Isnin, 13 Januari 2014

FIFA BALLON d'OR 2013, DAN PEMENANGNYA CRISTIANO RONALDO

 
Hola Madrid, Hola Cristiano. Tahniah Cristiano Ronaldo (CR7). Anda berhak meraihnya. CR7 adalah pemain berskill tinggi dan penuh taktikal. Di atas semuanya, dia adalah pekerja keras, berkomitmen tinggi dan selalu tampil impresif dan konsisten di lapangan bola sepak. Selama tahun 2013, CR7 berhasil mencetak 66 gol daripada 56 pertandingan. Ini bermakna dalam setiap pertandingan yang dilakoni oleh Madridista, CR7 mencetak sekurang-kurangnya 2 gol ke gawang lawannya. Betapa prolifik, berprestasi dan luar biasanya CR7. Menurut sumber, beliau selalu ingin fit dan menjaga diet untuk menjalani hidup sihat dan tuntutan tinggi sebagai pemain profesional berkelas dunia. Karakternya yang bertenaga dan impresif selalu membuat anak-anak muda di lapangan bola ingin tampil seperti beliau. Melihatnya bermain, dia seolah-olah berada dalam satu planet lain dalam dunia bola sepak. Terakhir beliau membukukan hatrick ke gawang Sweden dalam perlawanan playoff kelayakan Piala Dunia. Jaringan hatrick CR7 membolehkan negaranya Portugal melayakkan diri ke Piala Dunia 2014 di Brazil dan kerana keberhasilannya itu, FIFA melanjutkan tarikh tutup pengundian penghargaan pemain bola sepak terbaik dunia yang dikenali sebagai FIFA Ballon d'OR pada penghujung November 2013. CR7 berkembang pantas sejak menyertai Manchester United daripada Sporting Lisbon dan selanjut menyertai Real Madrid, kelab bola sepak yang selalu menjadi impian ramai pemain dunia kerana kemasyhuran Madridista dan tentunya nilai global yang dimiliki Real Madrid. Manakan tidak, Madridista setidaknya mencatatkan 6 pemain penerima penghargaan Ballon d'OR. Mereka ialah Alfredo Di Stefano (1957, 1959), Raymond Kopa (1958), Luis Figo (2000), Ronaldo de Lima (2002) dan Fabio Cannavaro (2006). Untuk negaranya Portugal, CR7 penerima ketiga selepas legenda bola sepak Portugal, Esubio dan Luis Figo.

Meskipun tiada siaran langsung (jika ada siaran langsung sekalipun, mungkin tidak dapat menontonnya kerana hujan lebat sejak semalam (13 Januari 2014). Siaran satelit ASTRO biasanya ternganggu bila hujan dan itupun kalau ASTRO membuat siaran langsung acara berkenaan) saya berusaha mendapatkan berita terkini siapakah antara tiga pemain terbaik dunia meraih penghargaan FIFA Ballon d'Or melalui media Harian Kompas, sebuah media andalan saya yang selalu menyajikan berita terbaru. CR7 bersaing dengan nama besar pemain bola sepak dunia iaitu Lionel Messi dan Frank Ribery yang masing-masing berada dalam kelas tersendiri. Senang mendengar apabila namanya diumumkan sebagai pemenang oleh legenda bola sepak Brazil dan dunia, siapa lagi kalau bukan Pele. Pemilihan penghargaan FIFA Ballon d'OR unik. Masing-masing negara anggota FIFA memiliki tiga hak suara. Ia dilakukan di seluruh dunia oleh Ketua Jurulatih Nasional, Ketua Pemain Bola Sepak Kebangsaan dan seorang wartawan sukan.

CR7 menang dan beliau berhak mendapatkannya setelah menunjukkan komitmen tinggi dan tangguh dalam bidang yang beliau minati. Dia tidak menang mudah sebenarnya kerana saingan keras yang diterima daripada dua calon yang juga konsisten dan hebat teratas dalam persaingan penghargaan berkenaan iaitu Lionel Messi dan Frank Ribery. Moralnya jika kita ingin berhasil, kita perlu menjaga kesihatan, menghargai setiap nafas yang diberikan Allah Subhanallah Wa Taala, bekerja keras, berjuang dengan rendah hati, dan selalu ingin belajar. Apakah ini cukup? Tidak. Kita juga perlu "berjiwa besar" kerana dalam dunia yang terbuka kepada persaingan kita mungkin tidak meraih dan mengharapkan semua hal kehidupan menyebelahi kita pada setiap saat dan waktu. Itu tidak akan berlaku kerana yang namanya hidup, pelbagai cabaran dilalui sebelum kita menjadi besar kerananya. Itu juga yang dialami oleh CR7. Beliau vakum penghargaan FIFA Ballon d'Or selama 4 tahun berturut-turut ditangan pesaing terdekatnya siapa lagi kalau bukan Lionel Messi, tetapi ini tidak pernah membuatnya ragu dan berhenti untuk berusaha keras. Baginya, hidup perlu berlanjut. Satu hal penting yang perlu kita ketahui ialah kita sebenarnya adalah pemenang dalam setiap perkara baik yang kita lakukan tapi untuk menjadi besar dengan kemenangan itu masa-lah yang akan menjawabnya.

"Aku luar biasa bahagia. Sangat bangga. Anda perlu bekerja keras untuk memenangi trofi sebesar ini. Aku akan mencuba yang terbaik seperti yang selalu aku lakukan. Dan aku berharap tahun depan aku akan kembali dan memenangi Ballon d'OR ketiga dalam karierku. Itulah tekadku." antara bait-bait kata CR7 ketika ditemubual selepas meraih penghargaan berkenaan. Seminggu selepas menerima Ballon d'Or, CR7 menerima Grand Officer of the Order of Don Henrique yang merupakan penghargaan tertinggi di Portugal. Bintang Real Madrid itu menerima penghargaan tertinggi negaranya atas pencapaian luar biasa sehingga dia menjadi fenomenal, ikon dan menginspirasi anak-anak muda Portugal dan dunia. CR7 yang fenomenal membuatkan publik Portugal gembira dan sukacita serta secara tidak langsung Portugal menjadi peta penting dalam dunia bola sepak kerana meneruskan legasi dalam melahirkan pemain berskill tinggi, taktikal dan menikmati permainannya selepas Eusebio dan Luis Figo.

Sebenarnya, terdapat ramai contoh pemain memiliki bakat, namun mereka tidak sukses kerana usaha mereka tidak maksimal. Bola sepak kini tidak hanya memerlukan bakat dan usaha bahkan kombinasi kerja keras dan aspek sains di dalamnya. Tahniah CR7, tahniah bagi kita semua yang bekerja keras untuk kehidupan yang lebih baik. Ketika ditemubual media setelah menerima penghargaan tertinggi negaranya, CR7 mengungkapkan "Inilah hidupku, inilah profesiku dan ghairahku. Saya ingin terus bermain selama mungkin", Selamat Tahun Baru 2014. Jadikanlah setiap tahun adalah tahun yang hebat bagi kita semua. Jaga kesihatan kejar kejayaan. Di atas semuanya selalulah berjiwa besar dan RENDAH HATI.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...