Rabu, 6 Ogos 2014

trip jalan darat ke HatYai

Lama dah tak update blog. Entri terbaharu kali ini bagi bulan Ogos 2014 ialah tentang pengalaman ke HatYai menggunakan jalan darat dari Kuala Lumpur. Untuk mereka yang mencintai dan suka cabaran atau petualangan bajet, moga informasi yang saya kongsikan ini membantu anda khususnya warga tercinta tanah air, Brunei Darussalam. Mengapa saya katakan demikian? Ia tidak lain kerana pengalaman yang saya lalui sendiri waktu di pos kawalan imigrasi Thailand di Sadao setelah selesai mengecap pasport di imigrasi Malaysia di Bukit Kayu Hitam. Baik, sebelum saya menyentuh tentang perihal tersebut, eloklah saya bersirah terlebih dahulu tentang petualangan darat saya ke HatYai.

Seperti biasa, kepada anda yang masih baharu, jangan lupa membaca bloggers-bloggers yang mengongsikan pengalaman mereka ke HatYai. Melalui mereka yang saya tidak kenal biasa tetapi ramah mengongsi tentunya banyak membantu memberikan penyuluhan dan pencerahan pada saya sebelum merancang ke Hatyai. Informasi ini memberikan energi kepada saya  untuk berpetualang buat pertama kalinya seorang diri. Pertama sekali jangan lupa menaipkan kata kunci HatYai Thailand di google. Banyak informasi mengenainya dikongsikan yang tentunya dapat membantu menambah daya minat anda. 

Rancanglah perjalanan darat anda dengan baik. Jauhari lagi beli tiket bas melalui www.busonlineticket.com. E-tiket berkenaan perlu ditukar kepada tiket sebenar di kaunter 15 (kaunter jualan tiket bas Alisan Golden Coach) sekiranya anda memilih operator bas AGC.

E-tiket bas
E-tiket perlu ditukar ke tiket sebenar di kaunter 15 stesen bas Puduraya
Ada beberapa syarikat bas yang menawarkan perkhidmatan ke HatYai dari Kuala Lumpur (stesen bas Puduraya). Antaranya ialah Alisan Golden Coach (AGC), Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (KBES), Maju Ekspres dan CityEkspres.

Alisan Golden Coach
Tiket perjalanan sehala berbeza nampaknya. AGC bagi bas setingkat, sehala RM60.00, doubledeck RM70.00. Manakala KBES RM56.00. Ketetiga bas ini berkondisi baik dan bagus. Tiket juga boleh diberi terus ke kaunter no.45 di stesen bas Puduraya. Bas AGC saya naiki memberi kesan impresif buat saya yang baru membuat perjalanan jauh ke HatYai. Manakan tidak, bas ini menyediakan kemudahan akses wifi kepada penumpang. Di samping itu, pada setiap tempat disediakan soket lubang tiga (multi) dan usb untuk mengecas telefon atau laptop.

Soket pengecas disediakan

Perjalanan mengambil masa selama 9 jam. Bas akan berhenti rehat di stesen minyak Petronas, Shell dan Petron untuk membolehkan penumpang ke toilet. Ada beberapa tempat bas berhenti iaitu di Ipoh, Penang, Butterworth, Sungai Dua, Juru, Changlun dan terakhir di Bukit Kayu Hitam (BKH). Di BKH, anda boleh minum dan makan. Saya cadangkan minum sahaja kerana tempat ini kebanyakan orang Thai yang berniaga. 

Bagi mereka yang dari Brunei, saya cadangkan mengambil bas perjalanan pukul 10.00 malam bagi membolehkan anda sampai di HatYai pada pukul 8.30 pagi pada keesokan harinya. Untuk itu, anda perlu transit rehat di hotel terlebih dahulu sebelum bertolak. Tempat menginap yang dicadangkan ialah di Ancasa Puduraya. Bagi mereka yang mahu menghemat biaya seperti saya, menginaplah di Bunc@Radius Petaling Street. Hotel ini berdekatan dengan gerbang utama Petaling Street dari arah Kota Raya. Anda tinggal menapak masuk sedikit di deretan kedai di Petaling Street kemudian lihat papan tanda hotel ini di sebelah kanan. Untuk catatan, wifi di Bunc@Radius lumayan laju baik di lobi mahupun di kamar. Informasi lanjut mengenai hotel yang berdekatan dengan stesen bas Puduraya atau di China Town yang juga berdekatan dengan Puduraya, sila semak dan tempah melalui Agoda.com. Sesekali, bacalah review penginap untuk membantu anda membuat pilihan penginapan yang sesuai. Jika anda membawa anak-anak, eloklah memilih hotel yang lebih selesa iaitu di Ancasa.

Hotel bajet Bunc@Radius di Petaling Street


Jangan lupa mendongak sedikit untuk melihat tanda Bunc@Radius
Untuk perjalanan jauh, anda jangan mengambil makanan berat atau pedas. Cukup makan jenis makanan alas perut seperti roti atau makanan nasi berlaukkan sayur. Ini bertujuan agar tidak menganggu perjalanan anda atau membuatkan bas menunggu lama hanya kerana anda bermasalah. Ingat, bas yang kita naiki itu bukan kita charter untuk ahli keluarga sehingga kita seolah ada hak menggunakan masa. Driver bas di sini, kadang kala kasar. So kita dok diam-diam dah la. Janji sampai...hehehe. Pastikan anda membawa sweeter atau baju menahan sejuk kerana malam yang dingin akan menyapa badan dan tulang kita sehingga membuat kondisi kita kedinginan dan bersenandung sepanjang perjalanan. Maunya tak sejuk, malam lagi.

Ketika sampai di BKH, driver akan meminta kita menyerahkan pasport. Mereka akan membuat pengisian borang imigrasi ketibaan bersekali dengan borang imigrasi keluar (berlepas) melalui satu syarikat di foodcourt BKH. Banyak bas yang juga ke HatYai melakukan perkhidmatan yang sama dengan syarikat penyedia perkhidmatan mengisi borang berkenaan. Mudahkan. Anda juga tidak dikenakan caj tambahan. Sambil menunggu, anda boleh mencuci muka dan membeli minuman kerana foodcourt BKH adalah terminal hentian rehat terakhir di sebelah sempadan Malaysia. Setelah siap borang imigrasi diisi, driver akan naik ke bas. Jika anda dok minum dan sembang-sembang di foodcourt, siaplah mamat driver Indian tu bagi hon suruh anda naik ke bas...hahaha. Jangan meminta pasport anda. Driver itulah yang akan membagi pasport kepada anda. Mereka tak memanggil nama anda, sebaliknya mereka lihat gambar dalam pasport tersebut dan memberikan kepada pemiliknya. Boleh tahan kerja driver ini. Cun semua. Tak ada yang salah.

Kemudian, bas akan menuju ke pos BKH sebelah Malaysia. Anda akan diberitahu oleh driver tentang imigrasi doket nombor berapa patut anda dan penumpang lain berbaris. Setelah siap cap di pos kawalan Malaysia, anda bersama penumpang lain cari bas yang anda naiki tadi untuk berangkat sama ke pos kawalan imigrasi Thailand di Sadao. Jangan bimbang. Bas akan menunggu anda di kawasan parkir yang memang diperuntukkan untuk bas. Anda cuma perlu mengingat apakah nama bas yang anda naik tadi. Jika perlu ingat nombor pendaftarannya. Mengapa, ini kerana ada banyak bas pelancong yang berhenti di jalur parking bas pada saat yang bersamaan. Selepas itu, bas akan bertolak lebih kurang 200 meter ke pos kawalan imigrasi Thai di Sadao. Di sini, anda diminta membawa semua bagasi anda bersama diri anda untuk mengecap pasport dan membuat imbasan bagasi.

berbaris menunggu giliran di pos imigrasi Malaysia Bukit Kayu Hitam
Deretan bas yang tiba serentak pada pukul 6.00 pagi
Baik pos kawalan imigrasi inilah masalah saya bermula bersama penumpang dari Amerika Selatan atau negara lain yang memang diaturkan untuk membuat permohonan visa. Lucu bagi saya ialah Brunei Darussalam adalah negara ASEAN yang juga rakan kerjasama. Mengapa pula perlu memohon visa. Itulah pertanyaannya. Saya tidak pasti apakah hal demikian diberlakukan juga kepada penumpang Brunei DS yang tiba melalui pesawat udara di Bangkok. Berhubung dengan pengalaman yang saya lalui, saya kira apapun situasi yang berkaitan dengan prosedur imigrasi, kita sebagai turis hendaknya akur dengan aturan yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa di negara berkenaan. Saya juga berkesempatan berbual dengan polis pelancong yang meronda dan mengawal di pekan HatYai khususnya di pot yang menjadi kunjungan ramai iaitu di laluan Lee Garden Plaza Hotel berhubung dengan kebenaran yang dikenakan. Beliau menjelaskan untuk sementara waktu sehingga sebelum 2015 (Community Asean), negara yang dikatakan "bersatu daratan" seperti Malaysia, Singapura dan kawasan Indo China seperti Myanmar, Cambodia, dan Laos tidak perlu memohon kebenaran visa di pintu masuk pos kawalan imigrasi Thai. Permohonan visa tidak dikenakan bayaran hanya sekadar mengisi borang namun anda perlu menunggu hampir satu jam lebih sekiranya pegawai imigrasi tidak duduk ditempat pada waktu anda telah siap mengisi borang berkenaan.

Sedikit kisah tentang mengecap pasport di pos kawalan imigrasi Thai di Sadao. Pada ketika tiba giliran anda menyerahkan pasport kepada imigrasi Thai di doket yang telah dikhas untuk penumpang bas, anda akan dilihat seperti pesalah gamaknya..hehe. Itu yang saya rasakan. Anda terus diberi satu borang untuk diisi di pejabat yang tidak jauh dengan doket imigrasi tadi. Jangan cuba-cuba meminjam pen seperti yang biasa anda lakukan ketika naik pesawat RBA. Confirm tidak dilayan apatah lagi mereka tidak boleh berbahasa Inggeris, Melayu selain daripada bahasa Thai. Bawa dan sediakan pen dalam beg saku anda. Anda tidak keseorangan dalam hal ini kerana ada penumpang negara lain yang melalui situasi yang sama. Ketika anda telah siap, jangan cuba-cuba menyerahkan semula kepada penjaga kaunter yang bukan berpakaian seragam imigrasi Thai yang berwarna coklat cerah (kalau tak silap saya kerana masa tiba hari tu dinihari). Mereka akan memarahi anda dan menyuruh anda duduk...seat...seat..wait for the officer come. Pandai pulak mereka cakap bahasa Inggeris bila bab marah-marah. Menunggu lah anda dengan tertib sambil bawa beg sehingga pegawai imigrasi mereka datang untuk mengecap di pejabat tempat anda mengisi borang berkenaan. Anda disuruh duduk  melihat kamera kecil...hehe di komputer meja. Mereka akan tanya di mana anda menginap dan beberapa hari di HatYai. Lepas itu mereka akan berikan anda masa sebulan seperti amalan yang dilakukan di negara lain. Driver bas pula akan menunggu urusan anda selesai, baru mereka jalan. Setelah selesai cap imigrasi, pegawai berkenaan akan menyerahkan dokumen berkenaan kepada staf penjaga kaunter. Staf berkenaan akan membuat salinan fotokopi pasport anda dan borang imigrasi ketibaan akan diambil. Yang tinggal ialah borang imigrasi berlepas balik nanti. Setelah siap, anda keluar dari pejabat berkenaan dan terus membawa beg di kawasan mengimbas bagasi. Ada pihak berkuasa keselamatan Thai yang menjaga di kawasan pengimbas bagasi tersebut. Tempat pengimbas tersebut satu jalur dengan tempat anda berurusan dengan hal visa tadi.

Tentang bagasi, mengapa bagasi perlu anda bawa? Saya kira ini satu langkah keselaman dan pencegahan awal yang terbaik agar tidak terjadi perkara yang tidak diingini. Nampaknya pihak berkuasa keselamatan Thailand belajar banyak akibat daripada serangan berani mati yang biasa berlaku.

Setelah siap semua urusan berkenaan, jangan anda fikir bahawa anda sudah sampai di bandar HatYai. Anda perlu naik baik bas kembali untuk perjalanan selama satu jam lagi sebelum tiba di pekan Hatyai. Di sini bas tidak berhenti rehat lagi. Tertakluk apa nama bas yang anda naiki, bas berkenaan akan berhenti tepat di hadapan kaunter jualan tiket bas berkenaan di pekan HatYai. Setelah tiba, saya nasihatkan sebelum mendaftar masuk ke hotel, anda perlu beli dahulu tiket balik. Tiket boleh dibeli menggunakan duit Baht atau ringgit Malaysia. Sedikit panduan untuk anda yang dari Brunei DS. Pilihlah hotel Lee Garden Plaza (LGPH) atau Grand Plaza Hotel (GPH). Kededua hotel letak bersebelahan, namun prioriti untuk anda memilih bagi saya ialah LGPH..hotel ini lebih happening dan superb. Geliat kesibukan jalan di hadapan hotel  LGPH dan GPH tambah meriah pada penghujung minggu bermula pada hari Jumaat - Ahad.

McD yang bersatu bangunan dengan LGPH

LGPH

Sekuriti dan pihak berkuasa keselamatan Thai sentiasa menjaga persekitaran dan patrol di kawasan hotel ini. Di HatYai, hotel tempat anda menginap akan memegang pasport anda setelah selesai check in. Pasport akan dikembalikan semasa check out nanti.


Kereta peronda pihak berkuasa keselamatan Thai parkir di hadapan LGPH dan GPH
Ramai turis Malaysia dan Indonesia juga menginap di hotel berkenaan. Di kawasan sekitarnya terdapat restoran makanan muslim Thai iaitu Hamid Restoran. Selain Restoran Hamid (RH), terdapat dua buah lagi restoran makanan halal yang berdekatan, iaitu Restoran Salma (RS) dan Kelantan Restoran (KR).  RS menyediakan sarapan pagi (light breakfast) seperti roti canai. Rasanya tidak seperti roti canai buatan tangan yang kita makanan selalu (ini menurut saya saja). Ia seperti roti canai dalam pek yang dijual di mall. Namun cecah kari yang disediakan sedap juga. RH dan RS menyediakan perkhidmatan wifi sementara di KR tiada. Saya cadangkan anda pergi ke RS atau KR kerana harga sajian makanan tidak berapa mahal berbanding RH. Sepiring nasi lemak di KR berlaukkan rendang ayam, acar, sambal, timun dan segelas teh 'o' ais, baru berharga sekitar 80Baht atau RM8.00. Di RH, saya menikmati semangkuk tom yam yang seafoodnya ala kadar, sepiring sayur kailan masak tiram, nasi dan segelas teh 'o' ais dipatuk dengan harga 300Baht atau RM30.00.  Sejak saya tahu menggunakan nilai Bath, dengan perbandingan harga makanan yang sama di RS atau di KR, sejak itu saya tak datang singgah lagi di RH. Pengunjung di RH pun boleh dibilang dengan jari.

Salma Restoran
Pada sebelah malamnya, kawasan persekitaran jalan hotel ini memang happening. Ada penjaja muslim Thai menyediakan makanan goreng dan mee rebus selain daripada makanan seperti pulut durian dan pulut manga yang memang ummphhh.

Pulut mangga

aneka gorengan seafood termasuk ayam dan puyuh


Restoran Hamid
Sebaiknya, tukar wang Baht di Brunei DS terlebih dahulu kerana nilainya agak tinggi berbanding di HatYai. Nilai semasa Dollar Brunei ke Baht ketika ini ialah B$1.00 - B2.50. Di Hatyai juga banyak tempat tukaran wang khususnya di agen jualan tiket bas dan di kawasan sekitar pekan HatYai jika memang anda ingin menukar wang di sini.

Sedikit panduan kepada anda yang menggunakan bas dan tidak ingin menapak jauh dari hentian penurunan penumpang di HatYai dengan hotel LGPH atau GPH, saya cadangkan anda naik bas Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (KBES). Tidak sampai dua minit anda menapak dari hentian penurunan tersebut, anda sudah boleh check in di LGPH atau GPH. Tiket bas KBES boleh dibeli secara online www.kbes.com.my atau datang ke kaunter jualan tiket bas berkenaan di Puduraya. Agen jualan tiket sentiasa menunggu di dalam bangunan Puduraya untuk menyapa dan membawa pengunjung atau turis ke kaunter jualan tiket. Lihat sahaja seragam yang mereka pakai. Untuk pembelian tiket bas di HatYai, mereka menerima duit Baht dan juga duit Malaysia. Harga tiket akan dijual mengikut nilai tukaran, bukan nilai satu sama satu.


Hentian bas KBES di HatYai
Agen jualan tiket KBES di HatYai

Sedikit panduan bagi mereka yang berminat menggunakan keretapi kemudian menyambung trip menggunakan van (jenis Toyota Commuter yang boleh memuatkan 10 orang). Bagi mereka naik dari stesen KL Sentral, lebih baik anda turun di stesen keretapi Butterworth, Penang. Ada syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan akan mengambil anda di Stesen Butterworth untuk membawa anda ke HatYai atau anda memilih perjalanan selama seminggu (7 hari) untuk menjelajahi Phuket (2 malam)/Krabi (1 malam) /Koh Phanga (singgah beberapa jam)/HatYai (2 malam). Kos yang dikenakan bagi semua perjalanan berkenaan ialah RM800 seorang termasuk penginapan di semua destinasi yang disinggahi yang juga akan ditempah oleh syarikat tersebut. Anda boleh menghubungi Encik Mohd Khan atau Encik Faizac dari Tras Enterprise seperti kad perniagaan yang tertera. Encik Mohd Khan sebagai pemilik dan pengusaha Tras Enterprise kerap membawa penumpang baik dari Malaysia mahupun Indonesia, dan beliau tentunya sudah marfum tempat-tempat yang sesuai dilawati termasuk hotel penginapan dan makanan halal ditempat yang disebutkan tadi.

Tras Enterprise

Tras Enterprise

Berbual dan makan bersama dengan pemilik dan pengusaha
 pengangkutan Tras Enterprise
 iaitu Encik Mohd Khan dan Encik Faizac di HatYai
mohd azurin othman di kawasan pertunjukan gajah



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...