Kesempatan mengikuti Bengkel Kaunseling anjuran Bahagian Kaunseling dan Kerjaya daripada Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan baik dari segi perkongsian ilmu, peristiwa dan pengalaman mengkaunseling yang dilalui oleh para kaunselor (namun kerahsiaan tetap dijaga kerana itulah etika yang perlu dipatuhi oleh para kaunselor kepada kliennya), latihan dalam kelompok dan sukan ria yang sarat dengan dengan kesan dan pesan kemanusiaan iaitu perlunya bersatu hati untuk menghasilkan kerja yang baik dan sempurna benar-benar merupakan satu pengalaman yang luar biasa. Paling mengujakan ialah pertemuan dan persahabatan dengan teman-teman baru dari pelbagai agensi yang saling membahu-bahu dan bekerjasama antara satu dengan yang lain dalam apa jua aktiviti yang dilaksanakan.
Seperti biasa dalam kebanyakan bengkel yang dianjurkan, pembentukan kumpulan atau tim merupakan satu kewajipan untuk menumbuhkan kesepaduan, semangat dan kebersamaan selain daripada mewujudkan kerjasama yang efektif antara ahli dalam kumpulan. Penulis berada dalam tim Masrah yang dibentuk hasil daripada kombinasi huruf pada awal nama ahli (Mahli, Azurin, Sai, Ruby, Aishah dan Hikmah sementara nama Norsinah diambil daripada salah satu huruf yang sudah diwakili oleh nama ahli lain dalam tim ini). Membaur bersama tim Masrah yang memang terkesan santun, malu-malu, saling menghormati namun tetap proaktif untuk berkontribusi apabila diberikan latihan dalam kelompok. Paling menggembirakan apabila tim ini menang dalam permainan sukar menolak bola bersegi dan tali yang disimpul seperti bola menggunakan kayu yang diikat menggunakan tali dan tali itu dipegang oleh semua ahli tim. Bola yang ditolak atau digerakkan dalam satu rel bulatan tali tidak boleh tersasar dari laluannya kerana jika tersasar, ia perlu dimainkan semula. Sukar, sulit dan perlu konsentrasi dan perpaduan antara fikiran dan rasa. Akhirya menang..ya menang Tuan/Tuan dan Puan/Puan. Sebelumnya tim Masrah meraih posisi kedua dalam forum hasil kerjasama padu dan kebolehan ketua kumpulan, Mahli Dollah.
Sebagai catatan kaki, penulis mengambil kesempatan di ruangan ini untuk memohon maaf kepada tim Masrah kerana sekurang-kurangnya 3 hari setengah tidak dapat bersama dengan tim ini apabila berlaku pertembungan dengan komitmen jabatan yang tidak dapat dihindari.
|
Tim Masrah dari kiri ke kanan: Ruby, Norsinah, Sai, Dk. Aishah,
Hikmah, Mahli Dollah dan Mohd Azurin Othman |
|
dan pemenangnya...Masrah |
|
Naib Johan. Beberapa tahun ke depan, foto ini dan beberapa foto
lainnya menjadi satu penggal dalam sejarah, yang tersisa adalah
waktu dan buah dari pengalaman yang pernah diraih satu ketika. |
Saya merasakan apa yang dilakukan oleh BKK, Kementerian Pendidikan dengan membuka peluang kepada karyawan daripada pelbagai agensi untuk mengikuti bengkel ini merupakan satu langkah yang tepat, patut dan wajar kerana dewasa ini pelbagai tekanan sosial dan ekonomi berlaku dalam kalangan masyarakat yang memerlukan seseorang menjadi lampu aladin untuk membantu memberikan pencerahan dan nasihat selain berusaha berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala bagi meringan atau memberi jalan pada masalah yang dilalui. Dalam hubungan ini, adalah penting bagi semua agensi kerajaan di negara ini menubuhkan unit kaunseling bagi membantu dalam menyediakan huraian kepada masalah atau tekanan yang dihadapi oleh sesetengah karyawan yang memungkinkan perkhidmatan mereka terganggu sehingga menyebabkan perancangan kerja terhalang dek kurangnya kerjasama dan kontribusi daripada seseorang pegawai yang sedang dilanda masalah. Pada hakikatnya, semua kita menginginkan jalan hidup yang mulus, namun dalam mengharungi tiap perjalanan itu tentu ada "selekoh, jalan terjal yang licin, bebatuan, perbukitan dsbnya" yang perlu dilalui sebelum menikmati hidup yang baik dan elok.
Secara peribadi, menghadiri bengkel ini membuatkan saya berasa seronok kerana pendekatan pengajaran yang menghiburkan terutama beberapa latihan dalam kelompok yang diberikan kepada kami untuk dilaksanakan. Sehingga satu ketika hampir sebahagian daripada kami memperlihatkan sifat insaniah dan manusiawi apabila pengalaman hidup teman-teman yang dicurahkan dalam program sand therapy benar-benar membuatkan kami terharu dan berkongsi kesedihan tentang peristiwa yang dialami. Ia sebuah proses alami kerana manusia tentunya memiliki jiwa untuk menyerap dan mudah sensitif dengan pengalaman hidup orang lain apatah lagi jika ia pernah melalui pengalaman serupa.