Isnin, 3 Jun 2013

FINATE DAN INFINATE



Menghadiri jamuan malam delegasi Asia Eropah Language Diversity Forum 2012 (ASEM LDF2012) di Jakarta, Indonesia awal September 2012 yang lalu merupakan satu pengalaman menarik. Perwakilan ASEM LDF2012 dipandu dan digiring bagaimana membunyi dan memainkan angklung dengan betul. Apakah dia angklung? Tentu kita marfum angklung ialah sejenis peralatan muzik yang diperbuat daripada buluh atau sesekali disebut sebagai bamboo. Menariknya, angklung dapat memainkan lapan notasi muzik yang biasa kita dengar iaitu do-re-mi-pa-so-la-ti-do. 


Selama ini, saya tidak memikirkan demikian istimewa peralatan muzik berkenaan yang materialnya dekat dengan kehidupan masyarakat kita. Semua kita tahu bahawa buluh bukan sahaja dibuat angklung, bahkan juga buluh dijadikan titian, digunakan untuk membuat lemang, menjadi pengandar air ketika zaman ketiadaan air paip, sebagai pelita ketika musim raya dan sekian banyak kelebihannya yang tidak dapat disenaraikan satu persatu di sini. Kembali merujuk kepada angklung, kelebihan angklung yang dapat memainkan lapan notasi muzik ini telah membuatkan peralatan berkenaan melanglang buana. Angklung meraih tempat istimewa bagi pencinta dan pengembang seni muzik etnik, kontemporari bahkan muzik moden sekali pun mendapat khidmat angklung bagi menghasilkan kelainan dalam sebuah karya. Angklung telah mengantar jiwa, karya dan keunikan bunyinya yang memikat ke seantero dunia. Sudah tentu pula angklung memberi nilai dan menjadi sumber ekonomi kepada pembuatnya.

Berbalik kepada kelebihan angklung yang dapat meramu lapan notasi muzik, secara sejatinya jika ada peralatan muzik baru hasil daripada teknologi budaya masyarakat yang dapat memainkan lapan notasi asas muzik, bermakna peralatan tersebut dapat memainkan apapun notasi lagu yang ada di dunia! Hebat. Pendek kata, alat muzik tersebut dapat memainkan lagu tanpa batas seperti mana peralatan muzik mapan lain seperti guitar, keyboard, piano, drum, violin dan lain-lain.

Cerita tentang bermain angklung di majlis resepsi ASEM LDF2012 adalah sebuah pengalaman lain, namun ia ada kaitan dengan isu finait dan infinait yang ingin penulis katakan. Finait dan infinait ialah istilah bahasa Melayu yang diserap daripada bahasa Inggeris finate dan infinite. Finait bermaksud jumlah struktur suku kata adalah terhad, namun jumlah struktur suku kata finait ini boleh menerbitkan unit-unit leksikon yang infinait (tidak terhad). Kededuanya membicarakan keluwesan, kelenturan dan kedinamikan leksikon bahasa Melayu, iaitu bermula dari sebuah kata, kita dapat menghasilkan ayat yang tiada batasnya.

 Seperti angklung yang dapat memainkan unit dasar notasi muzik, begitu juga dengan finait yang berkembang menjadi infinait dan seterusnya kepada pola-pola ayat. Finait dan infinait bermula dari sebuah kata, kemudian dibina dan dikembangkan menjadi sebuah frasa, klausa, ayat dan wacana. Sebagai contoh kita dapat menggalurkan sejarah Brunei Darussalam dalam satu buku dengan permulaan ayat “Zaman Kesultanan Brunei…”. Lewat infinait, satu buku cerita dongeng kanak-kanak yang bermula dengan frasa “Pada satu hari” dapat digarap. Tanpa mengenepikan faktor kebolehan, pengetahuan dan daya seseorang penulis itu berkarya, finait dan infinait menjelaskan sebuah moral bagaimana bahasa Melayu yang mempunyai sistem aksara, ejaan, kata, istilah dan tatabahasanya mempunyai kelebihan yang sama dengan bahasa lain dalam mengungkap sesuatu perkara itu secara objektif. Tinggal lagi, apa yang ingin kita serukan ialah gunakanlah bahasa Melayu yang betul dan benar sehingga apa yang kita sampaikan itu bukan sahaja dapat ditanggapi dengan jelas dan objektif, tetapi juga ia berperanan ganda kepada masyarakat bahawa inilah bentuk atau visual ejaan betul dan benar bagi kata yang diwakili itu. Kita juga hendaklah menggunakannya pada ketika situasi yang tidak memerlukan kita berkomitmen untuk menggunakan bahasa kedua. Kenapa, kerana sejarah telah mensahihkan dan membuktikan bahawa bangsa besar adalah bangsa yang mendedikasikan bahasanya, dan bangsa yang memperkasakan bahasanya. Pada ketika kita meyakini bahawa angklung berkemampuan memainkan semua jenis lagi, kita juga perlu berazam untuk memperkasa bahasa Melayu dan bersama-sama memastikan bahasa Melayu dapat menyapa semua laras dalam lapangan kehidupan. Kitalah menjadikan bahasa Melayu ini maju dan berkembang, jika tidak kita, siapa lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...