Sabtu, 26 Januari 2013

DEKLARASI BORNEO: JANJI DAN HARAPAN


Brunei Darussalam bersama Indonesia dan Malaysia mencatat sejarah penting untuk menjaga dan memulihara khazanah hutan yang ‘dikongsikan’ dalam satu kedudukan geografi yang sama. Ketiga-tiga negara pertama kali mengumumkan niat bersama memulihara “Heart of Borneo” ketika konvensyen biodiversiti di Brazil pada Mac 2006. Tekad dan keazaman yang tinggi kerajaan ketiga-tiga negara untuk memulihara hutan Pulau Borneo merupakan satu manifestasi yang disanjung tinggi bukan sahaja di peringkat serantau, malah Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah serta kumpulan pencinta alam sekitar (WWF). Pemuliharaan hutan didorong oleh kesan pencemaran alam berpanjangan, sumber air dan kualiti hidup. Beberapa dekad kebelakangan ini, isu perubahan iklim dan peningkatan suhu dunia merupakan agenda utama pemimpin dunia sejak Protokol Kyoto dimeterai untuk mengawal pelepasan gas karbon. Dalam kenyataan akhbar di Paris, kumpulan kerja Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) telah melaporkan kejadian taufan kategori 4 dan 5 meningkat sekali ganda dalam tempoh 30 tahun lalu. Banjir besar yang biasa diramal berlaku 100 tahun akan lebih kerap antara 10 hingga 20 tahun termasuk di kawasan yang tidak berisiko banjir. Sekumpulan pakar metereologi Britain meramalkan dunia bakal menghadapi cuaca paling panas pada tahun ini disebabkan kesan fenomena El-Nino di Lautan Pasifik selain faktor pengeluaran rumah hijau. 

Di  Malaysia,  tiga buah wilayah antaranya Klang dan Miri diramalkan akan tenggelam 50 tahun lagi. Lapisan ozon di stratosfera yang semakin nipis membolehkan sinaran ultraungu sampai ke permukaan bumi lalu menyebabkan suhu meningkat. Penggunaan pendingin udara tanpa kawalan, penyembur aerosol, penggunaan baja organik berterusan dalam pertanian (menghasilkan nitrogen oksida), pembakaran bahan api fosil (nitrogen dioksida), ujian senjata nuklear, peperangan yang menggunakan bahan letupan dan penggunaan jet supersonik yang kesemuanya menghasilkan gas chlorofluorocarbon (CFC) menjadi penyumbang utama kepada penipisan ozon. Pemanasan global merupakan isu antarabangsa apabila kebanyakan bandar di Australia mengalami kekurangan bekalan air kerana kemarau buruk yang melembabkan pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan pengeluaran hasil ladang.

Kita bernasib baik kerana berada dalam topografi yang diselimuti satu pertiga khazanah hutan yang dikongsikan bersama dua negara lain. Berdasarkan fakta, Pulau Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia. Di kelilingi Laut China Selatan di utara, Laut Sulu (timur laut), Laut Sulawesi dan Selat Makasar di timur dan Laut Jawa serta Selat Karimata di selatan. Luas 743,330 kilometer persegi manakala keluasan hutan hujan tropika ialah 220,000 kilometer persegi. Kepulauan Borneo menjadi langit bagi kepelbagaian hidupan biologi dunia antaranya 13 spesis primat termasuk orang hutan, 150 spesis binatang reptilia dan amfibia, lebih 350 spesis burung dan sekitar 15,000 spesis tumbuhan. Malah banyak lagi spesis yang belum dikenal pasti. Pada tahun lepas lebih daripada 50 spesis tumbuhan baru telah dikenal pasti dan dikod oleh pengendali perhutanan. 

Deklarasi Borneo yang ditandatangani di Pulau Peranginan, Bali baru-baru ini memberi perlindungan dan bakal menjadikan Heart of Borneo sebagai sebuah blok raksasa hutan hujan tropika yang dikategorikan sebagai antara yang tertua di dunia. Peristiwa bersejarah ini merupakan langkah betul yang patut disedari lama dulu. Namun seperti biasa, tindakan memperbaiki datang lewat pengalaman lalu. Sejak 1996, kegiatan penebangan hutan di seluruh Indonesia meningkat kepada purata dua juta hektar setahun dan kini hanya separuh daripada hutan asli Borneo yang masih kekal. Setelah sekian banyak bencana alam yang agak luar biasa menimpa hasil daripada pemugaran hutan, penggondolan bukit dan gunung, pembalakan, aktiviti pembakaran ladang selepas tuai dan kesan pelepasan gas rumah hijau barulah timbul kesedaran di kalangan kita semua. 

Cerita pemugaran hutan lebih kurang seusia dengan aktiviti menggeruk dasar laut sehingga memberi kesan besar kepada planet bumi pada 26 Disember 2004. Perubahan iklim yang berlaku sejak 10 tahun dulu apabila negara ini dan jiran serantau dilanda kemarau pada tahun 1998 menjadi pengajaran cepat yang patut diteladani. Rupanya perubahan iklim bukan sahaja menjejaskan kualiti udara sehingga menyesak nafas malah mengundang kegawatan ekonomi. Bagaimana kegiatan harian dan aktiviti luar berjalan seperti biasa jika indeks kualiti udara menurun. Banjir besar dan luar biasa yang berlaku di negara jiran kita beberapa bulan yang lalu mengajar kita bahawa bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan alam. Di Indonesia, sejak musim hujan pada bulan Januari lalu, lebih 130 ribu hektar tanah dilanda banjir. Di Selatan Malaysia, Johor ditimpa banjir dua kali akibat daripada fenomena yang dipanggil sebagai ‘air termenung’ sehingga menjadi takungan air yang besar yang mengakibatkan banjir berulang apabila hujan lebat berlarutan. Peliknya di negara kita, sebahagian kawasan pedalaman Tutong dan Labi yang membentuk keluasan hutan sekitar 70% muka bumi, tiba-tiba digenangi air.  Banjir yang menimpa dikatakan berpunca daripada kenaikan paras air yang mendadak serta rangsangan hujan sejak beberapa hari kebelakangan. Ini sesuatu yang di luar daripada pertimbangan waras mengapa banjir boleh berlaku di kawasan berkenaan.

Umum mengetahui peningkatan guna tanah dipengaruhi oleh pertambahan penduduk dunia dari setahun ke setahun. Bagi menjamin kestabilan ekonomi, kerajaan dikebanyakkan negara mula terdesak untuk meneroka kawasan baru untuk membangunkan industri, mewujudkan kawasan perbandaran dan kediaman bagi penduduk yang bertambah. Dalam hal ini, tanah lapang sedia ada sudah dipenuhi dengan sekian macam bangunan dan pusat kediaman ‘merpati bandar’. Ini bermakna sebahagian hutan akan menjadi korban. Kawasan hutan yang dulunya menjadi kawasan tadahan air dan tempat flora dan fauna berevolusi, terancam dengan proses pembangunan yang tidak dikawal. Akhirnya ketirisan hutan menjadi stigma kepada habitat alam sehingga menjejas kitaran biologi flora dan fauna serta ekosistem akibat daripada penggondolan hutan berterusan. 

Hilir dan muara sungai tidak lagi sejernih dulu. Bahkan tidak kurang juga dilalui oleh manusia apabila bencana alam bersenandung silih berganti. Jika dahulu, bencana alam dengan isipadu yang besar datang puluhan tahun akan datang setelah kejadian pertama, tetapi pada hari ini yakni sejak dekad terakhir abad ke-20, bencana alam tidak mengenal pusingan waktu lagi. Faktor ini didorong oleh kerakusan manusia atas nama pemodenan dan pembangunan. Sebenarnya semua negara sedar dan tahu impak kepada alam sekitar akibat proses pembangunan dan perindustrian yang tidak terkawal. Negara maju menyalahkan negara membangun yang bangkit sebagai naga baru. Bagi negara membangun pula, demi survival, mereka tidak boleh menerima apa saja yang datang daripada Barat, sebaliknya mereka perlu menjadi pemain ekonomi untuk sama-sama menikmati peluang dan keuntungan. Pada akhirnya, mereka juga sama-sama memugar alam melalui pelepasan asap daripada kilang-kilang industri. Untuk menjamin kestabilan industri terutama janaan tenaga elektrik, minyak mentah diperlukan. Oleh kerana harga minyak mentah di pasaran dunia tidak menentu dan membebankan pengusaha, bahan bakar alternatif diperlukan sebagai galang ganti. Terdapat dua jenis bahan bakar ganti iaitu melalui aktiviti pengayaan uranium yang menghasilkan tenaga nuklear dan biodiesel. Namun tidak semua negara boleh memajukan tenaga nuklear kerana bimbang disalah guna. Maka bahan bakar alternatif yang berpotensi ialah biodiesel hasil daripada kejayaan penyelidikan makmal. Sumber biodiesel datang daripada kelapa sawit. 

Permintaan kelapa sawit yang tinggi di dunia telah menyebabkan banyak kawasan ladang baru khususnya di Indonesia dibuka dengan sokongan pelaburan luar. Dikhabarkan, skim yang disokong melalui pelaburan China dianggarkan meliputi kawasan seluas 1.8 juta untuk membuka ladang kelapa sawit terbesar dunia sepanjang sempadan Indonesia dan Malaysia di Kalimantan. Seperti yang kita sedia maklum, Kalimantan adalah pengeskport asap ladang terbesar setiap tahun sehingga mengakibatkan negara serantau seperti Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura mengalami kualiti udara yang buruk. Kebanyakan asap dicetuskan melalui pengurusan bahan buangan pertanian secara jimat kos iaitu pokok yang ditebang akan dibakar sebagai satu cara mudah untuk melupuskan sisa tanaman dan menyuburkan tanah. Pembakaran yang biasa dilakukan semasa musim panas akan menyebabkan api tidak dapat dikawal dan merebak sehingga mengambil masa untuk diatasi. Tambah menyulitkan, tanah gambut yang biasanya menjadi tanah subur untuk tanaman bertukar menjadi bara yang menerbitkan kepulan asap yang berpanjangan sehingga menyebabkan pencemaran udara seperti jerebu. Pembakaran terbuka musim panas bukan sahaja dilakukan oleh syarikat perladangan malah golongan petani dan pesawah. 

Pada hari ini, dengan kawasan hutan yang ditakrifkan hanya sisa sekangkang kera berbanding 30 tahun lampau, khazanah hutan yang ada tidak mampu lagi membendung dan mengkitarkan semula asap melalui proses fotosintesis secara semula jadi. Akibatnya, kepulan asap terus menerawang ke ruang udara dan seterusnya dibawa arus angin ke negara-negara yang tidak sepatutnya menerima musibah yang dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Masalah pencemaran udara pada hari tidak boleh dipandang ringan bahkan menjadi masalah nasional dan isu antarabangsa. Tidak sedikit negara yang prihatin dengan masalah ini sehingga banyak biaya diperuntukkan untuk mengatasinya termasuklah usaha mencipta hujan, water-bombing dan sebagainya. Jika keadaan ini tidak segera diatasi, bukan saja kualiti udara semakin memburuk malah menjejaskan kualiti hidup, keselamatan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya menjadi taruhan. Rentetan demi rentetan bencana yang berlaku menjadi pengajaran kepada kita dan sesuai dengan ingatan yang tertera dalam bait lagu Ebiet G. Ade “mungkin Tuhan telah marah dengan dosa-dosa kita”. Memang dalam al-Quran pun sudah jelas dinyatakan bahawa sudah berlaku kerosakan di darat dan di laut dek tangan-tangan manusia. 

Berhubung dengan Deklarasi Borneo, meski terlambat, tetapi sekurang-kurangnya hutan Pulau Borneo masih bersisa untuk bukan saja diwarisi oleh anak generasi masa hadapan malah yang lebih penting penghuni primat rimba daripada pelbagai spesis termasuklah tumbuhan-tumbuhan yang belum diidentifikasi lagi. Jika tidak ada undang-undang mencegah pemugaran hutan, kita bukan sahaja berhadapan dengan isu pencemaran alam bah masalah yang lebih besar lagi iaitu sumber air. Hutan menjadi sumber kawasan tadahan air untuk menampung keperluan biologi manusia, flora dan fauna, kegiatan ekonomi dan sebagainya. Sedangkan air yang dicatu atau diberhentikan sementara untuk tujuan pembersihan tangki, kita sudah menjadi gawat, inikan pula jika berlaku kemarau panjang. Adalah penting hutan dipulihara sebagai kawasan tadahan air. Di Kalimantan misalnya, kehidupan masyarakat di sana amat kompleks. Tidak semua penduduk khususnya di Kalimantan mendapat bekalan air bersih yang sudah dirawat. Kos air yang dirawat juga agak mahal. Oleh yang demikian, mereka menggunakan sumber alternatif seperti air sungai, menakung air hujan bahkan sebahagian daripada penduduk mencari punca air daripada gunung. Dalam eksplorasi Jejak Kesultanan di Borneo tahun lepas, penulis mendapat informasi daripada penduduk Sukadana yang merupakan sebahagian daripada pemekaran wilayah Kabupaten Kayong Utara bahawa mereka telah mengambil inisiatif dengan mengapung air yang mengalir daripada bukit dan gunung dengan sistem perparitan yang teratur kemudian disambung melalui besi paip ke rumah-rumah untuk mendapatkan air.

Di samping mencegah pemugaran hutan, adalah penting pihak-pihak berkenaan khususnya pengusaha ladang kelapa sawit di Kalimantan mengetahui kaedah pengurusan sisa pepejal dan sisa pertanian secara sistematik dan teratur dengan memperkenal teknik pembakaran sifar berasaskan sistem guna sama iaitu sisa buangan menjadi baja kepada pokok baru. Golden Hope Plantations sebuah entiti perladangan terbesar di Malaysia yang menanam pelaburan besar dalam sektor perladangan kelapa sawit di Kalimantan misalnya telah memperkenal langkah membersihkan ladang tanpa pembakaran. Teknik pembakaran sifar yang diamalkan ialah pokok-pokok yang ditebang akan diracik-racikkan sebelum diletakkan di dalam parit selebar lapan kaki (2.5 meter) dengan kedalaman empat kaki (1.22 meter), manakala dasarnya selebar (1.83 meter) dengan kedua-dua hujung parit ditutup. 

Kaedah zero burning dapat mengurangkan kos racun serangga dan pembajaan secara kimia kerana bahan yang dilupuskan menjadi baja pokok di samping mendapat hasil tuaian yang tinggi. Di samping sisa pertanian, pengurusan sisa pepejal perlu diberi perhatian saksama.  Sisa pepejal meliputi sisa pepejal rumah tangga, komersial, komuniti, pembinaan, industri dan institusi sebagai contoh kawasan pembuangan Sungai Akar perlu mendapat suntikan baru melalui teknologi kitar semula agar tidak mencemarkan alam. Falsafah memulihara dan menyimpan hutan dalam erti kata membekukan kegiatan pemugaran, penggondolan  dan pembakaran hutan, serta aktiviti pembalakan untuk tujuan pembukaan kawasan baru sewaktu hutan masih ada demi menghadapi waktu sukar perlu menjadi pengajaran kepada kita. Kepulauan Borneo perlu sentiasa memiliki hutan simpan yang jauh mencukupi sebagai kawasan tadahan air, mengawal udara dan memastikan habitat flora dan fauna kekal terpelihara untuk ditatap oleh anak dan generasi masa depan. Setiap pembangunan mestilah memberi respon terhadap cabaran bagi perubahan cuaca dengan cara yang praktikal dan tidak menjejaskan ekonomi negara. Sesungguhnya langkah yang patut dan perlu diambil ialah menggubal undang-undang pembakaran dan pemugaran yang lebih tegas, pendidikan alam sekitar yang lebih komprehensif khusus kepada sektor yang berkait langsung dengan perubahan iklim, langkah pemantauan, sistem penyampaian yang berkesan dan pertukaran informasi ketiga-tiga negara untuk memastikan Heart of Borneo yang dipateri melalui Deklarasi Borneo baru-baru ini, berjejak di bumi dan bukan sekadar satu dambaan sejarah yang tinggal harapan dan janji.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...