Jujur, meraikan Tahun Baru Hijrah masa anak sekolah, remaja dan dewasa tidak sama rasanya dengan menyambut pergantian Hijrah ketika usia kini yang hampir menjengah setengah abad. Dahulu pergantian tahun apalagi Tahun Hijrah dilihat sebagai hal yang biasa seperti pergantian atau pusingan waktu antara siang dan malam. Mak pula tak pernah lupa mengingatkan bahawa pergantian tahun Hijrah bersamaan dengan bergantinya catatan amal bakti termasuklah kemungkaran yang dilakukan selama hidup manusia sepanjang tahun berkenaan. Rasa sedar, insaf dan takut menjelma ketika diingatkan oleh orang tua. Namun seiring dengan waktu, hidup manusia bergerak sejalan dengan perkembangan usia, persekitaran dan zaman. Tuntutan kehidupan dan pekerjaan serta cabaran-cabaran hidup yang dilalui, membuatkan kita sering terlupa perkara-perkara yang diingat oleh agama Islam. Dari sekian banyak perlakuan yang kita jalani sebagai manusia, hatilah yang memotori dan menjadi otak kepada perlakuan kita. Hati menjemput nafsu. Hati menjadi enjin atau niat yang didalamnya ada kehendak. Antaranya ialah kehendak memiliki mimpi, kehendak untuk bercita-cita, kehendak untuk maju, kehendak untuk jaya dan kehendak untuk hidup sukses atau kehendak untuk hidup biasa-biasa sahaja. Dalam pertimbangan-pertimbangan memenuhi kehendak itu, kita dituntut untuk berusaha dan berjuang meskipun ketika seseorang itu menetap pilihannya untuk hidup biasa-biasa. Mengapa kita harus berusaha dan bekerja? Ini kerana dunia nyata tidak menyediakan karpet merah untuk kita kecuali mereka yang memiliki warisan hidup yang baik, bak bulan jatuh ke riba. Dunia menuntut kita berusaha jika ingin menjadi orang. Dan ini sudah tercatat dalam wahyu Allah swt yang terjemahannya berbunyi "Sesungguhnya Allah swt tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka".
Dalam pada kita berusaha dan berjuang, kita juga dituntut untuk belajar dan tentulah juga bersabar kerana jalan panjang untuk jaya bukanlah semudah membalikkan telapak tangan. Kita bekerja dan berdoa. Disiplin, kegigihan, kesabaran dan cerdas membaca peluanglah yang selalu mengantar kita meraih sukses. Namun, ketika kita meraih jaya kita sedari dalam setting tertentu terkadang hidup memerlukan keajaiban atau nilai tambah tertentu untuk kita bisa tetap exist dalam dunia semakin kompetetif. Dan dalam setiap perjuangan dan asa untuk memenuhi kehendak itu, mungkin sahaja kita mengikut kata hati kerana selama hati berbicara yang dibarengi dengan semangat dan hal yang mengarah kepada positif, tentulah kita mensosialisasi kehendak dan cita-cita kita dengan baik, tertib, santun dan manusiawi. Namun adakah kita menyedari bahawa selama kita berusaha, hati kita tidak dipandu oleh niat-niat lain yang berupa tesis-tesis peribadi yang berbaur kepentingan yang bersifat hedonis atau personal interest iaitu pandangan bahawa kesenangan dan kenikmatan merupakan tujuan hidup dan tindakan manusia. Untuk memenuhi tesis ini, sesetengah kita mungkin menjadi seorang yang antitesis manusiawi. Kita menjadi kurang santun dan kurang menghargai selagi tesis peribadi kita belum tercapai atau kecapaian yang kita nikmati perlu dikekal atau ditingkatkan sehingga membuat persekitaran dengan kita bersosiolisasi menjadi kurang kondusif.
Tesis umum yang biasa kita dengar ialah tiap yang kita lakukan bermula dengan niat. Dari mana datangnya niat, tentulah pada hati masing-masing. Nah, ketika kita telah berniat dan berusaha memastikan niat itu tercapai, kita juga hendaklah memastikan niat itu dapat disosialisasikan dengan baik dan santun untuk dapat mewujudkan rasa manusiawi dan rasa aman dengan persekitaran kita bersosiolisasi. Mengapa pentingnya mewujudkan rasa aman? Ini kerana manusia saling memerlukan antara satu dengan yang lain kerana proses hidup itu adalah saling melengkap kerana kita tentunya tidak dapat melakukan semua perkara dalam hidup ini seorang diri. Demikian pula ketika kita dijemput Ilahi, kita tentulah tidak dapat menyempurnakan diri kita. Yang demikian, selalulah menghargai diri kita sehingga penghargaan daripada orang lain datang dengan sebuah pengakuan yang jujur. Marilah berdamai dengan hati, marilah mencintai damai, marilah mencintai diri kita dengan sesungguhnya, agar kita bisa mencintai dan mengasihi orang lain. Lakukan niat kita dengan hati yang dingin kerana kejayaan juga datang dari hal yang sederhana tetapi sentiasa diisi dengan cara yang ramah dan merangkul orang lain.
Salam Maal Hijrah 1437. Semoga kita semua selalu dalam berkah dan rahmat Allah swt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan