Cuti panjang hujung minggu aku meluangkan waktu jalan-jalan. Jalan-jalan baik untuk nutrisi minda. Cukup hanya memerhati apa yang ada dengan menoleh kiri dan kanan sambil minda terus bekerja dan sesekali membuat asosiasi dan asumsi. Hari ini perjalanan ke sempadan menjengah hingga ke daerah hijau dan damai kami, Temburong. Daerah ini dilitupi hutan hujan tropika yang menggawang tinggi, seperti sebuah gerbang alami yang menyapa dan menyambut tamu dengan keghairahan semangat serta warisannya.
Aku menyempati waktu berkunjung ke Tamu Ramadhan di Pekan Bangar, pusat yang menjadi jantung atau geliat ekonomi di daerah ini sejak lama. Daerah ini masih asing dengan industri berat. Jauh dari kesan rantaian makanan
fast food, kopitiam atau kafe modis apatah lagi untuk mencicipi aroma kopi Starbuck! Yang nyata, daerah ini terkesan jauh daripada mode kapitalis yang selalu heboh dengan "kegaduhan sosialnya". Muda mudi biasanya akrab dengan sesi memanjakan lidah dan perut mereka di kafe modis sekaligus buat relaks-relaks sambil bersembang dan menonton bola di layar tv, satu ciri khas yang selalu ada sebagai besi sembrani untuk memikat anak muda belia duduk lama-lama.
Masyarakat di daerah ini lebih akrab dengan dunia agraria baik secara kecil mahupun secara berkelompok. Oleh kerana itu, geliat ekonomi mandiri di daerah ini lebih menjuruskan kepada bahan baku agraria yang mudah didapati, diproses, diperaga dan tentunya dijual untuk kelangsungan. Satu makanan khas di daerah ini hasil produk agraria berasaskan beras ialah Wajik Jawa.
|
Setakir Wajik Jawa yang siap untuk dijual sama ada dibungkus
atau dimuatkan dalam bekas |
Rasanya enak, lembut, manis dan sedikit gurih. Terdapat tiga pengusaha wajik Jawa yang gigih di daerah ini yang telah berkarya dan mendedikasi dirinya dalam membuat Wajik Jawa. Yang sering menjadi pilihanku ialah Wajik Jawa hasil tangan Dayang Hajah Fatimah Haji Ahmad yang selalu menghipnotis dan rasanya pas di lidah. Beliau terlibat dalam pembuatan wajik ini sejak 30 tahun silam. Bukan kecil anak pengalaman dan masa yang diraih untuk mengabdi dalam industri ini.
|
Siap dibungkus dan dijual $2.00 seplastik |
Membuat Wajik Jawa memerlukan kegigihan dan sikap loyal yang bukan kepalang. Manakan tidak, untuk memasak dan menggaul sahaja menguras tenaga sehingga enam jam bagi menghasilkan wajik yang dapat disantap dengan enak dan nyaman di lidah. Di atas semuanya, membuat wajik dan sajian apapun termasuk pekerjaan yang kita lakukan, mestilah disertai dengan hati dan cinta. Tentu. Oleh kerana itu apabila kita menikmati makanan yang sedap dan nyaman, tentulah sajian itu dibuat dengan penuh kasih seperti mak dan orang tua kita yang selalu gigih dan teliti dengan kerja mereka. Bukankah, apa yang kita hasilkan akan memberi gambaran tentang siapa kita dan bagaimana kualiti kita dan cara kita bercakap.
Wajik Jawa yang dibuat oleh pengusaha ini sebenarnya telah menyapa dunia sejak daerah ini menjanjikan getaran ekopelancongan yang berjaya menarik masyarakat di belahan dunia datang ke daerah ini meskipun tidak serancak industri ekopelancongan seperti Bali.
Alhasil Dayang Hajah Fatimah dan sesiapa jua yang menceburi diri mereka dalam dunia usaha, bahkan daripada petani, pekebun dan nelayan, mereka juga adalah antara peribadi yang berperanan penting dalam "menghidupkan kebudayaan". Tanpa makanan, tak akan ada kehidupan, tenaga, masyarakat dan kegiatannya, dan tak akan ada kebudayaan!
|
Dayang Hajah Fatimah Haji Ahmad, pengusaha Wajik Jawa yang titih |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan