Semalam Khamis 13 Ogos 2015, Bahagian yang diketuai Hamba melaksanakan kepercayaan pimpinan jabatan untuk bertindak sebagai hosting atau urus setia penganjuran majlis sambutan raya jabatan. Sambutan raya ini bukan sekadar meraikan kegembiraan, keriangan dan kemeriahan tetapi juga mengetengahkan filosofi untuk memaknai Aidilfitri yang kita raikan saban tahun sebagaimana tausiyah Ibu Pimpinan Jabatan, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin dalam ucaptamanya. Oleh kerana itu, pada tahun ini, jabatan bersetuju untuk mengusung tema yang berbunyi Raikan Aidilfitri Bersihkan Jiwa Sesuci Lebaran. Seperti yang kita sedia maklum bahawa Aidilfitri terdiri daripada dua kata, iaitu "Eid" bermakna kembali, "Fitri" bermakna fitrah. Yang demikian Aidilfitri menterjemahkan manusia kembali ke fitrah, setelah sebulan berjuang menahan diri dan melawan hawa nafsu. Hakikatnya, sesuai dengan perintah dan ajaran agama Islam, manusia didorong untuk selalu memaknai kembali hidupnya, ingat-mengingati dan diseru untuk berbaik-baik, menghargai dan bahu-membahu antara satu dengan yang lain sehingga terbangunnya keharmonian dan kebersamaan. Kata tanpa tindakan konstruktif tentulah tidak terjadi apa-apa. Maka itu, seruan konstruktif bagi mewujudkan cita-cita memaknai Aidilfitri bukan sekadar bahasa tanpa makna tetapi bahasa dan makna yang memiliki pesan dan kesan sosial untuk mempromosi dan menggalakkan penyuburan dan pembaharuan semangat kesatuan, perpaduan, toleransi dan penghargaan sesama ummah. Kita memerlukan pembaharuan dalam menumbuhkan semangat kebersamaan. Mengapa? Ia tidak lain kerana hidup dan kehidupan itu tidak semudah membalikkan telapak tangan dan tak selamanya berjalan mulus. Di dalamnya, ada marah-marah, tegur-menegur dan kuatnya egosentrik kendiri sehingga ada yang termakan hati dan rasa. Perlu kita ketahui bahawa pekerjaan yang dilakukan dari hari ke hari menuntut komitmen tinggi dari segi standard pencapaiannya. Yang demikian sumber manusia sebagai instrumen bahagian dan organisasi secara keseluruhannya perlu saling mendukung selain dipacu oleh ilmu, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kendiri. Ertinya, kita tidak boleh bekerja biasa-biasa dan relaks. Harus ada dinamika, perubahan dan penyesuaian. Oleh kerana itu, betapa perlunya kesedaran akan tanggungjawab serta tanggungjawab kolektif untuk membahu-bahu dan saling melengkap bagi meminimakan error dalam setiap tindakan dan pelaksanaan kerja. Dalam proses pelaksanaannya, tentunya ada pahit, masin, masam dan manis. Momentum Aidilfitri adalah saatnya kita kembali ke fitrah. Mari kita memaafkan dengan hati, jiwa, kata dan perbuatan. Mari kita menghargai sesama.
Hamba sebagai setiausaha Majlis Raikan Aidilfitri Bersihkan Jiwa Sesuci Lebaran merakam ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh karyawan Bahagian Perancangan Buku dan Penerbitan (B4) yang telah berfikir, merancang, mengusaha dan merealisasikan peranan B4 sebagai sebuah penganjuran yang paling berjaya, dikenang dan menjadi penanda aras bagi bahagian lain untuk penganjuran akan datang. Inilah komen dan pandangan jujur yang dilahirkan oleh pimpinan dan teman yang berjumpa Hamba secara peribadi mahupun dalam WhatsApp. Untuk itu, secara peribadi Hamba ingin menyebut nama orang kuat dan cerdas B4, namun tentulah tidak memungkinkan untuk menyebutkan satu persatu di sini. Hamba ingin memulakan dengan Dayang Hajah Rasiah (kekuatan dan kebolehan beliau ada pada acara-acara keraian seperti ini), Dayang Hajah Ramlah (tiada beliau tiada tradisi dan rasa kampung untuk konsep majlis ini), Dayang Hajah Rohani dan Dayang Norsinah (mengurus, mengoleksi, menanda dan menyusun hadiah-hadiah), Dayang Rena (inisiatif dan kesungguhan untuk merealisasi dan mendokumentasi video klip ucapan raya), Dk. Juli dan Dayang Hajah Salbiah (lincah mengurus dan menyusun sajian serta bertenaga dalam persembahan), Dayang Rosdiah, Dayang Wathiqah (tahniah kerana memenangi pakaian terbaik), Dayang Hajah Fatimah dan Dayang Ainul (telah memberi idea bagi perbaikan pemarkahan dan kekemasan sistem penilaian termasuk menyiapkan pengiraan dalam waktu yang sangat terbatas), dan Awang Fahmi (yang telah mengacara majlis dengan caranya tersendiri dan meskipun berada dalam tekanan untuk menyelaras floor acara, tetapi beliau dapat mengendalikannya dengan baik dan lancar. Beliau juga berinisiatif untuk mengkreasi penampilan mini buku program raya majlis ini) serta seluruh jajaran Ketua Cawangan dan karyawan B4 yang lain yang sangat intensif menyumbang fikiran, tenaga dan tentunya kewangan sendiri untuk memastikan kekemasan dan kejayaan penganjuran majlis ini. Sebelumnya, mereka telah berusaha, bekerja bersama dan mungkin sahaja telah mengeluarkan belanja untuk menghias bilik dan menganjurkan sambutan raya bahagian. Karyawan B4 ini telah memainkan peranan yang bukan kepalang dan superb yang tidak diragui dari segi kualiti serta pendekatan cara kerja yang telah teruji tangguh. Khusus untuk persembahan, otai-otai DBP ini ternyata masih berbisa...yeahhhhhh.
Ihsan drpd Unit Perancangan Buku
Ihsan drpd Dayang Rena Fauziah
Ihsan drpd Dayang Rosdiah
Ihsan drpd Dayang Rosmuliati
Meskipun B4 tidak meraih tempat dalam Pertandingan Hiasan dan Persembahan Terbaik, tetapi kita telah menunjukkan semangat juang dalam pertandingan dan mempercayai panel penilai telah menjalankan tugas dengan sebaiknya. Yang nyata kemenangan besar kita dari segi moral khususnya kesediaan memikul tanggungjawab, amanah dan kepercayaan sebagai hosting raya terbaik sekaligus mencipta satu tanda aras kepada Bahagian lain untuk berfikir dan bekerja keras mencipta pembaharuan pengisian agar majlis sambutan raya DBP menjadi lebih baik dari tahun ke tahun.
Kepada Bahagian lain, tanpa biskita majlis ini juga belum tentu berhasil dengan baik. Sebagai urus setia, Hamba mewakili karyawan B4 mohon maaf jika terdapat kekurangan sepanjang B4 bertindak sebagai hosting majlis.
Ayuh mari kita lihat secara inklusif bahawa kejayaan dan keberhasilan Majlis Raikan Aidilfitiri Bersihkan Jiwa Sesuci Lebaran ini adalah juga kejayaan bagi sebuah kesatuan, perpaduan, kerjasama, toleransi dan semangat saling menghargai bagi seluruh warga kerja DBP. Tiada yang dapat menidakkan bahawa ciri-ciri disebutkan adalah unsur perekat sosial penting untuk menuai jaya. Bersatu Kita Kukuh, Bersatu Kita Jaya, insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan