Rabu, 22 Januari 2014

PENGALAMAN MENEMUDUGA

Selasa, 21 Januari 2014 selesai sudah tanggungjawab sebagai wakil jabatan bagi menemuduga calon untuk mengisi jawatan kosong. Alhamdulillah pengalaman menemuduga untuk kali ketiga ini amat besar maknanya. Prosesi temu duga ini bagai sebuah parade sosial  dalam kelasnya yang tersendiri sekali gus momen untuk mengamat ragam dan menilai karakter calon yang hadir. Setidaknya ia merupakan satu nutrisi dan amunisi belajar dan mengajar yang sungguh bererti, paling tidak buat share kepada anak-anak yang nantinya akan melewati hal yang sama. Banyak macam karakter yang dapat dilihat baik dari ketrampilan, karakter mahupun persiapan calon yang berkenaan. Sesekali terlihat tipikal karakter calon misalnya ada yang suka menggigit manja lidah jika dia merasa ragu dengan jawapannya, calon yang tidak mahu menatap mata panel apabila menjawab, mata berkelip-kelip dsbnya.

Satu hal penting yang setiap orang pernah melaluinya ialah mendapat panggilan temu duga setelah lulus seleksi atau ujian bertulis. Dipanggil temu duga adalah sebuah euforia rasa kerana kita termasuk dalam orang-orang yang terpilih untuk berhadapan dengan panel temu duga bagi jawatan yang dipohon. Maka bersedialah kita dengan bermacam-macam bacaan yang berkaitan sambil meminta dukungan dan sokongan daripada ahli keluarga, kerabat dekat dan sahabat handai yang setia setidaknya untuk meminta doa dan tips bagaimana menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan ketika ditemu duga nanti.

Anda tentu marfum bahawa anda berasakan sedikit lebih baik daripada calon lain sekiranya jawatan yang ditemu duga berkaitan dengan bahagian dalam jabatan anda. Sebagai orang berpengalaman dan sudah memasuki pergulatan kerja, anda tentu merasakan anda mempunyai kelebihan, lebih baik daripada calon junior yang baru menamatkan pengajian meskipun ketika anda dipanggil temu duga, jawatan yang tersebut tidak berkaitan dengan tugas semasa anda. Anda mencari sumber, anda menelaah, tiap hari anda mengingat apa yang anda baca dan anda menjangka apa yang anda baca adalah hal yang akan ditanyakan oleh panel. Apakah persediaan tersebut cukup? Hmm...mungkin ya mungkin tidak. Mengapa? Ia kembali kepada karakter anda sepanjang anda memanfaat dan mengisi masa, baik dalam kehidupan mahupun kerja yang anda lakukan sehari-hari. Mengapa saya katakan karakter dan mengapa seolah karakter penting? Perhatikan hal yang saya katakan ini dalam kehidupan dan pekerjaan kita sehari-hari. Apakah anda seorang pejuang? Apakah anda seorang pekerja keras? Apakah anda seorang pemikir? Apakah anda orang yang kreatif dan inovatif? Apakah anda seorang perancang? Dan lebih jauh seberapa penting anda menjadikan amalan membaca sebagai budaya atau kultur dalam hidup anda? Dan sejauh mana anda mengambil tahu tentang hal ehwal semasa baik yang berlaku dalam negara mahupun di luar negeri untuk memastikan anda up to date dengan perkembangan yang berlaku? Tidak kira anda adalah calon yang sudah menempuh pergulatan kerja dan mahu meningkat naik dalam kerja anda, atau adik-adik yang sudah lama atau baru menamatkan pengajian, anda harus memerhatikan perkara ini. Ketika anda melakukan yang terbaik dalam hidup anda sebenarnya menghargai diri anda dan masa anda. Dalam hidup yang semakin melihat nilai itu penting, anda mesti memiliki karakter yang tangguh, menjadi pejuang sejati, berjiwa besar, selalu berusaha keras, kreatif dan inovatif dalam semua hal kehidupan yang anda lalui, nescaya semua ini menjadi modal yang baik yang akan menginspirasikan anda untuk meraih kehidupan yang lebih baik. Jika semua ini anda lakukan, insya-Allah sebuah kenescayaan akan membentuk cara anda berfikir, bersikap, dan bagaimana anda menyampaikan fikiran dan pengetahuan anda dalam masa-masa sulit termasuklah ketika anda menghadapi temu duga. Nah! ketika anda sudah malang melintang dipanggil temu duga setelah melepasi ujian bertulis dengan baik, kenapa tidak berusaha lebih giat lagi.

Saya katakan sarjana, ijazah dan pengalaman kerja bukan bererti kita unggul. Belum tentu senarai panjang sijil dan pengalaman kerja yang seseorang itu miliki membuatkannya unggul. Bagi saya karakter itu penting iaitu memiliki karakter pejuang, pekerja keras dan kreatif. Namun jika anda jenis yang cukup biasa-biasa sahaja, persiapan yang anda lakukan mungkin sudah cukup baik sesuai dengan standard anda tetapi belum sampai atau paling tidak, mendekat kepada standard pertanyaan dan jawapan pada pertanyaan yang dikemukakan oleh panel penemuduga. Mungkin pernyataan ini kedengaran berat dan membebankan bagi mereka yang tidak suka menantang atau mencabar diri, namun dalam dunia kompetitif hari ini, anda harus membuat perbezaan kepada diri anda kerana temu duga sebenarnya adalah satu proses bagaimana anda "menjual dan memasarkan diri anda yang di dalamnya merangkumi ilmu, pengetahuan, akauntabiliti, kemampuan dan cara anda bercakap dengan komitmen jawatan yang anda pohon". Akan ada justifikasi bahawa segelintir kita tidak memiliki karakter yang disenaraikan, tetapi dapat mengecap jawatan yang dipohon berbanding mereka yang mencuba keras. Percayalah jika anda berusaha keras dan sentiasa membangunkan diri serta proaktif dalam segala hal kehidupan, anda sebenarnya tidak pernah rugi apa pun. Jangan pernah berhenti berusaha dan bekerja keras untuk maju dan berjaya.

Baik, ingin saya share di sini pengalaman ketika menemuduga calon bagi mengisi jawatan dalam tanggagaji C2 EB3 baru-baru ini. Pada kebiasaannya, minimal ada dua orang panel yang melaksanakan proses temu duga, iaitu panel SPA dan wakil jabatan bagi post atau jawatan yang akan ditemuduga. Seperti lazimnya anda diminta memperkenalkan diri, (1) nama anda, (2) no kad pengenalan, (3) tarikh lahir, (4) usia semasa di temuduga, (5) alamat rumah, (6) alamat persuratan, (7) nama bapa, (8) pekerjaan bapa, (9) nama ibu dan (10) pekerjaan ibu. Kemudian anda diminta menyatakan kelulusan terkini, pekerjaan dan gaji. Kemudian anda ditanya "Apakah nama jawatan yang Awang/Dayang pohon? Berapa tanggagaji dan gajinya? dan Mengapa Awang/Dayang memohon jawatan ....?

Berhubung dengan soalan am atau pengetahuan semasa, berdasarkan pengalaman, calon didapati tidak mengambil tahu hal ehwal semasa bahkah nama kementerian bagi jabatan yang berkaitan dengan jawatan yang ditemuduga? Anda perlu mengetahui hal ini termasuk (1) jumlah kementerian dan (2) nama kementerian mengikut hierarkinya. Bila anda kesulitan menjawab, panel juga akan bertanya hal kecil tetapi berdampak besar jika anda tidak mengambil pusing mengenainya. Apa itu? Tak lain ialah (1) nama-nama bulan dalam Takwim Hijrah mengikut hierarki susunannya, dan (2) cuti dalam Takwim Hijrah di negara ini mengikut susunannya. Mengapa soalan yang setengah orang menganggapnya sebagai tidak penting atau sepele ditanyakan. Jika anda menjawab pertanyaan dengan betul atau anda menjawab berterabur, di sinilah karakter anda. Apakah anda seorang yang memerhatikan dan peduli atau memang anda karakter yang tidak mahu mengambil pusing hal kecil yang biasa anda lihat dan dengar. Jika anda lewatkan hal kecil, pada saat anda diterima bekerja anda juga tipe orang yang sama iaitu suka mengambil mudah semua perkara. Walaupun tiada statistik mengabsahkan apa yang saya kata, namun kenyataan menunjukkan mereka yang mengambil mudah akan melakukan hal yang sama dalam pekerjaan mereka kerana mereka telah terbiasa dengan ekosistem yang sudah menjadi semacam nutrisi dalam keseharian mereka.

Jika anda seorang yang pintar dan proaktif menjawab, panel mungkin mengasak anda dengan pertanyaan berikut: (1) Apakah yang dimaksudkan dengan konsep MIB?, dan (2) Apakah yang anda faham dengan konsep Negara Zikir? Untuk konsep MIB, jawapan soalan ini tidak cukup hanya menyampaikan Melayu Islam Beraja bla..bla..bla. Anda perlu menghuraikan satu persatu tiap komponen M I B tersebut. Panel juga akan melaratkan pertanyaan tentang isu nasional yang sedang naik daun, tentunya Syariah Panel Code. Anda perlu mencari tahu bahan mengenai perkara berkenaan meskipun ia sama sekali tidak berkaitan dengan jawatan yang anda pohon. Anda juga perlu mengambil tahu apakah agenda nasional dalam bulan semasa anda ditemu duga atau agenda nasional dalam bulan berikutnya. Sebagai contoh jika anda ditemuduga pada bulan Januari atau Februari, agenda nasional negara ialah Hari Kebangsaan. Anda perlu tahu sambutan Hari Kebangsaan yang keberapa bersekali dengan temanya. Adakalanya anda diminta memberi pandangan mengenai tema Hari Kebangsaan berdasarkan perspektif anda.

Berkaitan dengan temuduga bagi post jawatan yang anda pohon, ia tergantung pada komitmen tugas dan tanggungjawab jawatan tersebut. Sebagai contoh, jika kekosongan berlaku di DBP, anda perlu mengambil tahu isu-isu yang signifikan dengan jawatan yang dipohon, misalnya penulis dan karya mereka dll. Satu kelebihan apabila anda adalah orang yang aktif menulis, pernah menerbitkan tulisan anda dalam media dan anda juga aktif menjayakan persembahan seperti teaterikal atau pementasan drama pendek. DBP tentunya memerlukan calon-calon yang proaktif dan telah membuktikan komitmen mereka dalam persada kegiatan yang signifikan dengan bidang teras DBP sama ada dalam kegiatan bahasa, sastera, penerbitan dan perpustakaan. Pokoknya, anda harus piawai menanggapi pertanyaan yang dikemukakan oleh panel.

Wahai anak bangsaku, selalulah besarkan hatimu cintailah prestasi. Selalulah bersiap dan mengerahkan segenap kemampuan serta ketrampilan intelegensiamu untuk menjawab. Ketika anda telah melakukannya secara all out, anda sebenarnya telah memilih "takdir" anda. Dan tentunya keajaiban itu akan datang sendiri ketika anda secara konsisten bekerja keras ke arah itu. Doa, jangan pernah lupa!!!

Semoga informasi ini membantu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...