Selasa, 8 April 2014

misteri alam misteri manusia

Doket Suip Haji Abd Wahab, Selasa, 08 April 2014, 11.19am
Doket peribadi, Selasa 08 April 2014, 12.19pm

Hari ini Selasa, 08 April 2014 dengan kekuasaan Allah Subhanallah Wa Ta'ala berlaku fenomena alam di angkasa. Matahari bersinar tetapi di sekelilingnya terdapat ring bak pelangi yang membentuk sebuah bulatan suria. Masyarakat memanggilnya sebagai cincin matahari dan setengahnya pula mengistilahkannya sebagai matahari sedang dipayungi. Fenomena berkenaan tidak dapat ditatap langsung kecuali dengan memakai lapis lutsinar. Untungnya kini ada telefon pintar resolution tinggi yang boleh memfoto fenomena tersebut dengan hanya menadah dan menangkapkan gambar cahayanya atau mengambil foto dibalik tingkap.

Mengikut laporan space.com dan nationalgeographic.co.id fenomena seperti hari ini disebut sebagai fenomena astronomi iaitu bumi, planet Marikh dan matahari berada dalam satu garis lurus. Fenomena ini terjadi dalam 778 hari, atau 2 tahun 1 bulan 18 hari. Bumi memerlukan 365 hari untuk mengelilingi matahari sementara planet Marikh lebih lama memakan waktu 687 hari. Dalam proses mengelilingi, adakalanya bumi dan planet Marikh akan tampak satu garis jika manusia melihat keseluruhan sistem tatasuria dari atas. Mengikut space.com, oposisi planet Marikh akan diikuti dengan fenomena menarik lainnya. Enam hari sesudahnya, planet Marikh akan lebih dekat dengan bumi sehingga akan tampak sedikit lebih besar. Jika menurut perkiraan fenomena astronomi pada hari ini Selasa, 08 April 2014, maka enam hari sesudahnya jatuh pada hari Isnin ini, 14 April 2014. Allahuaklam.

Misteri semesta ini diungkapkan dalam kalam Allah Subhanallah Wa Ta'ala, al-Quran nul karim dalam surah al-Mukminun ayat 80 "Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang mengatur pertukaran malam dan siang. Apakah kamu tidak berfikir mengenainya?" Rahsia-rahsia alam memerlukan akal yang tajam lagi kritis. Alam semesta tidak terus wujud dalam bentuk yang kita lihat pada hari ini. Sebaliknya ia melalui beberapa proses tertentu. Antara proses itu adalah kelahiran gas-gas hidrogen dan helium yang kemudiannya bercantum sehingga menjadi gumpalan raksasa. Dalam surah Fussilat ayat 11 Allah Subhanallah Wa Ta'ala menyatakan yang bermaksud, "Kemudian Dia menuju ke langit dan langit pada masa itu berbentuk asap lalu Dia berkata kepadanya dan bumi, 'Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa'. Keduanya menjawab 'Kami datang dengan tunduk'. Kededuanya memilih untuk datang dengan tunduk dan taat. Ia mengisyaratkan proses kejadian langit dan bumi tidak berlaku berdasarkan konsep kemungkinan (probability), kebetulan (chance) ataupun rambang (at random). Sebaliknya ia berlaku mengikut perencanaan Allah Subhanallah Wa Ta'ala. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya alam semesta terjadi mengikut hukum kemungkinan, kebetulan atau rambang. Ia tidak akan mampu mewujudkan apa yang wujud sekarang. Kewujudan satu sistem yang mantap dan mampu mengatur proses kejadian alam secara tersusun lagi komprehensif dari satu peringkat ke satu peringkat tanpa sebarang kepincangan menunjukkan memang wujud di sana maha perancang iaitu Allah Subhanallah Wa Ta'ala (Danial Zainal Abidin 2007: 37-38).

Sejak Neil Armstrong menjejak kakinya ke bulan pada 21 Julai 1969 yang terkenal dengan kalimatnya yang fenomenal "Inilah langkah kecil bagi seorang manusia, satu langkah besar bagi kemanusiaan",  dunia menyaksikan negara-negara maju berlumba-lumba membuat penerokaan sains angkasa dan menempatkan satelit untuk meningkatkan martabat manusia dalam bidang sains dan teknologi untuk kemanusiaan. Pencapaian manusia hasil daripada penerokaan sains dan teknologi angkasa membantunya untuk tujuan kemanusiaan seperti mencerap dan menganalisis pergerakan geologi bumi dan aktiviti laut yang menerbitkan ombak tsunami, taufan, angin kencang, ramalan cuaca, pemetaan (global positioning system), mewujudkan sistem radar pertahanan dan satelit pemantauan dan yang terbaru satelit digunakan untuk pencarian pesawat MH370. Pencapaian manusia dalam bidang sains tentunya tidak terlepas daripada ilmu. Begitu pula sains dan Islam tidak dapat dipisahkan. Ilmu sains membolehkan manusia mengkaji dan merungkai misteri kebesaran dan keagungan Allah Subhanallah Wa Ta'ala. Oleh kerana itu umat Islam disuruh Allah Subhanallah Wa Ta'ala untuk mengkaji rahsia semesta secara sistematik berpandukan kepada al-Quran. Pendek kata, manusialah yang perlu meneroka, mengkaji dan mengembangkannya berdasarkan panduan wahyu Allah Subhanallah Wa Ta'ala. Untuk itu, sekecil apapun perkara yang kita tangani hari ini memerlukan ilmu...ilmu dan ilmu. Bukankah wahyu pertama diturunkan Allah Subhanallah Wa Ta'ala kepada Rasulullah s.a.w berbunyi "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan".

Hari ini ketika fenomena tatasuria itu berlaku, banyak jangkaan dan ramalan yang berlaku yang diterima daripada media WhatApp. Saya tidak ingin mengatakan satu persatu di sini. Ketika saya menyampaikan fenomena tatasuria itu terhasil berdasarkan kedudukan bumi, planet Marikh dan matahari berada dalam satu garis lurus berdasarkan sumber yang diperoleh daripada space.com, saya diberi nasihat dengan kata yang baik dan mulia lebih kurang berbunyi "selain ilmu dunia ada jua baiknya menghayati hukum Allah Subhanallah Wa Ta'ala dan pengalaman orang tua terdahulu agar pegangan kita lebih mantap". Ada dua pesan di situ. Yang pertama saya tentu sudah marfum kerana telah diberi pelajaran agama semasa sekolah, demikian pula didikan orang tua, guru agama dan sekian banyak siri ceramah yang saya tonton selain daripada mendengar khutbah Jumaat. Yang kedua saya mentafsirkan sebagai "kehidupan adalah universiti untuk kita belajar" baik secara observasi mahupun secara sosiolisasi. Namun yang kedua ini tentunya timbul pertimbangan yang rasional kerana tidak sebarang-barang kita menuntut ilmu daripada orang tua. Kerana apa? Dunia bergerak dengan dinamismenya yang menuntut kita berfikir secara analitikal bukan berdasarkan ramalan. Situasi kini jauh berbeza dengan kehidupan orang tua kita dahulu.  Memang dahulu ketika teknologi belum semaju kini, orang tua kita khususnya moyang berpandukan kepada alam untuk meramal bahkan bunyi aneh sekawan burung yang jarang terbang di kampung dianggap sebagai alamat ada kematian begitu juga jika patah sebatang gigi di hadapan. Peradaban manusia tahun ke tahun memperlihatkan perkembangan hebat kerana manusia dianugerahi kudrat (anggota) dan iradat (minda) oleh Allah Subhanallah Wa Ta'ala. Nah, apabila semesta menunjukkan keanehannya semalam, dengan menggunakan akal yang sihat apakah kita masih membuat hipotesis akan ada musibah besar berlaku. Nampaknya ada sesetengah kita yang masih berminat dengan abrakadabra, nang bu tinang, fuh kiri fuh kanan dan segala macam misteri gaya pemikiran tuk nenek yang sesetengah perkara itu tidak lagi sesuai dengan zamannya. Apakah budaya mengandai seperti itu yang diinginkan untuk saya belajar. Belajar sesuatu berdasarkan rasa dan naluri? Manusia memang perlu rasa dan naluri tetapi sesuatu itu tidak berlaku tanpa sebab dan akibat. Apakah mereka mahu mengaminkan sesuatu alamat atau petanda yang tidak pasti? Nah jika mengikut amalan orang tua yang mengatakan akan berlaku satu musibah besar, itu tidak dibenarkan sama sekali kerana wahyu al-Quran yang diturunkan Allah Subhanallah Wa Ta'ala kepada manusia khususnya kepada umat Islam menuntut umat Islam memiliki minda yang saintifik. Minda yang saintifik adalah minda yang kuat berfikir, membuat analisis dan kemudiannya membuat konklusi kepada apa yang dicerap. Minda yang saintifik menolak sebarang laporan dan pandangan yang tidak berlapikkan bukti dan dalil. Jika sesuatu andaian itu tiba-tiba berlaku, percayalah itu sudah tertulis di Loh Mahfuz. 

Ingin saya tambah sedikit di sini bahawa jika kita menjadi manusia yang kosumptif kita tentu akan menjadi konsumen sepanjang masa. Konsumptif yang tidak menjadi konsumen ialah mereka yang makan dan mengkaji saatnya mereka membuat sendiri apa yang dimakan. Jujur, saya memilih yang kedua kerana saya ingin menghargai diri saya dan setiap nafas yang diberikan Allah Subhanallah Wa Ta'ala kepada saya guna untuk saya berusaha memahami semesta dan manusia. Insya-Allah. Dan menzahirkan syukur alhamdulillah tidak sebatas menjadi manusia yang selalu menunggu dan menerima tetapi juga bagaimana kita menghargai diri dan anugerah yang diberikan Allah Subhanallah Wa Ta'ala untuk kita berfikir, bekerja dan melanjutkan karya kehidupan.



















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...