Projek ambisius PanBorneo menelan belanja RM15 bilion. Laluan PanBorneo ini dijangka siap dalam tempoh 6 ke 7 tahun dari sekarang. Komitmen pembinaan laluan secara bertahap iaitu fasa demi fasa kini telah mula berjalan rancak di negeri jiran kita Sarawak dan Sabah. Perlu diketahui laluan PanBorneo bagi menyambung perhubungan darat antara Sarawak dan Sabah tidak dibuat terus melalui Miri dan Limbang sebaliknya kekal seperti laluan sekarang iaitu Sarawak - Brunei - Sabah dan begitulah sebaliknya. Terdapat keinginan tinggi bagi penduduk Limbang menginginkan laluan menghubungkan Limbang terus ke Miri dan sebaliknya. Kedudukan Limbang bak susunan sandwich yang terapit di tengah itu dirasakan menyulitkan kelancaran lalulintas dengan kadar segera, kerana secara geopolitik penduduk Limbang begitu juga Lawas harus melalui dua pos kawalan imigrasi Brunei, baik di Kuala Lurah mahupun di pos kawalan Labu, Temburong sebelum melanjutkan perjalanan baik ke Sarawak atau Sabah. Melalui pos kawalan, baik satu apatah lagi dua bukan sesuatu yang mengembirakan sebaliknya membuat sakit kepala dan meresahkan serta sering membuat kita buru-buru mengejar masa, marah pada mereka yang perlahan atau imigrasi yang lambat melaksanakan proses imbasan dan cap. Ia menuntut kesabaran tahap maksima terutama pada hari hujung minggu atau cuti panjang persekolahan. Namun sebagai warganegara yang berbeza, menghormati kedaulatan undang-undang negara yang dituju harus dipatuhi bagi menghindarkan tindakan yang tidak diigini.
google images bagi Peta Laluan PanBorneo |
Saya memerhatikan bahawa projek ambisius yang memiliki manfaat ekonomi dan pengaliran barangan serta perkhidmatan ini tentulah memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk sekitarnya jika ia digarap dengan kesedaran yang jelas dan rapi. Adalah mustahil dalam rantaian panjang laluan tersebut tidak ada kegiatan ekonomi baru tumbuh apatah lagi dengan siapnya jambatan mega sebagai penghubung dua pulau besar dan kecil yang terpisah oleh jalur sungai.
Pembangunan prasana dan penaiktarafan jalan raya telah bermula sejak siapnya pembinaan Jambatan Persahabatan yang menghubungkan Temburong dan Limbang. Jabatan Persahabatan ini tidak keterlaluan dikatakan sebagai tiang seri yang membuka jalan bagi perancangan yang besar seperti laluan PanBorneo tersebut walaupun diketahui inisiatif projek berkenaan telah diuar-uarkan dan dijanjikan dalam manifesto pilihanraya negeri dan parlimen di Malaysia dalam PRU13.
Pembangunan prasarana dan penaikan taraf jalanraya dalam peta laluan PanBorneo di sebelah Sarawak dan Sabah telah bermula sejak 31 Mac 2015 khususnya di Sarawak yang bermula dengan pembinaan Fasa 1 dari Teluk Melano (Selatan Sarawak) hingga Miri yang dijangka menelan kos RM18 bilion. Fasa kedua melibatkan Merapok, Lawas hingga ke sempadan Sabah. Kejuruteraan besar pembinaan laluan ini kebanyakan melibatkan laluan di Sarawak yang secara keseluruhannya laluan PanBorneo ini dijangka siap menjelang tahun 2022. Difahamkan lebuhraya berkenaan tidak mengenakan tol.
Sebenarnya kerancakan pembinaan laluan tidak sahaja berlaku di Sabah dan Sarawak, bahkan juga perkembangannya dapat dilihat di negara ini yang memang sudah termasuk dalam pelan induk pembangunan negara. Kebetulan pembinaannya bertembung dengan rancangan besar di negeri jiran dan perkara ini mungkin bukan satu kebetulan tetapi dibuat melalui perancangan rapi dan kerjasama strategik yang erat yang terjalin selama ini. Ia bermula dengan siapnya pembinaan Kompleks CIQ di Sungai Tujoh yang menunggu masa yang sesuai untuk dibuka. Kemudian prasarana jalan raya melibatkan biaya yang tinggi seperti penaiktarafan jalan penghubung Seria bypass dan Rasau yang menghala ke bandar yang sedang rancak ditingkatkan yang pastinya melibatkan jalan sehala di sebelahnya nanti. Seterusnya pembinaan jambatan penghubung di Telisai yang telah berjalan sejak lama. Siapnya jabatan ini tentunya mengurangkan tekanan dan beban bagi jalan raya lama yang menghubungkan Sungai Liang - Telisai yang selalu mengalami masalah kesesakan trafik apabila berlaku kemalangan dan kerosakan kenderaan dalam satu-satu masa.
Sebenarnya kerancakan pembinaan laluan tidak sahaja berlaku di Sabah dan Sarawak, bahkan juga perkembangannya dapat dilihat di negara ini yang memang sudah termasuk dalam pelan induk pembangunan negara. Kebetulan pembinaannya bertembung dengan rancangan besar di negeri jiran dan perkara ini mungkin bukan satu kebetulan tetapi dibuat melalui perancangan rapi dan kerjasama strategik yang erat yang terjalin selama ini. Ia bermula dengan siapnya pembinaan Kompleks CIQ di Sungai Tujoh yang menunggu masa yang sesuai untuk dibuka. Kemudian prasarana jalan raya melibatkan biaya yang tinggi seperti penaiktarafan jalan penghubung Seria bypass dan Rasau yang menghala ke bandar yang sedang rancak ditingkatkan yang pastinya melibatkan jalan sehala di sebelahnya nanti. Seterusnya pembinaan jambatan penghubung di Telisai yang telah berjalan sejak lama. Siapnya jabatan ini tentunya mengurangkan tekanan dan beban bagi jalan raya lama yang menghubungkan Sungai Liang - Telisai yang selalu mengalami masalah kesesakan trafik apabila berlaku kemalangan dan kerosakan kenderaan dalam satu-satu masa.
Seterusnya perkembangan fizikal yang menelan belanja jutaan ringgit juga terus berjalan seperti pembinaan jambatan dan laluan penghubung yang menghubungkan Sungai Kebun dengan Bandar Seri Begawan serta projek yang jambatan yang sudah lama dinanti iaitu jambatan yang menghubungkan Bandar Seri Begawan dengan Temburong yang khabarnya siap pada tahun 2018. Siapnya jambatan penghubung dari Bandar Seri Begawan ke Temburong tentulah memberi kemudahan bukan kepalang kepada penduduk Temburong yang sudah lama mengimpikan jambatan berkenaan bagi memudahkan mereka melaksanakan urusan kehidupan dan perhubungan antara saudara dan penduduk dapat berjalan tanpa batas dan waktu. Begitulah sebaliknya bagi masyarakat dan penduduk di BSB. Pastinya industri makanan dan minuman (food and beverages) akan tumbuh pesat kerana pergerakan manusia dapat dipendekkan dan cepat bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di daerah Temburong ini. Yang lebih penting juga, pergerakan ke sempadan menjadi lebih mudah khususnya penduduk di negara ini yang berhajat ke Sabah dan daerah sekitarnya.
Baru-baru ini, iaitu pada 11 Ogos 2015, Brunei Darussalam dan Malaysia telah bersepakat bagi memperpanjang waktu perkhidmatan imigrasi di pos kawalan sempadan darat kededua negara dilanjutkan sehingga pukul 12 malam bagi melancarkan lalulintas manusia, barang dan perkhidmatan. Orang yang seusia saya dan mereka yang sudah menempoh masa-masa puncak tentu berharap diberi kesempatan usia dan tenaga untuk melalui hari bersejarah berkenaan nanti. Mengapa kami begitu ambisius dan berharap tinggi? Ia tidak lain kerana alam yang membentang di Pulau Borneo ini memiliki bentangan keindahan semula jadi yang membentang dari daratan, sungai, bukit, banjaran hingga gunung dan dihuni oleh penghuni primet yang unik serta pulau ini terkenal dengan kepelbagaian bionya. Atmosfera ini menjanjikan petualangan yang mencabar, keterujaan dan pengalaman yang didapatkan. Semoga jalan raya berkenaan siap tepat waktu dan kami dapat menikmati kesempatan berkenaan dengan izin Allah Subhanahu wa Ta'ala. Amin Ya Rabilalamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan