Isnin, 21 Mac 2016

Pemberian kerakyatan tidak diberikan selarah-larahnya

Isu pemberian kerakyatan adalah antara isu sensitif dan seksis dalam perbahasan Sidang Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Pada Musim Permesyuaratan Pertama Kali Ke-12/2016. Isu ini dibangkitkan oleh YB yang sama. Dan kalau tidak silap amba, ini kali yang ketiga. Bermakna sudah tiga tahun dibangkitkan. Respons yang diberikan oleh YB Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri tetap konsisten berdasarkan peraturan yang terpakai (baca: http://www.bt.com.bn/news-national/2016/03/23/minister-reiterates-conditions-granting-citizenship). Lulus peperiksaan bahasa Melayu bukanlah satu syarat mutlak pemohon itu diberikan kerakyatan. Pendek kata, pemberian kerakyatan tidak dibuat sewenang-wenang atau selarah-larahnya. Ia memerlukan tapisan dan saringan yang teliti dalam semua aspek termasuklah aspek keselamatan negara. Isu ini menjadi momokan media ketika respons mengenainya di MMN dibahaskan.

Hamba bersetuju dengan jawapan dan pendirian kerajaan dalam perkara tersebut. Ini bagi menjamin keselamatan negara dan ketahanan sosial puak yang diiktiraf dalam Dokumen Kerakyatan Tahun 1961 serta dari segi kestabilan politik dan pelestarian falsafah dan kebudayaan mengikut calak Brunei terus dipertahan dan diperkukuhkan. 

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengkanunkan bahawa negara ini akan selama-lamanya menjadi Negara Melayu Islam Beraja (MIB). Filosofi ini didukung melalui tiga pilar nasional lain, iaitu (1) Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ditafsirkan sebagai satu perintah yang perlu dilaksana, (2) Perlembagaan Negeri Brunei 1959 dan Dokumen Perlembagaan Pindaan 2004, dan (3) Negara Zikir. Pilar nasional ini dicernakan melalui Wawasan Brunei 2035.

Secara logika, pelaksanaan MIB termasuk pilar nasional lainnya tentulah dapat dipraktis dan diberdayakan dalam situasi yang kondusif dan mendukung dengan atmosfera sosial yang memiliki iktikad yang sama, baik dari segi lahiriah mahupun batiniah. Itulah realitinya. Alhamdulillah, sejak pengisytiharan Hukum Kanun Jenayah Syariah dan penutupan urus niaga selama dua jam semasa solat Jumaat serta penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan dan pekerjaan dikukuhkan termasuk membesarkan hari-hari kebesaran Islam, syiar Islam di negara terus bercahaya dan gemilang bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara rahmatan lilalamin. Dengan kata lain, upaya pengukuhan MIB melalui komponen M yakni dari segi bangsa, bahasa dan budaya serta resam hidupnya, komponen Islam sebagai agama yang menyeluruh yang merangkumi semua sendi-sendi kehidupan yang dalam pemerintahan kita kenal dengan istilah yang disebut sebagai syumul, ad-Deen, baidatun toibatun warabun ghafur, dan Beraja sebagai khalifah Allah swt di muka bumi serta sistem kerajaan yang telah diasaskan sejak turun-temurun. Komponen Islam yang terletak di tengah MIB mencerminkan sebuah teras yang kukuh. Islamlah yang mengukuhkan dua komponen lain kerana Islam itu mengandungi ajaran yang lengkap tentang Tauhid (doktrin keesaan) yang meliputi peringkat falsafah, metafizik, kognitif, afektif dan praktis dalam semua aspek baik politik, ekonomi mahupun sosial.

Secara umumnya, falsafah MIB adalah landasan kukuh atau staats fundamental norm yang juga digunakan dalam kehidupan bernegara. Inilah model jalan pemerintahan yang dipilih kerana falsafah MIB dibina dan dikembangkan berdasarkan pengetahuan dan kebijaksanaan tempatan (local genius) yang dinilai sebagai falsafah yang unggul, ideal dengan corak dan sistem sosial serta politik negara ini. Falsafah yang berdaya tahan ini dilihat sebagai satu model terbaik dalam mengemas, mengurus, mengelola dan menyerap tekanan-tekanan sosial, politik dan ekonomi di negara ini. Mengapa MIB perlu dilihat sebagai konsep yang ideal dalam konteks negara ini? P. Berger dalam bukunya The Capitalist Revolution menjelaskan situasi global ketika ini dikuasai oleh negara kapitalis yang telah menciptakan satu fenomena dalam sejarah. Kapitalisme telah mengubah masyarakat dunia satu demi satu dan menjadi sistem internasional yang menentukan nasib ekonomi sebahagian besar bangsa di dunia dan secara tidak langsung menentukan nasib sosial, politik dan ekonomi. Era globalisasi seperti ini cepat atau lambat, amat berpengaruh terhadap KEHIDUPAN KEBANGSAAN di berbagai belahan dunia tidak terkecuali negara ini. Maka dengan itu, setiap negara perlu memiliki falsafah negara bangsa yang secara konsisten dan ideal menjadi the way of life dan mampu pula membentengi, beradaptasi serta menangkis serangan globalisasi demi kelangsungan hidup berbangsa dan bernegara.

Ini bermakna, sesiapa juga yang menjadi warganegara ini harus memahami, menghayati dan menyesuaikan diri dengan MIB sebagai pilar nasional penting di negara ini. Kita harus menunjukkan serta membuktikan kesetiaan yang tulen kepada negara ini, raja dan sistemnya. Adalah sesuatu yang dangkal bagi bangsa yang tidak diiktiraf secara konstitutional kelembagaan khususnya dalam Dokumen Kerakyatan 1961 memohon untuk menjadi warganegara ini hanya mempelajari bahasa Melayu untuk lulus tetapi dalam hidupnya tidak ramah dengan penggunaan bahasa berkenaan dan memperlecehkannya. Sesetengah golongan ini yang menjadi pengusaha serta menguasai aset dan perniagaan, didapati tidak mengangkat bahasa Melayu dan tulisan Jawi dalam papan nama perniagaan mereka. Mereka dilihat semakin berani melanggar dan tidak malu untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dan tulisan Jawi baik di papan nama perniagaan dan tirai pentas dalam majlis-majlis keraian yang mereka kendali. Mereka lebih akrab dengan bahasa asing tiada niat yang tulus untuk mempelajari bahasa Melayu dengan baik. Mereka patut belajar bagaimana puak minoriti di negara lain yang menjadi bangsa yang taat, akur dan survive serta harus mempelajari dan menguasai bahasa lingua franca di negara yang mereka diami. 

Mereka seharusnya punya malu kerana memiliki keinginan tinggi untuk menjadi rakyat di negara ini kerana peluang ekonomi, peluang mengumpul kekayaan dan peluang menikmati kehidupan aman damai yang sangat menjanjikan. Oleh kerana itu, mereka seharusnya menunjukkan sikap sosial dan watak serta memperlihatkan KESETIAAN TULEN dalam mematuhi sistem  yang dituntut di negara ini. Mereka patut menterjemahkan dalam kehidupan mereka. Kesetiaan tulen merupakan satu kerelaan yang diterima dan ia adalah harga yang harus dibayar bagi memastikan negara ini benar-benar memiliki WARGANEGARA YANG BERNILAI, memiliki karakter kebruneian sejati, mereka yang sanggup berjuang dan berkorban. 

Daulat Kebawah Duli Tuan Patik.














Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...