Khamis, 12 November 2015, didada akhbar melaporkan syarahan yang disampaikan oleh Dato Seri Setia Ustaz Haji Metussin bin Haji Baki, Hakim Mahkamah Syariah. Syarahan yang disampaikan berkaitan dengan isu pemilik tanah yang yang memilih untuk memajukan tanah mereka oleh pemaju. Untuk rekod, sila layari http://www.bt.com.bn/frontpage-news-national/2015/11/12/be-cautious-when-making-deals-developers-landowners-advised
Brunei Darussalam yang berkeluasan cuma 5,765KM persegi dilihat terlalu kecil untuk menampung guna tanah bagi perumahan, pengembangan ekonomi melalui pembangunan kawasan industri dan pertanian pada masa kini dan hadapan. Tanah dan rumah menjadi mahal. Tanah kini menjadi aset bernilai yang diburu oleh pemaju atau pemodal yang kebanyakan orang Cina yang bukan penduduk asli yang diiktiraf dalam Dokumen Kerakyatan. Isu tanah dianggap sebagai hal yang paling krusial selain daripada isu membangunkan atau mencipta ekonomi yang berdaya tahan bagi kelangsungan negara dan bangsa.
Berbalik kepada isu tanah yang dibahaskan, Dato Seri Setia menasihatkan pemilik tanah harus celik, mempelajari, mendalami serta mencermati syarat dan peraturan yang dibuat oleh pemaju untuk memajukan tanah milik bangsa Melayu, penduduk jati Brunei. Peringatan penting ini sudah sepatutnya difahami oleh pemilik tanah sejak jauhari lagi agar berhati-hati melepaskan tanah mereka untuk dimajukan. Mereka seharusnya tidak tergoda dengan momokan dan janji sehingga akhirnya mereka hilang kepemilikan dan yang tinggal hanya dalam skala yang kecil. Malang sekali, kini tanah-tanah milik bangsa ini begitu banyak terlepas ke tangan pemaju dan dimajukan oleh golongan pemodal ini untuk membina kawasan hunian baru.
Yang membimbangkan ialah kepemilikan atau hak yang sedikit diberikan kepada pemilik misalnya rumah yang berskala kecil dalam bentuk rumah tersusun dan dibina dengan bahan binaan yang tidak berkualiti dan menjelang setahun terdapat retakan di sana sini. Ini sangat berbeza dengan kualiti bahan bagi rumah yang menjadi bahagian pemaju yang dibangunkan untuk dijual oleh agen hartanah.
Yang lebih membimbangkan ialah tiada batas harga siling rumah mengikut saiz dan harga bahan binaan semasa sehingga harga rumah melambung dan tidak dimampui oleh bangsa sendiri di tanah airnya. Yang terjadi adalah, pemilikan rumah di kawasan hunian baru dimiliki oleh mereka yang berduit iaitu bangsa Cina sehingga hampir kebanyakan zon hunian baru bagi tanah yang dimajukan dimiliki oleh bangsa ini. Bangsa berkenaan menjadi penghuni dominan bagi rumah yang dibangunkan dan memonopoli hampirkan keseluruhan zon hunian yang dimajukan oleh pemaju bangsa ini. Apa sudah jadi? Oleh kerana itu, pihak yang berwenang perlu meneliti dan membuat perubahan bagi membetulkan keadaan. Pinjaman perumahan kerajaan tidak harus dibebani dengan peraturan yang bertele-tele sehingga menghalang bangsa ini membeli rumah. Kerajaan juga harus menetapkan dasar pemilikan rumah bagi tanah yang dimajukan dengan nisbah 70:30, yakni 70% harus dimiliki oleh bangsa Melayu manakala 30 bangsa lain. Jika tidak, berlakunya pemonopolian pemilikan kepada satu bangsa sahaja dan harga rumah menjadi tidak terkawal.
Dan yang terakhir, satu konsortium peguam Melayu yang berkaliber perlu dibentuk untuk memberi khidmat nasihat dan tempat mendapat rujukan oleh pemilik tanah sebelum mereka membuat perjanjian dengan pemaju. Namun hal yang paling mendasar dan juga penting, ialah mempertahan tanah sendiri dan memajukannya meskipun untuk berkebun tentulah lebih mulia daripada melepaskannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan