Menyedihkan apabila melihat di dada akhbar berita dua gadis yang masih awal belasan tahun daripada puak Asli di Malaysia ditemui dalam keadaan kurus kering. Membaca berita ini membuat jiwa meruntun dan belas. Kededuanya ditemui selamat di akar banir sebuah pokok dalam keadaan tulang yang menonjol dek kelaparan melampau setelah 46 hari di hutan. Mereka nampak kelelahan, kelaparan, tidak bisa berdiri dan tidak bisa bicara. Tinggal 46 hari di hutan bukan satu tempoh yang sekejap apatah lagi bagi anak berusia awal belasan tahun seperti mereka. Ini antara kisah tragis yang mengharukan bagi anak orang Asli yang khabarnya lari dari sekolah kerana bimbang dihukum.
Satu hal nyata ialah kededua gadis itu terselamat. Mereka dikatakan makan rumput dan minum air sungai sementara rakan mereka tewas kerana tidak berdaya. Dikatakan hutan tempat mereka ditemui adalah hutan tebal atau belantara yang tentunya mengundang rasa takut, ngeri, asing dan aneh bagi orang yang tidak biasa dengannya. Macam-macam yang muncul dalam fikiran kita bahkan ketika kita memandu melalui sebuah lebuhraya panjang yang di kiri dan kanannya hutan pekak, tiada kampung atau tiada satu pun kegiatan kehidupan di dalamnya! Apatah lagi tinggal di hutan tebal seperti yang dilalui oleh Norieen Yaakob dan Mirsuduar Aluj. Tiada ada orang yang lalu lalang, layaknya seperti di kampung, di pekan apatah lagi seperti di bandar besar yang sibuk. Tiada orang tempat bertanya, menunjukkan arah apatah lagi meminta pertolongan. Mereka adalah anak-anak kecil yang tidak berdaya tetapi berani. Mereka berani kerana hutan adalah takdir mereka. Hutan adalah budaya mereka. Alam yang membentang itu tentu sahaja bukan tempat rezeki tetapi juga dunia spiritual, religius dan tempat leluhur mereka sejak zaman-berzaman. Namun, alam itu juga adalah takdir bagi anak-anak ini. Sejatinya manusia itu memerlukan keperluan asas yang selamat dan ruang yang pas atau layaknya sebuah rumah tempat berlindung, makan dan pakai serta keperluan lain untuk hidup dan melaksanakan keperluan kehidupannya sehari-hari.
Mereka survive dan mereka berani ketika segala sesuatu itu tidak dimiliki. Keberanian mereka bukan sekadar tinggal di akar banir di hutan tebal yang mengundang bahaya, pekat malam yang tiada cahaya, bunyi-bunyian unggas dan binatang liar lain bahkan mereka tidur bersama dengan mayat rakan mereka yang tewas. Luar biasa mengharu dan memperihatinkan. Kisah mereka membuat siapa saja rasa belas, membuat kita mengucap panjang, membuat kita berfikir berpuluh kali dan tentunya mengundang empati mendalam. Di atas semuanya, tidak keterlaluan kita katakan mereka adalah Generasi Heroik. Kelangsungan hidup mereka di hutan tebal sekaligus menghantar pesan dan kesan kepada masyarakar luas khususnya generasi muda kini bahawa ilmu tentang kemahiran hidup atau ilmu bertahan hidup itu perlu dipelajari dan dikuasai oleh sesiapa pun. Semua kita perlu memiliki ilmu kemahiran hidup. Mengapa? Sungguh masyarakat bandar tidak cenderung ke hutan tetapi mereka mencintai keindahan dan udara bersih yang disintesis daripada bentangan alam dan hutan yang menghijau. Hendak pula makin banyak inap desa atau resort alami yang dibangun di hulu dan di pinggiran yang tentunya mengundang perhatian untuk menginap dan sekaligus berpetualang. Bagaimana kalau tersesat kerana asyik meneroka keindahannya. Tentu jarang berlaku tetapi siap siaga kemahiran hidup perlu ada.
Hakikatnya, mereka yang sudah punya ilmu kemahiran hidup di hutan adalah mereka yang bisa bertahan dan bisa mencari jalan keluar bagaimana untuk menakat dan berjuang sebelum ditemui oleh anggota penyelamat.
Dari satu sisi yang lain, anak-anak orang Asli adalah mereka yang terpisah daripada budaya hidup kota. Mereka terbiasa hidup di luar bandar atau pendalaman, kerana kawasan pendalaman ini bukan sahaja kota besar bagi mereka tetapi juga tempat meraih rezeki. Oleh kerana itu, sistem pendidikan yang dibentuk untuk masyarakat ini bukan sahaja digubal untuk membolehkan mereka menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) dan seterusnya mengantar mereka ke jenjang pendidikan tinggi bagi mendorong perubahan sosial masyarakat ini, tetapi juga kurikulum berkenaan harus memerhati dan menyerap budaya masyarakat. Mentelah pula sekolah didirikan dalam garis koloni masyarakat tersebut yang disekitarnya adalah "universiti kehidupan" bagi mereka. Benar sistem harus ada dan benar kurikulum harus konsisten. Yang tak benar apabila mereka memahami bahawa sistem dan kurikulum itu semacam memberatkan, menghukum dan membuat mereka takut sehingga mereka membuat pilihan berani tetapi membahayakan. Perlu diingat persekitaran sekolah yang didirikan di kawasan hidup mereka tentu sahaja tidak kondusif dengan perkembangan sosial dan pemerian hidup semasa yang berlaku di persekitaran sekolah bandar yang menyebabkan anak-anak dapat belajar dan meraih teladan daripada situasi berkenaan.
Belajarlah bagaimana amalan terbaik dalam pengurusan pendidikan dan sistemnya yang dapat memajujayakan pendidikan anak-anak puak jati di pendalaman Sarawak dan Sabah. Pendidikan yang terbaik itu bukan sahaja modelnya ramah dan dinamik tetapi ia juga harus menyapa hati masyarakat pendalaman tentang mengapa mereka harus pergi ke sekolah, belajar, dan meraih mimpi sekaligus untuk keluar daripada garis kemiskinan. Tentu ada sisi manusiawi yang sesetengah pengamal menganggapnya hal pinggiran, tetapi yang satu inilah yang banyak memotivasikan. Belajar dan raihlah pengalaman dengan sistem dan pendekatan yang diterapkan di Sarawak dan Sabah.
Berbalik kepada apa yang dialami oleh masyarakat atau orang Asli di Gua Musang ini, selalu ada perubahan setelah ada pengorbanan. Kadang-kadang, inilah harga yang perlu dibayar untuk hidup dan menakat. Hendaknya perubahan dan pembaharuan yang didalamnya ada elemen yang menyapa hati itu akan dapat membawa dinamisme baru dalam hidup mereka. Semoga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan