Selasa, 19 Ogos 2014

panggilan nurani

Perjalanan dari utara selatan yang telah kulewati beberapa minggu yang lalu kini kusudahi dengan perjalanan pulang ke laman tempat aku dibesarkan. Ya, kampung halaman tempat aku mengenal nilai-nilai kemanusiaan yang telah membatin sejak lama. Sulit bagiku menghindari nilai kemanusiaan itu ketika usiaku kini menginjak hampir setengah abad. Nilai kemanusiaan itulah yang aku anggap sebagai satu panggilan nurani yang selalu terngiang-ngiang dan memanggilku pulang melihat sebuah kebesaran yang selalu hidup dalam jiwa raga dan menjadikan diriku sebagai orang yang selalu mengingati sesuatu sebelum memulakan segala hal. Mengapa aku katakan kembali ke kampung halaman sebuah panggilan nurani. Ia tidak lain kerana di kampung halaman inilah aku mengenal erti hidup dan perjuangan. Di sinilah aku mengenal dan merasai getaran jati diri sejak usia dini. Aku mengenal lumpur, bendang, sawah, perigi, sungai, kolam, ikan sepat, ikan laga, ikan puyu dan segala macam yang tidak terkata yang telah banyak berjasa mengajarkan aku erti perjuangan hidup dan mendidikku erti kemahiran insaniah dan seterusnya berkembang sebagai manusia yang selalu percaya diri untuk melakukan sesuatu yang aku rasa mampu melakukannya dengan izin Allah SWT.

Menjejak kaki ke kampung dan melihat wajah tua mak yang setia di halaman ini membuat hatiku rawan dan sebak. Aku selalu berasa aku menjadi aku yang dulunya setiap kali pulang ke sini. Perasaan itu terasa sebuah kehangatan spiritual yang selama 30 tahun telah aku lewatkan.

Pagi ini aku melihat dan menjenguk keluar ketika subuh menjelang dalam cahaya temaram yang remang di balik sinaran lampu tiang yang suram. Suara kokokkan ayam bersahutan, burung serindit dan mena mulai menebarkan pesona suaranya, demikian pula suara burung bersiul yang namanya terlupakan, suara cengkerik tanah berlaga sejak awal malam mula menyapa mulai surut dan diam perlahan, tupai saling berkejaran di batang pohon petai yang tinggi menjulang, buah manggis berserakan di rerumputan kerana tak ada siapa yang makan pada ketika anak-anak teman sepermainanku dahulu bermukim di kota besar untuk mengadu nasib mereka.

Aku menginjak kaki di laman ini yang banyak menyimpan sejarah kecil ketika kanak-kanak kami berusaha menjadi manusia berani dan selalu ingin menantang diri untuk mencuba. Aku dan mereka memanjat pokok dan mencari apa yang boleh dijadikan nilai. Rebung, pakis, buah, kayu dan botol terbuang dikumpul dan dijual untuk mencari wang. Pada satu ketika pohon getah ditebang secara leluasa untuk dijadikan estet kelapa sawit, pohon getah berkenaan yang perlahan reput itu menghasilkan cendawan ketika hujan datang dalam musimnya. Cendawan itu kami kutip beramai sehingga kawasan yang luas itu semacam menjadi tapak pesta bagi penduduk kampung kami. Kami menjual dan sebahagiannya kami jadikan sayur buat makan tengah hari dan malam. Pada waktu senggang, aku dan mereka berkumpul bermain galah adang, getah lastik, konda kondi, biji getah, letup-letup dan tembak-tembak pada ketika siri Combat menjadi cerita popular pada zamannya.

Aku selalu mengingati itu pada ketika kami bertemu lagi dalam usia yang cukup matang dengan segala perancangan masing-masing. Aku bangga melihat anak kampung ini akan pulang hujung minggu kerana membuat perkara yang sama, ya panggilan nurani. Panggilan nurani mereka tentunya berbeza denganku kerana mereka telah memiliki komitmen fizikal yang lebih besar antaranya yang menghasilkan pulangan yang baik untuk jaminan hari tua. Sementara panggilan nuraniku ini tidak lain dari melihat perubahan mental dan fizikal yang jauh berbeza pada zaman aku dibesarkan dulu. Pada masa yang sama, panggilan nurani yang kulakukan ini tentunya sebuah perjalanan membersihkan diri dan fikiran dengan cara melihat damai, tenang, hijau rerumputan yang terbentang di laman dihiasi tumbuhan yang tak pernah berhenti menzahirkan jiwanya yang hidup dan selalu menjadi tempat teduh kepada sesiapa jua yang lalu.

Panggilan nurani ini juga untuk menjemput hati dan jiwa dengan mencium mak dan memeluknya dengan rasa kasih yang dalam atas sifat keibuan, jasa dan air tangannya yang telah membesarkan aku untuk selalu tabah dan sabar dalam sebuah proses panjang kehidupan. Di rumah ini, aku bersujud dan bertafakur kepada-Mu Ya Allah kerana memberikan aku nafas kehidupan, kesihatan dan rezeki untuk aku kembali menjenguk dan merasai laman ini yang banyak menyimpan masa silam yang penuh asa dan harapan yang dahulunya tidak pernah kutahu bilakah akan tiba masanya itu pada ketika hidupku tenggelam dalam selimut duka dan derita yang mengaung. Aku bahagia kini kerana telah memiliki keluarga, anak dan tentunya rezeki dari laluan perjalanan yang tak pernah kuduga dahulunya. Namun, hati dan jiwaku diselimuti kampung halaman yang selalu memanggilku pulang kerana di sinilah lahirnya sebuah cinta.

Seminggu tinggal di halaman ini, aku kembali mengerjakan rutin sewaktu kecil dahulu iaitu menolong ibu di dapur sesuatu aku telah terbiasa dan terdidik melakukannya sejak lama. Kami minum bersama sambil ibuku bercerita perkembangan yang berlaku di kampung terutama anak-anak yang sebaya denganku yang kini telah memiliki keluarga dan kehidupan mereka. Dari riak wajahnya, aku dapat merasakan betapa ibuku, nek wan dan tok wan, emak bapak dan kita sebagai makhluk sosial juga sebenarnya memerlukan teman bercerita sebagai satu bentuk kepedulian kasih yang mampu buat kita sebagai manusia ria dan bertenaga selalu. 
 
Aku berkata dan berjanji pada diri bahawa kampung halaman ini akan selalu hadir dalam diri dan jiwa serta aku ingin selalu berada di sini untuk satu tempoh yang lama pada ketika tugasku nanti sampai ketikanya berlabuh di pelabuhan waktu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...