Ahad, 4 Mei 2014

sejenak membaca prolog Muhammad Haji Salleh dlm karyanya "jatuh ke laut menjadi pulau"

Hari ini aku meluangkan masa membaca buah tangan Sasterawan Negara (Malaysia) Muhammad Haji Salleh. Kumpulan Puisi Jilid I, II dan II bertajuk "Jatuh ke Laut Menjadi Pulau" terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Buku tersebut dibeli oleh ibu pimpinan DBP kerana (1) jilidan dengan jahitan yang transparan sehingga tiada hardcover yang menutup spine buku berkenaan memperlihatkan keterampilan buku berkenaan istimewa, (2) siri jilid atau edisi dibezakan berdasarkan gambar pohon kelapa, satu pohon kelapa bermakna Jilid I dan begitulah seterusnya, (3) tentunya karya istimewa kerana ia ditulis seorang sasterawan yang telah banyak berpetualang ke mana-mana sehingga fikiran yang dituangkan dalam puisinya adalah semesta raya yang memberi makna kepada pengembaraannya, dan (4) perwajahan kandungan buku ini sangatlah menarik kerana disematkan flora dan peristiwa yang signifikan dengan puisi dan kembara penulis berkenaan.

Kulit Luar Buku

Halaman Prakata Penulis

















Mengenai tajuknya "jatuh ke laut menjadi pulau" frasa ini selalu didengungkan sebagai nasihat dan contoh teladan oleh orang-orang tua di kampung kepada anak-anak mereka dan juga kepada anak buah kerabat dekat. Mak saya juga tidak terkecuali memberikan motivasi dengan menuturkan kata-kata berkenaan ke telinga saya sewaktu saya masih di sekolah dasar lagi. Mak tidak sekadar mengungkapkan bahkan memberi contoh apakah yang dimaksudkan "jatuh ke laut menjadi pulau". Ia mengumpamakan sebijik kelapa yang hanyut kemudian terdampar dan tumbuh subur berbuah dan menjadi santapan (minum) kepada pelaut dan nelayan yang menumpang teduh dan dahaga. Pohon dan buah kelapa dekat dengan masyarakat Melayu. Semua cerita pohon dan buahnya menerbitkan energi positif. Bagaimana tidak! Hampir kesemua bahagian daripada pokok ini memberi rezeki. Batangnya dijadikan titian ketika mak bapak kita nak ke seberang membanting tulang di sawah bendang. Daun buat menganyam ketupat, lidinya jadi penyapu, santannya untuk memasak, serat kelapa jadi kerisik buat pengental rendang, sabut dan cebisan tempurung guna membakar kuih bahulu, begitu juga umbut dll yang ada pada kelapa. Mengenai pesan orang tua tentang "jatuh ke laut menjadi pulau", kesan dan pesan yang dihantar adalah hal yang sederhana iaitu jadikanlah diri kita bermanfaat dan berguna. Hal yang sederhana ini sebenarnya bukan kecil anak tetapi ia menuntut kita untuk berjuang menjadi manusia yang memiliki karakter yang baik dan memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan kepada masyarakat, bangsa dan negara. Nah, apabila buku berkenaan memilih pohon kelapa sebagai lambang penandaan jilid, ia sebenarnya menangkap getaran dan gelombang nuansa tajuk berkenaan. Seperti yang kita maklum, buah ini rentan berbuah meskipun dihanyut beribu batu dalam satu tempoh yang lama, meski dibadai gelora, namun asa dan energi buah kelapa yang baik akan terdampar di darat menjadi pohon subur tumbuh menjulang. Pendek kata, "jatuh ke laut menjadi pulau" menceritakan tentang asa dan daya juang manusia untuk hidup menjadi manusia yang bercita-cita dan memberi manfaat berguna kepada masyarakat, bangsa dan negara. Sesuatu yang boleh dikaitkan dengan perjuangan panjang penulis buku berkenaan.

Kembali semula cerita saya membaca prakata yang ditulis, membacanya membuatkan saya terbuai dalam karangan kata dan bahasa yang indah. Hal yang dituangkan adalah buah dari pengalaman kecil dan besar. Paling menarik ialah hal-hal kecil kehidupan yang sebahagian orang mungkin menganggapnya hal sepele, namun ditangan Muhammad Haji Salleh hal kecil mencuit hati dan merangkul dalam ke sanubari. Kenapa, bahasa yang disampaikan mudah difaham, sesekali disulam dengan bahasa yang jujur, transparan dan indah namun masih menjaga tertib dan santunnya. Tidaklah sulit untuk mengunyah makna dalam setiap kata yang disusun. Dalam setiap kalimat dan para, membaca bait-bait peristiwa yang dilalui oleh penulis mendorong pembaca seperti saya terpaku untuk duduk lama sedikit membaca habis prakata yang ditulis kerana sekali anda menghadirkan jeda untuk beberapa minit seketika, anda akan melewatkan momentum indah dalam mengunyah dan menghadam makna antara satu kalimat dengan kalimat yang lain yang kelihatan nuansanya pandang memandang. Ia umpama anda leka membuka dan mengunyah kuaci matahari, ketika anda jeda untuk meneguk segelas air, keceriaan mengunyah turun drastis kerana suguhan air berkenaan menghilangkan jejak rasa kuaci berkenaan. Begitulah yang kudapatkan ketika membaca prakata penulis buku yang tidak asing lagi. Ini belum lagi anda membaca puisi-puisinya yang sarat makna. Bacalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...