Ahad, 23 Oktober 2016

sepintas lalu memahami makna kebruneian

Semalam saya berkesempatan menghadiri jemputan kahwin. Syukur alhamdulillah masih diberikan kesihatan dan dipanjang umur oleh Allah Subhanahuwa'ata. Menghadiri jemputan kahwin kali ini terasa istimewa kerana dapat berjumpa dan bersembang dengan warga lama yang masih prolifik. Usianya jauh beda usia dengan saya. Yang buat ia terasa istimewa kerana ada sesuatu yang dibualkan dan yang dibualkan, sesuatu yang berguna bukan sekadar sembang-sembang kosong. Berjumpa dan bersembang dengan mereka yang matang dan banyak pengalaman, bukan sebarang pengalaman pula tentulah menjadikan perbualan kami menarik meskipun saya terkadang terlihat lebih pasif kerana terlalu banyak mendengar kecuali dalam beberapa perkara saya mencuba mengambil porsi saya. Perbualan itu setidaknya dapat meredam waktu sementara menunggu majlis perkahwinan yang banyak selingan acara itu selesai tanpa terasa lama. Beliau merupakan seorang pesara dan memang telah lama bersara. Seorang pengingat dan berada dalam rentang waktu sejarah, yakni ketika Brunei Darussalam belum merdeka hinggalah ke hari ini. Meskipun sembangnya terasa sekejap tetapi pesan dan kesannya elok untuk diketahui. Ceritanya tentang peranan mufti lama seorang ulama dan pemikir yang bijaksana. Beliau seorang tokoh besar agama dari Johor dan seorang ilmuwan yang dihormati.

Ceritanya, dahulu minuman keras boleh didapati di mana-mana sahaja kedai runcit dan minimarket. Bahkan juga di kedai-kedai biasa yang menjual minuman dan makanan. Pembelinya, selain daripada warga asing, tidak dinafikan juga masyarakat di negara ini. Di samping penjualan minuman keras, difahamkan kegiatan judi wujud tetapi tidak menonjol kerana berlindung di sebalik pusat snooker dan billiard. Mereka yang bertatu khususnya bangsa asing pun tak kurang ramai. Dek adanya minuman keras, snooker dan billiard yang biasanya diserangkaikan dengan kegiatan judi walaupun tidak semua, maka imej negara ini tidak memperlihatkan ciri Islamiknya terutama pada dekad tahun 60-an hingga awal 90-an. Benda-benda begini tentunya menarik imigran yang memiliki modal berhijrah ke negara ini untuk membuka usaha kecil-kecilan sedemikian. Situasi pada dekad tersebut memang mencemaskan dan merefleksikan sebuah penyakit sosial kerana ia seperti bom jangka yang bila-bila sahaja meletup dalam erti kata kegaduhan sosial, perkelahian dan huru-hara sesama mereka boleh sahaja berlaku. Oleh kerana itu juga, masyarakat Melayu Brunei (MMB) sendiri tidak berani untuk membeli di zon yang ada elemen seperti itu.

Sejatinya, meskipun ciri Islamik belum begitu menonjol seperti yang kita lihat hari ini, nilai kekeluargaan menjadi teras yang mengikat, dan dibumbui akal budi kebruneian sejati. Nilai ini memupuk MMB hidup dengan tertib dan santun. Mereka cuba mengelak untuk pergi ke tempat itu, menghindarkan diri bertembung dengan golongan seperti itu. Bagi MMB, elemen sosial yang negatif seperti itu bukan satu yang menyenang sebaliknya mencemaskan dan tentuny mengundang rasa kurang selesa dan takut.

Pada akhirnya, minuman keras dilarang dijual di negara ini. Ia tidak lain kerana peranan mufti pertama Sahibul Samaah, (Dr.) Ustaz Haji Ismail bin Omar Abd Aziz sebagai penasihat kerajaan dalam agama. Pelarangan itu ada kaitannya dengan filosofi hidup berbangsa dan bernegara yang negara ini ingin capai dan mahukan. Dek larangan minuman keras tersebutlah maka elemen sosial yang mendekatinya kehilangan magnet, kehilangan tarikan, kehilangan pamor dan tentu sekali kehilangan seru. Lama-kelamaan, golongan ini kebanyakan bangsa asing menghindar dan berlalu pergi kecuali mereka yang bertahan dan melihat peluang positif ekonomi dalam aspek lain memilih bertahan dan pada akhirnya menjadi warganegara setelah memenuhi persyaratan. Pelarangan tersebut telah membuat pekan Seria dan di mana pun jua dahulunya "ngeri" kini tidak lagi mencemaskan sesiapa pun untuk melaksanakan fungsi sosial dan ekonomi masing-masing sehari-hari. Seterusnya, pengenalan langkah memakai tudung bagi penjawat awam di negara ini juga bermula atas nasihat mufti berkenaan. Langkah mewajibkan memakai tudung bagi penjawat awam merupakan satu "tsunami sosial terindah" yang memberikan efek domino bukan sahaja kepada pejawat awam bahkan juga kepada anak-anak, pelajar sekolah, siswa pengajian tinggi dan anak remaja turut memakai tudung apabila keluar dari rumah mereka untuk urusan rasmi dan tidak rasmi. Mereka memakai tudung tanpa dipaksa tetapi ia diterima sebagai satu cara hidup menyeluruh yang sudah ada dalam benak atau fikiran mereka. Dengan kata lain, mereka bukan memakai tudung bila tiba usia matang sekitar 40-an yang pada kebiasaannya kita mendengar kalimat klise iaitu sudah tiba seru. 

Sumber: Google Images

Berbalik kepada pelarangan penjualan minuman keras dan amalan memakai tudung, saya mendapati kesan dan pesannya bukan kecil anak. Ia membentuk imej dan nilai Islamik yang ketara sehingga negara ini benar-benar memperlihatkan jati dirinya sebagai negara Melayu Islam Beraja (MIB). Dengan terbina masjid dalam setiap beberapa hitungan kilometer, pendidikan ugama Islam, membesarkan hari-hari peringatan dalam kalendar Hijrah, amalan membaca doa sebelum memulakan kerja, laungan kemerdekaan dengan Allahuakbar, pemerkasaan tulisan Jawi pada papan nama perniagaan, bangunan dan kenderaan dan penertiban dan pelabelan makanan halal, negara ini semakin memperkukuh state of art atau imej Islamik di mata serantau dan antarabangsa. Imej Islamik ini diperteguh lagi dengan adanya Perintah Pendidikan Ugama Islam Wajib (dari Darjah 1 hingga Darjah 6), penghentian sementara urusan perniagaan selama dua jam pada setiap Jumaat, perbankan Islam dan pelaksanaan Syariah Penal Code telah menjadikan negara ini paling aman dan nyaman untuk didiami. MMB berasa terlindungi dengan situasi yang kondusif untuk melaksanakan rukun Islam dan amalan hidup lain yang berpaksikan kepada budaya Melayu Brunei dengan agama Islam sebagai akarnya.

Beralih ke topik asal wacana ini, lalu apakah yang dimaksudkan dengan memahami makna kebruneian. Kebruneian itu adalah sebuah potrel nasional bangsa yang diproduksi melalui filosofi kebudayaan dan pengalaman dunia bangsanya. Secara umumnya, kebudayaan itu adalah pola perilaku sosial yang memiliki ciri khas sebagai unsur pembeda dengan kebudayaan bangsa lain. Kebudayaan itu memiliki unsur perekat sosial yang memperlihatkan ciri dan identiti tersendiri dalam erti kata MMB terpandu dalam acuan dan bayangan yang telah terprogram dalam benak fikirannya sejak lama. Sederap selangkah. Kunci perekat utama kepada kebudayaan Brunei secara sepintas lalu atau ciri-ciri kebruneian itu tentulah dicerminkan melalui bahasanya yakni bahasa ibunda, bahasa Melayu Brunei (BMB). BMB menjadi perekat sosial kerana bahasa ini menjadi bahasa komunikasi, dibawa dan dituturkan di mana pun mereka berada. Meskipun terkadang kita tidak mengenal mereka apabila berada di negara serumpun, tetapi mendengar mereka bertutur BMB, kita akan berkata "orang Brunei tu". Kedua, riak wajah, cara pembawaan, cara bersikap dan pakaian yang dipilih kental memperlihatkan fitur-fitur kebruneian sebagaimana yang kita kenal pola dan cara masyarakat Malaysia dan Indonesia apabila di negara orang. Ketiga, pakaian kebangsaannya iaitu "Cara Melayu" bagi lelaki pakaian yang nampak majalis (sesetengah orang Brunei menyebut) yang dipakai semasa jemputan majlis istiadat, pakaian yang juga dipakai bagi acara keraian dalam kalendar Hijrah dan majlis perkahwinan. Ini belum termasuk cara menyapa dan membahasakan diri apabila bercakap dengan orang bergelar dan mereka yang berketurunan pengiran. Dan juga adat dan budaya dalam perkahwinan sesetengah puak Melayu yang masih diamalkan sehingga kini. Adab dan santunnya ketika bicara membentuk pola perilaku yang jauh dari tidak berajar. Ciri-ciri ini mungkin nampak terlalu IDEAL bagi masyarakat luar dan mungkin ada pertanyaan apakah ia mampu bertahan, namun kita tentu berharap ia terus kekal bertahan dan diberdayakan kepada anak dan generasi muda Brunei sampai bila-bila.

Seperkara yang tidak dinafikan bahawa agama Islamlah yang mengukuh adat dan budaya kebruneian itu sendiri.  Adat dan budaya yang tidak bertentangan dengan Islam terus berjalan dan berdaya tahan hingga ke hari ini. Islam sebagai ad-deen menjadi teras yang utuh dalam mendukung adat dan budaya Brunei. Ini menjadikan MMB menyayangi dan mencintai negara ini. Meskipun mereka belajar dan terdedah dengan amalan dan cara hidup Barat ketika menuntut, namun kerana cara hidup beragama dan berbudaya Brunei yang sejati sedari kecil menyebabkan mereka ingin segera pulang ke negara ini setelah tamat belajar. Mereka yang memilih menetap di negara baru kerana tawaran pekerjaan juga tetap mengingati negara ini kerana situasi yang kondusif dari segi cara hidup, tataamalan kebudayaan dan kenyamanan melaksanakan rukun Islam. Kita boleh aman dan bebas menampilkan "karya diri" yakni cara berpakaian yang berlandaskan hukum hakam agama Islam tanpa batas waktu kerana di Brunei inilah sejatinya nilai-nilai Islamik dan kebudayaan Melayu itu menampakkan jati diri yang sebenar-benarnya. Inilah tempatnya watan Melayu dan puak Melayu berbanding di negara lain yang sering sahaja terpercik kegaduhan sosial, pertikaian hak kerana masing-masing ingin porsinya secara eksklusif tidak tergugat dan pada masa yang sama fahaman Islam yang terlalu moderat yang memberi peluang dan ruang kepada pihak lain mencabar agama dan akar umbi bangsa Melayu itu sendiri.

Pendek kata ada sesuatu yang merekat di negara ini, ada sesuatu yang menyebabkan mereka menyanjungi negara ini, ada sesuatu yang menyebabkan mereka berasa memiliki sense of belonging dan ada sesuatu yang mendorong mereka berkata syukur dan BERTERIMA KASIH dilahirkan dan seterusnya menjadi warganegara dan dibesarkan di negara ini, BRUNEI DARUSSALAM.






Rabu, 5 Oktober 2016

Pengalaman singkat mengenal lebih dekat Swansea University, Singleton Campus

Kalau tidak kerana ada tujuan di Swansea, tentu tidak aku kenali Swansea University (SU). Ahad, 02 Oktober 2016, aku mampir di universiti ini bersama anak untuk mencari di mana duduk letak Kolej Sains Kesihatan dan Kemanusiaan (College of Human and Health Sciences). Sejak itu, sepanjang beberapa hari hingga 07 Oktober 2016, kami mundar-mandir di SU untuk mendengani urusan pendaftaran pengajian anak di SU.

Sistem pentadbiran dan pengurusan pendaftarannya sangat teratur dan sistematik bagi siswa mancanegara yang memilih studi di SU. Semua kaunter dibuka dan barisan panjang yang menunggu tidak terasa betah kerana kecekapan karyawan SU yang menguruskan pendaftaran selain daripada siswa nampaknya telah bersedia dengan segala dokumen yang diperlukan. Siswa juga disarankan untuk membeli tiket bas secara musiman, iaitu £300.00 untuk satu tahun tanpa had limit untuk anda menaiki bas dalam sehari.  Pada hari pendaftaran yang sama, mereka juga perlu bergegas untuk melapor dan mengisi borang kesihatan di Jabatan Kesihatan SU, di samping perlu membuka akaun bank di Lloyd Bank.

Pada hari pendaftaran, kami memasuki SU melalui penginapan dari Marlborough Road, Brynmill. Perjalanan sejauh 1.6KM sehala dari Marlborough Road, Brynmill kemudian merentas Singleton Park, green house terdekat yang menghubungkan hunian siswa dan penduduk di Brynmill dan Upland ke kampus SU Singleton. Perjalanan tidak terasa penat kerana cuaca yang sejuk dan dingin yang menggigit. Masing-masing siswa dan orang awam yang lalu lalang memakai sweeter atau baju tebal buat pemanas badan.

Sedikit mengenai, Brynmill..distrik ini merupakan kawasan hunian penduduk dengan rumah teres yang kental dengan seni bina Inggeris. 
Kawasan hunian di Brynmill dan sekitarnya
Hunian di Brynmill baik di Marlborough Road, St. Alban Road, Oakland Road, St Bennette dan beberapa persimpangan jalan lagi di kawasan ini adalah tempat penginapan pilihan siswa mancanegara yang studi di SU. Hunian sewa ini berbentuk bilik studio yang disewa oleh tuan punya rumah kepada siswa yang yang tidak mendapat tempat tinggal di kediaman kampus. Dapur dan kamar mandi dikongsi bersama. Dapur dilengkapi dengan tempat memasak, peti ais dan mesin basuh sekaligus mesin pengering baju. Sewa bilik studio paling tinggi £400.00 dan minimum £250.00 tertakluk jarak kediaman dengan kampus dan kawasan komersial di sekitarnya. Ada beberapa laman web agen penyewa bilik yang sering boleh dikunjungi untuk menyemak dan mencari bilik sewa untuk pelajar dan mungkin juga ekspatriat, antaranya ialah:

http://www.rightmove.co.uk/

http://m.zoopla.co.uk/

http://m.primelocation.com/

http://www.home.co.uk/

https://www.gumtree.com/

http://www.uklettingagent.co.uk/

Selain letting agent di atas, di Swansea juga ada web letting agen khusus yang menguruskan bilik sewa untuk pelajar di teritori ini. Antaranya ialah:

http://www.studenthouseswansea.com/

https://sturents.com/student-accommodation/swansea/

http://www.freshsales.co.uk/properties/student-let/

http://www.charlesperrett.co.uk/studentlettings.aspx

http://www.swanseapropertyagents.co.uk/

Ada beberapa lagi laman web yang boleh membantu untuk mendapatkan penginapan di sini. Anda boleh melayari Google.

Kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang datang melawat atau menziarahi anak mereka dan memilih tinggal berasingan setidaknya dekat dengan kawasan hunian anak mereka, dinasihatkan untuk mencari kemudahan penginapan dalam laman web berikut:

https://www.airbnb.com/

https://www.hometogo.com/

Kembali ke cerita asal tadi. Kemudahan komersial untuk keperluan siswa dan penduduk mendapatkan keperluan dan kelengkapan hidup, kebanyakannya tertumpu di permukiman Uplands. Antaranya kedai dobi (laundrette), fotokopi, barang kelengkapan dapur di Tesco Express, kedai makan halal fish and chip dan beberapa kedai runcit kecil bagi mendukung permintaan penduduknya.

Terdapat sebuah smartshop yang tidak kurang popular juga di Swansea. Argos namanya. Argos menjual peralatan elektronik dan kelengkapan rumah. Difahamkan kebanyakan pelajar membeli printer kat Argos. Barang jualan tidak dipamer tetapi diletakkan dalam stor supaya anda tak rencam dan pusing kepala nak belek agaknya. Pas tu tak jadi beli..macam aku arrr. Anda tinggal memilih melalui katalog yang disediakan dalam bentuk album bergambar, siap spesifikasinya. Tebal albumnya nih...mengalahkan kamus dwibahasa..hihi. Bukan satu, ada beberapa buah album supaya tak berebut nak baca, boleh menghayati lelama dan pilih..haha. Ia lebih mudah, dan kedai ni juga menyediakan khidmat penghantaran.  Lepas dah cam barang yang anda suka, masukan kod barang kat mesin yang tersedia. Smart betul kaedah omputih ni menjual barang. Kira good governance retail jugaklah. Tak de lah terpekik-pekik nak minta barang dari satu krew ke satu krew.

Sebahagian kampus Swansea University, pemandangan di waktu pagi
Antara siswa Brunei yang menuntut di Swansea University  

Papan tanda di persimpangan masuk utama SU Singleton
Pusat Pentadbiran Swansea University Singleton Campus tetapi jarang digunakan

Pusat teater
Gerbang pintu Singleton Park, salah satu pintu masuk ke Swansea University
shuttle bus

Secara umumnya, Brynmill menjadi pilihan penginapan bagi para siswa mancanegara kerana akses yang sangat dekat dengan SU. Anda perlu menapak dalam julat jarak 1.6KM daripada kawasan hunian dan melalui Singleton Park sebuah taman hijau yang dipenuhi oleh pokok-pokok besar dan renik yang didiami oleh unggas yakni burung yang sangat identik bunyinya, selain daripada tupai yang comel. Selain Singleton Park, sebahagian siswa yang tinggal di Brynmill khususnya di Uplands, juga akan melalui kawasan rumah hijau yang tidak kurang penting dan indahnya yang menjadi tempat konservasi unggas dan kawasan permainan bagi anak-anak.

seagull atau camar
Pada umumnya, hampir kebanyakan universiti di Inggeris memiliki kawasan lapang atau green house. Ia ciri khas di sini yang matlamatnya utama sangat baik iaitu mendidik masyarakat muda tentang pentingnya alam sekitar sebagai paru-paru alami yang memproses udara bersih dan tempat untuk membina hidup sihat dan sekaligus tempat bagi menghargai mergastua. Jauh dari itu, green house mendidik masyarakat untuk bersosial dan berkomunikasi melalui aktiviti berjalan kaki sesama siswa yang biasanya bergerak dalam kumpulan kecil dan besar dalam satu-satu masa







Penulis di Brynmill Park, salah satu pusat konservasi unggas jinak dan liar

jika masa kuliah mereka bertembung. Berdasarkan pengamatan saya, jarang sekali siswa menggunakan mobile sambil berjalan. Mereka lebih senang berbual sambil melangkah cepat untuk sampai ke dewan kuliah. Dengan kata lain, kebanyakan siswa lebih gemar bersembang dan berbual di jalanan mahupun di kawasan siar kampus dengan langkahan yang cepat seperti mengejar masa.

Mengenai Singleton Park antara kawasan laluan popular menuju ke kampus, hakikatnya tiada kemudahan asas di taman ini selain daripada lorong laluan kecil pejalan kaki yang berturap dan lampu jalan yang cahayanya hanya cukup untuk menerangi lorong laluan dan kawasan sekitar yang terhad pada waktu malam.
Sebuah danau di Brynmill Park sebagai tempat konservasi

Waktu meriah di Singleton Park ialah pada waktu pagi iaitu sekitar 9.00 pagi ke atas dan petang pada ketika siswa dan karyawan SU bergerak secara perorangan atau berkumpulan melalui di Singleton Park untuk ke SU, pergi balik. Ia sebuah atmosfera yang sensasi apabila melihat kesibukan orang dengan ragamnya yang lalu-lalang di sini. Mereka yang menginap di Upland tidak jauh daripada Brynmill juga melalui kawasan taman ini untuk ke SU.





Mengenai SU, terdapat dua kampus di universiti ini. Satu di Bay Campus, tidak jauh daripada city centre dan satu lagi di Singleton Park Campus. Siswa yang studi di SU datang daripada serata dunia tetapi kebanyakan mereka difahamkan adalah siswa tempatan di England dan Wales, dan mereka yang datang daripada negara Balkan, selebihnya daripada Middle East, Asia dan jumlah yang sedikit daripada negara Asean.

SU di Singleton seperti mana juga Universiti di serata dunia, menyediakan kemudahan asas untuk siswa. Di sini ada Costa Cafe, Starbuck dan kedai runcit MyCount Counter yang menjual barang kelengkapan dan keperluan siswa baik barang untuk memenuhi perut mahupun alatan pembelajaran.

Bas berulang alik daripada hunian penduduk di sekitar atau daripada city centre ke SU dengan kekerapan setiap 5 minit. Tidak betah menunggu bas.

Kemudahan atm bank yang ada di sini ialah Lloyd Bank dan Santander Bank. Teksi DataCabs dan YellowCabs juga melalui kampus ini untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

Sepanjang pemerhatian, siswa mereka adalah multiras. Tiada gangguan racism dan kebanyakan mereka fokus kepada komitmen studi masing-masing. Dari segi saiz, mereka nampaknya lebih besar dan tinggi berbanding siswa yang datang dari serata Asia.





Selasa, 4 Oktober 2016

secebis mengenai Swansea

Swansea sebuah wilayah di kawasan utara yang secara relatif merupakan daerah yang kecil.  Wilayah ini adalah antara teritori kedua terbesar selepas Cardiff yang membentuk Wales. Memasuki wilayah ini selepas melepasi persimpangan ke Cardiff, ciri identik yang paling jelas kelihatan ialah papan tandanya menggunakan dwibahasa. Satu bahasa Inggeris, yang kedua bahasa Welsh yang sulit disebut. Dan kebanyakan aksen sebutan bahasa Inggeris penduduk di Swansea ini kedengaran lebih terbuka luas alat tuturnya sehingga ungkapanya jelas dan lantang.

Sepanjang jalan menuju ke Swansea selepas melintasi areal Cardiff, anda dapat melihat betapa banyaknya padang ragut yang luas yang terbentuk secara sektoral berdasarkan kepemilikannya. Padang ragut ini tempat bagi haiwan peliharaan komersial iaitu lembu dan biri-biri. Ia menunjukan bahawa teritori ini merupakan antara pembekal utama bagi pasaran daging mentah, beku dan industri hiliran seperti tenusu.

Di Swansea, anda boleh menghabiskan waktu pusing-pusing di pekan kecil ini dalam masa hitungan jam ataupun tak sampai sehari! Sesingkat itu. Bagi yang sudah betah tinggal di sini, jika anda rajin berborak serta bertanyakan pandangan mereka tentang wilayah ini, anda akan mendapat jawapan yang pesimis. Wilayah ini menurut mereka membosankan kerana tiada tempat hiburan, cafe-cafe yang wah menjamur untuk nongkrong bareng dan city centre semacam mati apabila ditutup pada pukul 6.00 petang kecuali minimarket dan restoran cepat saji serta kedai makan lain. Anak-anak muda yang hungky funky mati kutu dek kesunyian yang berlarutan selama bertahun.

Seperti biasa, kebanyakan penduduk di sini ialah menghabiskan masa dengan jalan-jalan, makan dan tidur. Lainlah mereka yang memiliki komitmen terikat seperti studi, bekerja atau berniaga. Pekan Swansea ini ramah dan bersahabat dengan golongan tua dan mereka yang kurang upaya. Pelataran yang menghubungkan antara kedai, bebas daripada kereta yang lalu-lalang. Ini membolehkan semua warga bebas bergerak dari satu kedai ke satu kedai yang lain.

Etos sosial masyarakat di sini sangat berdisiplin dari warga tua, ibu bapa hinggalah ke anak-anak. Mereka mengambil porsi dalam setiap ruang pelataran jalan yang menghubungkan kedai ke kedai yang begitu hampir dan bersahabat dengan tenaga kita. Ia menghematkan waktu berjalan dan memutar. Memerhatikan kehidupan di teritori ini, kita dapat melihat betapa releks dan bersahajanya masyarakat di sini. Tiada gangguan para pemabuk kerana ketiadaan cafe-cafe hiburan di pusat bandar ini yang begitu menonjol. Anda bebas mundar-mandir meredam waktu di sini tanpa rasa bimbang dan takut. Ia menunjukkan bahawa cara hidup yang tidak terdedah kepada budaya-budaya moderat yang menggiurkan sebagai tempat pelampiasan telah membentuk sikap sosial yang positif dalam benak fikiran warga di teritori ini sejak lama.

Bagi anak-anak muda yang memiliki jiwa memberontak untuk mencari hidup yang happening, mereka akan ke Cardiff untuk window shopping atau sekadar jalan-jalan. Jarak antara Swansea dan Cardiff jika menggunakan keretapi, memakan masa satu jam perjalanan sehala.

bergambar berlatarkan Bangunan Stesen Keretapi Swansea

Sungguhpun Swansea kecil, wilayah ini memainkan peranan besar kerana kedudukan strategiknya. Ia tidak lain kerana wilayah ini memiliki laut dalam, dan jajaran pantai yang memanjang dan luas. Seperti yang kita marfum, laut yang luas di mana pun jua pastilah menjadi nadi utama ekonomi khususnya industri eksport import, maritim dan tentu sekali sumber hasil lautnya. Ini tidak terkecuali dengan Swansea. Dek memiliki laut dan limbungan pelabuhan itulah, maka ibu pejabat agen jualan kereta ternama antaranya Mercedes berpangkalan di Swansea bahkan kantor amazon.com.uk yang terkenal di mancanegara sebagai pelopor industri peruncitan online itu juga magang di wilayah ini.







Swansea, nadi ekonominya tumbuh subur kerana saiz kepadatan penduduknya. Wilayah ini juga merupakan tempat kediaman, pekerjaan dan pengajian bagi masyarakat luar sama ada yang bermukim secara tetap mahupun sementara. Dek kepadatan penduduk yang sesuai dengan saiz wilayahnya, tentulah terdapat permintaan tinggi bagi industri peruncitan barangan, perkhidmatan dan pengangkutan. Kesemua industri ini berkembang baik untuk memastikan Swansea terus hidup dan berkembang setara menariknya dengan wilayah lain baik di England mahupun di Wales. Ini bagi memastikan magnet ekonominya bak besi sembrani yang mampu memikat semua orang untuk betah tinggal di sini. Bagi anda yang kaki shopping, jangan bimbang. Jenama peruncitan besar seperti Mark & Spencer, Zara, HM, Sport Direct, Topshop, Dorothy Perkin, Peacock, Rowberry, dan beberapa lagi ada di wilayah ini. Bagi barangan peruncitan makanan dan minuman, anda boleh membelinya di kedai Poundland. Tesco Express juga ada di Swansea. Dan yang paling besar, Tesco yang terletak bersebelahan dengan mall Debenhams atau berdekatan dengan terminal bas city centre.

Pakaian kasual biasa lelaki dan perempuan termasuk pakaian khas untuk musim autuum dan dingin boleh didapati di kedai Primark dengan harga yang berpatutan. Mereka yang baru datang khususnya siswa yang memerlukan kelengkapan dapur, tidur dll, anda cukup membeli belah di Wilko atau di Tesco. Memang murah dan berkualiti. Bagi masyarakat Asean dan Asia yang makan utamanya adalah nasi, anda boleh membeli beras dengan pilihan beras yang beragam di jajaran kedai di St. Helen's Road. Sepanjang jalan ini banyak kedai Arab dan satu dua kedai runcit India menjual keperluan dan kelengkapan yang anda mahukan walaupun tidak sepenuhnya. Jangan tak tahu, maggi pun dijual di sini. Jadi tidak perlulah mengangkut maggi dalam bagasi anda nanti.

Bagi siswa yang memerlukan printer dan komputer, anda disarankan untuk mengunjungi Argo sebuah smartshop yang ada di persimpangan tidak jauh daripada stesen keretapi Swansea. Argo menjual barangan elektrik menggunakan katalog. Anda perlu memilih apa item yang anda mahu dan masukan no rujukan dalam mesin untuk memastikan barang ada atau tidak dalam stok Argo. Jika ada, bawalah no rujukan barangan tersebut ke kaunter untuk proses selanjutnya.

Di city centre, meskipun pekan ini kecil, warga yang lalu-lalang, mundar-mandir atau sekadar nongkrong di bench yang disediakan di hadapan kedai-kedai tetap meriah. Warga tua dalam lingkungan usia 60-70 tahun tetap lalu-lalang dan membeli-belah. Kebanyakan mereka menggunakan kenderaan khas yang dikawal sendiri. Nampaknya, mereka lebih akrab menghabiskan masa dengan jalan-jalan dan berbual-bual dengan rakan sebaya. Pekan ini memang ramah dan bersahabat dengan mereka kerana kemudahan asas seperti laluan lantai yang luas untuk kenderaan khas mereka berlegar dan menembusi kedai ke kedai.

Industri perkhidmatan seperti pengangkutan dan perhotelan juga disediakan. Pengangkutan sebagaimana lazim di bandar besar tentulah perkhidmatan bas ulang alik, teksi dan keretapi. Bas awam yang anda naik di wilayah ini, pada akhirnya akan berhenti di hentian terminal utama di city centre yang tertera nama Debenhams. Turunlah di situ, dan anda perlu menapak sahaja beberapa minit ke kedai jenama terkenal yang disebutkan sebelum ini. Tambang bas boleh dibeli semasa anda menaiki bas. Bagi penumpang baru, anda disaran membeli tiket musiman sama seminggu, sebulan atau setahun. Tiket seminggu bernilai £20, dan setahun £300. Dengan tiket musiman, anda boleh menaiki bas berulang kali dalam sehari tetapi hanya dalam wilayah ini.

Teksi boleh diperoleh melalui penyedia perkhidmatannya sama ada DataCabs (teksi berwarna hitam) atau Yellow Cabs (teksi berwarna putih). Tambang perjalanan sehala ke mana sahaja dalam wilayah ini ialah £6. Hotline DataCabs 474747545454 dan Yellow Cabs 644446700400. Hentian teksi terdapat di sebelah retail Primark dan di hentian keretapi di Swansea.

Sistem pengangkutan bas dan teksinya sangat teratur dan bersahabat. Anda tidak perlu tunggu lama bas sampai berjam-jam seperti di setengah bandar di Asean. Di sini paling lama anda tunggu kurang dari 10 minit. Dek kerana jalannya sehala, semua bas yang menujukan distrik yang berbeza pada akhirnya menuju ke terminal bas di city centre. Bas ini terbuka untuk dinaiki oleh pengguna berkeperluan khas dan orang tua yang bertongkat. Ruang dalam bas sangat bersahabat untuk orang kurang upaya kerana terdapat tiang untuk memegang dan notis pemberitahuan tempat duduk khas bagi warga ini. Apabila sampai di terminal bas di city centre, tidak nampak warga yang berebut atau memotong barisan untuk menaiki bas berkenaan. Penumpang sendiri bersedia berbaris teratur untuk menaiki bas. Mereka juga memberi laluan pada mereka yang turun sebelum menaiki bas.


Untuk hotel penginapan, anda boleh melayari di agoda.com, booking.com ataupun hotel.co.uk. Hotel yang betul-betul dekat dengan  city centre ialah The Dragon Hotel dan Singleton Hotel. Cuma Singleton Hotel nampaknya seperti hotel backpackers. Manakala penginapan yang berbentuk sewa jangka panjang yang kebanyakan dimonopoli oleh pelajar dan ekspatriat, mereka cenderung memilih menyewa di kawasan hunian majoriti penduduk sama ada di St. Helens Road, Brynmill atau di Upland. Yang menjadi tumpuan tentulah hunian sewa sama ada flat atau bilik yang terletak di St. Helens Road. Mengapa? Ia kerana hunian berkenaan terletak di pinggiran city centre dan anda hanya perlu menapak beberapa meter ke city centre tanpa perlu berbelanja menaiki pengangkutan awam.


Selain kereta dan bas, train adalah antara pilihan pengangkutan utama bagi pelajar dan masyarakat di daerah ini untuk ke daerah lain di luar dari Swansea. Untuk pengetahuan anda, dari Swansea ke Paddington Station, terdapat stesen hentian yang tidak kurang popularnya dari segi geliat ekonomi dan kota pendidikan terkenal di mancanegara. Antara stesen hentian persinggahan dari Swansea sebelum ke Paddington Station, ialah Cardiff, Swindon, Bristol dan Reading. Jika anda pergi ke Cardiff secara berkumpulan minimun untuk tiga orang, tambang train pergi balik ialah £21.00. Bagi mereka yang ingin ke London, tambang sehala ialah £46.53 seorang.

Bagi pengunjung dan pelajar yang mencari makanan halal, tidak perlu ragu dan bimbang kerana Swansea menjanjikan makanan halal yang memenuhi selera anda kursusnya tekak anak-anak muda. Kebanyakan makanan halal adalah menu masakan Arab. Kiosk makanan halal ini terletak di jajaran laluan St. Helens Road. Antara makanan halal di sini ialah Subway, Piza, Al-Basha, Swarma yang kebanyakan diusahakan oleh pengusaha Arab daripada Iraq, Yemen dan Lebanon. Al-Basha yang menyedia makanan seperti beriyani memilik dua cabang yang berdekatan. Ia dipenuhi oleh pengunjung daripada Middle East dan Asia yang kebanyakan terdiri daripada pelajar, pelancong mahupun masyarakat Arab yang menjadi penduduk tetap Britain. Imigran Arab ini juga menjadi peruncit sekaligus penjual bahan mentah halal seperti ayam dan daging yang kedai runcit mereka terletak berhampiran atau sejajar dengan kiosk makanan halal tadi.





















Pada musim autuum, suhu di Swansea boleh mencecah 5C. Sebaiknya anda bersedia memakai sweater. Meskipun cuaca kadangkala 16C, tapi apabila anda berada di luar bangunan, cuaca terasa dingin apatah lagi jika angin sedang bertiup. Mengenai baju yang sesuai untuk musim autuum dan salji, anda tidak perlu buru-buru membeli sebelum bertolak dari negara anda. Beli di sini kerana ia lebih murah dan pakaian yang disediakan juga memang sepadan untuk cuaca di sini.

Secara keseluruhan boleh dikatakan nilai barangan di sini adalah murah dan mampu milik (affordable price). Anda boleh berbelanja barangan tertentu yang dapat memenuhi kantung plastik anda dengan hanya £20! Sebelum datang ke London dan Swansea, anda tentu dibekalkan dengan info yang mengujakan iaitu barangan di kota besar ini murah. Ia betul, tetapi setelah melalui pengalaman sendiri, saya ingin mengatakan bahawa bukan kerana barangannya murah, tetapi hakikat sebenarnya adalah betapa tinggi dan BERNILAINYA matawang £ berbanding matawang lain. Itulah kenyataannya.

Sepanjang yang diketahui, tidak berlaku kejadian yang tidak diingini, segalanya aman. Ini mendorong anak-anak muda mengejar cita-cita mereka dengan fokus dan disiplin yang baik. Dan Swansea juga tidak keterlaluan layak digelar sebagai kota studi yang segalanya menekankan meritokrasi. Mereka yang berjaya ramai tentu, dan bersedia membuat langkahan hidup yang lebih besar, jika mereka berani, yakin dan terampil menguasai segala hal.




COVID-19 - Dunia Ini Rapuh dan Tidak Berdaya, Pelajaran Buat Kita

Tidak siapa menduga COVID-19 yang bermula di Wuhan, China merebak ke seluruh dunia. Masyarakat dibuat terpinga-pinga dan panik. Kita dibias...