Selama ini berita mengenai kegoncangan dan kejadian gempa bumi terjadi pada negara dalam pusaran cincin api (ring of fire) seperti Indonesia dan Jepun. Taufan pula sering melanda Filipina saban tahun. Belum pernah kita mendengar wilayah geopolitik dalam Kepulauan Borneo dilanda gempa seperti yang berlaku di Sabah, tiga hari yang lalu iaitu pada hari Jumaat, 05 Jun 2015. Kejadian gempa berskala 5.9 Ritcher di Ranau, Sabah itu memakan korban jiwa. Berita awal, korban jiwa dikhabarkan dua orang dan ramai yang cedera khususnya di Gunung Kinabalu, kawasan dikatakan terjejas teruk dek gempa yang mengakibatkan gegaran kuat. Hari kedua, ketiga dan keempat, korban yang tewas mencapai 16 orang setakat berita ini ditulis, dua disahkan sebagai "hilang" (pasukan penyelamat gagal mengenal pasti identiti mangsa dan dipercayai berada dalam cebisan mayat-mayat yang telah dibawa untuk dibedah). Menyedihkan. Yang terjejas adalah pendaki yang melakukan pendakian bersama dengan Malim Gunung (istilah yang diberikan kepada jasa atau khidmat jurupandu pendaki (mountain guide) seperti sherpa, pakar pendaki di Gunung Everest) pada hari berkenaan. Selain itu, pendaki juga terdiri daripada anak-anak dari Tanjong Katong Primary School, Singapura yang dalam sesi latihan kendiri dan kepimpinan sejak dini di bawah program "Omega Challenge" tercedera dan ada yang terkorban baik guru mahupun pelajarnya. Ada yang belum diketahui keberadaannya termasuk pendaki lain yang terjejas khususnya pendaki yang berada dilaluan Via Ferrata yang mencabar semasa gempa melanda. "Rute 6.5KM menjelma menjadi sungai bebatuan ketika gempa bumi terjadi Jumaat dini hari, yang membuat jalur itu sulit dilalui dan membuat para pendaki terjebak" kata Masidi Manjun di Twitter. Marilah kita semua mendoakan mereka dalam keadaan selamat dan tim mencari dan menyelamat dapat segera menyelamat mereka yang terjejas.
Dikhabarkan kesan gempa tersebut membuatkan batu-batu dari atas gunung berjatuhan. Batu bersaiz besar dan khabarnya sebahagian batu yang jatuh itu menyamai saiz sebuah kereta. Dan tentu kita marfum bahawa batu besar yang bergolek dan jatuh ditempat tinggi boleh mencapai kepantasan daya jatuhan yang luar biasa dek volume, saiz dan kecuraman laluan. Kita tentu dapat menjangkakan kesan yang diakibatkan daripada batu berkenaan. Korban yang berjatuhan, khabarnya ada yang tertimpa reruntuhan batuan dan longsor di pergunungan.
Peristiwa duka yang menimpa Sabah pada satu sisi lain memberi pesan dan kesan penting bahawa Sabah, dan bahkan juga Brunei, Sarawak dan Kalimantan sebenarnya tidak siap menghadapi gempa seperti juga yang dialami oleh Nepal pada hari Sabtu, 25 April 2015. Tiada sistem amaran awal yang memberi ingatan kepada penduduk untuk bersiap dan siaga menghadapi bencana berkenaan. Apa yang berlaku di Sabah seharusnya menyedarkan kita, para penduduk yang mendiami kepulauan ini, baik Brunei Darussalam, Sarawak dan Kalimantan. Kalimantan, Indonesia tentunya memiliki pengalaman bagi menangani tragedi dan menguruskan evakuasi gempa kerana dimatangkan oleh pengalaman panjang menangani perkara berkenaan yang sering berlaku Pulau Jawa. Bagaimana dengan Brunei Darussalam? Apakah kita siap dari segi psikologi dan kelengkapan? Apakah anak-anak kita khususnya generasi muda kini memiliki ketahanan sosial yang baik? Apakah mereka telah dilatih dan didedahkan sejak awal untuk "menderita" sebelum menjadi orang yang sukses dengan memiliki sikap menghargai. Dalam hal ini, kita tidak boleh melepaskan sekolah untuk membentuk perilaku sosial yang baik dan berkarakter sebaliknya institusi keluarga wajar memainkan peranan dalam mendidik dan mengajar anak-anak sejak dini tentang kelakonan sosial yang betul, mendorong pergaulan, dan bagaimana menjadi orang yang sentiasa peka, sentiasa mengambil berat dan hidup dalam suasana inklusif untuk memastikan kita berada dalam kumpulan atau lingkungan yang memainkan peranan dalam kehidupan masyarakat luas yang kian kompleks dan hedonis.
Negara jiran mengalami duka yang bertimpa bermula dari pesawat hilang, jatuh dan terbaru gempa. Ini sebuah pelajaran besar untuk kita sentiasa rendah hati, belajar untuk meraih pengalaman dari mereka yang mengalaminya dan selalu mengingati serta memohon doa kepada Allah Subhanahuwataala agar kita dan seluruh penduduk di rantau sentiasa dalam lindungan rahmat dan berkah.
Dan ingatlah bahawa Islam mengajar kita untuk selalu mencintai ilmu dan menghargai sesuatu. Dengan ilmu kita boleh mengamati, mempelajari dan memahami sesuatu kejadian di lingkungan mahupun di luar lingkungan kita, apatah lagi kejadian gempa yang berlaku di Sabah yang dekat dengan kita dan menyedari bahawa kita sebagai manusia, tentunya kerdil dan harus menunduk serta rendah hati di muka bumi ini. Janganlah kita menjangkakan gempa tidak rentan berlaku di sini kerana kita tidak berada dalam kawasan cincin api. Singkatnya, kita sentiasa terdedah pada sesuatu kerana ketika Allah Subhanahuwataala menghendaki sesuatu itu terjadi, maka ia boleh terjadi. Marilah kita berdoa memohon dijauhi gempa berkenaan, dan pada masa yang sama kita perlu melatih diri kita, anak-anak kita, saudara-saudara kita, jiran-jiran kita dan kawan-kawan kita tentang perlunya memiliki sikap waspada sentiasa, sikap tidak berlengah, sikap mengambil tahu dan kritis terhadap sesuatu, menjaga kesihatan sebagai persediaan dan memiliki tabungan sebagai bekal menghadapi darurat dalam erti kata kita melakukan semua itu untuk menghargai diri kita, lingkungan kita dan tentunya negara yang kita cintai ini. Bukankah manusia itu dilahirkan untuk membuat "karya nyata"? Jadi, berkaryalah untuk memiliki hidup yang berkualiti, dapat memberi inspirasi, menghargai dan dihargai.
Disarankan juga pihak kerajaan perlu menyediakan sistem amaran awal menyeluruh sebagai isyarat awal untuk rakyat dan penduduk negara ini bersiap. Tidak perlu ceramah wacana tetapi laksanakan kerja nyata seperti latihan kendiri dan simulasi menghadapi gempa agar penduduk di negara ini peka, diajarkan untuk bersiap siaga serta menyedari pentingnya mengambil sikap dalam merespons dan bagaimana menyiapkan diri menghadapi sesuatu yang tidak terduga.
Kepada yang terjejas dengan gempa di Sabah, didoakan semoga diberi kekuatan lahir dan batin, ketabahan dan kesabaran. Kepada yang terkorban, mendoakan yang terbaik buat mereka.
Catatan: Hiba membaca kisah dan sikap kepahlawanan Malim Gunung yang mendedikasi dirinya untuk sebuah tugas mulia atas nama warisannya, keluarga dan watannya Sabah. Semoga mereka diberi perhatian dan penghormatan yang layak oleh Kerajaan Negeri.
Catatan: Hiba membaca kisah dan sikap kepahlawanan Malim Gunung yang mendedikasi dirinya untuk sebuah tugas mulia atas nama warisannya, keluarga dan watannya Sabah. Semoga mereka diberi perhatian dan penghormatan yang layak oleh Kerajaan Negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan