Sekolah adalah "rumah ilmu yang sangat krusial" selain daripada peranan institusi keluarga dalam pembentukan dan pengembangan rupa bangsa yang sesuatu negara inginkan. Di sekolah, anak-anak dibimbing berdasarkan kurikulum pendidikan yang digubal mengikut tahap pendidikan. Kurikulum ini digubal bagi memenuhi kehendak yang disesuaikan dengan pendidikan dasar, menengah, lanjutan dan tinggi yang setiap satunya berhubungan dan bersinambungan. Pada akhirnya, anak-anak akan melalui peperiksaan besar dan wajib untuk memastikan setiap langkahannya. Jika berjaya berdasarkan merit dan meraih purata nilai gred yang mencukupi, maka anak-anak berkenaan akan menyambung pendidikan dan pengajian berdasarkan bidang yang mereka minati.
Pertanyaannya sekarang apakah pendidikan itu sekadar fokus di bilik darjah khususnya di peringkat pendidikan dasar sebagai proses pembenahan yang paling krusial? Rasanya tidak. Tidak memadai pendidikan hanya berfokus dalam bilik darjah kerana pendidikan bukan sekadar melahirkan manusia cemerlang dalam keputusan peperiksaan tetapi pendidikan harus membina dan membangunkan nilai atau karakter bangsa. Ertinya pendidikan harus menekankan keseimbangan antara pendidikan dalam bilik darjah dan pendidikan nilai atau karakter. Pendidikan nilai dan karakter (selepas ini disebut pendidikan karakter) tidak hanya dibahaskan dalam bilik darjah berdasarkan sukatan kurikulum yang ada dalam buku pelajaran, tetapi pendidikan karakter ini harus dipraktikkan di luar bilik darjah.
Pendidikan karakter mengajar dan mendidik anak-anak menjadi orang dan sekaligus manusia yang bertanggungjawab, menghargai diri mereka dan orang lain dan tentunya diharap menjadi insan yang berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negaranya. Oleh kerana itu, ibu bapa tidak harus melenting dan naik angin apabila anak mereka serta seluruh isi sekolah bersama-sama membersihkan sekolah dari sampah dan kotoran, mengecat dan membersih tandas! Ibu bapa jangan buru-buru memarahi guru dan sekolah serta mengajar mengapa pihak sekolah tidak mengarahkan karyawan pembersih mereka untuk membuat kerja berkenaan. Ayuh mari kita lihat dengan hati yang dingin apakah nilai baik dari segi kesan dan pesan inisiatif berkenaan diajar kepada anak-anak mereka. Dengan melaksanakan perkara berkenaan, anak mereka dididik tentang pentingnya menghargai diri sendiri, menghargai orang lain, menghargai kelengkapan yang digunakan serta menghargai persekitaran mereka. Pada masa yang sama, nilai-nilai yang diajar di sekolah berkenaan harus dikondusifkan oleh ibu bapa mereka di rumah. Misalnya, anak-anak dididik untuk berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada pembantu rumah bagi hal-hal yang mudah dan sangat bererti bagi memupuk nilai dalam proses pendewasaan mereka sekaligus mereka diasuh menghargai orang dan persekitaran mereka. Suasana kondusif dan saling mendukung ini, bererti sekolah dan institusi sosial memainkan peranan krusial dalam menghantar pesan dan kesan tentang pentingnya pendidikan karakter untuk anak-anak tumbuh menjadi manusia yang memiliki akal budi yang baik serta menghargai nilai yang mereka dapatkan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Pada akhirnya, apabila pihak sekolah memupuk pendidikan karakter melalui pendidikan luar bilik darjah, institusi sosial yang peka dengan hal tersebut akan menyokong dan mendukung inisiatif berkenaan sebagai sesuatu yang wajar dilakukan bukan untuk membebankan anak-anak mereka.
Menjengah ke luar, satu pendidikan karakter secara tidak langsung yang sangat bernilai diperkenalkan di Singapura. Ia disebut sebagai Cabaran Langkah Kebangsaan atau Rep with Steps. Inisiatif ini diperkenalkan oleh Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB), Singapura yang disasarkan kepada pelajar dan ia bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar aktif, tidak berpeluk tubuh, kurang memanjakan diri bagi mengekalkan gaya hidup sihat. Komitmen nasional yang bersifat inklusif dan holistik ini tentunya memberi kesan domino yang hebat bagi pembinaan sumber manusia yang aktif, cergas dan bertanggungjawab. Ia membentuk satu sikap sosial, daya tahan sosial yang baik serta kesiapsiagaan masyarakat muda untuk memiliki daya juang dan bermentaliti positif sepanjang masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dunia yang menuntut masyarakatnya berdaya saing dengan merit yang ketat.
Anak-anak yang terlahir dan terdidik dengan sistem yang kondusif dengan pendidikan karkater berkenaan akan terbiasa dan membesar untuk mengongsi serta mempraktikkan nilai yang sama secara berterusan kepada generasi berikutnya. Bayangkan jika pendidikan karakter sebegini dan pendidikan karakter yang lain tidak dipraktik dan tidak dikondusifkan dalam atmosfera sekolah dan di rumah. Negara tentu mengalami siklus disaster atau satu pusingan bencana karakter yang berulang dan berterusan kerana budaya bersenang yang membuatkan mereka malas, suka berpeluk tubuh, sentiasa berharap, tidak mandiri dan tidak kreatif menjadi satu budaya dan bencana dalam melahirkan insan yang bertanggungjawab secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan baik untuk dirinya, keluarga, bangsa mahupun negara. Perkara ini patut disedari dan dihindari kerana ia boleh meruntuhkan semangat dan kepekaan generasi muda secara perlahan dengan perkembangan yang berlaku disekitarnya sehingga menjejaskan inisiatif negara untuk melahirkan generasi yang bernilai dan generasi yang memiliki mentaliti kelas pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan