Sabtu, 14 November 2015

Bangunkan Pelbagai Muzium!

Dalam ruang pendapat Borneo Bulletin (Weekend) Sabtu, 14 November 2015, seorang pembaca telah memberikan saran agar membangunkan lebih banyak muzium. Bukan sekadar sebuah saran kosong tetapi beliau telah mencadangkan nama untuk 8 buah muzium bagi lapan perkara yang berbeza. Lapan muzium tersebut ialah (1) Muzium Islamik, (2) Muzium Peringatan Sultan Omar Ali Saifuddien, (3) Muzium Sejarah Brunei, (4) Muzium Warisan Beraja Brunei, (5) Muzium Warisan Kebudayaan Brunei, (6) Muzium Bandar Seri Begawan, (7) Muzium Borneo dan Muzium ASEAN. Sejauh ini, Brunei Darussalam telah memiliki tiga muzium iaitu Muzium Brunei, Muzium Teknologi Melayu dan Muzium Maritim, sementara Pusat Sejarah Brunei memaparkan perbahanan dalam bentuk galeri. Selain muzium, ada Royal Regalia dan Balai Kenangan yang juga berkonsepkan muzium. Dan antara beberapa cadangan yang diberikan, sebahagiannya sudah ada dan boleh diserapkan.

Baik, cadangan membangun banyak muzium seperti yang disebutkan amat baik dan impresif kerana peranan muzium itu sendiri dalam konteks pembinaan negara bangsa bahkan juga sebagai "besi sembrani" yang memiliki nilai jual pelancongan untuk menarik turis luar berkunjung. Dalam konteks muzium sebagai objek pelancongan budaya, kita harus mengakui bahawa negara yang memiliki pelbagai muzium memiliki daya tarik pelancongan yang bukan kepalang. Lihat sahaja di Paris yang terkenal dengan 4 buah muziumnya, iaitu (1) The Louvre (tempat tersimpannya karya masterpiece Mona Lisa dan koleksi kuno dari Mesir), (2) The Musee d'Orsay (menyimpan karya seniman Perancis seperti Monet, Manet, Sisley, Van Gogh dan Renoir), (3) The Musee d'Art Moderne (menyimpan karya seni moden Perancis) dan (4) Musee Rodin (menyimpan karya pemahat lama asal Perancis yang terkenal iaitu Aguste Rodin). Dari sisi lain, perlu diakui bahawa muzium bagi Perancis dan negara mana pun juga mempunyai peranan ganda. Selain sebagai objek pelancongan, muzium adalah media bagi mempromosi dan menggema peradaban, nilai, motivasi, inspirasi dan keazaman, pencapaian dan rakaman daripada sebuah peristiwa sejarah penting. Dan jangan tak tahu bahawa muzium berkomitmen dalam mengetengahkan peran pendidikan tidak langsung dalam pembentukan karakter bangsa. Oleh kerana itu muzium dan bahan pengisiannya harus tampil super dan mendidik.

Seni bina muzium harus menampilkan ciri-ciri khas yang menggambar state of art sesuatu negara dari segi falsafah, intelektual dan nilai sosialnya. Dengan kata lain, rupa bentuk  muzium tersebut mestilah tampil wah dan wow yang tersendiri agar mercu tanda ini sentiasa diingat sampai bila-bila dan menjadi besi sembrani untuk menarik hati kalangan turis mancanegara untuk datang berkunjung dan tentunya tempat singgah dan lawat bagi tamu negara.

Cadangan pembangunan lapan muzium yang berbeza tentunya dialu-alukan dan memerlukan pertimbangan yang teliti. Secara personal, saya menyokongnya kerana sebagai sebuah kerajaan berdaulat di tengah-tengah peta Pulau Borneo, Brunei Darussalam harus memperlihat legitimasinya selain daripada mempelbagai dan memperkukuh produk pelancongan budaya. Jika perlu, binalah pada satu tapak khas semacam satu pavillion khusus yang saling terhubung dengan dengan bangunan lain dan di jajaran jalan masuk menuju ke bangunan itu harus dihela dengan nafas segar dan sensasinya melalui landskap alam yang mengundang pesona dan indah bagi mata memandang. Ayuh, mari menuju, mempromosi dan mencambah ekonomi budaya. Muzium adalah pesona yang menampilkan kesan dan pesannya bukan kepalang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...