Beberapa orang rakan dan teman yang berminat dan ingin belajar bagaimana menulis dengan baik. Hamba bukanlah penulis yang dapat menghasil sebuah tulisan yang baik. Yang merasa hasil penulisan baik adalah Hamba sendiri. Hamba memuji sendiri bak kata orang banyak, angkat bakul sendiri. Sebenarnya terasa berat menggerakkan pena jika kita tidak mempunyai cukup ilmu apatah lagi kemahiran dalam menuangkan sesuatu idea yang ingin kita wacanakan. Selain rencana umum, Hamba tidak pernah menghasilkan buku, paling sebuah latihan ilmiah yang sudi diterbitkan oleh jabatan. Meski ia diterbitkan sebagai sebuah buku, namun menulis sebuah karya yang bukan berdasarkan komitmen akademik adalah sesuatu hal yang berbeza. Hamba angkat tabik dan salut kepada mereka yang passion dan menekuni dengan baik bidang penulisan hingga mereka dapat menghasilkan buah tangan berupa sebuah karya dalam bentuk buku yang menggugah, berupaya memancing minat dan memberi manfaat kepada orang lain.
Hamba suka membaca dan hampir tidak pernah melepaskan sesaat yang sia-sia tanpa membaca. Hamba merasa hidup tidak akan lengkap tanpa membaca. Bila membaca luas, Hamba mendapat terobosan yang baik tentang hal-hal sosial, ekonomi dan politik yang disajikan dalam media massa. Ini belum termasuk kesukaan Hamba menonton rancangan yang berbentuk bual bicara dan berita. Dengan berbuat demikian, Hamba terdedah dan terbiasa dengan leksikon-leksikon baru, istilah baru termasuk memahami gaya bahasa kewartawanan. Ditambah lagi dengan kecenderungan Hamba mencatat dan merakam dalam minda apa sahaja yang dilihat, didengar dan dibaca yang boleh mendatangkan manfaat di kemudian hari. Lalu pertanyaannya sekarang bagaimana menghasilkan sebuah tulisan yang baik, baik dalam menggarap minit, surat, memorandum, proposal, kertas kerja mahupun mendraf teks ucapan untuk keperluan sesuatu majlis.
Nasihat Hamba, bacalah sekerap mungkin dan biasakan diri anda dengan bahan bacaan yang pelbagai. Ingat membaca tidak pernah mati selagi ada hayat. Kuasai dan fahami perkara yang ingin anda lakukan. Jika perlu, buatlah penyelidikan tergantung kepada tipe komitmen dan arahan tugas yang diserahkan kepada anda. Lakukan sesuatu kerja itu dengan baik, sepenuh hati dan tuntas. Kerahkan segenap potensi yang anda miliki. Jangan melakukannya separuh-separuh. Lakukan dengan penuh rasa sukacita, kasih dan cinta. Hargailah proses. Mungkin adakalanya anda harus berkorban lebih banyak masa dan waktu kerana untuk menghasilkan sesuatu yang baik, anda memerlukan regim disiplin yang ketat sehingga adakalanya anda terlepas menikmati masa senggang bersama kawan-kawan. Prinsip mudahnya, bersiaplah untuk bekerja keras. Nikmati dan cintailah apa yang anda lakukan. Bekerjalah dengan sepenuh hati, sehingga karya yang bakal anda hasil merupakan buah cinta dari seluruh jiwa raga yang anda tumpahkan.
Semoga bermanfaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan