Ahad, 9 Ogos 2015

Pendidikan sejak dini asas bagi pembinaan mental dan kesedaran ummah

Telah berlaku perbincangan panjang lebar antara saya dan teman sekolah lama dalam grup WhatsApp kami. Ia bermula dengan rasa empati yang ditunjukkan oleh seorang teman baik terhadap kehidupan kini yang semakin kompetitif di tengah-tengah ekonomi yang tidak menentu, kenaikan harga barang dan keperluan, peningkatan sara hidup, harga minyak, dan susutnya nilai ringgit yang menyebabkan daya beli masyarakat menurun. Di tambah lagi dengan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan yang menekan kehidupan rakyat banyak. Kesannya, kehidupan makin terhimpit bagi masyarakat marhaen khususnya mak bapak di kampung dan desa yang sudah tentu memberi impak yang bukan kepalang anak, bagi perkembangan dan pembesaran anak-anak mereka. Apakah anak ini disekolahkan atau masih melanjutkan persekolahan dek kos hidup yang meningkat? Sungguh malang jika anak ini diberhentikan oleh mak bapak mereka yang tidak berdaya. Teman-teman cukup prihatin kerana mereka dan saya dalam sejarah hidup kami bukanlah anak-anak yang tergolong berada apalagi untuk bermewah-mewah. Saya sendiri dibesarkan dengan kehidupan kampung yang tidak pernah terkecuali membanting tulang empat kerat untuk membantu mak sebagai ibu tunggal dan ketua keluarga bagi menghidupkan dapur kami menggunakan kayu dan minyak tanah. Jika tangan ini pandai berkata, ia tentu bercerita betapa dirinya bermain dengan selut mencari ikan untuk pakai makan kami, diselaputi tanah dan lumpur ketika membantu nenek dan pak lang di sawah, dihayun dengan penuh kasih pada pohon getah agar getah yang ditoreh menghasilkan wang buat membeli makanan dan pakaian, mencari buah ketika musimnya untuk dijual, mengutip cendawan ketika tanah di baruh belakang rumah ditarah untuk ditanam pohon kelapa sawit, mencari kayu api buat menanak nasi dan menjerang air dan bekerja paruh waktu sebelah pagi mencari wang belanja sekolah ketika memasuki awal pendidikan sekolah menengah yang sesi sekolahnya diadakan sebelah petang,


Semua pelajaran hidup tersebut menjadi universiti paling agung buat saya memahami erti hidup dan jerih payah orang tua untuk membesarkan hidup kami. Di sela-sela nasib tersebut, saya dibuat cerdas untuk memikir bahawa keperihan sebenarnya memberi jalan untuk kita menggunakan fikiran bagaimana mengubahnya untuk menjadi lebih baik. Sejak kembali ke tanah kelahiran, saya tidak duduk diam tetapi selalu memperbaharui pengetahuan semasa dengan mengikuti perkembangan yang berlaku di sekitarnya. Kesimpulan yang saya peroleh ialah permasalahan kehidupan adalah hal kompleks yang gerafnya tidak pernah turun bahkan meningkat dan tentunya menekan kehidupan masyarakat banyak jika kita sendiri tidak mengasah otak untuk berfikir secara objektif. Pendek kata, permasalahan ekonomi dan kehidupan adalah hal yang universal dan kompleks bukan sahaja dirasai oleh negara dunia ketiga, negara membangun bahkan juga turut dihadapi oleh negara maju! Tiada yang mudah dalam hidup ini kalau kita tahu.

Saya juga memerhati dan memetik pelajaran secara inklusif mengapa negara sekian-sekian boleh berjaya dan rakyatnya dapat menyerap permasalahan ekonomi dan kesan kenaikan harga barang yang dihadapi oleh kerajaan negara berkenaan dalam mengurus ekonomi. Mengapa mereka berjaya walaupun kita akui bahawa bagi mencapai kepuasan dan kesempurnaan untuk dinikmati oleh rakyat itu tentulah satu perkara yang mustahil, namun setidaknya kerajaan mereka berjaya meningkat pemahaman masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam masa-masa sulit. Setelah dicermati dan diperhalusi, di sinilah letaknya peranan besar pendidikan dalam pembinaan negara bangsa (nation state) untuk mengapai cita-cita menjadi sebuah "state of art" iaitu, menggarap watan sebagai sebuah bandar pintar, wah dan solid sebagai tempat bagi kehidupan serta dihuni oleh masyarakat-masyarakat yang cerdas di dalamnya.

Disitulah penting pendidikan. Pendidikan bukan sekadar untuk melahirkan pelajar yang taksub meraih seberapa banyak A* dalam peperiksaan mereka, pendidikan haruslah menekankan aspek nilai merangkumi isu besar sosial dan komponen di dalamnya, sehingga menjengah ke bab ekonomi dan politik. Pendidikan harus disesuaikan dengan zaman. Pendidikan harus menekankan aspek nilai mentarbiah dan mentausiyah agar masyarakat dapat menghayati pesan moralnya. Pendidikan yang dapat merangsang pelajar beranjak kepada ke tingkat kemampuan pemahaman lebih tinggi, analitikal dan autentik. Pendek kata, pendidikan harus memberi perubahan dan anjakan kerana sering kali dilaungkan ialah pendidikan adalah agen perubah sosial. Perubahan pada pemikiran iaitu memperbaik apa yang tidak patut dilegasikan. Perubahan pada tindakan dan penyesuaian dengan keadaan semasa melalui pertimbangan yang cermat dan teliti.

Yang membuat saya terkesan ialah sebuah pandangan yang bertolak belakang ketika kita menzahirkan sebuah empati kepada mak bapak yang memiliki anak ramai, dan ada pula kalangan mereka ini berkahwin dua! Yang saya katakan pandangan bertolak belakang ialah ketika kita tahu kita tidak memiliki kemampuan ekonomi yang baik atau ekonomi yang tidak stabil, mengapa kita harus melahirkan anak yang ramai, apatah lagi berkahwin lebih dari seorang! Saya berhujah bahawa dengan mengambil pelajaran pertama ayat al-Quran yang berbunyi "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan ....". Ayat ini menekankan betapa pentingnya manusia memiliki ilmu. Bererti tiap kita harus memiliki ilmu yang baik melalui cabang pendidikan. Dan ketika kita meraih ilmu tersebut, manfaatkanlah dengan baik agar kita dapat berfikir cerdas dan bijak dalam mengurus hidup dan masa depan yang lebih baik. Bukan main ikut hati dan ikut seronok semata-mata.

Pada ketika kita tidak memiliki pendidikan dan pemahaman baik tentang kehidupan, kita tidak akan pernah memikirkan dengan kritis mengapa kita perlu mengehadkan kelahiran anak. Kita masih meneruskan legasi mak bapak kita dengan tipikal kata sakti mereka "anak ramai adalah rezeki". Dahulu mak bapak pada zamannya mengecapi pendidikan vernakular, mereka pekerja kampung yang berusaha membanting tulang dan tentunya memiliki tanah untuk dimajukan. Baginya, anak ramai tentu adalah rezeki kerana kudrat mereka digunakan untuk mengusahakan tanah untuk bercucuk tanam dengan matlamat gandanya ialah untuk mendidik. Keadaan sekarang sudah jauh berubah. Dan tipikal anak ramai adalah rezeki itu perlu diagnosis mendalam dengan mempertimbangkan faktor kemampuan dan kos sara hidup yang meningkat kini. Ingatlah bahawa perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua insan tetapi ia menuntut tanggungjawab yang besar dalam pembinaan keluarga. Sebuah tanggungjawab! Bila sulit, kita pasrah, menyerah, mengharap belas dan simpati. Kita perlu tahu bahawa rezeki tidak datang bergolek tanpa kita bekerja keras meraihnya. Kita perlu bekerja keras dan berdoa kepada Allah Subhanallah wa Ta'ala. Pada masa yang sama, kita perlu merancang dan membangun keluarga berencana jika kita tidak memiliki kemampuan ekonomi yang baik. Kita perlu tahu bahawa ketika kelahiran anak tidak dirancang, ledakan penduduk akan berlaku yang mengakibatkan permintaan barang dan keperluan melebihi penawaran. Berfikirlah inklusif dan kritis dalam hal ini. Secara logis, apabila ini berlaku, harga barang dan keperluan akan naik. Bagi menstabilkan harga barang tersebut untuk dimampui pengguna, kerajaan setiap negara perlu meningkatkan subsidi. Kerajaan juga perlu memastikan fundamental kewangan negara kukuh. Untuk menampung kos subsidi, cukai dinaikkan. Dan inilah mengakibatkan barang dan keperluan tidak pernah turun. Ia membuat rakyat marah-marah. Yang menjadi mangsa kemarahan rakyat, tentulah kerajaan. 

Saya dikiaskan sebagai seorang yang neo-lib dan mungkin juga dikatakan tidak memandang pada latar hidup yang membesarkan saya. Saya ingin katakan bahawa pada ketika kita melontarkan sesuatu pandangan atau apapun isunya, hujahlah pada akar permasalahan itu, iaitu apa isunya, dan apa masalah pokoknya. Secara logik akal, anak ramai akan berimpak kepada perbelanjaan. Impaknya kumulatif! Kerak nasi menjadi besar. Perbelanjaan meningkat. Keperluan hidupnya perlu dilengkapkan. Zat dan nutrisi perlu ada agar proses perkembangannya tidak mudah rentan dengan masalah kesihatan. Sekolahnya perlu diperhatikan daripada peringkat dasar, menengah, lanjutan dan pengajian tinggi. Tidak boleh ada pembiaran kerana anak adalah aset. Anak adalah pelaburan, pelaburan insan yang memberi pulangan yang baik jika diberikan pendidikan agama dan sekular yang cukup dan seimbang. Jika semua ini tidak diperhatikan dan diabaikan, ia akan menjadi boomerang kepada orang tua dan masyarakat bahkan kerajaan!

Kegagalan kita memahami pokok permasalahan itu sebaliknya meluapkan marah-marah dengan hujah yang tidak menampakkan logikanya. Kita mengupas permasalahan tersebut pada perkara yang sudah terjadi tetapi sepatutnya kita melihat bagaimana kita bersama-sama bertindak untuk mencegahnya. Inilah kelemahan sesetengah kita. Mengupas apa yang telah terjadi bagi saya adalah sesuatu yang membuang masa.  Ia tak ubah seperti cakap-cakap sambil ngeteh atau ngopi yang kemudiannya bila masing-masing pulang ke rumah, tidak ada yang berubah. Cakap kedai kopi adalah cakap yang berdegar-degar, penuh kesan marah-marah, dan kita terjebak mewarisi budaya sembur sana sembur sini tetapi tidak ada tindakan konkrit dan konstruktif selepas itu. Kita tidak boleh berfikir hanya untuk membantu meringankan tetapi kita harus melihat keseluruhan kompleks permasalahan tersebut yang memerlukan kita berfikir tinggi dan mengambil penyelesaian yang mungkin menyebabkan pendekatan kerajaan kita menjadikannya tidak popular tetapi memberi kesan baik pada jangka panjang.

Kita mahu kerajaan meringankan beban golongan ini tetapi ingatlah ini bukan bentuk penyelesaian jangka panjang dan jangka pendek sekalipun! Pada akhirnya, kita marah. Kita marah-marah pada kerajaan tetapi kita tidak pernah "memainkan peranan". Kita kata kita telah memainkan peranan, tetapi saya bertanya apakah peranan yang kita mainkan sudah cukup? Kita bersimpati kepada mereka yang memiliki anak ramai dan terkesan dengan keperihan hidup ditambah lagi jika beristeri lebih dari seorang? Saya tanya, apakah mereka yang mengalami situasi itu kasihan pada diri mereka sendiri dan pernah memikirkan sedalam-dalamnya tentang perlunya perancangan keluarga apatah lagi bersukacita untuk menambah cawangan? Menzahirkan empati boleh sahaja, tetapi yang terpenting kita sebagai generasi yang lahir daripada pendidikan yang baik hasil daripada kesedaran mak bapak kita dahulunya dan seluruh struktur politik yang ada perlu meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan biasa untuk berubah dan hiduplah dengan bersistem serta buat perancangan yang baik. Berikan mesej yang jelas kepada mereka. Dengan rendah hati, saya mengingat diri saya sendiri dan untuk semuanya, ialah betapa perancangan sejak dini dalam semua aspek kehidupan, sangat penting agar kita dapat memegang kendali dan kontrol yang baik dalam membangun ekonomi dan keluarga berdasarkan kemampuan dan mendahulukan mana yang patut didahulukan. Untuk menzahir dan meningkat kesedaran awam mengenai perkara ini, pendidikan itu sangat penting bagi pembinaan mental dan meningkatkan kesedaran ummah. Lebih baik berkata pahit dan tidak popular jika kata pahit itu memiliki pesan sosial untuk menyedarkan rakyat atau masyarakat. Jangan menjanjikan sesuatu tetapi tiada yang berubah sehingga ke akar umbi untuk satu tempoh berpanjangan. Berilah pendidikan yang baik kepada anak-anak agar kelak mereka dapat berfikir panjang dan jauh ke depan. Penting, mereka tidak perlu meneruskan legasi lama melabun anak pada ketika situasi kini tidak kondusif dan tanah di pelataran rumah tidak lagi luas untuk bercucuk tanam.

Hidup perlu ada dinamika, hidup perlu progresif dan peka pada penyesuaian. Kita perlu menjadi masyarakat yang berkualiti dalam semua aspek. Saya meluahkannya kerana saya sayangkan bangsa saya. Kita perlu berubah. Berubah dari segi pemikiran dan bergerak dengan tindakan. Memetik pandangan Ibn Khaldun dalam karya agungnya The Muqaddimah "masyarakat tidak statik, bentuk-bentuk sosial berubah dan berkembang" yang menggarisbawahi makna yang pelbagai dan dalam konteks perbincangan wacana ini dapatlah saya rumuskan bahawa manusia adalah produk sosial yang dinamik dan pragmatis berdasarkan acuan sosial dan kepercayaan yang dipegangnya. Dan sesungguhnya....

"Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa pada diri mereka"

Salam damai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...