Jumaat, 8 Januari 2016

Kuching Trip 25 - 30 Disember 2015

Cuti bulan Disember 2015 kali ini dihabiskan di Kuching, negeri jiran yang mengambil masa perjalanan selama 19 jam menggunakan bas atau kurang lebih 13 jam menggunakan kereta. Kuching identik dengan tempat tujuan wisata yang biasa disebut orang. Antara tarikan utama wisata di Kuching ialah Pasar Serikin, muzium, Pantai Damai dan Kampung Budaya Sarawak di Santubong, Taman Negara Bako, Kuching Waterfront, Pusat Hidupan Liar di Semenggoh dan Pusat Pemulihan Hidupan Liar di Matang. Melihat senarai tujuan wisata yang ada di Kuching ini, dapatlah dikatakan bahawa Kuching menyajikan pengalaman pelancongan dengan warna dan budaya yang menarik serta pelbagai dengan matlamat utama untuk memberikan pendidikan kepada pengunjung. Berkunjung ke tempat-tempat yang disebutkan merupakan sebuah pengalaman pendidikan yang bererti buat sesiapa jua. Segalanya dirasakan sempurna bukan sahaja dari segi tempat lawatan yang menjanjikan, bahkan juga pemandu pelancong yang menguasai medannya untuk memberi pencerahan kepada pengunjung yang melakukan lawatan buat pertama kalinya dalam kumpulan trip yang besar.

Rasanya sudah banyak bloggers yang menyajikan pengalaman mereka tentang tempat wisata di Kuching. Jadi tidak perlulah saya berpanjang lebar, memadai gambar yang bercerita.





Perjalanan yang mengambil masa selama 19 jam itu tentulah penat dan lenguh segala otot jika tidak berhenti rehat mengisi minyak, makan dan menyampaikan hajat. Sepanjang tempoh perjalanan tersebut, tidak kurang daripada lapan pusat hentian rehat dan makan disinggahi sehinggalah kami sampai ke hentian rehat terakhir yakni di Masjid Serian pada pukul 4.10 pagi. Sementara menunggu waktu solat Subuh, peserta lain mengambil peluang menyediakan sajian ringkas setelah mendapat izin daripada marbud. Setelah semua urusan selesai, kami seterusnya bergerak ke Pasar Serikin tepat pukul 6.10 pagi. Sebelum singgah ke Pasar Serikin, kami mengambil Encik Francis Robert, pemandu pelancong yang ramah yang telah sedia menunggu untuk memberikan pencerahan pada setiap destinasi yang ditujui. Di Pasar Serikin, pelbagai produk tempatan yang dibawa daripada Indonesia dijual di sini. Dari pakaian, lampit, olahan kayu, kain, cenderamata hinggalah buah-buahan dan barangan memasak. Anda perlu bijak menawar untuk mendapatkan harga yang sesuai dengan nilai dan kualiti barang yang dijual. Dikatakan Pasar Serikin merupakan destinasi wajib kunjung kerana ia termasuk dalam kalendar tujuan wisata di Kuching, Sarawak. Pasar hanya dibuka setiap hari Sabtu (8.00 pagi - 5 petang) dan Ahad (8.00 pagi - 12.00 tengah hari).


Keesokan harinya, trip kembara dibawa melawat ke Pusat Pemulihan Hidupan Liar Matang. Sebetulnya, dalam jadual trip kembara akan dibawa melawat ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh, namun atas nasihat pemandu pelancong yang menginformasikan Orang Utan tidak keluar ke tempat pemberian makan di Semenggoh kerana musim buah sedang dalam waktunya ketika lawatan ini maka tip  kembara diubah ke Matang. Perjalanan ke Matang Wildlife Rehab mengambil masa kurang lebih 45 minit daripada tempat penginapan di Hotel Grand Supreme.


















Kembara jauh ini biasanya mendidik erti sabar dan berlapang dada dengan nikmat dan rahmat yang diperoleh selama ini, selain memupuk rasa persaudaraan, ikatan silaturahim bersama ahli keluarga dan sahabat handai. Sampai jumpa lagi ditrip yang akan datang.

Dalam kesempatan ini, disampaikan rakaman terima kasih kepada jemaah Masjid Serian yang baik hati, ramah dan bersahabat serta membenarkan kami memanas makanan menggunakan kelengkapan yang dibawa.

Bako, Kami Ingin Datang Lagi...

Bako potret alami semula jadi yang hidup, indah dan mendamaikan. Menjengah ke sini tanpa meneroka ke bentangan alamnya yang memanjang, berbukit dan berbanjaran tentulah kurang seru dan menarik. Namun siapalah kita ketika hujan lebat datang menyapa, kerana sejatinya manusia akan mencari tempat berlindung dan berteduh meskipun perlu berasak dalam satu pondok yang kecil. Pada akhirnya hasrat untuk menjelajah tinggal harapan yang disemat untuk dilunaskan pada penjelajahan yang akan datang, insya-Allah.


Menurut sejarahnya Taman Negara Bako ini beroperasi sejak tahun 1957. Bako merangkumi bahagian utara semenanjung Muara Tebas di Muara Bako dan Sungai Kuching yang meliputi kawasan seluas 27 km persegi (sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Bako_National_Park). Bako mempertemukan sungai dan laut yang membentang dan berombak yang terkadang membuat resah bagi yang baru datang.  

Meskipun keluasan Bako sederhana, tetapi alamnya yang menghijau, berbanjaran tinggi dengan struktur bebatuan keras yang cenuram dan membentuk tebingan ini menjadi rumah bagi pelestarian ekosistem dan tempat hunian bagi beberapa haiwan primat seperti monyet probosics, lotong, babi liar yang jinak, ular daun, haiwan nokturnal yang hanya aktif pada waktu malam dan pelbagai primat lain dan unggas rimba yang bebas terbang mencari makan. Melihat Bako dengan banjaran batu yang menjulang dan tumbuhan serta pokok yang tumbuh di atasnya dengan cengkaman akar yang kuat, anda bukan sahaja dapat merasai betapa wah dan indahnya hutan belukar dan hutan bakau menghijau yang membentang ini tetapi juga anda tentu dapat menikmati betapa tidak sesaknya nafas anda kerana dapat menghirup udara segar di sini. Tentu sekali Bako adalah paru-paru segar yang aktif yang menjadi jantung tadahan air dan tempat habitat semula jadi yang berperanan penting dalam memfotosintesis udara dan mengalirkan oksigen bersih bagi keperluan manusia dan ekosistem di dalamnya. Bako seperti juga hutan lain berperanan bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem dalam mengekalkan sumber tenaga kepada manusia, haiwan dan tumbuhan



Kawasan persisiran pantainya cantik nan mengujakan saujana mata memandang, di kelilingi bebatuan keras yang terhakis dek ombak tetapi tetaplah hakisan pada bebatuan tersebut menerbit ukiran atau pahatan yang berbentuk yang memperlihatkan struktur lapisan dalam bercorak, berwarna dan bersegi sehingga memandang bebatuan yang kukuh berada di tempatnya membuat kita takjub dengan alam indah ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala ini. Ia menggamit sesiapa jua yang datang ke sini untuk memotret dan mengabadikannya. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa apa saja yang anda abadikan berlatarbelakangkan nuansa alam yang ada di Bako ini, ia menjadikan potret anda hidup, menarik, indah dan damai

 




Taman negara ini dipenuhi trek yang memanjang dari kiri ke kanan bermula daripada pusat transit utama Bako. Sebelumnya, anda perlu terlebih dahulu menapak dari tempat penurunan bot yang sedikit jauh dari jeti Bako. Anda perlu menyingsing seluar dan mengangkat kasut kerana bot penumpang tidak merapat kerana bentangan pantainya yang melebar serta paras air yang mulai surut sebelum pukul 10 pagi. Ada beberapa trek yang boleh dijelajahi sama ada trek Teluk Paku, Teluk Delima, Teluk Sapi, Teluk Lima, Teluk Assam mahupun di trek Teluk Pandan. Anda boleh memilih teluk mana yang anda ingin jelajahi dengan dipandu oleh pemandu pelancong. Pemandu pelancong sedia menunggu dan menawarkan khidmat mereka di tempat pendaftaran dan pembayaran sewaan bot sebelum anda sampai ke Bako. Bayaran khidmat pemandu pelancong tergantung pada seberapa jauh dan seberapa daya anda meneroka pada trek-trek tadi. Pemandu pelancong adalah mereka yang ahli dan arif tentang alam semula jadi termasuk haiwan primat yang ada di Bako dan rata-rata mereka boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Terkadang ketika anda asyik menjelajah trek dan mendengar pencerahan daripada pemandu pelancong, hujan tiba-tiba membadai. Ditambah tiupan angin, sejuk yang melanda bukan kepalang. Itu yang kami alami. Terdapat pondok kecil untuk berteduh di trek-trek yang dilalui yang boleh memuatkan 10 hingga  15 orang. Kawasan paya bakau yang dilanda hujan ini biasanya menerbitkan pemandangan yang damai dengan titisan air hujan yang bercucuran di celah-celah daun, redup, meliuk lentok dan sayup-sayup ditiup angin Sesekali timbul resah dan gelisah di hati, apakah hujan ini akan berhenti ketika anda berada di pondok rehat jauh dari daripada jeti transit Bako. Yang membuat gusar bertambah, apakah kami akan balik hari ini...hahaha. Tenang saja. Oleh kerana itu, anda perlu jiwa petualang yang kuat dan utuh sebelum datang ke sini. Anda perlu jiwa mencintai alam sekitar yang jauh daripada daratan sehingga apapun yang berlaku membuat anda mensyukuri nikmat anugerah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Insya-Allah dan yakinlah anda selamat.

Setelah selesai menjelajah dan meneroka di trek, anda boleh menikmati hamparan daratan pantai yang membentang dan melebar sejauh 300 meter ke gigi air laut ketika surut. Rasai terapi berjalan di pasir pantai yang lembab sambil melihat puluhan anak ketam bercengkerang hitam dan merah bergerak meliar dan berkejaran sebelum masuk ke lubang kecil. Jika anda membawa anak remaja, biarkan mereka menikmati keindahan di pasir pantai di Bako sambil mempelajari sesuatu untuk dirakam dalam ingatan mereka dan dipetik nilainya.

Untuk ke Bako dan kembali semula ke daratan, ia bergantung kepada air pasang. Pada kebiasaannya, bot penumpang bertolak ke Bako berhenti sebelum pukul 10 pagi dan ketika anda sudah sampai ke Bako, anda harus menunggu air pasang kurang lebih pukul 2.30 hingga pukul 3.00 petang untuk bot merapat ke pantai Bako dan membawa anda balik ke daratan di pusat terawal atau di jeti terminal tempat anda membuat pendaftaran sebelumnya. Oleh kerana itu, trip ke Bako perlu dikhaskan sehari penuh kerana sudah tentu anda tidak memiliki kesempatan untuk pergi melawat ke venue lain. Perjalanan ke Bako dari bandar Kuching mengambil masa 45 minit ke satu jam perjalanan menggunakan bas.

Ikutlah nasihat tekong bot iaitu anda perlu memakai jaket keselamatan yang disediakan untuk pergi ke Bako. Jangan sesekali menjuntaikan kaki dan bermain air ketika dalam perjalanan kerana sungai di sini ada buaya.

















Di pusat transit utama atau Jeti Taman Negara Bako, terdapat kafetaria yang menyediakan makanan dan menjual minuman untuk anda berehat dan melepaskan rasa lapar dan dahaga setelah penat berjalan. 

Tips untuk ke Bako:
  • Memakai pakaian yang sesuai, sebaiknya pakaian sukan atau memakai seluar pendek;
  • Kasut sukan atau sandal yang sesuai dan jangan memakai selipar;
  • Bawa cap atau topi;
  • Baju hujan sangat perlu kerana biasanya hujan turun ketika anda sedang menjelajah trek;
  • Tidak perlu beg sikut, jika anda ingin membawanya pastikan beg yang jenis kalis air; 
  • Bawa air mineral dan sedikit roti; dan
  • Yang paling utama dan penting anda mestilah fit, sihat dan berdaya tahan untuk meneroka dan menaiki bukit kerana treknya amat mencabar
Perbelanjaan:
  • Permit warga asing ke Bako - RM20.00 seorang
  • Bot memuatkan 6 - 8 orang - RM120.00

Bako menjanjikan pengalaman alami dan journey to nature yang menarik dan mencabar. Sebuah potret alam yang segar, bertenaga dan lestari. Ketika dunia memperjuangkan mengapa rumah hijau penting bagi keseimbangan ekosistem kehidupan untuk dinikmati oleh manusia, tumbuhan dan haiwan, di Bako inilah anda memahami erti sesuatu mengenainya dan itulah mengapa pembangunan lestari perlu menjadi agenda penting dalam setiap pendekatan yang diambil.

Terima kasih Bako kerana menjadikan dunia kami begitu indah saat itu. Kami ingin memelukmu lagi. Tunggu. Kami meninggalkan Bako dengan menyusur pantai. Menapak kaki di hamparan pantai yang berbuih dek ombak, mengingatkan saya pada bait puisi puitis penyair terkenal A. Samad Said, "ombak laut yang menjengah kakiku tak kan kukenal lagi".

Khamis, 7 Januari 2016

Sepenggal catatan tentang denyut nadi kehidupan di Malate

Di distrik Malate, selain De La Salle University, terdapat sebuah lagi universiti yang tidak kurang pentingnya iaitu St. Scholastica. Dengan saiz kampus yang besar dan terpencar secara terpusat, bersambung dan kampus cabang yang terpisah dan berada di seberang jalan, kededua universiti ini tentunya menawarkan multidisiplin ilmu kepada siswa dalam negeri dan antarabangsa yang studi di sini. Di samping kededua universiti tersebut, berdiri juga satu dua kolej pendidikan yang menawarkan bidang yang sesuai dengan keperluan sumber manusia di sini. Dengan adanya universiti dan kolej yang menampung ratusan dan ribuan pelajar, bererti ada denyut kehidupan dan jantung ekonomi di distrik ini kerana sejatinya manusia memerlukan makan, pakai, kediaman, pengangkutan dan kelengkapan lain untuk keperluan sehari-hari. 

Di distrik Malate yang padat, tumbuh kembang pusat makanan dan minuman yakni rantaian fast food antarabangsa, kedai serbaneka, tukaran wang asing, street food, salon rambut dan beraneka kedai lain yang sedia memenuhi keperluan masyarakatnya. Selain itu, terdapat juga pusat membeli membelah-belah seperti Robinson dan SM Horison Plaza masing-masing di Pedro Gill St dan Adriatico St. Pertumbuhan dan perkembangan peruncitan ini dibantu dengan sistem pengangkutan seperti Jeepny, pedicab, teksi dan LRT yang memiliki jalur laluan panjang dan lurus dari utara ke selatan yakni dari EDSA Taft Road ke Pedro Gill. Semua industri ini disokong juga melalui kewujudan rantaian bank tempatan dan pusat kediaman sama ada berbentuk asrama, kondo, kondotel dan hotel. Adanya bank, atm dan tempat kediaman tentunya menjadi katalis ekonomi di mana-mana pun jua. Semua ini bahagian daripada gaya hidup yang perlu ada dan saling melengkap.

Melihat ke bandar besar iaitu Manila, bandaraya global ini secara keseluruhan menampung keramaian penduduk seramai 20 juta orang yang majoritinya beragama Kristian. Manila dan semua distrik terpenting di dalamnya meletakkan kekuatan pada bidang seni, pelancongan, perdagangan, pendidikan, hiburan, fesyen, kewangan, kesihatan, khidmat profesional, perkhidmatan dan penyelidikan dan pembangunan, serta perusahaan kecil dan sederhana untuk berkembang. Manila juga pengeskport tenaga kerja profesional dan non-profesional. 

Berkaca pada Malate, distrik ini juga tidak kurang pentingnya dalam memperlihatkan sisi budaya dan gaya hidup. Anak-anak muda yang rata-ratanya masih berkomitmen dengan studi tentulah memanfaatkan masa jayanya untuk bergaul, memilih pakaian yang sesuai, menikmati kehidupan bersama rakan sebaya dan sebelum melangkah ke dunia nukleus sebenar iaitu memilik pekerjaan mapan dan berkeluarga. 

Malate merupa distrik yang hidup baik siang mahupun malam dengan kesibukan dan kepadatan pelajar yang lalu lalang, bersembang, dan santai minum bersama rakan mereka di kafe dan bermain game di kafe siber yang berada di dalam lantai ground kondotel yang mereka diami. Distrik ini juga memperlihatkan lalu lintas yang rumit dan semrawut. Anda perlu ekstra hati-hati berjalan di pinggir jalan kerana ditempat anda lalu, pedicab dan speda juga ikut menyusup memotong barisan. Ini belum lagi bunyi memekakkan daripada enjin Jeepny bersekali dengan bunyi hon Jeepny untuk menarik perhatian bakal penumpang yang menunggu di pinggir jalan.

Bunyi enjin Jeepny melengking dan membingitkan
Pengangkutan Jeepny dan pedicab (beca roda tiga) paling dominan di Malate selain taksi berwarna putih. Jeepny sebagai contoh boleh mengambil dan menurunkan penumpang di tengah jalan. Jika anda memilih pedicab, sebaiknya anda berbincang dahulu mengenai tambang yang dikenakan sebelum anda bersetuju naik. Anda juga harus tahu seberapa jauh perjalanan anda dari satu point ke satu point untuk memikirkan apakah caj yang dikenakan oleh pedicab yang anda pilih mengenakan tambang sehala pada kadar yang munasabah. Tambang termurah tentulah Jeepny, iaitu sekitar P8.00 sehala. Namun anda perlu bersiap untuk memadati tempat duduknya dan kebingitan enjinnya yang melengking.

Di distrik Malate yang termasuk dalam jalur Metro Manila ini juga terdapat perkampungan setinggan berhampiran dengan SM Horison Plaza di Adriatico St. Pemandangan perkampungan kumuh ini boleh dilihat daripada penginapan saya di Tingkat 29, EGI Taft Tower.

Permukiman kumuh di sebelah SM Horizon Plaza..pemandangan
dari atas EGI Taft Tower, Tingkat 29
Anak-anak remaja baik lelaki dan perempuan tampil ringkas dengan seluar jeans, miniskirt, blouse mini dan khakis yang menggunakan potongan mengikut badan, dan memakai selipar atau sandal yang memudahkan mereka bergerak dan berjalan jauh. Rata-rata mereka bersaiz ramping dan slim yang memberi gambaran betapa Malate dan di mana pun jua di Manila, adalah kota yang keras bagi kehidupan. Tiada tempat bagi mereka yang hanya duduk angan-angan tanpa berjuang keras. Dek kerana negara ini bukan negara kebajikan, maka masyarakatnya harus bekerja untuk meraih mimpi untuk hidup sukses dan jaya. Memang di dunia ini tiada yang mustahil untuk kita gapai jika berusaha. Namun, realiti hidup yang tidak dinafikan di Malate ialah kehidupan keluarga yang miskin memaksa anak mereka bekerja seawal usia remaja.

Di Malate, ada anak terbiar atau anak gelandangan yang "berumah" di pinggir luar bangunan pada malam hari, siang menikmati bermain-main bersama rakan sebaya dan meminta minuman kepada mereka yang dilihat seakan ingin mencari tong sampah untuk membuang sisa minuman yang masih berbaki dalam kotak dan botol. Ada ibu bapa yang meminta sedekah di gang atau di lorong kecil tempat tumpuan orang lalu lalang. Mereka tidur beralaskan kotak. Terkadang pedicab bukan sekadar kayuhan bagi mengais rezeki bahkan juga sebagai tempat tinggal dan berteduh dari hujan dan panas. Tempat tidur gelandangan di pinggir laluan itu menjadi tempat mereka memasak dan menyuci. Di sesetengah areal, bau hancing, berdencing dan kuat menusuk.





Memerhatikan distrik Malate ini selama seminggu, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa hari yang aktif dengan kegiatan manusia dan kenderaan ialah Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat pagi. Jumaat petang, Sabtu dan Ahad, distrik ini sepi dengan kesesakan manusia yang lalu lalang dan jauh daripada kesibukan kenderaan kerana ramai masyarakat di sini pulang ke provins mereka di luar Malate. Waktu inilah anda boleh berjalan aman dan lancar terhindar daripada bunyi kenderaan yang bingit.

Keselamatan nampaknya menjadi isu utama di sini. Hampir semua properti baik yang kecil mahupun yang besar apatah lagi rantaian fast food antarabangsa memiliki sekuriti yang lengkap bersenjata termasuk alat pengimbas. Satu pemandangan biasa di sini dan sekuriti nampaknya merupakan perkhidmatan mustahak yang diperlukan di mana-mana.

Sulit menemukan wanita Islam atau gadis yang memakai tudung serta mat-mat Arab yang lalu lalang sebagaimana fenomena biasa yang kita lihat di Kuala Lumpur. Hanya terjumpa satu dua pelajar daripada Saudi Arabia yang pergi atau balik daripada kuliah. Itupun kalau memang berselisih dengan mereka.

Seperkara yang kontradiks dan sulit dipercaya ialah tidak semua karyawan masyarakat di sini yang bekerja di mall dan supermarket besar, dan kedai serbaneka lainnya bisa berbahasa Inggeris! Dari sisi lain, melihat mereka ngomong bahasa ibunda, tentulah satu kebanggaan kerana disitulah jati diri mereka terpapar.



COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...