Dalam dunia Islam, program mentarbiah dalam konteks untuk memberikan pencerahan dan pendidikan itu ada di mana-mana sekalipun meskipun ketika bersembang sambil ngopi atau ngeteh. Bukan apa, pendekatan pendidikan sekarang khususnya pendidikan lanjutan secara informal terkadang harus menyesuaikan diri dengan keadaan dan keperluan semasa ketika masyarakat kini lebih akrab dengan telefon genggam. Pendek kata, meraih ilmu dan pencerahan berguna itu bukan setakat ada di sekolah, di kuliah atau syarahan yang dianjurkan secara formal tetapinya juga dalam ranah informal yang bersahabat.
Menyentuh tentang konsep mentarbiah di mimbar masjid sebelum mengerjakan solat Jumaat, hamba melihat sejak berlakunya rombakan barisan Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet pada 22 Oktober 2015 yang lalu, terdapat perubahan dalam wacana khutbah. Khutbah disesuaikan dengan isu-isu semasa dunia yang sedang hangat dibahaskan. Ini tentunya amat dialu-alukan dan jika boleh dilaksanakan sampai bil-bilaa pun. Mengapa? Ia tidak lain kerana Islam menuntut kepekaan umatnya dalam menanggapi perkembangan dunia yang terjadi kini kerana di dalam Al-Quran sudah tersurat wahyu Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk mendukung dan memberi jawapan dan pencerahan kepada permasalahan yang terjadi. Sangat penting khutbah Jumaat menjadi wadah untuk menanggapi permasalahan semasa tempatan, serantau dan antarabangsa. Menghindar atau tidak menanggapi permasalahan semasa berlaku bukanlah satu jalan penyelesaian pada ketika dunia kini menuntut semua kita berperanan, saling bahu membahu, membantu-bantu dan melengkap satu sama lain kerana sejatinya antar negara itu sebenarnya saling perlu memerlukan dari segi politik, sosial dan ekonomi. Dalam politik, antara negara memerlukan perhubungan, saling menghargai dan bersatu dalam menjayakan agenda yang disepakati, dalam sosial, antar negara memerlukan jalinan sosial, kerjasama dan memungkinkan berlakunya perkongsian bestari dan begitu juga dalam ekonomi yang secara substantifnya memainkan peranan bukan kepalang dalam menjayakan pemulusan import eksport, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan perpindahan ilmu. Senang cakap, jiran yang makmur dan aman akan melimpahkan kemakmuran dan keamanan kepada jirannya yang lain.
Nah berbalik kepada konsep mentarbiah melalui khutbah Jumaat, hendaknya Menteri Hal Ehwal Ugama yang baharu ini terus mendesain khutbah yang berisi, informatif dan menarik dengan menyerap hal ehwal semasa, serantau dan antarabangsa untuk memberikan pencerahan dan pendidikan kepada warga. Wacana khutbah mungkin sahaja hal yang dikitar semula tetapi dalam mengitar, berilah warna dan keberagaman semasa yang boleh dijadikan teladan dan pedoman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan