Masyarakat muslim Thai dan Siam di Hatyai adalah masyarakat yang rajin berniaga terutama kaum wanita. Dalam berniaga, mereka dapat membaur sama dan rukun dalam mencari rezeki. Misalnya kalau di sebelah penjaja muslim menjual pulut durian atau pulut mangga beserta dengan gorengan, wanita Siam pula menjual kelapa pandan segar yang siap sedia untuk membasahkan tekak anda. Berdasarkan pemerhatian saya, salah satu yang memberi pengaruh besar pada kerukunan berkenaan ialah peranan bahasa Siam atau Thai sebagai bahasa pembinaan negara bangsa Thai. Kerajaan Thai mengutamakan penggunaan bahasa Siam baik dalam komunikasi lisan mahupun tulisan. Nah ternyata dasar satu bahasa ini memainkan peranan yang bukan kepalang dalam menumbuhkan sifat taat setia dan mewujudkan sifar perbezaan antara mereka. Apabila dua pihak yang berbeza menutur satu bahasa yang sama apatah kededua pemeran bicara adalah warganegara yang sama, tentunya menghilangkan jurang perbezaan antara mereka. Yang berbeza hanyalah agama anutan masing-masing tetapi dalam bernegara, mereka semua adalah rakyat Thai. Muslim Thai dan Siam bukan sahaja membaur bahkan boleh bertepuk tampar mesra antara satu dengan yang lain. Tidak nampak ekspresi arogan dan kecemburuan sosial antara mereka kerana selain daripada bahasa, saya kira budaya santun dan lemah lembut orang Thai juga memberi pengaruh pada sikap sosial mereka.
Dari bab berniaga, saya perhatikan pihak berkuasa Thai memberi dukungan penuh kepada warganegara mereka mencari wang untuk memenuhi keperluan hidup tanpa meminta bantuan kebajikan kepada kerajaan. Kerajaan yang tegas dapat mendisiplin masyarakat mereka untuk keluar bekerja kerana industri wisata yang terpencar dan dibangunkan dalam semua wilayah di Thailand memberi nilai wang kepada penduduk Thai asalkan mereka tahu bagaimana erti membanting tulang dan bekerja keras untuk meraih peluang ekonomi yang terhidang kesan daripada kemasukan pelancong yang kerap.
Selain itu, industri pertanian yang membuat Thailand cemerlang dari segi daya tahan ekonomi kesan daripada perbelanjaan besar dahulunya dalam penyelidikan, pembangunan dan penerapan bioteknologi dalam merangsang pertumbuhan dan daya tahan penghasilan pertanian, sebenarnya telah memberi pengaruh besar pada aktiviti ekonomi khususnya industri makanan dan minuman. Jangan tak tahu, ketika anda menikmati sebiji duku atau kelapa pandan segar, benda ini sebenarnya telah melalui satu proses panjang baik dari segi dasar pertanian, masa, tenaga, dan kos sebelum anda dapat menikmatinya. Apa yang kita nampak ialah dasar menyeluruh Kerajaan Thai dalam pertanian telah menjamin bahan baku atau bahan asas pertanian tersebut untuk digunakan oleh peniaga sepanjang masa. Hari ini, hampir semua buah di Thailand nampaknya sentiasa ada untuk memenuhi permintaan, baik secara bulat mahupun buah yang telah diproses menjadi produk hiliran sebagai bahagian daripada sokongan pada industri makanan asas untuk memenuhi selera pengguna di mancanegara.
Apakah pernyataan di atas cukup? Rasanya tidak kerana terdapat keazaman politik yang memberi pengaruh kepada perkembangan ekonomi masyarakat di Thai. Misalnya, produk yang dihasilkan sendiri perlu terus dijamin pasaran dan kualitinya. Ini bermakna produk yang sama tentu tidak boleh diimport bagi mencegah persaingan. Maknanya, keluaran tempatan harus mendapat tempat dan sokongan politik di negara sendiri. Kedua dan yang lebih penting ialah masyarakat sesebuah negara perlu dijamin dan disokong untuk berdiri sendiri melalui dasar kemasukan imigran yang ketat. Jika tidak, bangsa lain yang datang di negara berkenaan akan terus membina cengkaman dan menguasai aktiviti ekonomi sehingga menjadikan rakyat di negara berkenaan sebagai pengguna sepanjang masa. Sejauh ini, nampaknya tiada kecemburuan sosial di Thailand khususnya di HatYai seperti yang saya perhatikan kerana perbezaan agama tidak menghalang mereka meraih manfaat ekonomi dengan berniaga. Yang berniaga adalah masyarakat Thai sendiri, tiada imigran yang mengendalikan kontrol ekonomi seperti yang saya lihat sendiri. Perbezaan bersatu dalam sebuah kerukunan dan damai yang diikat melalui bahasa dan budaya. Memetik kata Dr. Mads Gilbert sebaik tiba di negaranya Norway setelah memberi bantuan rawatan perubatan dan kecemasan di Semenanjung Gaza, Palestin, beliau berkata "perpaduan" adalah senjata terbaik bagi memelihara keharmonian dan menghargai perbezaan sebagai sesuatu yang bernilai. Selagi sikap sosial yang mengutamakan perpaduan dan rasa kebersamaan dijaga sambil bekerja mencari rezeki untuk keperluan hidup, maka HatYai tetap aman bukan sahaja bagi masyarakat di sini, bahkan aman bagi pelancong luar yang datang. Perpaduan adalah senjata berharga yang tidak dapat dinilai dengan wang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan