Jumaat, 8 Januari 2016

Bako, Kami Ingin Datang Lagi...

Bako potret alami semula jadi yang hidup, indah dan mendamaikan. Menjengah ke sini tanpa meneroka ke bentangan alamnya yang memanjang, berbukit dan berbanjaran tentulah kurang seru dan menarik. Namun siapalah kita ketika hujan lebat datang menyapa, kerana sejatinya manusia akan mencari tempat berlindung dan berteduh meskipun perlu berasak dalam satu pondok yang kecil. Pada akhirnya hasrat untuk menjelajah tinggal harapan yang disemat untuk dilunaskan pada penjelajahan yang akan datang, insya-Allah.


Menurut sejarahnya Taman Negara Bako ini beroperasi sejak tahun 1957. Bako merangkumi bahagian utara semenanjung Muara Tebas di Muara Bako dan Sungai Kuching yang meliputi kawasan seluas 27 km persegi (sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Bako_National_Park). Bako mempertemukan sungai dan laut yang membentang dan berombak yang terkadang membuat resah bagi yang baru datang.  

Meskipun keluasan Bako sederhana, tetapi alamnya yang menghijau, berbanjaran tinggi dengan struktur bebatuan keras yang cenuram dan membentuk tebingan ini menjadi rumah bagi pelestarian ekosistem dan tempat hunian bagi beberapa haiwan primat seperti monyet probosics, lotong, babi liar yang jinak, ular daun, haiwan nokturnal yang hanya aktif pada waktu malam dan pelbagai primat lain dan unggas rimba yang bebas terbang mencari makan. Melihat Bako dengan banjaran batu yang menjulang dan tumbuhan serta pokok yang tumbuh di atasnya dengan cengkaman akar yang kuat, anda bukan sahaja dapat merasai betapa wah dan indahnya hutan belukar dan hutan bakau menghijau yang membentang ini tetapi juga anda tentu dapat menikmati betapa tidak sesaknya nafas anda kerana dapat menghirup udara segar di sini. Tentu sekali Bako adalah paru-paru segar yang aktif yang menjadi jantung tadahan air dan tempat habitat semula jadi yang berperanan penting dalam memfotosintesis udara dan mengalirkan oksigen bersih bagi keperluan manusia dan ekosistem di dalamnya. Bako seperti juga hutan lain berperanan bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem dalam mengekalkan sumber tenaga kepada manusia, haiwan dan tumbuhan



Kawasan persisiran pantainya cantik nan mengujakan saujana mata memandang, di kelilingi bebatuan keras yang terhakis dek ombak tetapi tetaplah hakisan pada bebatuan tersebut menerbit ukiran atau pahatan yang berbentuk yang memperlihatkan struktur lapisan dalam bercorak, berwarna dan bersegi sehingga memandang bebatuan yang kukuh berada di tempatnya membuat kita takjub dengan alam indah ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala ini. Ia menggamit sesiapa jua yang datang ke sini untuk memotret dan mengabadikannya. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa apa saja yang anda abadikan berlatarbelakangkan nuansa alam yang ada di Bako ini, ia menjadikan potret anda hidup, menarik, indah dan damai

 




Taman negara ini dipenuhi trek yang memanjang dari kiri ke kanan bermula daripada pusat transit utama Bako. Sebelumnya, anda perlu terlebih dahulu menapak dari tempat penurunan bot yang sedikit jauh dari jeti Bako. Anda perlu menyingsing seluar dan mengangkat kasut kerana bot penumpang tidak merapat kerana bentangan pantainya yang melebar serta paras air yang mulai surut sebelum pukul 10 pagi. Ada beberapa trek yang boleh dijelajahi sama ada trek Teluk Paku, Teluk Delima, Teluk Sapi, Teluk Lima, Teluk Assam mahupun di trek Teluk Pandan. Anda boleh memilih teluk mana yang anda ingin jelajahi dengan dipandu oleh pemandu pelancong. Pemandu pelancong sedia menunggu dan menawarkan khidmat mereka di tempat pendaftaran dan pembayaran sewaan bot sebelum anda sampai ke Bako. Bayaran khidmat pemandu pelancong tergantung pada seberapa jauh dan seberapa daya anda meneroka pada trek-trek tadi. Pemandu pelancong adalah mereka yang ahli dan arif tentang alam semula jadi termasuk haiwan primat yang ada di Bako dan rata-rata mereka boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Terkadang ketika anda asyik menjelajah trek dan mendengar pencerahan daripada pemandu pelancong, hujan tiba-tiba membadai. Ditambah tiupan angin, sejuk yang melanda bukan kepalang. Itu yang kami alami. Terdapat pondok kecil untuk berteduh di trek-trek yang dilalui yang boleh memuatkan 10 hingga  15 orang. Kawasan paya bakau yang dilanda hujan ini biasanya menerbitkan pemandangan yang damai dengan titisan air hujan yang bercucuran di celah-celah daun, redup, meliuk lentok dan sayup-sayup ditiup angin Sesekali timbul resah dan gelisah di hati, apakah hujan ini akan berhenti ketika anda berada di pondok rehat jauh dari daripada jeti transit Bako. Yang membuat gusar bertambah, apakah kami akan balik hari ini...hahaha. Tenang saja. Oleh kerana itu, anda perlu jiwa petualang yang kuat dan utuh sebelum datang ke sini. Anda perlu jiwa mencintai alam sekitar yang jauh daripada daratan sehingga apapun yang berlaku membuat anda mensyukuri nikmat anugerah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Insya-Allah dan yakinlah anda selamat.

Setelah selesai menjelajah dan meneroka di trek, anda boleh menikmati hamparan daratan pantai yang membentang dan melebar sejauh 300 meter ke gigi air laut ketika surut. Rasai terapi berjalan di pasir pantai yang lembab sambil melihat puluhan anak ketam bercengkerang hitam dan merah bergerak meliar dan berkejaran sebelum masuk ke lubang kecil. Jika anda membawa anak remaja, biarkan mereka menikmati keindahan di pasir pantai di Bako sambil mempelajari sesuatu untuk dirakam dalam ingatan mereka dan dipetik nilainya.

Untuk ke Bako dan kembali semula ke daratan, ia bergantung kepada air pasang. Pada kebiasaannya, bot penumpang bertolak ke Bako berhenti sebelum pukul 10 pagi dan ketika anda sudah sampai ke Bako, anda harus menunggu air pasang kurang lebih pukul 2.30 hingga pukul 3.00 petang untuk bot merapat ke pantai Bako dan membawa anda balik ke daratan di pusat terawal atau di jeti terminal tempat anda membuat pendaftaran sebelumnya. Oleh kerana itu, trip ke Bako perlu dikhaskan sehari penuh kerana sudah tentu anda tidak memiliki kesempatan untuk pergi melawat ke venue lain. Perjalanan ke Bako dari bandar Kuching mengambil masa 45 minit ke satu jam perjalanan menggunakan bas.

Ikutlah nasihat tekong bot iaitu anda perlu memakai jaket keselamatan yang disediakan untuk pergi ke Bako. Jangan sesekali menjuntaikan kaki dan bermain air ketika dalam perjalanan kerana sungai di sini ada buaya.

















Di pusat transit utama atau Jeti Taman Negara Bako, terdapat kafetaria yang menyediakan makanan dan menjual minuman untuk anda berehat dan melepaskan rasa lapar dan dahaga setelah penat berjalan. 

Tips untuk ke Bako:
  • Memakai pakaian yang sesuai, sebaiknya pakaian sukan atau memakai seluar pendek;
  • Kasut sukan atau sandal yang sesuai dan jangan memakai selipar;
  • Bawa cap atau topi;
  • Baju hujan sangat perlu kerana biasanya hujan turun ketika anda sedang menjelajah trek;
  • Tidak perlu beg sikut, jika anda ingin membawanya pastikan beg yang jenis kalis air; 
  • Bawa air mineral dan sedikit roti; dan
  • Yang paling utama dan penting anda mestilah fit, sihat dan berdaya tahan untuk meneroka dan menaiki bukit kerana treknya amat mencabar
Perbelanjaan:
  • Permit warga asing ke Bako - RM20.00 seorang
  • Bot memuatkan 6 - 8 orang - RM120.00

Bako menjanjikan pengalaman alami dan journey to nature yang menarik dan mencabar. Sebuah potret alam yang segar, bertenaga dan lestari. Ketika dunia memperjuangkan mengapa rumah hijau penting bagi keseimbangan ekosistem kehidupan untuk dinikmati oleh manusia, tumbuhan dan haiwan, di Bako inilah anda memahami erti sesuatu mengenainya dan itulah mengapa pembangunan lestari perlu menjadi agenda penting dalam setiap pendekatan yang diambil.

Terima kasih Bako kerana menjadikan dunia kami begitu indah saat itu. Kami ingin memelukmu lagi. Tunggu. Kami meninggalkan Bako dengan menyusur pantai. Menapak kaki di hamparan pantai yang berbuih dek ombak, mengingatkan saya pada bait puisi puitis penyair terkenal A. Samad Said, "ombak laut yang menjengah kakiku tak kan kukenal lagi".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...