Brunei Darussalam meninta sejarah penting ketika ini kerana beberapa hari yang lalu negara ini telah merayakan sambutan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta. Sambutan ini merupakan satu tinta sejarah penting negara ini yang wajar menjadi ristaan zaman-berzaman.
Sesuatu yang dibanggakan ialah Brunei Darussalam memilih jalan pemerintahannya sendiri kerana percaya bahawa gabungan sejarah panjang pemerintahan Kesultanan Brunei, Islam, pengalaman dunia, kebudayaan, bangsa, bahasa dan cara hidup yang dinikmati zaman berzaman adalah sesuatu yang mahal untuk diuji cuba, dieksperimen apatah lagi digantikan dengan sistem negara bangsa yang dianut oleh negara lain.
Dahulu, ketika negara lain membangun sistem negara bangsa mereka pada era selepas kemerdekaan, pendidikan sekular diutamakan. Ia bertujuan untuk melahirkan masyarakat industri bagi membangun dan memajukan ekonomi serta memastikan ekonomi negara berkenaan mampu bersaing dan berdaya tahan. Pendidikan Islam kurang diberi tumpuan dan dimasukkan sebagai period kecil dalam pendidikan sekular. Memang ada sekolah agama penuh tetapi ibu bapa lebih memilih menyekolahkan anak mereka di sekolah sekular kerana peluang pekerjaan lebih terjamin.
Berbalik pada negara ini, pada era kemerdekaannya sehingga awal tahun 90-an pada ketika perkembangan ICT belum begitu hebat seperti hari ini, Brunei Darussalam kekal dilihat sebagai negara yang sentimental dan perlahan dalam pembinaan negara bangsa. Ia tidak peduli dengan pandangan sinis negara lain walaupun pandangan itu tidak ketara kelihatan pada ketika negara ini kekal dengan penerapan Islamik tulen dalam seluruh sendi-sendi kehidupan masyarakatnya. Kurikulum pendidikan Islam digubal dan anak-anak dimestikan mengikuti sekolah ugama pada sebelah petang sehingga tamat Darjah 6. Institusi keluarga dan perkhidmatan awam diseru untuk dihidup dan digemakan. Sambutan Hari Kebesaran dalam kalendar Hijrah digemakan. Tiada hari tanpa membaca doa, tahlil, surah Yassin, majlis Khatamul Al-Quran dalam meraikan peristiwa-peristiwa dalam kehidupan kebruneian di negara. Doanya panjang-panjang dan kadangkala menjadi bahan cakap masyarakat luar yang gerah melihatnya khusus orang Islam sendiri! Tetapi Brunei Darussalam tetap teguh dan kekal konsisten sehingga ke hari ini. Kesan dan pesan daripada penguatan fondasi Islam dalam kehidupan masyarakat di negara tidak lain ialah untuk melahirkan masyarakat berbudi dan penyayang. Pendek kata, perlu ada keseimbangan antara kemajuan fizikal dan kemajuan spiritual.
Hakikat hidup selalu mengabsahkan bahawa menubuhsuburkan hal yang baik sejak mula pastikan akan menerima laba yang baik pada akhirnya. Apatah lagi yang dididik dengan hal yang baik itu adalah manusia! Dan inilah terjadi di negara ini. Keteguhan dan kebulatan hati serta tekad untuk melahirkan masyarakat berbudi dan penyayang melalui penguatan pendidikan Islam sebagai cara hidup telah membentuk sikap dan perilaku masyarakat di negara ini. Meskipun kesilapan dan kesalahan dalam mengelola hidup adalah hal yang manusiawi tetapi di Brunei Darussalam, perkara sedemikian masih boleh diatasi. Jika diperhatikan di negara luar, tumpuan kepada pendidikan sekular kini melahirkan segelintir generasi yang kasar, hedonis, bengis dan kurang sikap penghargaan. Ia berpunca daripada keutamaan pendidikan sekular yang tidak diimbangi dengan pendidikan rohani sehingga mewujudkan masyarakat yang tidak seimbang dari segi kejayaan yang diraih dengan sikap atau pola perilaku mereka sesetengahnya. Pendek kata, kejayaan fizikalisasi tersebut tidak diimbangi dengan kejayaan untuk membentuk masyarakat cerdas dari segi pola perilaku. Dek kurangnya masyarakat berbudi dan penyayang maka hampir setiap hari kita mendengar ada sahaja masalah sosial yang berlaku.
Brunei Darussalam percaya bahawa membangun negara bangsa yang berbudi dan penyayang tidak hanya dengan pendidikan sekular semata-mata tetapi pendidikan yang dilihat sebagai sentimental tetapi mempunyai nilai tinggi dalam pembentukan kejiwaan. Ia tidak lain bahawa manusia itu perlu kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Dengan kata lain, masyarakat perlu dididik dan dibajai dengan sifat insan dan ihsan. Semua ini ada dalam ajaran Islam yang syumul dan holistik.
Pada hari ini, pada ketika beberapa tahun dahulu komuniti Cina di negara ini gusar, gelisah dan resah dengan penutupan dua jam urusan perniagaan semasa solat Jumaat dan larangan sementara berniaga sebelah pagi pada bulan Ramadhan, kini mereka menerimanya sebagai satu hakikat atau kenyataan hidup yang wajar dipatuhi di negara ini. Mereka hidup aman, mereka menikmati keamanan tanpa mendapat syak wasangka, prejudis dan sikap rasis daripada orang Brunei sendiri. Komuniti Cina mengakui berasa bertuah menjadi bahagian daripada masyarakat negara ini yang dapat hidup aman dan meraihkan kekayaan hasil daripada sikap bekerja keras mereka dalam berniaga. Tiada siapa yang menggangu dan mempersoalkan apa yang telah mereka nikmati. Yang dituntut oleh orang Brunei ialah komuniti Cina harus menyesuaikan diri dan menghargai nikmat yang telah mereka terima. Berniaga dan bergembiralah tetapi jangan berlebihan dan menganggu.
Jadi percayalah, agama Islam adalah teras bagi pembentukan masyarakat berbudi dan penyayang. Tidak peduli kita dikatakan ketinggalan zaman dan tidak mengikuti peredaran atau perkembangan semasa, menolak perkara mungkar antaranya penjualan atau tempat khusus untuk minuman memabukkan dan sebagainya, tetapi anda lihatlah sehingga ke hari bahawa Islam menjadikan Brunei Darussalam sebagai negara berkah dan rahmat bagi semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan