Rabu, 24 Jun 2015

Ex-STAD 86/87 menjemput kenangan, mempererat silaturahim dan membangun asa

Dua puluh sembilan tahun yang lalu kami disatukan di sebuah graha yang dinamakan sekolah. Ya, graha itu Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah (STAD), Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan. STAD terletak di pinggiran bandar Seremban. Sikamat sejarahnya merupakan jantung yang amat sinonim dengan batalion tentera dan kawasan ini sering disebut sebagai Sikamat Kem. Apapun, lokasi STAD sebenarnya berada di posisi strategis pusat ilmu, kerana dipermukimannya tidak sahaja di huni oleh ketumbukan tentera tetapi juga menjamur sekolah-sekolah dengan kebesaran namanya. Siapa tak kenal Sekolah Menengah Dato Abdul Razak (SDAR), Kolej Tunku Kursiah (KTK), dan Sekolah Agama Sheikh Ahmad yang acap kali menoreh keputusan terbaik dalam peperiksaan penting nasional dan diberi perhatian pemimpin serta media arus perdana. STAD juga berada kurang lebih tiga pelaung dengan Institut Perguruan Raja Melewar yang memahat sejarah panjang dalam melahirkan graduan guru pelatih saban tahun.

Sumber: Google Images
Dua puluh sembilan tahun lalu STAD antara beberapa buah sekolah yang pada zamannya dihuni oleh anak-anak yang berjaya dalam pendidikan dan sukan. Antara sukan yang terkenal pada zaman kami tentulah bola sepak, ragbi, hoki, bola jaring dan olah raga. Ada antara disiplin sukan ini yang telah menghantar pelajar STAD sebagai pelatih sukan bagi mewakili negeri dalam kejohanan penting seperti Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). Kebanyakan yang menonjol dalam kegiatan sukan ini adalah pelajar lelaki. Yang membuat asa pelajar lelaki STAD tak lain kerana kami berjiran dengan SDAR sekolah berasrama penuh yang dihuni oleh pelajar lelaki yang cemerlang dan datang daripada pelbagai pelosok negeri di Malaysia dan bersekolah di situ. 

Dua puluh sembilan tahun dulu, jangan tak tahu STAD menjadi tempat bagi artis popular menuntut ilmu, antaranya Erma Fatima dan Sharifah Shahirah. Mereka bersekolah selang beberapa tahun kami dari sekolah yang berbeza di daerah di Negeri Sembilan, Selangor dan pelajar sejauh Sabah dan Sarawak bergabung di STAD untuk menyambung pendidikan di Tingkatan 6 bawah dan atas pada tahun 1986/87.

***

Dua puluh sembilan tahun kini, kami ditemukan kembali melalui aplikasi pesan hasil racikan Jan Koum dan Brian Acton, tak lain tak bukan Whatsapp (WA). Semua itu bermula dengan penjejakan teman lama melalui media sosial seperti e-mel, blog dan Facebook. WA menjadi ruang sosial yang superaktif kini apabila masing-masing pada ketika kedewasaan memungkinkan segalanya untuk kami bersirah, berkisah, berkongsi, bersenda gurau, berbagi gambar kenangan dan terkini dan sesekali disertai misi serius untuk berusaha membangun ekonomi mandiri melalui usaha. Pertemanan yang disatukan kembali ini sebenarnya merunut dan menggamit memori, memangkas kerinduan dan mendekatkan jarak. Bualnya mengalir. Ketawanya lepas meski hanya diwakili ikon-ikon aplikasi pesan. Aplikasi pesan ini menyambung tali silaturahim yang terpisah dengan ikatan persahabatan terus diperkuat, pengharapan ditanam bersama, lalu kami saling mendoa untuk hidup yang lebih baik.

Sebahagian pelajar kelas 6 Atas Sas 4
Bersama rakan sekelas Adnan Nordin
Kunjungan perpisahan kami buat Cikgu Megat Redzuan,
Penolong Pengetua STAD

Kemesraan ini janganlah cepat berlalu
Tuan Nazir dengan pacuan 4WD bagi
menjayakan misi bantuan ke Kelantan
Dua puluh sembilan tahun kini, waktu telah berkembang dengan dinamismenya, kami berkembang dengan kematangan dan kedewasaan. Kedewasaan itu menjemput usia yang kini di penghujung empat dekad yang berjalan begitu pantas seiring dengan pergantian tahun. Kami berbagi cerita dan bertanya khabar. Kami berkongsi nostalgia. Hakikatnya, dahulu kami datang daripada latar sosial yang berbeza, lalu berhimpun di kawah pengetahuan STAD pada dua puluh sembilan tahun silam. Di situ kami saling mengenal, membaur dan bersama
Berdiri dari kanan ke kiri:  Norliza Darun Nafis, Aliza Ali, Norien,
 Rapi dan Marliza
menjalani hidup sebagai anak sekolah yang dalamnya ada tawa, resah, gemuruh, marah, gembira, disapa hati yang berbunga kerana ada kuntum yang menyambut salam, dan menjemput romansa terdalam di hati kami menggebu sehingga gelora sukacitanya memenuhi raga. Untungnya pesan-pesan romansa itu diterima melalui surat bukan aplikasi pesan seperti hari ini. Rupanya anak-anak sekolah zaman kami dan sebelum kedatangan era media sosial dan aplikasi pesan, ternyata lebih kritis dalam menyusun kata  dan bahasa kerana mereka benar-benar mengabdi dan menguasai dunia baca tulis dan kepengarangan dalam rentang atmosfera yang menggebu ketika itu bagi meramu kata dan bahasa untuk menggambar seperti apa suasana hati dan sukacitanya kami..dia. Semua ini adalah gejolak rasa yang sesekali menyapa raga kami sebagai anak-anak sekolah yang sedang melalui proses peremajaan. Kami tetaplah anak muda yang ceria dan penuh semangat yang memiliki karakter yang berbeza namun tak pernah lupa keutamaan kami sebagai pelajar di perbatasan genting untuk menyambung cita-cita ke jenjang pendidikan tinggi. Kami ingin melakukan hal-hal baik yang tidak menjengkelkan orang tua kami, institusi tempat kami menuntut ilmu dan para guru kami yang tak kenal lelah dalam menurunkan ilmunya. Sering kali pula kami resah seperti ada rasa tak siap menghadapi peperiksaan tapi kami diinspirasi oleh teman yang prihatin dan selalu hangat dengan motivasi dan nasihat untuk bersama maju. Tapi tetaplah rasa berdebar bertebaran di mana-mana. Hal positif ketika kami berbentur pendapat dengan argumentasi dan rasional masing-masing. Mengapa? Ini kerana sebagai manusia yang bernafas dan bergerak, kita tidak akan pernah berhenti belajar kerana di dalam setiap tarikan nafas selalu ada hal baru yang boleh kita serap dan berbagi dengan cara pandang yang berbeza. Saat indah apabila kami turun makan bersama dan duduk meramu bersama di meja sambil menyantap makanan yang terbilang enak dan terbaik buat kami anak-anak sekolah pada zamannya. Ketika jenuh menyergap di hati dan rasa, kami memilih makanan terbaik kami yang tersimpan kemas di gubuk masing-masing...maggi. Ya, maggi sajian sensasi yang paling bergengsi, dan ummphhh yang kami miliki. Makanan sensasi ini tetaplah mengorbitkan kami sebagai manusia seteguh batu karang untuk berjuang dan menggapai mimpi. Kami berjuang dan bersama meminum sari ilmu buat bekal, dan kembali ke tanah tempat kami dibesarkan dengan penuh cinta, cita dan tekad untuk menjadi kumpulan masyarakat yang bercita-cita untuk hidup jaya. Tahu-tahu ada teman yang berkelana sejauh Inggeris Raya sejak 10 tahun silam, negara Queen yang metropolis, eksis dengan sungai pengetahuan, dihembus angin dan kabut salji, sementara aku pula kembali di watan tempat aku dilahirkan pada 27 tahun silam setelah panggilan pulang itu tiba menggamit. Pada akhirnya hidup adalah perkara memilih daripada berbagai pilihan yang terpapar di depan mata dan pilihan itu haruslah menjanjikan yang terbaik untuk menakat. Kini, teman-temanku ada diwatan ia dilahirkan untuk berbakti dalam dunia pendidikan, ada yang menggeluti dunia usaha dan penjawat awam sambil mengusahakan ekonomi mandiri. Mendengarkan mereka berbisnes, amat mengujakan. Bagiku dan bagi mereka, dunia hanya boleh dicapai oleh orang-orang yang memiliki kepercayaan diri dan yakin dengan kemampuan dirinya. Semua itu berkat daripada kedisiplinan, kepekaan hati dan ketajaman perasaan yang merupakan embrio yang terpantul daripada kehidupan yang keras dan penuh disiplin daripada orang tua kami yang banyak berjasa. 

Dua puluh sembilan tahun kini, kami berkaca bahawa pertemanan kembali ini mengingatkan kita tanpa perpisahan kita tak akan pernah memaknai pertemuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...