Sabtu, 24 Oktober 2015

Melayu Islam Beraja sebagai model ideal bagi Negara Brunei Darussalam

Agama Islam telah bertapak di Brunei Darussalam sejak zaman pemerintahan Sultan Sharif Ali. Kegemilangan agama Islam dan penerapannya dalam sistem pemerintahan beraja diteruskan oleh para penggantinya sehinggalah kini Brunei Darussalam diperintah oleh KDYMM yang ke-29. Sejak falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) diisytiharkan oleh Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzadin Waddaulah pada tahun 1984, pengukuhan agama Islam sebagai satu komponen penting dalam MIB, syiar Islam bertambah kukuh dan teguh di negara ini. 

Pengukuhan agama Islam diperkuatkan melalui pilar-pilar nasional, iaitu (1) Perlembagaan Negeri Brunei 1959 yang mengkanunkan agama Islam adalah agama rasmi, (2) MIB, dan (3) Negara Zikir. Pilar nasional ini juga merangkumi Titah-titah KDYMM kerana titah-titah dizahirkan merupakan satu perintah dan undang-undang yang perlukan dilaksanakan kerana Raja adalah pemimpin dan tonggak negara. 

Penyuburan agama Islam di Brunei Darussalam dilaksanakan secara sistematik bagi memastikan perkembangan agama Islam meresapkan ke dalam sendi-sendi kehidupan penduduk dan masyarakat di negara ini. Anak-anak diwajibkan mengikuti persekolahan ugama dari Darjah 1 hingga Darjah 6 selain daripada pendidikan sekular. Perintah Pendidikan Agama Wajib diperkenalkan dan tidak seorang pun anak-anak (orang Islam) boleh mengabaikan pendidikan agama Islam, dan sijil pendidikan agama adalah antara prasyarat dalam memohon biasiswa kerajaan dan memohon pekerjaan di jabatan kerajaan. Mengapa pendidikan agama Islam wajib dipupuk dan dipelajari sedari kecil? Hari ini kita melihat di dada-dada akhbar dan berita di media bahawa kegagalan dalam pemupukan sistem pendidikan agama Islam sejak kecil menyebabkan anak-anak tumbuh tanpa spiritual atau rohani yang kuat. Begitu juga dengan pembentukan karakter mereka. Anak-anak memiliki cita-cita tetapi tanpa memiliki sifat santun, menghormati, dan sifat menghargai serta tunduk dan patuh kepada hukum-hakam agama Islam, ia akan menjadi kiasu, rakus dan hedonis. Fenomena ini amat membimbangkan di tengah-tengah dunia yang semakin kompetetif dan terbuka kepada pengaruh luar yang dominan. Tanpa "ilmu pertahanan diri" atau fondasi ugama Islam yang kuat, ia akan membahayakan negara dalam jangka panjang. Dan ini bukan sesuatu yang Brunei Darussalam inginkan dalam konteks pembinaan negara bangsa dan pengembangan peradaban di negara ini. 

Maka dengan itu pendidikan agama Islam di peringkat dasar diperkenalkan. Pendidikan agama Islam di negara ini bukanlah sekadar memenuhi period belajar dan mengisi atau memenuhi jumlah kecil pengajaran dan pembelajaran agama Islam tetapi ia menjangkau pada hal-hal yang paling dasar dalam kehidupan, tataamalan, hubungan sesama manusia, ilmu dan pekerjaan dan lain-lain, sehingga anak-anak yang tumbuh dewasa akan memiliki bekal yang cukup untuk dirinya sebelum memasuki kumpulan masyarakat nukleus yang lebih mencabar. Oleh kerana itu, Brunei Darussalam menekankan pendidikan agama Islam dengan period yang khusus terpisahkan daripada pendidikan sekular dan dilaksanakan dari Darjah 1 hingga Darjah 6. Pengajaran dan pembelajaran agama Islam diajar kurang lebih 4 jam sehari x 5 hari. 

Dari sudut pentadbiran dan berkerajaan, Brunei Darussalam menyediakan ekosistem Islam yang kukuh seperti (1) Kementerian Hal Ehwal Ugama, (2) Syariah Penal Code, (3) penubuhan Mahkamah Syariah, (5) penubuhan Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), (6) membesarkan hari-hari kebesaran dalam kalendar Islam seperti Mauludir Rasul, Maal Hijrah, Israk Miraj, Nuzul Al-Quran, membesarkan sambutan bulan Ramadhan, dan Hari Raya Korban, dan (7) perintah penutupan urusan hidup (perniagaan dan aktiviti) selama dua jam solah Jumaat.

Di bawah pemerintahan KDYMM, sambutan hari kebesaran dalam kalendar Islam dibesar dan digemakan. Ini termasuklah Majlis Membaca Yassin dan Doa Selamat semasa Hari Keputeraan dan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Setiap pekerjaan iaitu permulaan mesyuarat atau majlis, masing-masing dibuka dengan bacaan surah Al-Fatihah, dan surah Al-Fatihah serta doa selamat. Brunei Darussalam juga memperbanyak binaan masjid di kawasan hunian baharu bagi memastikan syiar dan tarbiyah Islam terpencar ke seluruh isi dan kawasannya.

Ketika negara di belahan dunia terus memilih model pemerintahan demokrasi, demokrasi berparlimen dan Komunisme terpimpin, Brunei Darussalam terus utuh dan kukuh memilih model yang ideal dengan sistemnya iaitu Melayu Islam Beraja. Antara tiga komponen ini, komponen Islamlah yang menguat dan mengukuh Melayu dan Beraja. Islam menggariskan konsep-konsep seperti ad-deen, syumul, baldatun thoibatun warabbun ghafur dan rahmatan lil alamin. Islamlah yang mengukuh komponen Melayu yang di dalam komponen ini terdiri daripada bahasa, budaya dan cara hidup. Islam menolak budaya-budaya yang antitesis Islam sehingga bahasa, budaya dan cara hidup yang mempraktiskan Islam begitu menonjol dan dominan di negara ini. Bahkan penguatan label atau pengiktirafan makanan halal di negara ini menjadikan syiar Islam dirasai oleh seluruh isi negara.

Islam juga mengukuhkan sistem beraja dan berkerajaan kerana di dalam Al-Quran telah tersurat bahawa pemimpin adalah khalifah Allah Subhanahu wa Ta'ala di muka bumi. Oleh kerana itu, pemimpin harus andil, adil, bertanggungjawab dan amanah dalam melaksana kewajipannya. Pemimpin harus memeduli dan memberikan perhatian kepada bangsa, negara dan ekonominya. Alhamdulillah, Brunei Darussalam dianugerahi pemimpin beraja yang kasih, prihatin, peduli dan berusaha memastikan negara ini kekal dengan caranya yang kini telah menjengah 32 tahun merdeka.

Sepanjang Brunei Darussalam memilih cara pemerintahannya sendiri dengan menggunakan model MIB yang demokratik bersendirikan ajaran Islam mengikut Ahlu Sunnah Wal Jamaah menurut Mahzab Syafie sejak 32 tahun silam, Brunei Darussalam telah menikmati keamanan dan keberakatan daripada Allah Subhanu wa Ta'ala. Tiada gangguan dan tiada kekacauan kerana Islam melalui kitabullah Al-Quran telah menyediakan ajaran yang lengkap untuk diserapkan dalam pemerintahan, ekonomi, dan hubungan sosial. Rakyat dan penduduk negara berkewajipan mewujudkan rasa aman, rasa damai dan sikap berbaik-baik bagi menjamin keharmonian sosial.

Semoga negara ini akan terus menikmati keamanan yang berkekalan selagi ada bulan dan bintang. Dan rakyatnya berusaha untuk berdikari dan membangun ekonomi kerakyatan untuk kehidupan yang lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...