Di beberapa negara belahan di Eropah seperti Sepanyol, Italy, France, Romania, Germany, dan negara-negara Balkan, pisang tidak "dihargai". Buah ini dijadikan simbol "racism bully" untuk menyemai kebencian kepada masyarakat kulit hitam. Kebencian tidak diterjemahkan secara nyata dalam hubungan sosial antara masyarakat misalnya di mall, cafe, lounge, klub dan kegiatan sosial lain seperti riadah. Agaknyalah. Saya pun kurang arif mengenai sikap sosial masyarakat kulit putih di benua Eropah kecuali bersandar kepada laporan media massa. Sikap sosial yang bobrok masyarakat Eropah hanya diwakili segelintir orang sahaja yang benci pada persaingan khususnya dalam laga tanding seperti bola sepak dan mungkin juga dalam sukan-sukan lain yang melibat permainan secara berkumpulan seperti basketball. Golongan racism ini menunjukkan kebencian mereka dengan cara mengajuk dan membunyi suara mereka seperti monyet. Tidak cukup dengan perlakuan sedemikian, mereka melontarkan pisang di padang permainan. Pernah sekali pemain seperti Kevin-Prince Boateng memprotes dengan cara mogok dan keluar dari padang permainan. Rakan sepasukan beliau turut mendukung apa yang dilakukan oleh Kevin-Prince Boateng dengan menghentikan permainan sehingga membuatkan pengadil terpingga-pingga begitu juga pasukan lawan. Namun perlakuan bobrok racism tersebut tidak pernah surut malah menular. Hakikatnya melawan perlakuan bobrok sedemikian perlu disikapi dengan ramah dan santun. Menunjukkan sikap melawan bermakna anda melayani kehendak mereka, dan mereka berjaya membuat anda marah-marah. Satu contoh sikap ramah dan santun menentang racism bully ditunjukkan oleh Dani Alaves, pemain antarabangsa Brazil yang merumput di Barcelona. Ketika beliau menuju untuk melakukan tendangan pojok (sudut) semasa Barcelona menentang Villareal, tiba-tiba pisang dibaling berhampiran dengan bola yang akan ditendang. Dani Alaves dengan bersahaja mengambil pisang, membuka, memakannya dan langsung menendang bola. Tingkah santun dan humor Dani Alaves mendunia dan menginspirasikan ramai orang bahkan golongan eksekutif ditingkat Presiden. Rakan Brazilnya yang merumput di serata Eropah membuat tweet memakan pisang mendukung Dani Alaves sekali gus menentang perlakuan racism berkenaan. Malahan Presiden Brazil dan Presiden Italy melakukan tindakan yang sama. Makan pisang mendunia, mesej yang dihantar ialah perlakuan racism harus ditentang, bagaimana kita manjadi manusia yang saling menghargai.
Perdana Menteri Italy dan pelatih Italy Cesare Prandelli makan pisang sebagai simbol penentangan racism bully (sumber Harian Kompas) |
Berbeza di negara eksotis seperti Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia bahkan Filipina sekalipun yang memiliki tanaman eksotis seperti pisang. Pisang dihargai dan mendapat tempat di mall sekelas Giant, Tesco, Carrefour, Parkson dan Gold Storage. Ketika bencana alam seperti banjir dan kemarau panjang, pisang yang dijual di mall berkenaan tentunya terbilang mahal walhal buah ini sebenarnya rentan berbuah tanpa mengenal musim.
Harus diingat bahawa manfaat makan pisang baik untuk kesihatan. Mengikut sumber, pisang boleh meningkatkan kekebalan tubuh, sebagai ubat darah tinggi, mencegah penyakit jantung, mengatasi anemia, dan mampu menurunkan berat badan. Bagi mereka yang sulit untuk membuang air besar, rajin-rajinlah makan pisang dan minum air putih yang banyak.
mari makan pisang |
Pisang sering dijual di mall (doket peribadi) |
Kembali semula kepada sikap santun Dani Alaves. "Marah pada perlakuan racism hanya membuat mereka senang kerana tujuan tindakan mereka tercapai. Kalau kita menanggapinya dengan humor dan santai, si rasis akan malu sendiri." Demikian tanggapan Dani Alaves atas tindakannya terhadap pelaku rasis tersebut. Ada moral dan teladan berguna yang boleh diambil daripada peristiwa berkenaan. Kita mungkin seorang pemimpin, seorang ketua jabatan, ketua bahagian bahkan di peringkat pegawai bawah sekalipun. Demikian pula kita selaku masyarakat awam. Dalam hubungan sosial sama ada rasmi dan tidak rasmi, kita mungkin berhadapan dengan adu domba, fitnah, rasa tidak puas hati, mereka yang merasakan mereka benar dan orang lain salah, atau kita diperlekeh dan diolok-olokkan. Bagaimanakah kita menyikapi perkara berkenaan? Ketika situasi yang kurang baik itu membuat anda marah dan naik angin, anda sebenarnya telah membuat mereka yang bobrok itu berjaya mempengaruhi anda. Berhati-hatilah. Sikap melawan akan membuat anda tersilap langkah jika tidak berhati-hati menangani perkara berkenaan. Anggap sahaja itu bully berkenaan sebagai nutrisi dan zat yang akan membesarkan jiwa, semangat dan asa anda untuk membuktikan siapa diri anda. Diam bukan bererti kita tunduk tapi kita sebenarnya berfikiran besar yang tidak mahu menanggapi mereka yang berfikiran kecil yang hanya memikirkan diri mereka sahaja. Pendek kata, menjadi manusia pada satu titik peningkatan yang menyaksikan karier anda berjalan mulus, tentu sahaja membuatkan orang lain berasa tersaingi dan adakalanya membuatkan mereka gerah. Menjadi orang sukses bermakna anda harus siap dikerjakan dan dibully. Hakikatnya dalam semua segi kehidupan jatuh bangun adalah perkara biasa. Yang menjadikan anda luar biasa ialah bagaimana anda memahami dinamika hidup untuk membuatkan asa anda terus bertenaga, menjadikan anda tahan uji dan bagaimana anda dapat berkembang dan terus relevan. Jadi, hadapilah ujian dengan tenang, damai dan santun sambil anda memikirkan jalannya. Buat saya, semoga tenang, damai dan santun selalu mendampingi saya yang membuatkan saya selalu mengintrospeksi diri sambil mendoakan yang terbaik kepada mereka yang berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan