Ketika ini, musim permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Ke-12 bagi Rang Perbekalan Tahun 2016/2017 sedang menghela ke penghujung mesyuarat dalam erti kata dalam beberapa hari lagi akan selesai. Pelbagai isu dibangkitkan dari aspek pembangunan prasarana mental dan fizikal, penyediaan perkhidmatan sehinggalah hal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini dibahas dan ditanggapi dalam MMN. Seperkara yang menarik perhatian penulis ialah saranan untuk menaikkan kadar pencen tua semasa yang diterima $250.00 sebulan seorang bagi rakyat yang sudah mencapai usia 60 tahun.
Dikatakan jumlah pencen tua ini tidak mencukupi mengambil kira indeks harga pengguna yang meningkat saban tahun. Dengan kata lain, harga barang dan keperluan naik. Perkara ini memang tidak dinafikan tetapi jika dilihat dengan nilai duit dan harga barang di negeri jiran, ternyata kita masih memiliki kelebihan dan nikmat yang harus disyukuri. Ini hanya berlaku jika kita semua melihat dan menilai dengan hati yang dingin dan jernih. Kita sebagai pengguna haruslah memiliki kesedaran mutlak dan hendaklah mengukur serta menilai apa sebenarnya yang menjadi keutamaan hidup kita.
Di negeri jiran, difahamkan bantuan diperoleh melalui dua mekanisme iaitu melalui dana Baitulmal Negeri yang diluluskan oleh kerajaan negeri masing-masing dan melalui bantuan kebajikan masyarakat kepada mereka yang layak dan berhak. Difahamkan jumlah bantuan tersebut kurang dari nilai pencen tua yang diterima oleh masyarakat dan penduduk negara ini. Selain itu, ada juga bantuan tunai langsung diterima oleh rakyat negeri berkenaan yang berhak menerima subsidi tetapi tidak menikmatinya. Nah, meskipun bantuan ini diterima dan diakui tidak cukup untuk menampung kehidupan seharian apatah lagi sebulan ditambah mula dengan kos hidup yang melambung seperti barang keperluan, petrol, cukai, tol dsbnya, mereka tetap berterima kasih dan bersyukur bahawa bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringan beban hidup sekurang-kurangnya untuk beberapa hari. Masyarakat dan penduduk di negeri berkenaan bijak berbelanja mengikut keutamaan yang benar-benar diperlukan. Mereka berusaha menghindari pembaziran kerana pembaziran juga dilarang dalam Islam.
Terdapat negara yang tidak memanjakan rakyatnya dengan bantuan kebajikan apalagi dihulurkan pencen tua. Negara berkenaan mahu rakyatnya menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan menghargai diri mereka sendiri. Ini bererti, rakyat "dipaksa" membanting tulang empat kerat untuk mensejahterakan dirinya, keluarganya dan sekaligus bangsa dan negara mereka melalui ekonomi sara diri yang menjanjikan peluang pasaran dan ekonomi yang baik.
Di negara ini, kerajaan perlu berbelanja untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpenuhi. Dengan jumlah penduduk menua meningkat bererti kerajaan perlu memperuntukkan kos yang besar untuk pencen tua. Kerajaan juga perlu menampung subsidi beras, petrol/diesel, rawatan penjagaan kesihatan dan perubatan percuma, pendidikan percuma dari sekolah rendah, menengah, lanjutan, vokasional, teknikal, politeknik dan universiti dalam negara. Pada masa yang sama, tiada cukai GST dan cukai hasil dikenakan. Rakyat dan penduduk patut sedar dengan keadaan kerajaan. Untuk memastikan kestabilan ekonomi, politik dan sosial, kerajaan di negara manapun perlu memperuntukkan kos yang mahal dan kos ini sentiasa meningkat saban tahun pada ketika sumber hasil utama negeri ini masih bergantung pada industri minyak dan gas. Oleh kerana itu, kita sebagai rakyat harus faham betul dan dapat menyesuaikan diri serta belajar daripada masyarakat negeri jiran bagaimana mereka dapat mengelola hidup mereka dengan serba kekurangan.
Menyesuaikan diri tidak hanya dengan duduk, bercakap dan mengeluh. Kita harus menggunakan minda, tangan dan kaki untuk berusaha seperti memanfaatkan tanah yang sedikit untuk bercucuk tanam dan menjadikan wang yang ada sebagai modal bagi usaha kecil. Dalam hidup, jika semua perkara menggunakan wang, bererti kita tidak akan pernah berasa berkecukupan. Budaya konsumptif total harus dihindari segera. Anak kita juga harus dididik sedari awal untuk berfikir dan diajar bagaimana mengelola hidup mereka dengan panduan kita. Kelak mereka akan jadi manusia yang tahu bagaimana menghargai diri sendiri dan bagaimana mensyukuri rahmat dan nikmat yang diterima.
Pencen tua adalah bantuan kebajikan orang tua yang sifatnya sebagai membantu bagi menambah dan meringankan bukan dijadikan sebagai kos yang kekal untuk membayar sesuatu untuk jangka panjang sehingga menyulitkan diri kita sendiri.
Memang realiti hidup yang tidak dinafikan ialah mekanisme kepuasan manusia itu memang tiada batasnya tetapi dengan akal yang cerdas kita sebenarnya dapat membendung keinginan-keinginan yang tidak sepadan dengan kemampuan yang kita miliki. Dari itu, marilah kita berfikir cerdas dan cemerlang serta menerima kenyataan hidup sebagai bahagian penting untuk menjadikan kita sebagai manusia yang memanusiakan manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan