah yang perlu dilaksana, (2) Perlembagaan Negeri Brunei 1959 dan Dokumen Perlembagaan Pindaan 2004, dan (3) Negara Zikir. Pilar nasional ini dicernakan melalui Wawasan Brunei 2035.

Secara logika, pelaksanaan MIB termasuk pilar nasional lainnya tentulah dapat dipraktis dan diberdayakan dalam situasi yang kondusif dan mendukung dengan atmosfera sosial yang memiliki iktikad yang sama, baik dari segi lahiriah mahupun batiniah. Itulah realitinya. Alhamdulillah, sejak pengisytiharan Hukum Kanun Jenayah Syariah dan penutupan urus niaga selama dua jam semasa solat Jumaat serta penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan dan pekerjaan dikukuhkan termasuk membesarkan hari-hari kebesaran Islam, syiar Islam di negara terus bercahaya dan gemilang bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara rahmatan lilalamin. Dengan kata lain, upaya pengukuhan MIB melalui komponen M yakni dari segi bangsa, bahasa dan budaya serta resam hidupnya, komponen Islam sebagai agama yang menyeluruh yang merangkumi semua sendi-sendi kehidupan yang dalam pemerintahan kita kenal dengan istilah yang disebut sebagai syumul, ad-Deen, baidatun toibatun warabun ghafur, dan Beraja sebagai khalifah Allah swt di muka bumi serta sistem kerajaan yang telah diasaskan sejak turun-temurun. Komponen Islam yang terletak di tengah MIB mencerminkan sebuah teras yang kukuh. Islamlah yang mengukuhkan dua komponen lain kerana Islam itu mengandungi ajaran yang lengkap tentang Tauhid (doktrin keesaan) yang meliputi peringkat falsafah, metafizik, kognitif, afektif dan praktis dalam semua aspek baik politik, ekonomi mahupun sosial.

Secara umumnya, falsafah MIB adalah landasan kukuh atau staats fundamental norm yang juga digunakan dalam kehidupan bernegara. Inilah model jalan pemerintahan yang dipilih kerana falsafah MIB dibina dan dikembangkan berdasarkan pengetahuan dan kebijaksanaan tempatan (local genius) yang dinilai sebagai falsafah yang unggul, ideal dengan corak dan sistem sosial serta politik negara ini. Falsafah yang berdaya tahan ini dilihat sebagai satu model terbaik dalam mengemas, mengurus, mengelola dan menyerap tekanan-tekanan sosial, politik dan ekonomi di negara ini. Mengapa MIB perlu dilihat sebagai konsep yang ideal dalam konteks negara ini? P. Berger dalam bukunya The Capitalist Revolution menjelaskan situasi global ketika ini dikuasai oleh negara kapitalis yang telah menciptakan satu fenomena dalam sejarah. Kapitalisme telah mengubah masyarakat dunia satu demi satu dan menjadi sistem internasional yang menentukan nasib ekonomi sebahagian besar bangsa di dunia dan secara tidak langsung menentukan nasib sosial, politik dan ekonomi. Era globalisasi seperti ini cepat atau lambat, amat berpengaruh terhadap KEHIDUPAN KEBANGSAAN di berbagai belahan dunia tidak terkecuali negara ini. Maka dengan itu, setiap negara perlu memiliki falsafah negara bangsa yang secara konsisten dan ideal menjadi the way of life dan mampu pula membentengi, beradaptasi serta menangkis serangan globalisasi demi kelangsungan hidup berbangsa dan bernegara.

Ini bermakna, sesiapa juga yang menjadi warganegara ini harus memahami, menghayati dan menyesuaikan diri dengan MIB sebagai pilar nasional penting di negara ini. Kita harus menunjukkan serta membuktikan kesetiaan yang tulen kepada negara ini, raja dan sistemnya. Adalah sesuatu yang dangkal bagi bangsa yang tidak diiktiraf secara konstitutional kelembagaan khususnya dalam Dokumen Kerakyatan 1961 memohon untuk menjadi warganegara ini hanya mempelajari bahasa Melayu untuk lulus tetapi dalam hidupnya tidak ramah dengan penggunaan bahasa berkenaan dan memperlecehkannya. Sesetengah golongan ini yang menjadi pengusaha serta menguasai aset dan perniagaan, didapati tidak mengangkat bahasa Melayu dan tulisan Jawi dalam papan nama perniagaan mereka. Mereka dilihat semakin berani melanggar dan tidak malu untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dan tulisan Jawi baik di papan nama perniagaan dan tirai pentas dalam majlis-majlis keraian yang mereka kendali. Mereka lebih akrab dengan bahasa asing tiada niat yang tulus untuk mempelajari bahasa Melayu dengan baik. Mereka patut belajar bagaimana puak minoriti di negara lain yang menjadi bangsa yang taat, akur dan survive serta harus mempelajari dan menguasai bahasa lingua franca di negara yang mereka diami. 

Mereka seharusnya punya malu kerana memiliki keinginan tinggi untuk menjadi rakyat di negara ini kerana peluang ekonomi, peluang mengumpul kekayaan dan peluang menikmati kehidupan aman damai yang sangat menjanjikan. Oleh kerana itu, mereka seharusnya menunjukkan sikap sosial dan watak serta memperlihatkan KESETIAAN TULEN dalam mematuhi sistem  yang dituntut di negara ini. Mereka patut menterjemahkan dalam kehidupan mereka. Kesetiaan tulen merupakan satu kerelaan yang diterima dan ia adalah harga yang harus dibayar bagi memastikan negara ini benar-benar memiliki WARGANEGARA YANG BERNILAI, memiliki karakter kebruneian sejati, mereka yang sanggup berjuang dan berkorban. 

Daulat Kebawah Duli Tuan Patik.














Ahad, 20 Mac 2016

pendidikan karakter berupaya memupuk sikap sosial yang positif

Sekolah adalah "rumah ilmu yang sangat krusial" selain daripada peranan institusi keluarga dalam pembentukan dan pengembangan rupa bangsa yang sesuatu negara inginkan. Di sekolah, anak-anak dibimbing berdasarkan kurikulum pendidikan yang digubal mengikut tahap pendidikan. Kurikulum ini digubal bagi memenuhi kehendak yang disesuaikan dengan pendidikan dasar, menengah, lanjutan dan tinggi yang setiap satunya berhubungan dan bersinambungan. Pada akhirnya, anak-anak akan melalui peperiksaan besar dan wajib untuk memastikan setiap langkahannya. Jika berjaya berdasarkan merit dan meraih purata nilai gred yang mencukupi, maka anak-anak berkenaan akan menyambung pendidikan dan pengajian berdasarkan bidang yang mereka minati.

Pertanyaannya sekarang apakah pendidikan itu sekadar fokus di bilik darjah khususnya di peringkat pendidikan dasar sebagai proses pembenahan yang paling krusial? Rasanya tidak. Tidak memadai pendidikan hanya berfokus dalam bilik darjah kerana pendidikan bukan sekadar melahirkan manusia cemerlang dalam keputusan peperiksaan tetapi pendidikan harus membina dan membangunkan nilai atau karakter bangsa. Ertinya pendidikan harus menekankan keseimbangan antara pendidikan dalam bilik darjah dan pendidikan nilai atau karakter. Pendidikan nilai dan karakter (selepas ini disebut pendidikan karakter) tidak hanya dibahaskan dalam bilik darjah berdasarkan sukatan kurikulum yang ada dalam buku pelajaran, tetapi pendidikan karakter ini harus dipraktikkan di luar bilik darjah.

Pendidikan karakter mengajar dan mendidik anak-anak menjadi orang dan sekaligus manusia yang bertanggungjawab, menghargai diri mereka dan orang lain dan tentunya diharap menjadi insan yang berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negaranya. Oleh kerana itu, ibu bapa tidak harus melenting dan naik angin apabila anak mereka serta seluruh isi sekolah bersama-sama membersihkan sekolah dari sampah dan kotoran, mengecat dan membersih tandas! Ibu bapa jangan buru-buru memarahi guru dan sekolah serta mengajar mengapa pihak sekolah tidak mengarahkan karyawan pembersih mereka untuk membuat kerja berkenaan. Ayuh mari kita lihat dengan hati yang dingin apakah nilai baik dari segi kesan dan pesan inisiatif berkenaan diajar kepada anak-anak mereka. Dengan melaksanakan perkara berkenaan, anak mereka dididik tentang pentingnya menghargai diri sendiri, menghargai orang lain, menghargai kelengkapan yang digunakan serta menghargai persekitaran mereka. Pada masa yang sama, nilai-nilai yang diajar di sekolah berkenaan harus dikondusifkan oleh ibu bapa mereka di rumah. Misalnya, anak-anak dididik untuk berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada pembantu rumah bagi hal-hal yang mudah dan sangat bererti bagi memupuk nilai dalam proses pendewasaan mereka sekaligus mereka diasuh menghargai orang dan persekitaran mereka. Suasana kondusif dan saling mendukung ini, bererti sekolah dan institusi sosial memainkan peranan krusial dalam menghantar pesan dan kesan tentang pentingnya pendidikan karakter untuk anak-anak tumbuh menjadi manusia yang memiliki akal budi yang baik serta menghargai nilai yang mereka dapatkan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Pada akhirnya, apabila pihak sekolah memupuk pendidikan karakter melalui pendidikan luar bilik darjah, institusi sosial yang peka dengan hal tersebut akan menyokong dan mendukung inisiatif berkenaan sebagai sesuatu yang wajar dilakukan bukan untuk membebankan anak-anak mereka.

Menjengah ke luar, satu pendidikan karakter secara tidak langsung yang sangat bernilai diperkenalkan di Singapura. Ia disebut sebagai Cabaran Langkah Kebangsaan atau Rep with Steps. Inisiatif ini diperkenalkan oleh Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB), Singapura yang disasarkan kepada pelajar dan ia bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar aktif, tidak berpeluk tubuh, kurang memanjakan diri bagi mengekalkan gaya hidup sihat.  Komitmen nasional yang bersifat inklusif dan holistik ini tentunya memberi kesan domino yang hebat bagi pembinaan sumber manusia yang aktif, cergas dan bertanggungjawab.  Ia membentuk satu sikap sosial, daya tahan sosial yang baik serta kesiapsiagaan masyarakat muda untuk memiliki daya juang dan bermentaliti positif sepanjang masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dunia yang menuntut masyarakatnya berdaya saing dengan merit yang ketat.

Anak-anak yang terlahir dan terdidik dengan sistem yang kondusif dengan pendidikan karkater berkenaan akan terbiasa dan membesar untuk mengongsi serta mempraktikkan nilai yang sama secara berterusan kepada generasi berikutnya. Bayangkan jika pendidikan karakter sebegini dan pendidikan karakter yang lain tidak dipraktik dan tidak dikondusifkan dalam atmosfera sekolah dan di rumah. Negara tentu mengalami siklus disaster atau satu pusingan bencana karakter yang berulang dan berterusan kerana budaya bersenang yang membuatkan mereka malas, suka berpeluk tubuh, sentiasa berharap,  tidak mandiri dan tidak kreatif menjadi satu budaya dan bencana dalam melahirkan insan yang bertanggungjawab secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan baik untuk dirinya, keluarga, bangsa mahupun negara. Perkara ini patut disedari dan dihindari kerana ia boleh meruntuhkan semangat dan kepekaan generasi muda secara perlahan dengan perkembangan yang berlaku disekitarnya sehingga menjejaskan inisiatif negara untuk melahirkan generasi yang bernilai dan generasi yang memiliki mentaliti kelas pertama.






Khamis, 17 Mac 2016

menghargai pencen tua menghargai diri sendiri

Ketika ini, musim permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Ke-12 bagi Rang Perbekalan Tahun 2016/2017 sedang menghela ke penghujung mesyuarat dalam erti kata dalam beberapa hari lagi akan selesai. Pelbagai isu dibangkitkan dari aspek pembangunan prasarana mental dan fizikal, penyediaan perkhidmatan sehinggalah hal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini dibahas dan ditanggapi dalam MMN. Seperkara yang menarik perhatian penulis ialah saranan untuk menaikkan kadar pencen tua semasa yang diterima $250.00 sebulan seorang bagi rakyat yang sudah mencapai usia 60 tahun. 

Dikatakan jumlah pencen tua ini tidak mencukupi mengambil kira indeks harga pengguna yang meningkat saban tahun. Dengan kata lain, harga barang dan keperluan naik. Perkara ini memang tidak dinafikan tetapi jika dilihat dengan nilai  duit dan harga barang di negeri jiran, ternyata kita masih memiliki kelebihan dan nikmat yang harus disyukuri. Ini hanya berlaku jika kita semua melihat dan menilai dengan hati yang dingin dan jernih. Kita sebagai pengguna haruslah memiliki kesedaran mutlak dan hendaklah mengukur serta menilai apa sebenarnya yang menjadi keutamaan hidup kita. 

Di negeri jiran, difahamkan bantuan diperoleh melalui dua mekanisme iaitu melalui dana Baitulmal Negeri yang diluluskan oleh kerajaan negeri masing-masing dan melalui bantuan kebajikan masyarakat kepada mereka yang layak dan berhak. Difahamkan jumlah bantuan tersebut kurang dari nilai pencen tua yang diterima oleh masyarakat dan penduduk negara ini. Selain itu, ada juga bantuan tunai langsung diterima oleh rakyat negeri berkenaan yang berhak menerima subsidi tetapi tidak menikmatinya. Nah, meskipun bantuan ini diterima dan diakui tidak cukup untuk menampung kehidupan seharian apatah lagi sebulan ditambah mula dengan kos hidup yang melambung seperti barang keperluan, petrol, cukai, tol dsbnya, mereka tetap berterima kasih dan bersyukur bahawa bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringan beban hidup sekurang-kurangnya untuk beberapa hari. Masyarakat dan penduduk di negeri berkenaan bijak berbelanja mengikut keutamaan yang benar-benar diperlukan. Mereka berusaha menghindari pembaziran kerana pembaziran juga dilarang dalam Islam.

Terdapat negara yang tidak memanjakan rakyatnya dengan bantuan kebajikan apalagi dihulurkan pencen tua. Negara berkenaan mahu rakyatnya menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan menghargai diri mereka sendiri. Ini bererti, rakyat "dipaksa" membanting tulang empat kerat untuk mensejahterakan dirinya, keluarganya dan sekaligus bangsa dan negara mereka melalui ekonomi sara diri yang menjanjikan peluang pasaran dan ekonomi yang baik.

Di negara ini, kerajaan perlu berbelanja untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpenuhi. Dengan jumlah penduduk menua meningkat bererti kerajaan perlu memperuntukkan kos yang besar untuk pencen tua. Kerajaan juga perlu menampung subsidi beras, petrol/diesel, rawatan penjagaan kesihatan dan perubatan percuma, pendidikan percuma dari sekolah rendah, menengah, lanjutan, vokasional, teknikal, politeknik dan universiti dalam negara. Pada masa yang sama, tiada cukai GST dan cukai hasil dikenakan. Rakyat dan penduduk patut sedar dengan keadaan kerajaan. Untuk memastikan kestabilan ekonomi, politik dan sosial, kerajaan di negara manapun perlu memperuntukkan kos yang mahal dan kos ini sentiasa meningkat saban tahun pada ketika sumber hasil utama negeri ini masih bergantung pada industri minyak dan gas. Oleh kerana itu, kita sebagai rakyat harus faham betul dan dapat menyesuaikan diri serta belajar daripada masyarakat negeri jiran bagaimana mereka dapat mengelola hidup mereka dengan serba kekurangan. 

Menyesuaikan diri tidak hanya dengan duduk, bercakap dan mengeluh. Kita harus menggunakan minda, tangan dan kaki untuk berusaha seperti memanfaatkan tanah yang sedikit untuk bercucuk tanam dan menjadikan wang yang ada sebagai modal bagi usaha kecil. Dalam hidup, jika semua perkara menggunakan wang, bererti kita tidak akan pernah berasa berkecukupan. Budaya konsumptif total harus dihindari segera. Anak kita juga harus dididik sedari awal untuk berfikir dan diajar bagaimana mengelola hidup mereka dengan panduan kita. Kelak mereka akan jadi manusia yang tahu bagaimana menghargai diri sendiri dan bagaimana mensyukuri rahmat dan nikmat yang diterima.

Pencen tua adalah bantuan kebajikan orang tua yang sifatnya sebagai membantu bagi menambah dan meringankan bukan dijadikan sebagai kos yang kekal untuk membayar sesuatu untuk jangka panjang sehingga menyulitkan diri kita sendiri.

Memang realiti hidup yang tidak dinafikan ialah mekanisme kepuasan manusia itu memang tiada batasnya tetapi dengan akal yang cerdas kita sebenarnya dapat membendung keinginan-keinginan yang tidak sepadan dengan kemampuan yang kita miliki. Dari itu, marilah kita berfikir cerdas dan cemerlang serta menerima kenyataan hidup sebagai bahagian penting untuk menjadikan kita sebagai manusia yang memanusiakan manusia.





Isnin, 14 Mac 2016

Laksanakan program "anak angkat" kawasan sekitar premis komersial

Kebelakangan ini kebersihan kawasan persekitaran di bangunan komersial menjadi kurang perhatian di sesetengah premis. Kawasan persekitaran tersebut meliputi kawasan lapangan, kawasan parkir, longkang dan parit sama ada depan dan belakang yang turut sama digunakan oleh premis berkenaan baik secara langsung mahupun tidak langsung. Ini belum termasuk  orang awam yang lalu lalang di kawasan tersebut yang ada sesetengahnya membuat sisa seperti tisu, puntung rokok dll sesuka hati. Bagi premis yang dimiliki oleh pengusaha berduit dan prihatin, tidak masalah untuk menggaji pembersih untuk membersih secara tetap dan berjadual. Bagaimana pula pengusaha tidak mahu melabur untuk menggaji pembersih tetap dan mereka juga tidak prihatin serta mengharapkan pihak kerajaan yang bertanggungjawab membersihkannya. Ini tentu tidak adil kerana pengusaha berkenaan memperoleh wang sewaan bersih tanpa mengeluarkan belanja pembersihan.

Dalam hubungan ini, pihak berkuasa  tempatan wajar dan tiba masanya untuk mengenalkan program "anak angkat" bagi kawasan sekitar kepada premis perniagaan, perhotelan, dan agensi swasta yang menyewa di premis komersial berkenaan. Mereka harus diwajibkan untuk memainkan peran dalam mewujudkan kebersihan alam sekitar dan menanam pohon renek serta tanaman landskap nan menghijau. Dari satu sisi yang lain, bukan sesuatu yang luak dan aneh jika pengusaha dan bos-bos membudayakan karyawan mereka untuk membersih dan merapikan laman atau persekitaran yang ada di hadapan dan belakang kedai mereka sebelum membuka kedai. Jika suasana kondusif di mana semua penyewa berperan sama dalam membersihkan kawasan ini dan dalam situasi tertentu mereka menjadi mata-mata untuk menegur masyarakat luas yang membuang sampah sesuka hati, tentu sekali dunia ini akan aman daripada sampah sarap yang bertebaran. Secara tidak langsung, mereka turut sama melestarikan kehijauan alam tak kira sekecil apapun kawasan sekitar yang mereka miliki.

Kawasan yang bersih akan mengundang takjub dan decak kagum masyarakat banyak dan mereka tentu terimbas dan merasa malu untuk mengotori laman berkenaan.

Jumaat, 8 Januari 2016

Kuching Trip 25 - 30 Disember 2015

Cuti bulan Disember 2015 kali ini dihabiskan di Kuching, negeri jiran yang mengambil masa perjalanan selama 19 jam menggunakan bas atau kurang lebih 13 jam menggunakan kereta. Kuching identik dengan tempat tujuan wisata yang biasa disebut orang. Antara tarikan utama wisata di Kuching ialah Pasar Serikin, muzium, Pantai Damai dan Kampung Budaya Sarawak di Santubong, Taman Negara Bako, Kuching Waterfront, Pusat Hidupan Liar di Semenggoh dan Pusat Pemulihan Hidupan Liar di Matang. Melihat senarai tujuan wisata yang ada di Kuching ini, dapatlah dikatakan bahawa Kuching menyajikan pengalaman pelancongan dengan warna dan budaya yang menarik serta pelbagai dengan matlamat utama untuk memberikan pendidikan kepada pengunjung. Berkunjung ke tempat-tempat yang disebutkan merupakan sebuah pengalaman pendidikan yang bererti buat sesiapa jua. Segalanya dirasakan sempurna bukan sahaja dari segi tempat lawatan yang menjanjikan, bahkan juga pemandu pelancong yang menguasai medannya untuk memberi pencerahan kepada pengunjung yang melakukan lawatan buat pertama kalinya dalam kumpulan trip yang besar.

Rasanya sudah banyak bloggers yang menyajikan pengalaman mereka tentang tempat wisata di Kuching. Jadi tidak perlulah saya berpanjang lebar, memadai gambar yang bercerita.





Perjalanan yang mengambil masa selama 19 jam itu tentulah penat dan lenguh segala otot jika tidak berhenti rehat mengisi minyak, makan dan menyampaikan hajat. Sepanjang tempoh perjalanan tersebut, tidak kurang daripada lapan pusat hentian rehat dan makan disinggahi sehinggalah kami sampai ke hentian rehat terakhir yakni di Masjid Serian pada pukul 4.10 pagi. Sementara menunggu waktu solat Subuh, peserta lain mengambil peluang menyediakan sajian ringkas setelah mendapat izin daripada marbud. Setelah semua urusan selesai, kami seterusnya bergerak ke Pasar Serikin tepat pukul 6.10 pagi. Sebelum singgah ke Pasar Serikin, kami mengambil Encik Francis Robert, pemandu pelancong yang ramah yang telah sedia menunggu untuk memberikan pencerahan pada setiap destinasi yang ditujui. Di Pasar Serikin, pelbagai produk tempatan yang dibawa daripada Indonesia dijual di sini. Dari pakaian, lampit, olahan kayu, kain, cenderamata hinggalah buah-buahan dan barangan memasak. Anda perlu bijak menawar untuk mendapatkan harga yang sesuai dengan nilai dan kualiti barang yang dijual. Dikatakan Pasar Serikin merupakan destinasi wajib kunjung kerana ia termasuk dalam kalendar tujuan wisata di Kuching, Sarawak. Pasar hanya dibuka setiap hari Sabtu (8.00 pagi - 5 petang) dan Ahad (8.00 pagi - 12.00 tengah hari).


Keesokan harinya, trip kembara dibawa melawat ke Pusat Pemulihan Hidupan Liar Matang. Sebetulnya, dalam jadual trip kembara akan dibawa melawat ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh, namun atas nasihat pemandu pelancong yang menginformasikan Orang Utan tidak keluar ke tempat pemberian makan di Semenggoh kerana musim buah sedang dalam waktunya ketika lawatan ini maka tip  kembara diubah ke Matang. Perjalanan ke Matang Wildlife Rehab mengambil masa kurang lebih 45 minit daripada tempat penginapan di Hotel Grand Supreme.


















Kembara jauh ini biasanya mendidik erti sabar dan berlapang dada dengan nikmat dan rahmat yang diperoleh selama ini, selain memupuk rasa persaudaraan, ikatan silaturahim bersama ahli keluarga dan sahabat handai. Sampai jumpa lagi ditrip yang akan datang.

Dalam kesempatan ini, disampaikan rakaman terima kasih kepada jemaah Masjid Serian yang baik hati, ramah dan bersahabat serta membenarkan kami memanas makanan menggunakan kelengkapan yang dibawa.

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...