Sabtu, 4 Julai 2015

Rasai Sensasi Sashimi

Pertengahan April lalu, aku ditugaskan sebagai Liason Officer bagi mengiringi Tuan Yang Terutama Encik Masagos Zulkipli, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, serta Menteri Kedua di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Singapura. Bapak Menteri berkenaan melaksanakan kunjungi rasmi dengan jadual yang padat untuk selama dua hari penuh. Bertugas sebagai LO bagi seorang Menteri apatah lagi datang dari negara semaju Singapura tentu pengalaman luar biasa. Semua kita tahu bahawa negara berkenaan begitu cekal dengan disiplin, menekankan meritokrasi bagi membentuk modal insan yang benar-benar berkualiti untuk mengekalkan daya saing negara berkenaan dalam liga ekonomi maju dunia. Untuk menjadi negara berkenaan siap siaga dalam semua aspek, bererti tak ada tempat bagi mereka yang ingin hidup sambil lewa. Bahkan semuanya diatur dengan cermat baik undang-undang, sikap dan cara mereka menghargai waktu bagi mendidik dan mendisiplinkan rakyat agar terus memandang watannya sebagai tempat hidup yang menjanjikan, selamat untuk bekerja, selamat untuk berjalan, selamat untuk berniaga dan berkarya disertai dengan jaminan sumber manusia yang selalu dahagakan prestasi dalam semua sendi-sendi kehidupan mereka.

Baik aku tidak akan mengulas panjang tentang hal berkenaan kerana semuanya telah terbukti. Anda hanya perlu menyempatkan diri melihat rupa bumi Singapura hari ini sebagai satu bukti betapa kecerdasan dan kegigihan mereka untuk menakat hasil dari pendekatan dan sistem yang telah teruji. Kesempatan menjadi LO kepada Bapak Menteri berkenaan bukan bererti aku memiliki waktu untuk bersenang-senang dan bersembang tetapi aku disibukkan dengan mencermati jadual kunjungan kerjanya ke jabatan dan kementerian yang padat termasuk kunjungan ke istana.

Hal yang menjadi perhatianku ialah apakah menu makanan tengah hari orang besar ini ketika aku berpeluang memasuki kompleks kedutaan negara berkenaan di perbukitan Subok. Sebelum itu, memasuki kompleks kedutaan ini yang di kiri dan kanannya masih mengekalkan kehijauan, landskap dan rimbunan pohon yang tertata rapi membuat aku menilai bahawa mereka adalah insan yang berselera tinggi, kemas, cermat, cerdas dan penuh bahawa percaya alam yang segar mata memandang adalah tempat bagi kehidupan dan aliran udara yang lancar bagi pernafasan serta membuatkan otak kita tenang dan mengalir apabila diperlukan untuk menuntaskan sesuatu.

Duduk bersama makan tengah hari dengan Bapak Menteri dan Bapak Pesuruhjaya Tinggi Singapura serta bersama anggota pengiring daripada Singapore Internal Security tentu membuatku sedikit canggung. Apapun mereka sangat tertib dan bersahabat. Nak tahu apa menu makan tengah hari kami? Sashimi!!!  Sesuatu yang asing bagiku yang belum pernah menjamah tetapi tidak bagi bapak-bapak berkenaan. Anak-anakku biasa dengan menu ini dan pernah ingin membawa aku mencicipinya tetapi aku menolak kerana lidahku terasuh dengan selera kampung.

Sashimi


Setelah mencicipi sashimi, aku mengatakan makanan ini sangat berkelas dan high profile meskipun aku tiada pengalaman mencicipinya sebelumnya.  Aku berjaya menghabiskannya. Luar biasa...hahaha. Aku tidak menghabiskannya kerana terpaksa atau semata-mata untuk mengambil hati, tetapi memakannya saat pertama kali mencicip membuatku ingin mencermati mengunyah salmon berkenaan  agar sensasi rasanya sentiasa menggelora. Dan itulah yang aku rasakan. Benar saja dan aku ternyata naif tentang sashimi sebelum ini. Sungguh kasihan dan haru..hahaha.

Setelah selesai dan sementara menunggu masa untuk bergerak, aku meredam waktu dengan berlegar di ruang kompleks hunian duta untuk menikmati sekitaran pemandangan yang hijau dan indah itu. Ternyata sashimi diet yang berprotein tadi membuat rasa kenyangku yang luar biasa relaks dan aman di perut dan jiwa berbanding jika menjamu menu bersantan dan gorengan yang membuatku rasa malas, lesu, terkadang panas dan mengantuk. Sashimi jauh membuatku daripada mengantuk, sebaliknya aku rasa amat bertenaga, bersemangat dan tenang. Dikatakan kandungan lemak Omega 3 dalam daging ikan salmon telah menjadikan makanan tersebut sebagai diet pilihan bagi olahragawan. Omega 3 dalam salmon dapat melindungi selaput otak dari peradangan dan mencerdaskan otak terutama pada usia produktif anak-anak. 

Tidak menghairankan bahawa diet penuh gizi ini membuat warga di negara berkenaan berkualiti, bernilai dan cerdas dalam banyak perkara. Pelajaran yang kudapat ialah untuk menjadikan diri kita berkualiti, kita perlu cerewet dalam hal sekecil apapun apatah lagi tentang diet yang menyumbang sesuatu bererti buat anda memperoleh bertenaga, amunisi, cerdas berfikir, berprestasi, berdaya saing dan hidup jaya seperti masyarakat di liga ekonomi dunia maju.

Nah, makanan sihat dan bergizi adalah cara selamat untuk anda menghargai NIKMAT HIDUP yang diberikan oleh Allah Subhanallah Taala untuk anda terus bekerja, bekerja dan berkarya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...