Pertama-tama, Sdr. Quella Maulian, mohon izin ya mengupload videonya di blog saya. Awalnya saya diberi teman melalui WA pada dini subuh 15 Januari 2014. Membaca narasi sketsa diiringi muzik latar yang mendayu, membuat saya rasa syahdu dan sebak. Ya, mengingatkan saya kepada ibu saya seorang insan tabah dan sabar ketika membesarkan kami. Kini ketika usia saya menginjak hampir separuh abad, saya mula memahami betapa berharganya masa saat apa lagi setelah punya anak yang sudah menginjak remaja dan dewasa nantinya. Saya tidak akan menggunakan sifat kebapaan sebagai sebuah kontrol untuk menyekat pilihan mereka kerana mendidik anak ketika zaman telah berubah jauh, tentunya memerlukan pemahaman dan pengertian. Penting buat saya ialah anak saya tahu bagaimana menghargai ibu bapanya, menghargai dan menyayangi dirinya serta menghargai nafas setiap detik dan saat yang diberikan Allah Subhanalla Wa Taala. Saya ingin mereka mengenang saya sebagai bapa yang memberi pengaruh besar terhadap mereka bukan mereka mengenang saya sebagai bapa yang berekspresi keras, serius dan sulit diajak untuk memahami mereka.
Berbalik kepada video di atas, kesan dan pesan mesej yang disampaikan cukup mendalam dan bermakna. Ibu yang tua selalu berasa sunyi dan sepi. Ketika kita balik atau pulang ke rumah orang tua, selalulah meluangkan masa mendekati mereka, berbual dengan mereka seperti mereka menghabiskan masa melayani keletah, tangisan dan kenakalan kita semasa kanak-kanak lagi. Apakah cukup kita bertanya kesihatan dan menjaga makan minumnya. Rasanya tidak. Mereka memerlukan teman, mereka memerlukan kawan, mereka memerlukan sahabat dan tentunya mereka memerlukan pendengar dan pembual. Kitalah yang menjadi teman, kawan, sahabat, pendengar dan pembual yang boleh membuat mereka rasa dipeduli, diberi perhatian, disayangi dan dikasihi tanpa pernah jemu dan bosan pada ketika beliau sakit, sepi dan sendiri dalam membenam waktu. Kesediaan kita mendampingi mereka meskipun terhalang kerana kerja setidaknya membuat mereka sihat, tersenyum gembira dan sukacita. Moga kita-kita semua akan selalu menghargai setiap saat bersama ibu bapa kita selagi mereka masih ada.
Salam hangat buat ibu dan ayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan