Ahad, 5 Jun 2016

perginya legenda tinju

Muhammad Ali lebih mendunia dan lebih global daripada nama aslinya Cassius Clay. Dia memilih Islam dan Islam melekat pada dirinya sehingga ke akhir hayatnya. Dunia mengenalnya melalui sukan tinju. Dan sukan inilah yang telah membesarkan namanya. Pada zaman sukan tinju naik daun, semasa TV berwarna HD dan LED belum menjengah, masyarakat pelbagai golongan usia menanti penuh debar pertarungan terhebat yang melibatkan Muhammad Ali. Ali mengabdi masa mudanya dalam dunia tinju sekitar tahun 1960 - 1970-an. Saya dan rakan seusia semasa Tahun 2 - 3 sekitar tahun 1976 - 1979 di Sekolah Rendah Linsum, Rantau, Negeri Sembilan mengingatinya ketika kami bersama guru serta seluruh isi sekolah  menonton secara live pertarungan tinju di sekolah. TV hitam putih yang sederhana diletakkan di atas kabinet buku di luar bilik darjah menghala ke lorong laluan untuk memboleh seluruh isi sekolah menontonnya acara berkenaan. Keluasan lorong laluan sempit memang, tetapi itu sebuah kesederhanaan mewah yang banyak berjasa kepada warga sekolah ketika itu. Beberapa minit sebelum live, kami telah dibarisdudukkan oleh guru dan menunggu siarannya dengan penuh antusiasme sambil berharap tidak berlaku gangguan blackout.

Dahulu pertandingan tinju sering kali bertembung masa jam belajar. Menonton pertarungan secara live yang melibatkan petinju hebat ini merupakan acara nombor wahid kerana zaman itu event besar boleh dibilang dengan jari dan biasanya selalu sepi, baik di dalam negeri mahupun di luar negara. Sudah tentu tinju merupakan acara super apatah lagi jika melibatkan Muhammad Ali. Pertarungan yang ditunggu tentunya antara Muhammad Ali vs Joe Frazier yang dikenali sebagai Smokin Joe. Ali dan Joe Frazier adalah rivalitas abadi di sukan tinju, sama seperti dunia melihat pertarungan El-Classico antara Real Madrid vs Barcelona sebagai rivalitas abadi di sukan bola sepak. Sebetulnya lawan tanding Ali tidaklah mudah. Selain Joe Frazier, ada Sonny Liston, George Foremen, Ken Norton, Joe Burgner, Larry Holmes, Leon Spink dan Trevor Berbick.

Sumber: Google images
Anak-anak sekolah menontonnya dengan penuh minat, dan terkadang melonjak ria apabila pertarungan sengit sampai ke kemuncaknya iaitu di ronda kesembilan - kedua belas. Namun tidak jarang pula pertarungan yang melibatkan Muhammad Ali semasa jayanya tidak berlanjut ke ronda dua belas. Ali dapat menyudahkannya dengan keputusan TKO.

Dalam usia yang masih dini, tentulah kami masih naif untuk melihat kesan dan pesan sekolah mengenai menonton pertarungan tinju di sekolah. Sesuatu yang tidak dapat ditolak, pertarungan tinju yang melibatkan Muhammad Ali ditunggu oleh anak-anak dari sekolah dini hinggalah emak bapak, nek wan dan tok wan di belahan dunia manapun. Ali fenomenal. Teriakan Ali...Ali...Ali bergema ketika masa jayanya di ring tinju pada tahun 1970-an. Ali membuatkan masyarakat pada zamannya bersengkang mata, meninggalkan pekerjaaan sebentar, merehatkan sesi pengajaran dan pembelajaran sekurang-kurangnya untuk dua period, ada yang bolos sekolah atau ponteng dengan sengaja, dan tidak jarang pula acara menonton live Fight of the Century Muhammad Ali dan pesaingnya dapat melupakan kesulitan dan kesedihan untuk kesekian kalinya.

Bagi anak kecil seperti kami ketika itu, meskipun naif, kami melihat Ali adalah sosok yang menginpirasikan, figur yang bertenaga dengan lejangan tinju yang padu serta gaya spring atau seperti gerakan balet yang lincah sepasang kakinya memotivasikan anak kecil seperti kami dulunya untuk meniru gaya seni tinjunya, baik di bilik mandi, bermain-main bersama kawan mahupun beraksi di depan cermin. Figur Ali yang tinggi dan berisi itu memperlihatkan ia memiliki cita-cita, asa dan tujuan hidup yang jelas, dan sudah tentu Ali fokus dan dengan tujuannya itu.  

Ali bukanlah watak adiwira yang kita lihat dalam realiti maya atau sosok seperti wira atau pahlawan yang kita tahu dan belajar dalam subjek Sejarah. Ali hidup, Ali adalah sebuah kenyataan dan anda seperti dapat memegang wajahnya walau sekadar menyentuh wajahnya di kaca TV.

Sebagai ikon global, Ali menyatukan masyarakat daripada latar bangsa, ras dan agama di belahan manapun. Semua kita berkongsi rasa yang sama dan euforia yang sama, pada ketika Ali menggegarkan dunia dengan seni tinju dan deretan kejuaraan yang disandangnya. Di ring tinju, nama Ali abadi. Ali adalah peninju, dulu, kini dan selamanya.

Ali juga sering mengeluarkan kata-kata inspiratif atau petuah yang memiliki kesan dan pesan mendalam. Di sisa usianya, Ali menghidap Parkinson. Parkinson membuatnya tidak stabil dan tak berdaya. Terlepas dari gelarnya sebagai The Greatest Ali, Ali mengingati penyakit yang dihidapi itu sebagai satu pesan daripada Allah SWT bahawa beliau adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada sisi manusiawi yang dialami oleh semua orang dengan cara yang berbeza. Petinju legendaris ini memiliki sisi kemanusiaan, insan yang membumi dan rendah hati kerana Ali andil sebagai representasi masyarakat marhaen untuk menentang masyarakat borjouis yang kiasu dan hedonis. Ali menentang masyarakat borjouis yang rasis dan menuntut persamaan hak. Mesejnya jelas iaitu setiap manusia perlu memiliki pemahaman dan rasa hormat satu sama lain.

Kini, Ali pergi untuk selama-lamanya. Ali meninta sejarah tetapi hakikatnya sama seperti maestro atau legendaris lain baik dalam bidang sukan, muzik, seni mahupun budaya, namanya lama kelamaan akan hilang ditelan waktu. Generasi akan datang mungkin tidak lagi mengenalnya kerana subjek sejarah untuk pengajaran dan pembelajaran hanya untuk ahli falsafah, pengasas atau pemimpin, pahlawan atau pejuang,  penderhaka dan figur-figur yang bertanggungjawab dalam pembinaan negara bangsa serta tokoh penting yang berjasa di negara yang berkenaan. Inilah hakikat hidup dan hidup ini keras bagi sesiapapun. Ali memilih hidup keras kerana ia tahu pencapaian terhebat tentunya mereka yang diorbitkan daripada hidup yang bukan biasa-biasa. Setidaknya, Ali meninggalkan warisannya untuk diingati.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. AL-FATIHAH.



COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...