Selasa, 12 Ogos 2014

perjalanan dari KL - Singapura - Batam - Johor Bahru - KL

"Jika anda berpeluang untuk mengemas bagasi dan mengembara, lakukanlah. Seorang pun tak mengapa" - Scott Percelay (red)  http://thoughtcatalog.com/scott-percelay/2013/10/10-reasons-why-traveling-makes-you-a-better-person/

Entri kali ini bercerita sambungan kembara saya setelah kembali dari HatYai untuk menyambung ke destinasi seterusnya. iaitu ke Batam melalui jalan darat dari Kuala Lumpur - Singapura. Ibarat kata pepatah "sekali mendayung perahu, dua tiga pulau terlampaui".  Perjalanan ini tidak lebih dari merasai getaran sebuah keterujaan dan gengsi perbezaan ditempat yang dilalui dan disinggahi, tentu.

Khusus bagi anda dari Brunei, belilah tiket perjalanan bas Kuala Lumpur - Singapura jauhari sebelum bertolak kerana pada kebiasaannya, tiket perjalanan destinasi berkenaan penuh, terutama jika anda bertolak pada hujung minggu kecuali anda memang bernasib baik. Waktu jam bertolak disarankan ialah bawah 11 pagi untuk membolehkan anda mempunyai masa yang cukup ke Harbourfront City di Singapura dan seterusnya menyambung perjalanan ke Batam menggunakan feri.

Baik saya membeli tiket bas Super Nice melalui www.busonlineticket.com berharga RM70.00. Anda perlu mencetak (print) e-tiket yang dikirim ke emel anda setelah membuat pembelian online. Dalam e-tiket berkenaan, anda akan diberitahu di mana anda harus menunggu tergantung konsortium bas yang anda pilih. Ada beberapa buah konsortium yang menyediakan perkhidmatan perjalanan Kuala Lumpur ke Singapura dari Stesen Bas Puduraya. Jika anda memilih Super Nice (kadangkala disebut Nice), tempat mendaftar masuk dan menunggu bas ialah di Imbi Plaza. Terdapat sebuah pondok atau doket konsortium berkenaan, betul-betul dibalik tangga atau eskalator LRT Imbi Plaza berhadapan dengan Berjaya Times Hotel.

Sebelum menaiki bas, anda perlu mendaftar masuk iaitu mendapatkan tiket bas sebenar di kaunter Grassland Express Service Sdn. Bhd. yang terletak di belakang 7 Eleven tidak jauh daripada lokasi doket tadi. Ingat, anda harus mendaftar setengah jam sebelum bertolak.

Bas bergerak tepat waktu jika tiada masalah. Perjalanan mengambil masa kurang lebih dalam 7 jam. Tidak banyak berhenti untuk ke toilet kerana tempoh perjalanan tersebut terbilang tidak lama. Seingat saya ada tiga hentian sahaja. Hentian paling lama ialah di Yong Peng, Johor. Semua penumpang diberi masa selama 30 minit sahaja untuk rehat makan, minum dan ke toilet.

Seterusnya, bas bergerak menuju ke Pos Kawalan Imigrasi Gerbang Selatan Johor Bahru. Besar pos kawalan berkenaan. Jika anda masih baharu menggunakan bas untuk pergi ke Johor - Singapura, sila perhatikan penumpang yang naik bas yang sama bergerak ke kaunter imigrasi berkenaan. Tempat mengecap pasport di tingkat 1. Selepas siap di kaunter imigrasi, anda harus turun kembali untuk menaiki bas berkenaan. Kemudian bas menghala ke Pos Kawalan Imigrasi di Woodlands, Singapura. Masuk sahaja di Woodlands, pintu masuk Singapura ini terkesan ketat, tegas, smart, efektif dan penuh disiplin. Ramai penumpang bergerak cepat tanpa berlengah dengan bagasi (bagasi perlu dibawa turun bersama anda) mereka untuk naik ke tingkat 1. Anda perlu bergerak cepat kerana pada saat yang bersamaan, ramai penumpang bas lain juga buru-buru untuk berbaris untuk mengecap pasport mereka. Pos Imigrasi Woodland terbilang superb dan berskala besar bagi pintu masuk darat. Ia seolah seperti "lapangan terbang pintar" dalam bandar kerana kesibukan penumpang keluar masuk sama sibuknya seperti di lapangan terbang Changi. Baik di Pos Kawalan Imigrasi Gerbang Selatan di Johor Bahru dan di Woodlands, Singapura, kededua pos ini menyediakan suasana yang mesra dan manja penumpang kerana tempat berbaris untuk mengecap pasport yang luas dan dalam bangunan yang aman dan nyaman serta terhindar daripada pencemaran udara. Bagi penggunjung yang telah terbiasa dengan hal berkenaan tentunya tidak berasa asing dan tidak hairan dengan apa yang disediakan, namun bagi pengunjung lain, ini sesuatu yang menarik dan menampilkan suasana wah dan wow. Dek frekuensi kemasukan pengunjung yang luar biasa kerana tarikan pelancongan yang disediakan, pihak berkuasa kededua negara memberi perhatian serius dalam memodenkan gerbang pintu masuk mereka untuk memberikan suasana selamat datang yang hangat kepada pengunjung di seluruh dunia yang memilih menggunakan transit darat ke destinasi berikutnya.

Masalah besar di Pos Kawalan Imigrasi Woodlands khusus bagi anda yang baharu pertama kali masuk (kecuali mereka dari Malaysia dan Indonesia) ialah pegawai imigrasi Singapura akan banyak bertanya pada anda. Anda perlu bersedia dengan salinan tempahan hotel jika memang anda transit di Singapura dan tiket balik ke negara asal. Jika anda tidak bermalam di Singapura, sebaliknya anda terus ke Batam menaiki feri dari Harbourfront City, maka anda diminta menunjukkan tempahan hotel di Batam. Mereka juga akan tanya bagaimana anda ke Harbourfront City. Cukup cakap anda menaiki teksi dari Golden Miles Singapura tempat penurunan penumpang bas yang anda naik tadi apabila tiba di Singapura. Terkadang anda diminta mengangkat dan menunjukkan bagasi anda. Lucu bagi saya kerana terlalu detail nampaknya imigrasi Singapura di Woodlands ini. Jangan sesekali mengambil gambar kerana kamera dipasang dimerata tempat di pos kawalan berkenaan. Mereka akan cepat datang ke tempat anda, sekiranya anda didapati mengambil gambar bangunan imigrasi yang terkesan besar dan super itu.

Setelah selesai, anda perlu membawa dan mengimbas bagasi anda ditempat pengimbasan yang terletak satu lantai dengan tempat mengecap pasport tadi. Pegawai kastam Singapura akan melihat dan mengawas tempat berkenaan dengan cekap dan cepat. Kemudian anda harus turun kembali untuk menaiki bas menuju ke Golden Mile. Setelah turun dari bas, anda harus menunggu teksi ditempat hentian teksi yang dikhaskan di Golden Mile berkenaan. Caj tambang teksi bermeter dari Golden Miles menuju ke Harbourfront (terminal feri penumpang Singapura - Batam) ialah $10.00. Pastikan anda memiliki duit Singapura yang cukup terlebih dahulu kerana di pusat tukaran wang asing di Golden Mile, dollar Brunei DS tidak diterima selain daripada ringgit Malaysia, Rupiah Indonesia, Baht dan Peso (wang dari negara ASEAN yang diterima).

Dari Golden Mile ke Harbourtfront City kurang lebih memakan waktu sekitar 15 ke 20 minit. Di Harbourfront City, anda ikut petunjuk yang menunjukkan tempat pembelian tiket feri di kaunter syarikat perkhidmatan feri yang tersedia menyambut dan memenuhi keperluan perjalanan anda. Ada beberapa buah syarikat atau feri yang membuat perjalanan ke Batam Centre, iaitu (1) Sindo Ferry yang identik berwarna kuning, (2) Batam Fast, (3) WaveMaster dan (4) Pacific Ferry. Harga tiket sehala ke Batam ialah $25.00 (termasuk tax). Tiket yang dibeli beberapa minggu sebelum perjalanan akan dijual secara open date (anda boleh menaiki feri pada bila-bila hari dan masa)

Tiket sehala Singapura - Batam


Feri Singapura-Batam-Singapura
Anda tidak perlu tergesa-gesa membeli tiket balik kerana Sindo Feri dan feri yang lain memang berskala besar. Tempat duduk banyak yang kosong feri berkenaan memang berkapasiti besar. Tiket balik boleh dibeli apabila tiba di Batam Centre nanti. Pilih hentian ke Batam Centre kerana selain Batam Centre, ada empat hentian lain selain Batam Centre iaitu di Sekupang dan Tanjung Pinang dan Tanjung Balai yang juga terletak di Batam. Borang imigrasi Indonesia akan diisi oleh karyawan syarikat Sindo Ferry semasa pembelian tiket dibuat. Anda hanya perlu menunjukkan pasport sahaja.


Jadual perjalanan Sindo Feri
Di kaunter imigrasi Singapura di Harbourfront City ini juga bermasalah kerana banyak pertanyaan perlu dijawab. Seperti sebelumnya, Singapura terkesan detail dalam banyak hal. Perjalanan feri dari Harbourtfront menuju ke Batam Centre mengambil masa 45 minit - 1 jam. 

Jadual feri Batam Fast

Jadual feri WaveMaster



Tanpa mengurangi rasa hormat dengan prosedur pemeriksaan imigrasi di Pos Kawalan Imigrasi di Woodlands dan di Harbourfront City, saya dan mungkin juga anda akan memikirkan apakah ada jalur alternatif keluar lain selain daripada melalui kededua pos berkenaan semula untuk perjalanan ke Kuala Lumpur. Untuk itu, anda boleh menggunakan jalur alternatif iaitu tidak perlu lagi masuk ke Singapura untuk mengambil bas ke Kuala Lumpur. Belilah tiket feri dari Batam ke Stulang Laut, Johor di Batam Centre. Tiket feri berkenaan juga tidak perlu dibeli buru-buru kerana pihak mereka hanya menerima pembelian sehari sebelum perjalanan.

Jadual feri Pacific

Perjalanan pulang pergi dari Batam Centre ke Stulang Laut dibuat selang sejam. Tiket sehala berharga Rp250,000 dari Batam Centre. Di Stulang Laut, terminal hentian ialah di Berjaya Waterfront. Terminal ini kecil dan terkesan kurang sibuk jika dibandingkan dengan Harbourtfront di Singapura mahupun di Batam Centre. Setelah selesai pemeriksaan imigrasi di Berjaya Waterfront, beberapa orang calo atau ulat @ teksi sapu berkeliaran menanyakan destinasi anda dan seterusnya menawarkan harga. Anda tidak perlu melayani kehendak mereka yang adakalanya suka menenung orang. Anda cukup naik lif dan pergi ke lantai bawah (G) untuk ke luar. Semua penumpang feri juga harus menggunakan lif yang sama. Tidak jauh dari pintu bangunan teksi rasmi berwarna merah dan biru bersedia mengambil penumpang. Pastikan anda memilih teksi berwarna merah kerana teksi ini menggunakan meter berbanding teksi berwana biru yang biasanya mematuk harga yang sedikit mahal. Jika anda menggunakan bas ke Kuala Lumpur, anda meminta teksi menghantarkan anda ke Terminal Bas Larkin @ Larkin Sentral. Di Larkin Sentral, banyak operator mengendalikan perkhidmatan perjalanan bukan sahaja ke Kuala Lumpur malahan juga ke HatYai, Kedah, Penang, Melaka, Seremban dan Pantai Timur. Di terminal bas ini, banyak agen tiket yang berkeliaran melobi anda. Anda juga tidak perlu melayani mereka. Sebaiknya tuju ke kaunter tiket. Misalnya, jika anda hendak ke Kuala Lumpur, pergi ke kaunter perkhidmatan bas Mayang Sari. Jika anda hendak ke Seremban, pergi ke kaunter bas Plusliner atau KKKL. Bas yang ditawarkan oleh agen yang berkeliaran di Terminal Bas Larkin kebanyakannya membuat perjalanan pakej iaitu akan berhenti menurunkan penumpang di terminal antara bandar. Bas ini pula tidak masuk ke terminal antara bandar berkenaan, sebaliknya menurunkan penumpang di tepi jalan.

Batam-Stulang Laut
Sebagai tambahan, jika anda ingin merasai sensasi bagaimana menjadi seorang pengembara yang tangguh, kesulitan dalam pengembaraan itulah diri kita dilatih untuk menjadi mandiri, lebih kuat, tabah dengan tempaan hidup dan paling penting dapat melatih kita faham dengan berbagai masalah yang ditempuhi dan kaedah yang sesuai bagaimana kita menanganinya sama ada lewat komunikasi yang baik kerana anda mungkin telah mempelajari selok-belok perkara lebih awal lewat perkongsian para bloggers yang anda baca atau melalui penunjukan bukti yang boleh meyakinkan pihak berkenaan. Bukankah pengembaraan adalah satu proses untuk menerbitkan rasa indah dengan pengalaman dan tempaan masalah yang kita hadapi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...