Dr. Mataim semasa Sidang Eksekutif Ke-50 Mabbim, Jakarta |
Kuingin abadikan belasungkawa yang mendalam kepada mentorku yang telah banyak berjasa. Beliau adalah peribadi
yang selalu memotivasikan dan penuh percaya kepada proses. Apresiasi ini sengaja kuwacanakan tidak lain tidak bukan untuk mengingat kita semua bahawa dalam setiap perjalanan hidup yang kita lalui pasti ada guru yang membuatkan kita percaya diri kerana ilmu, pengetahuan, pengalaman dan petunjuk-petunjuk yang ia berikan.
Dalam konteks yang lebih luas, Dr Mataim adalah peribadi yang tidak asing lagi dalam isu pemerkasaan bahasa Melayu khususnya dalam konteks Brunei Darussalam. Pendek kata, inisiatif pemerkasaan bahasa tidak berjalan
tanpa melihat sumbangan peribadi sosok tertentu dalam rentang waktu
pengabadiannya. Sungguh tidak siapa
menduga, sosok yang secara relatif masih muda sepertinya telah berpulang ke
rahmatullah pada 13 Mei 2012 bersamaan 21 Jamadilakhir 1433.
Dr. Mataim yang kita
kenal kerana latar belakang pendidikan dan asa pengabadian beliau dalam memartabatkan
bahasa Melayu. Penyakit tulang yang dihidapinya menggerogoti ketahanan fizik
beliau. Badannya mulai berubah sederhana dan sering sakit-sakitan. Menjelang
persidangan Mabbim April 2012, kondisi fiziknya kelihatan membaik, dan nampak
berisi seperti sebelumnya. Namun tidak siapa tahu kesulitan dibenaknya
pascarawatan. Kesannya menusuk dan tak tertanggung. Ini belum termasuk
komplikasi lain yang menghambat langkah beliau. Jalannya perlahan tidak seperti
selalu. Namun kesulitan yang beliau rasakan,
tidak sedikit mempengaruhi keceriaan dan ekspresi wajahnya semasa pengelaran anugerah
apresiasi Tokoh Mabbim pada bulan April 2012 dalam rangka sambutan 40 Tahun
Mabbim yang lalu. Beliau berusaha ramah berbual melayani penggiat dan pejuang
bahasa, memenuhi temu bual dengan media massa dan bertemu rakan taulan Mabbim
yang cukup beliau kenal kerana itulah kultur dunia yang beliau menjadi pemain
di dalamnya. Tertinta bahawa pertemuan itu merupakan kesempatan terakhir
sebelum dijemput Tuhan Yang Maha Esa. Inilah hidup, kadang-kadang sudah
berencana, tapi tergantung Yang Maha Kuasa. Agama mengajarkan bahawa kita harus
siap.
Kariernya di Universiti
Brunei Darussalam (UBD) bermula sebagai pensyarah. Mendaki setapak demi setapak
dan seterusnya diberi kepercayaan memegang teraju sebagai Dekan Fakulti Sastera
dan Sains Sosial, UBD. Fonetik dan fonologi, morfologi dan aspek perancangan bahasa
adalah bidang yang menjadi kecenderungan beliau. Tidak hairan, buku dan rencana ilmiah yang digarap banyak menjurus dalam bidang berkenaan. Aktif dalam seminar dan forum,
sering diundang menjadi panel dan moderator. Beliau sering memberi motivasi dan memberi kepercayaan penuh kepada tenaga muda yang berkebolehan untuk menyampaikan idea
dan dapatan mengenai kebahasaan dan kesusasteraan dalam ranah seminar. Karyawan DBP yang tamat menjalani latihan dalam perkhidmatan ijazah pertama diarahkan untuk membentang. Sesiapapun mereka termasuk saya harus siap. Pembentangan pertama saya selepas tamat ijazah ialah semasa Seminar SETALING di UBD dengan makalah bertajuk "Multibahasa: Dinamisme Baru Generasi Ketiga Dalam Persekitaran Dunia Yang Berubah". Meskipun sedikit grogi, saya bangga kerana diberi kepercayaan dan peluang. Terima kasih Dr.
Dr. Mataim, peribadi yang sesekali suka bergurau dan membuat lawak. Dalam gurauan dan serius ketika memberikan teguran, ada ilmu dan mesej yang beliau sampaikan. Visinya jelas dan karakter pemberaninya benar. Sebagai sosok yang relatif masih muda yang berenergi dan berlatarbelakangkan ilmu linguistik dan kebahasaan sekali gus pendidik, beliau telah mengambil porsi paling banyak dalam mengangkat isu mengenai pemerkasaan bahasa Melayu dalam rentang masa 90-an hingga tahun 2009. Asanya mengenai bahasa Melayu selalu dibenahi. Sumbangsih terpenting beliau antaranya ialah pembentukan pedoman umum ejaan dan istilah, serta sebagai pendamping bahasa dalam pembentukan istilah bidang ilmu. Karya hidup beliau mengenai bahasa dalam bentuk artikel secara relatif banyak ditulis, seruan mengenai cintailah bahasa Melayu turut dilontarkan. Sesuatu yang terkesan daripada perjuangan beliau, ialah idea dan asanya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN. Siapa peduli isu tentang bahasa, tetapi bagi Dr. Mataim, bahasa adalah bahagian integral dari hidup dan cara kita menyampaikan idea-idea untuk membangunkan kesedaran masyarakat tentang peranan bahasa sebagai pengembang ilmu dan mengungkapkan peradaban. Untuk yang satu ini, tiada istilah lelah bagi beliau dalam mengingat khalayak agar merangkul dan mencintai bahasa kita selayaknya. Khalayak mengingati beliau bukan setakat pendidik dan pentadbir, malah beliau memiliki keahlian dalam bidangnya.

Dr. Mataim mengetuai DBP
dalam rentang waktu yang singkat, kerana tenaga dan ilmunya diperlukan untuk
memimpin satu portfolio di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Meskipun
singkat, namun kehadirannya meninggalkan kesan mendalam baik dari segi
inspirasi mahupun hala tuju institusi ini. Dr.
Mataim telah menunjukkan apa yang beliau boleh lakukan, dan harapan saya, anak didik, masyarakat dan rakan taulan tidak akan berhenti untuk menulis dan setidaknya
mengingati keberhasilan beliau tersebut.
Dari sisi lain, individu-individu
yang mencintai prestasi selalu dahagakan sesuatu dalam hidup mereka. Ada yang
ingin memahat namanya sebagai pendaki gunung tertinggi, dan menjadi maestro dan
unggul dalam bidang tertentu. Meskipun impian dan perjuangan mereka berbeza, namun
inisiatif dan darma bakti yang mereka lakukan dan capai, menjadi
potongan-potongan kejayaan masa lalu yang kekal menjadi ristaan. Berhubung soal
menulis, penulis menjadi ingat serentetan kata penulis besar Pramoedya Ananta
Toer, “Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia
akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk
keabadian.”
Kini Dr. Mataim telah
tiada. Karya hidup mengenai bahasa dan inisiatif lainnya adalah warisan yang
beliau tinggalkan. Setidaknya sosok beliau dikenang dalam kultur pembahasan
mengenai kebahasaan dan linguistik. Dalam konteks Brunei Darussalam, idealisme
beliau disorot dan diingat dalam potret pejuang bahasa yang sentiasa
memerlukan karakter, peribadi dan keahlian yang tangguh dalam bidangnya. Kita
jadi terfikir, kelak ketika kita dijemput Tuhan Yang Maha Kuasa, apa saja yang kita
tinggalkan. Sesuatu yang tidak hanya dinikmati oleh keluarga sendiri saja.
Waktulah yang akan menjawabnya.
Selamat jalan Dr., rakan
taulan, staf dan mereka yang pernah menerima ilmu darimu mengantarmu dengan
penuh rasa kasih dan cinta. Semoga dirimu mendapat tempat terbaik di sisi-Nya, amin.
Al-Fatihah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan