Kebelakangan ini kebersihan kawasan persekitaran di bangunan komersial menjadi kurang perhatian di sesetengah premis. Kawasan persekitaran tersebut meliputi kawasan lapangan, kawasan parkir, longkang dan parit sama ada depan dan belakang yang turut sama digunakan oleh premis berkenaan baik secara langsung mahupun tidak langsung. Ini belum termasuk orang awam yang lalu lalang di kawasan tersebut yang ada sesetengahnya membuat sisa seperti tisu, puntung rokok dll sesuka hati. Bagi premis yang dimiliki oleh pengusaha berduit dan prihatin, tidak masalah untuk menggaji pembersih untuk membersih secara tetap dan berjadual. Bagaimana pula pengusaha tidak mahu melabur untuk menggaji pembersih tetap dan mereka juga tidak prihatin serta mengharapkan pihak kerajaan yang bertanggungjawab membersihkannya. Ini tentu tidak adil kerana pengusaha berkenaan memperoleh wang sewaan bersih tanpa mengeluarkan belanja pembersihan.
Dalam hubungan ini, pihak berkuasa tempatan wajar dan tiba masanya untuk mengenalkan program "anak angkat" bagi kawasan sekitar kepada premis perniagaan, perhotelan, dan agensi swasta yang menyewa di premis komersial berkenaan. Mereka harus diwajibkan untuk memainkan peran dalam mewujudkan kebersihan alam sekitar dan menanam pohon renek serta tanaman landskap nan menghijau. Dari satu sisi yang lain, bukan sesuatu yang luak dan aneh jika pengusaha dan bos-bos membudayakan karyawan mereka untuk membersih dan merapikan laman atau persekitaran yang ada di hadapan dan belakang kedai mereka sebelum membuka kedai. Jika suasana kondusif di mana semua penyewa berperan sama dalam membersihkan kawasan ini dan dalam situasi tertentu mereka menjadi mata-mata untuk menegur masyarakat luas yang membuang sampah sesuka hati, tentu sekali dunia ini akan aman daripada sampah sarap yang bertebaran. Secara tidak langsung, mereka turut sama melestarikan kehijauan alam tak kira sekecil apapun kawasan sekitar yang mereka miliki.
Kawasan yang bersih akan mengundang takjub dan decak kagum masyarakat banyak dan mereka tentu terimbas dan merasa malu untuk mengotori laman berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan