Berhenti rehat di Lamunin |
Mengambil momentum sebelum bergerak |
Kawasan pedalaman Belait atau lebih dikenali hulu Belait merangkumi Melilas, Sukang dan Biadong masih kurang di kenali berbanding mukim Labi. Faktor ini disebabkan oleh topografi jalan yang menyukarkan kenderaan memasuki kampung berkenaan kecuali kereta pacuan 4 roda atau merentas melalui sungai. Mukim berkenaan terletak jauh ke dalam iaitu sekitar 57.3KM dari rumah panjang Biadong.
Bagi penduduk Melilas dan Sukang, mereka sudah biasa menggunakan pengangkutan air seperti perahu dari Sungai Mau untuk mendapatkan keperluan harian dan sebagainya. Sebenarnya, Melilas dan Sukang boleh dibangunkan projek homestay (inap desa). Dengan keramahan penduduk rumah panjang di kededua kampung berkenaan, tetamu luar yang datang sudah pasti tidak berasa asing untuk datang bertamu atau bermalam di sana. Penghuni rumah panjang kelihatannya sudah biasa menerima tetamu tanpa temu janji dan waktu.
Pengunjung luar yang datang dan bermalam di kededua kampung berkenaan boleh mendirikan khemah atau mereka dialu-alukan menginap di balai raya yang terletak berhampiran dengan rumah panjang. Bagi mereka yang menginap di Balai Raya, kemudahan asas disediakan seperti air dan elektrik yang dijana melalui generator.
Ada sesuatu yang menarik perhatian |
Gerbang masuk ke Rumah Panjang Melilas |
Selain melihat secara dekat kehidupan masyarakat Iban dan Penan di rumah panjang ini, kunjungan ke hutan lipur di pinggir sungai dan di tepi rumah panjang Melilas juga memberi kesempatan untuk mengenali lebih dekat pokok hutan dan pelbagai tumbuhan lain yang sering digunakan sebagai bahan atau ramuan perubatan tradisional seperti akar lingkawang, pokok duit-duit, orkid hutan, kulit kayu timbaran atau merangking yang dijadikan sebagai ubat nyamuk.
Bersiap memasak di Balai Raya |
Kebanyakan penghuni rumah panjang ini mengamalkan jenis ekonomi sara diri seperti mengutip hasil hutan,sungai dan menganyam. Barang buatan tangan dan juga peralatan budaya telah sedia dipamerkan. Antara barang buatan tangan yang dipamerkan ialah tudung saji, peralatan menampi, tikar kecil yang semua diperbuat daripada buluh, rotan, kayu dan besi seperti bubu, tekiding, nyiru, gong dll.
Jika anda rajin meninjau di bentang hutan dan kawasan sekitarnya, anda akan terjumpa etnik Penan mengetam padi pusu (jenis padi paya), dan etnik Iban mengambil umbut Luba untuk dijadikan sayur. Jika bernasib baik lagi, anda mungkin menemukan mereka sedang membawa pulang hasil jerat seperti kancil dan payau (rusa).
Pemilik pacuan 4 roda yang ingin cabaran dan kelainan, anda digalakkan untuk menggunakan laluan darat secara berkonvoi dan dinasihat bergerak pada waktu siang sebaik-baiknya sebelum pukul 2.00 petang dan sampai di Melilas atau Sukang sebelum hari menjengah malam. Ini mengelakkan sebarang kemungkinan kerosakan kenderaan, keadaan jalan yang licin dan berlopak jika musim hujan, hakisan tebing dan mengakibat ruas jalan menjadi kecil dan boleh mengundang bahaya dan kesukaran jarak penglihatan pada waktu malam kerana laluan ini sama sekali tidak kemudahan lampu. Barang yang perlu dibawa antaranya makanan segera seperti beras, Indomie, popmie, bakebean, makanan dalam tin dan air mineral. Jangan lupa membawa cerek elektrik dan periuk untuk menjerang nasi.
Cabaran yang dilalui sepanjang ke Melilas |
Seperkara lagi, anda perlu membawa baju sejuk kerana hutan alami di Melilas dan Sukang ini menjanjikan angin malam yang menggigit sampai daging dan tulang. Adakala sejuk tidur dengan hanya berlapis cadar atau sleeping bag jika anda memilih untuk menginap di balai raya yang terbuka. Yang mesti dibawa selain daripada yang disebutkan di atas ialah spray pelindung kulit daripada gigitan nyamuk. Di malam yang sepi, bunyi terbang nyamuk seperti pesawat F16 yang terbang keliling untuk mencari target.
Pada saat anda memasak di balai raya pada malam hari, liarkan sedikit mata memperhatikan di sekeliling lantai dan tiang balai raya. Jangan takut tiada apa-apa sebenarnya. Anda akan menemukan serangga-serangga bersayap yang keluar, merayap dan sesekali terbang melekat ke dinding. Ia bukan serangga yang anda pernah temukan di kampung dan di bandar.
Berlatarbelakang Sungai Melilas |
Tampoi Belimbing |
Tampilan rona-rona warna serangganya unik dan hanya dapat dilihat di kampung ini atau juga mungkin di kawasan pedalaman lain. Anda patut mencuba merasai perjalanan yang mencabar ini kerana ia menjanjikan pengalaman indah bagaimana memahami lintas budaya, pengalaman dunia dan pengalaman hidup masyarakat yang berbeza seperti apa yang kita lalui di bandar. Mereka adalah masyarakat yang rajin, pekerja keras dan menjadi hutan dan sungai sebagai sahabat yang saling membantu dan menyumbang. Maksudnya, pada ketika anda memerlukan hasil untuk dimakan datanglah ke 'perut' kami. Kami akan memberikan kerana inilah anugerah terbesar ciptaan Tuhan Maha Kuasa di muka bumi. Namun ketika anda seronok menikmati apa yang anda, janganlah anda mencedera dan melukai kami sehingga ia bakal mendatang musibah kepada anda. Ketika kami dipelihara dan dijaga baik, kami bukan sahaja menjanjikan hasil yang baik bahkan alam yang indah dan damai untuk anda nikmati.
Jika ada kesempatan dan waktu, jangan lupa mengembara dan meneroka alam nun di kejauhan tempat kediaman yang keselesaan kita sehari-hari.
Pemandangan pagi di Balai Raya |
Penerokaan ke kawasan pedalaman selain mengenal cara hidup masyarakat, ia juga memberikan kesan dan pesan yang lebih makna bagaimana kita mensyukuri nikmat terbesar anugerah terbesar Allah swt di muka bumi ini.
Selamat membaca semoga bermanfaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan