Jumaat, 25 Januari 2013

SENJA MEMERAH DI PANTAI JIMBARAN, BALI


Pantai Jimbaran di laman Kafe Blue Marlin
Panorama Bali sukar ditafsir dengan sebaris ayat jika tidak melihat sendiri. Bali memang indah dan unik sebagai kota kebudayaan yang menerpa sesiapa saja sehingga membuat pengunjung ke Bali tak pernah mati. Selama lima tahun berturut-turut Pulau Bali mendapat penghargaan sebagai The Best Destination in the World daripada majalah pelancongan popular Amerika Syarikat. Aura Bali yang kaya dengan seni budaya dan spiritual yang tinggi menjadi produk magis yang membuatkan pengunjung merasa kagum. Meskipun berlaku dua tragedi serangan bom berani mati di dua buah pusat hiburan popular pelancong Barat, namun peristiwa hitam tersebut itu kini makin dilupakan. Pengunjung dari seantero dunia datang berpusu-pusu ke Bali sementelah pula beberapa usaha merancakkan industri pelancongan Bali giat dilaksanakan oleh pimpinan kerajaan provinsi Bali. Yang berkunjung ke Bali terdiri daripada pelbagai latar belakang dan ragam manusia. Mereka mungkin pelabur, kaki shopping, peminat sukan air, pencinta seni atau mereka yang dahagakan hiburan malam. Sebenarnya Bali menjanjikan banyak tempat menarik. Sebut saja Pantai Kuta, Sanur, Ubud, Uluwatu, Tanah Lot dan Bedugul, pengunjung tentu terpana dengan kanvas alam yang indah lagi menarik. Tempat tersebut menyajikan panorama alam yang berbeza.  Jika pengunjung punya masa terluang, mereka boleh menyaksikan serpihan pengkisahan Ramayana (The Story of Ramayana) seperti Tari Barong dan Kecak yang membentuk corak hidup dan kepercayaan penduduk Bali hari ini.

Satu lagi destinasi pelancongan pantai di Pulau Bali yang popular ialah Pantai Jimbaran. Pantai Jimbaran memang tak kalah banding. Pantai ini menyajikan sajian makanan laut berjajaran sejauh 700M. Pengunjung boleh memilih premis mana yang menyediakan makanan laut dengan harga yang berpatutan seperti Kafe Blue Marlin. Hamparan kerusi meja di pasir pantai bak tikar yang membentang bagi mengalu-alukan kedatangan pengunjung. Sebenarnya bukan saja makanan laut yang enak yang menarik pengunjung datang ke Pantai Jimbaran. Yang dinanti ialah panorama matahari terbenam (sunset). Senja kian memerah daripada refleks matahari mulai beransur perlahan dan terbenam umpama sebuah kanvas lukisan alam yang membentang saujana mata memandang. Panorama tersebut bertambah indah dan meriah dalam samar petang apabila nelayan tempatan mulai keluar melaut dengan perahu besar yang dinamakan sebagai Jukung. Muda-mudi bersama pelancong asing bertebaran mandi sambil suara bersahut-sahutan. Pengunjung pula mulai mengambil tempat bagi merakamkan suasana pantai yang memerah senja. Setelah penat merakam gambar, pengunjung boleh memanjakan lidah dengan menikmati makanan laut sambil melihat persembahan tarian di sebuah pentas khas dan persembahan pemuzik  yang datang dari satu meja ke satu meja yang lain bagi menghiburkan pengunjung. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...