|
Majlis Pelancaran di Rizqun Hotel |
|
Flag off |
Jejak Kesultanan Brunei di Borneo yang dilancarkan pada 1 Jun 2006
tiba ke destinasi pertama iaitu wilayah Sanggau, yang
terletak di Kalimantan Barat. Sebelum sampai ke destinasi yang dituju iaitu di
wilayah Sanggau, eksplorasi Jejak Kesultanan Brunei melewati jalan darat melalui
Miri – Sibu – Serian – Tebedu dan Entikong. Rombongan eksplorasi sebelumnya singgah di
Miri – Niah - Sibu dan Betong di Saratok untuk mengalas perut dan meregangkan
otot setelah seharian menghabiskan masa perjalanan yang panjang. Perjalanan mengambil masa yang panjang melewati lebih
daripada 1000 KM sehingga sebahagian daripada 14 buah kenderaan pacuan empat
roda yang menyertai konvoi eksplorasi mengalami kerosakan. Meskipun ada kenderaan
tersebut diperbaiki oleh seorang mekanik yang turut serta, namun sebuah kenderaan lagi terpaksa ditarik ke Kalimantan Barat khususnya di
perbatasan Tebedu dan Entikong agar tidak terlewat tiba di perbatasan yang ditutup
pada pukul 6 petang. Ini bertujuan untuk memastikan rombongan eksplorasi sampai
ke tempat yang dituju iaitu di Sanggau dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Mujurlah semua kenderaan pacuan empat roda mempunyai kemudahan
perhubungan cepat melalui komunikasi radio. Dalam eksplorasi yang melibat kumpulan
kenderaan yang bergerak secara konvoi apatah lagi membabitkan perjalanan jauh,
kemudahan peralatan komunikasi radio sangat efektif bagi mengatur, merancang dan
mengekalkan momentum perjalanan, mengelak anggota eksplorasi daripada tersesat,
memaklumkan masalah kenderaan kepada rakan yang lain dan memaklumkan beberapa
perkara lain yang di luar jangkaan sebagai persediaan kepada anggota konvoi
yang mengikuti dari belakang. Meskipun anggota rombongan merasai kepenatan
kerana terlalu lama berada dalam kenderaan yang padat dengan pakaian dan bekalan
makanan sebagai persediaan di lapangan dan seumpamanya, namun sepanjang
perjalanan tersebut para peserta disulami dengan gurau senda, segmen menguji
minda, menyatakan pendapat dan sebagainya yang dihubungkan melalui komunikasi
radio yang boleh didengar oleh para penumpang lain. Ini bertujuan untuk
mengelakkan rasa mengantuk sehingga boleh mengundang bahaya dalam kalangan pemandu
dan peserta eksplorasi. Semua masalah yang dihadapi sepanjang perjalanan
seperti kerosakan kenderaan dapat diselesaikan dengan semangat kerjasama berpasukan
yang tinggi khususnya di kalangan anggota Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei
Darussalam yang sudah terbiasa dengan perjalanan lasak yang menguji ketahanan
mental, fizikal dan emosi bagi memastikan misi Jejak Kesultanan Brunei di
Borneo mencapai matlamatnya. Eksplorasi Jejak Kesultanan tiba di perbatasan Tebedu dan Entikong dan disambut oleh dua orang kerabat Keraton Sanggau yang
diwakili oleh Haji Zahri, (seorang sejarawan) dan Abang Adi Subrata yang
dikhabarkan telah menunggu anggota rombongan
eksplorasi sejak pagi lagi. Setelah semua urusan pengesahan imigresen
dan pengisytiharan kenderaan di Kastam Entikong, anggota eksplorasi menerusi
perjalanan ke Sanggau. Rombongan eksplorasi turut diiringi oleh pihak keselamatan
Indonesia
sepanjang perjalanan menuju ke Sanggau. Cabaran pertama dilalui sepanjang
perjalanan ke Sanggau ialah keadaan jalan yang berlopak dan berliku. Jalan
menuju ke Sanggau kebanyakannya tidak beraspal. Namun, semua masalah yang
dihadapi tidak melunturkan semangat semua anggota ekplorasi. Di pertengahan
jalan sekitar 1 KM menuju simpang masuk ke Keraton Surya Negara, anggota rombongan diiringi pula oleh kumpulan bermotosikal penduduk Sanggau. Setibanya di Keraton
Surya Negara, suasana mula kelihatan meriah dengan kehadiran warga dan
masyarakat Sanggau untuk turut sama menyertai kerabat keraton mengalu-alukan
kehadiran anggota eksplorasi. Anggota eksplorasi disambut dengan penuh
adat istiadat Melayu seperti paluan kompang, diiringi oleh para punggawa
(hulubalang istana) yang memegang lembing sambil berjalan menuju ke pekarangan
keraton. Tarian Zapin turut dipersembahkan. Anggota eksplorasi disambut dengan taburan
bunga rampai. Ramai warga kerabat Keraton Sanggau dan para penduduk sekitar
menunggu dengan setia dan tidak berganjak sejak siang lagi, kerana rombongan eksplorasi
telah diuar-uarkan tiba sekitar jam 4 petang. Namun oleh kerana beberapa
masalah teknikal yang dialami, rombongan eksplorasi terlewat tiba dari jadual
asal. Apapun kegembiraan bukan sahaja
tergambar di kalangan warga Sanggau malah juga anggota rombongan eksplorasi
atas sambutan mesra, meriah dan penuh dengan istiadat Melayu. Setelah
menikmati hidangan, sesi sambutan daripada kerabat Keraton Surya Negara
dimulakan dengan kata alu-aluan daripada Drs. Gusti Arman.
|
Pekarangan Istana Sambas |
Majlis tersebut
diselajurkan dengan pengkisahan semula oleh sejarawan Sanggau mengenai hubungan
lampau Kesultanan Sanggau dengan Kesultanan Brunei. Menurut kerabat Keraton
Sanggau, satu ketika dahulu Sanggau adalah sebuah kerajaan Melayu yang
mempunyai hubungan dengan Kesultanan Brunei. Kerabat keraton Sanggau
juga memperlihatkan obor-obor dan surat perakuan
daripada Kesultanan Brunei
yang mengiktiraf Kesultanan Sanggau. Surat
perakuan tersebut telah ditransliterasi oleh sejarawan Sanggau. Beberapa barang
peninggalan sejarah lain seperti pakaian kerajaan, bendera, gong dan keris yang
mempunyai nilai sejarah tersendiri dipulihara dengan baik. Keraton Surya Negara
juga mempunyai beberapa sejarawan dan penyelidik yang bertanggungjawab
menggumpul dan merakam sejarah lampau Kerajaan Sanggau dan hubungannya dengan
Kerajaan Melayu di Nusantara sebagai ristaan dan kajian para penyelidik luar.
Keraton Surya Negara terletak di pinggir Sungai Kapuas iaitu sungai terpanjang dan
terpenting pada zaman kerajaan Melayu silam khususnya Kerajaan Sanggau sendiri.
Sungai Kapuas menghubungkan Kapuas hulu dan Pontianak. Kunjungan yang sungguh bermakna itu berakhir sekitar jam
12:15 malam dengan ucapan terima kasih daripada ketua rombongan eksplorasi dan seterusnya
pertukaran cenderamata. Anggota eksplorasi kemudian bertolak ke Singkawang yang
mengambil masa sekitar tujuh jam.
|
Di Anjung Istana Qadriyah |
|
Temu bual bahasa bersama Raden Farid Mohsen |
Rombongan eksplorasi Jejak Kesultanan tiba di Singkawang pada pukul
9 pagi setelah melalui perjalanan malam yang panjang. Anggota eksplorasi
berehat seketika di Hotel Mahkota Singkawang. Sekitar pukul 2 petang, rombongan
eksplorasi melawat Istana Sambas yang
mengambil masa perjalanan satu jam setengah daripada Singkawang. Menurut HM
Fahadi BZ (Ketua Majlis Adat Budaya Melayu, Kota Singkawang) yang turut serta
dalam eksplorasi ini; di Sambas, istana juga disebut keraton, tetapi pada
kebiasaannya keraton digunakan oleh masyarakat Jawa ketika Sambas berkedudukan
di kota lama yang terletak di wilayah Kacamatan Teluk Keramat, lebih kurang 60
KM dari Kota Sambas sekarang) Istana Sambas sebagai kelanjutan daripada Kerajaan
Majapahit di bawah pemerintahan Ratu Sepudak. Ratu Sepudak merupakan turunan
daripada Kerajaan Majapahit. Terdapat pelbagai peninggalan sejarah yang mempunyai
pengertian tersendiri di Istana Sambas, termasuklah makam-makam bersejarah
seperti makam Raden Sulaiman, salah seorang putera Sultan Tengah. Tambah HM
Fahadi BZ, Sambas ketika itu sudah terdapat sebuah kerajaan yang berasal dari
Majapahit yang diperintah oleh Ratu Sepudak. Raden Sulaiman dikahwinkan dengan Puteri
Ratu Sepudak. Setelah Ratu Sepudak meninggal terjadilah perselisihan antara
Raden Sulaiman dengan menantu Ratu Sepudak yang lain (perselisihan disebabkan
perbedaan agama). Raden Sulaiman
berpindah dari Kota
Lama ke Kota Bandir kemudian ke Lubuk Mandung lalu bertapak di Kampung Asam,
Muara Ulakan (di persimpangan tiga, Sungai Sambas kecil Teberau iaitu tempat
kedudukan Istana Sambas sekarang). Pada saat itulah terjadi hubungan Kerajaan
Sambas dengan Kesultanan Brunei.
Anak Raden Sulaiman bernama Raden Bima ketika dewasa telah berkunjung ke Negeri
Brunei
untuk menemui leluhurnya. Dikatakan Raden Bima diperintahkan untuk pergi
belajar ke Brunei
sebagai lanjutan dari utusan Sukadana dulu untuk mengunjungi leluhur keluarga
baginda (Sultan Tengah). Dikatakan Raden Bima disambut dan dibesarkan menurut
adat kebesaran raja-raja lalu dinobatkan sebagai Sultan Sambas dengan gelaran
Sultan Mohamad Tadjoedin. Sewaktu baginda berangkat pulang ke Sambas, baginda
telah dianugerahkan alat kebesaran kerajaan berupa payung keemasan, payung obor-obor,
tombak, keris dan beberapa peralatan bunyian diraja seperti nafiri.
|
Barisan Pacuan 4R |
Suatu yang menarik perhatian penulis ialah kedudukan istana dan
keraton di sini sejauh yang dijejaki setakat ini terletak di laluan air. Berdasarkan
sejarah, kebanyakan kerajaan Melayu silam terletak di jajaran laluan air.
Laluan air seperti sungai dan laut sangat penting bagi kerajaan Melayu silam
khususnya dari aspek maritim, perhubungan, pertahanan dan perdagangan. Pada
sebelah malam, anggota rombongan telah diraikan oleh Walikota Singkawang Drs. Haji
Awang Ishak M.Si dan isteri. Dalam kata sambutan beliau, selain mengucapkan
selamat datang ke Kota Singkawang, beliau juga berharap agar perhubungan antara
Brunei dan Kota Singkawang berlanjutan pada masa-masa yang akan datang baik
dalam hubungan silaraturrahim mahupun hubngan lain.u Majlis tersebut diserikan
dengan persembahan nyanyian daripada Walikota sendiri dan isteri termasuk
pimpinan pemerintahan yang berpusat di Kota Singkawang. Rombongan eksplorasi
juga turut diundang menyanyi untuk menyerikan lagi majlis berkenaan. Diakhir
majlis, kedua-dua pihak saling bertukar cenderamata kenangan.
|
Rehat meregang otot di ketika hari menjengah pagi |
Kemudian rombongan eksplorasi melanjutkan perjalanan ke Kota
Mempawah yang mengambil masa sekitar dua jam perjalanan. Mempawah merupakan ibu
kota Kabupaten Pontianak. Rombongan tiba di Istana
Amantubillah, Kota Mempawah sekitar jam 1.30 petang dan disambut oleh Pengiran
Ratu Dr. Mardan Adijaya turunan terakhir daripada Raja Mempawah iaitu generasi
anak Raden Sulaiman (Raja Sambas – keturunan Sultan Tengah) yang telah
berkahwin dengan anak Raja Mempawah. Melalui perkahwinan ini, terjadilah
hubungan antara Brunei
dengan Mempawah. Di Istana Mempawah, terdapat pelbagai peninggalan sejarah
seperti meriam, gong, bendera, keris dan lain-lain. Pada hari yang sama,
rombongan eksplorasi meneruskan perjalanan ke Kota Pontianak sekitar 70 KM dari
Mempawah. Sepanjang perjalanan ke Pontianak,
anggota rombongan ekplorasi melalui perjalanan yang mencabar kerana lalu lintas yang padat dengan pengguna
jalan raya lain terutamanya motosikal. Situasi ini sungguh berbeza dengan
keadaan lalu lintas di Sanggau dan Singkawang. Di Kota Pontianak, jumlah
penduduknya padat. Motosikal merupakan alat pengangkutan utama warga Pontianak selain kereta.
Namun perjalanan ini sangat menyenangkan dengan adanya bantuan polis dan unit
kawalan lalu lintas sehingga anggota eksplorasi tidak merasai kepenatan,
tambahan pula pelbagai pemandangan menarik di sepanjang perjalanan. Antara
pemandangan tersebut ialah hamparan padi menghijau, kelapa, limau manis (disebut
jeruk) sepanjang jalan menuju ke Kota Pontianak. Warga Pontianak juga melambai
tangan kepada anggota rombongan. Sejak dari awal lagi, anggota rombongan telah
menerima lambaian penduduk Kalimantan Barat sepanjang jalan yang dilalui. Ini
menunjukkan betapa gembira masyarakat Kalimantan Barat mengalu-alukan para
tetamu.
|
Antara beberapa jambatan bailey yg mencabar |
|
Bersama anak-anak nelayan Sukadana, Ketapang |
|
Laluan ke Makam Ratu Air Mala, Sukadana |
|
Anggota tim pacuan bersama anak Sukadana yang banyak membantu |
|
Sepanjang laluan balik dari Ketapang |
|
Dah mahir lalu jalan begini |
|
Nasib baik ada tayar spare |
|
Pelataran rumah persingahan di Pantai Sukadana |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan