Ahad, 22 November 2015

masa lalu yang mendidik

Sahabat sekolah hamba, Hadi Bakar mengirim footage yang menggamit memori zaman kanak-kanak bagi sesiapa jua yang dibesarkan pada tahun 70-an. Footage yang dikirim merakam dan mendokumentasi peralatan dan apa sahaja barang yang digunakan pada dekad berkenaan. Yang ingin hamba sentuh di sini ialah permainan yang kami mainkan di kampung-kampung dan desa. Sungguh menyentuh sekali kerana perkara yang dipaparkan dekat dengan diri dan hati kami dulunya dan masih terngiang hingga kini apabila memori itu dirunut kembali. Hakikatnya, kami dibesarkan pada dekad tiada istilah yang yang kita kenal pada hari ini sebagai gajet atau peranti mudah alih seperti telefon bimbit, ipad, tab apatah lagi smartphone. Pendek kata, zaman itu tiada gajet semoden hari ini. Hmm... nak menyebutnya pun naik berkelut lidah. Gajet kami adalah benda alam. Benarlah kata pepatah "alam terbentang menjadi guru". Otaklah yang memutarkan bagaimana benda alam itu diolah dan dikreatifkan sebagai media permainan. Kami mengenal upih pinang pakai menarik rakan yang duduk di atasnya, buluh buat letup atau menembak, buluh keras dijadikan meriam buluh, buluh dibelah panjang dibuat garis kod lapangan badminton, buluh sebagai tiang gol dan kayu hoki, kertas digumpal jadi bola, bermain galah hadang di tanah, permainan konda-kondi, lastik getah, papan dibuat pistol dan dibubuh getah lastik pakai menembak, buah keduduk dijadikan peluru, dan buah hutan yang berwarna (dah lupa nama) dibuat peluru untuk buluh peletup, dan permainan melaga atau menekan biji getah. Banyak permainan dicipta dan ia merupakan satu proses yang menyeronokkan bagi anak-anak kampung sebaya seperti kami.



Anak-anak seperti kami tidak pernah memaksa orang tua untuk membeli permainan. Kami tidak mahu menyulitkan ibu bapa kami. Lagi pula permainan yang dibeli tidak membuat kami bersahabat dengan rakan sebaya kerana alat permainan berkenaan tentu untuk dimainkan seorang yang membuat pemiliknya bercakap sendiri dengan permainan itu, dan memiliki karakter yang tidak bersahabat. Kami lebih ramah untuk menekuni apa sahaja benda alam yang boleh diolah beramai-ramai. Kerananya, kami menjadi orang yang selalu berusaha dan memerah otak untuk berfikir. Kami menjadi manusia yang kreatif dengan melihat benda alam dan bahan buangan seperti kayu dan papan menjadi subjek yang boleh diolah dan dijadikan media permainan. Ini belum termasuk permainan yang dimainkan mengikut musim yang dipengaruhi oleh pencapaian nasional skuad negara ketika itu dalam permainan seperti badminton, ragbi, bola sepak, takraw dan hoki dalam arena sukan antarabangsa. Paling seronok, musim tengkujuh. Sungai dan bonda (sungai kecil seperti terusan atau parit) menjadi tempat mandi yang asyik. Sejuk dan dingin perkara kedua. Bila dah terjun mandi bersama jiran sekampung, lupa lapar dan dahaga. Sesekali, kami membuat rakit daripada buluh pakai mendayung dan belayar.

Di atas semuanya, kini kami menyedari bahawa media permainan berkenaan membawa dampak yang cukup besar bagi pembentukan karakter kami. Kami terdedah dengan budaya (1) kemahiran insaniah, (2) sikap sosial dan saling bersaing, (3) bekerjasama dan saling menghargai, (4) semangat juang dan berdikari yang tinggi, dan (5) jeli (kreatif) melihat sesuatu untuk diolah dan dijadikan alat yang berguna telah wujud dalam diri anak-anak yang tinggal di kampung pada dekad berkenaan, ketika kami belum menginjak kaki ke sekolah dasar! Kami dan mereka menjadi anak yang aktif dan super dalam konteks zamannya. 

Terkadang kita harus mengakui bahawa ketika kita tidak punya apa-apa, fikiran kita menjadi kreatif untuk membuat terobosan. Dan alam menjadi sahabat bisu yang mendorong imaginasi dan memiliki getar yang menghiburkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...