Barang dagangan mulai di bawah ke tengah Sungai Barito |
Suasana Pasar Terapung |
Terdapat beberapa etnik atau suku bangsa yang menghuni di Banjarmasin. Etnik Dayak misalnya terdiri daripada beberapa suku seperti Berangas, Bakumpai, Ma'ayan (Ngaju), Abal, Dusun Daeh, Lawangan, Dayak Meratus. Etnik ini adalah kumpulan penduduk majoriti. Dengan kata lain, etnik Dayak adalah antara penduduk asli Kalimantan.
Jualan tambak |
Sebahagian dari suku Dayak ini mendiami kawasan bukit dan masih lagi mengamalkan jenis pertanian pindah. Namun begitu, atas faktor kelangsungan hidup, pembaharuan dan kesedaran hasil daripada pendidikan yang diperoleh, etnik Dayak berupaya menyesuaikan diri mereka dalam beberapa cabang ekonomi yang menguntungkan seperti perniagaan makanan dan peruncitan. Fenomena ini boleh disaksikan dibeberapa buah pekan kecil seperti di Sandai, Teraju, Semadang malahan juga di kota madya seperti Pontianak dan Palangkaraya.
Pekarangan masuk ke Pasar Terapung |
Pelbagai barang dijual |
Di Kalimantan bahasa Melayu mempunyai beberapa varian. Setiap varian mewakili kawasan-kawasan penutur tertentu dan dikodkan dengan nama kawasan berkenaan misalnya bahasa Melayu Banjar, bahasa Melayu Berau dan bahasa Melayu Kutai.
Ibu pedagang mulai merapat ke turis yang ingin membeli |
Penulis di hadapan Muzium Lambung Mangkurat |
Yang ingin saya fokuskan di sini ialah kisah sebuah sungai yang memainkan peranan penting sebagai bahagian dari nadi ekonomi konvensional di Banjarmasin. Sungai yang popular dalam destinasi pariwisata dan yang memainkan peranan penting itu ialah Sungai Barito yang menjadi tempat popular bagi kegiatan pasar terapung, sebagai jalan penghubung, dan juga sebagai tempat kediaman. Sungai Barito mengalir dari Banjarmasin menuju ke Marabahan. Di Marabahan, Sungai Barito terpisah menjadi Sungai Nagara yang mengalir menuju ke Amuntai. Aktiviti Pasar Terapung di Sungai Barito ini bermula pada pukul 5.30 pagi dan berakhir pada pukul 8.00 pagi. Transaksi Pasar Terapung dilakukan di sebuah kawasan khas Sungai Barito sekitar 2KM dari jeti utama yang biasa digunakan oleh para pelancong. Para pelancong yang berhajat ke Pasar Terapung ini boleh menaiki teksi dengan bayaran Rp20000 (caj semasa saya ke tempat ini pada bulan Jun 2006). Mereka akan dibawa melalui kelurahan Kuin yang terletak di Jalan Alalak Selatan tidak jauh daripada Kota Banjarmasin.
Antara hasil pertanian yang diniagakan ialah sayur-sayuran, buah jeruk (limau madu) dan hasil lain seperti nenas dan jagung. Manakala hasil laut dan sungai yang dijual antaranya ialah ikan-ikan air tawar seperti tapah, senangin, dan ikan-ikan kecil. Pemasaran atau jual hasil dilakukan sama ada secara langsung ataupun melalui sistem pertukaran barang (barter trade - antara peniaga dengan peniaga). Bagi pemasaran langsung, kebanyakan pembelinya adalah penduduk sekitar, peraih, pelancong yang datang menggunakan perahu yang disebut glotok. Bagi pembeli yang membeli hasil hasil keperluan yang bukan dalam bentuk ikatan seperti ikan dan buah-buahan, terdapat alat timbangan khas iaitu sejenis dacing duduk yang diperbuat daripada besi yang dipaterikan secara tetap di dalam Jukung. Kepada mereka yang merasa dahaga atau lapar, tidak perlu bimbang. Terdapat Jukung (nama sejenis perahu yang bersaiz besar sedikit daripada glotok) menjual makanan seperti Soto Banjar.
Sebenarnya, Banjarmasin bukan setakat Pasar Terapung, masih ada objek pariwisata lain yang tidak kurang popular seperti toko batu permata yang terletak di Martapura, pusat membeli belah, pusat jualan barang hiking, muzium dan lain-lain.
Hotel penginapan juga banyak di Banjarmasin yang menawarkan harga yang berpatutan termasuk pakej pariwisata yang ditawarkan. Banjarmasin selamat bagi pelancong luar dan kebanyakan orang Banjar boleh berbahasa Melayu sama seperti bahasa Melayu Brunei khususnya dalam beberapa leksikon tertentu.
Tempat tukaran asing tidak banyak bertebaran di kios-kios kecil kecuali di mall. Namun jika anda datang dalam rombongan yang ramai, khidmat tukaran asing akan datang ke tempat hotel anda menginap seperti pengalaman yang kami lalui sewaktu menginap di Hotel Arum Kalimantan. Kadar tukaran sama seperti forex yang ada di kios-kios malahan kadarnya lebih tinggi jika anda menukar dengan jumlah yang banyak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan