Cuti bulan Disember 2015 kali ini dihabiskan di Kuching, negeri jiran yang mengambil masa perjalanan selama 19 jam menggunakan bas atau kurang lebih 13 jam menggunakan kereta. Kuching identik dengan tempat tujuan wisata yang biasa disebut orang. Antara tarikan utama wisata di Kuching ialah Pasar Serikin, muzium, Pantai Damai dan Kampung Budaya Sarawak di Santubong, Taman Negara Bako, Kuching Waterfront, Pusat Hidupan Liar di Semenggoh dan Pusat Pemulihan Hidupan Liar di Matang. Melihat senarai tujuan wisata yang ada di Kuching ini, dapatlah dikatakan bahawa Kuching menyajikan pengalaman pelancongan dengan warna dan budaya yang menarik serta pelbagai dengan matlamat utama untuk memberikan pendidikan kepada pengunjung. Berkunjung ke tempat-tempat yang disebutkan merupakan sebuah pengalaman pendidikan yang bererti buat sesiapa jua. Segalanya dirasakan sempurna bukan sahaja dari segi tempat lawatan yang menjanjikan, bahkan juga pemandu pelancong yang menguasai medannya untuk memberi pencerahan kepada pengunjung yang melakukan lawatan buat pertama kalinya dalam kumpulan trip yang besar.
Rasanya sudah banyak bloggers yang menyajikan pengalaman mereka tentang tempat wisata di Kuching. Jadi tidak perlulah saya berpanjang lebar, memadai gambar yang bercerita.
Perjalanan yang mengambil masa selama 19 jam itu tentulah penat dan lenguh segala otot jika tidak berhenti rehat mengisi minyak, makan dan menyampaikan hajat. Sepanjang tempoh perjalanan tersebut, tidak kurang daripada lapan pusat hentian rehat dan makan disinggahi sehinggalah kami sampai ke hentian rehat terakhir yakni di Masjid Serian pada pukul 4.10 pagi. Sementara menunggu waktu solat Subuh, peserta lain mengambil peluang menyediakan sajian ringkas setelah mendapat izin daripada marbud. Setelah semua urusan selesai, kami seterusnya bergerak ke Pasar Serikin tepat pukul 6.10 pagi. Sebelum singgah ke Pasar Serikin, kami mengambil Encik Francis Robert, pemandu pelancong yang ramah yang telah sedia menunggu untuk memberikan pencerahan pada setiap destinasi yang ditujui. Di Pasar Serikin, pelbagai produk tempatan yang dibawa daripada Indonesia dijual di sini. Dari pakaian, lampit, olahan kayu, kain, cenderamata hinggalah buah-buahan dan barangan memasak. Anda perlu bijak menawar untuk mendapatkan harga yang sesuai dengan nilai dan kualiti barang yang dijual. Dikatakan Pasar Serikin merupakan destinasi wajib kunjung kerana ia termasuk dalam kalendar tujuan wisata di Kuching, Sarawak. Pasar hanya dibuka setiap hari Sabtu (8.00 pagi - 5 petang) dan Ahad (8.00 pagi - 12.00 tengah hari).
Keesokan harinya, trip kembara dibawa melawat ke Pusat Pemulihan Hidupan Liar Matang. Sebetulnya, dalam jadual trip kembara akan dibawa melawat ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh, namun atas nasihat pemandu pelancong yang menginformasikan Orang Utan tidak keluar ke tempat pemberian makan di Semenggoh kerana musim buah sedang dalam waktunya ketika lawatan ini maka tip kembara diubah ke Matang. Perjalanan ke Matang Wildlife Rehab mengambil masa kurang lebih 45 minit daripada tempat penginapan di Hotel Grand Supreme.
Kembara jauh ini biasanya mendidik erti sabar dan berlapang dada dengan nikmat dan rahmat yang diperoleh selama ini, selain memupuk rasa persaudaraan, ikatan silaturahim bersama ahli keluarga dan sahabat handai. Sampai jumpa lagi ditrip yang akan datang.
Dalam kesempatan ini, disampaikan rakaman terima kasih kepada jemaah Masjid Serian yang baik hati, ramah dan bersahabat serta membenarkan kami memanas makanan menggunakan kelengkapan yang dibawa.
Dalam kesempatan ini, disampaikan rakaman terima kasih kepada jemaah Masjid Serian yang baik hati, ramah dan bersahabat serta membenarkan kami memanas makanan menggunakan kelengkapan yang dibawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan